Berakhir dengan kutipan 31 mata keseluruhan, Sime Darby FC menamatkan musim sulung di Liga Super Malaysia 2014 di tangga kelima walaupun terikat dengan keputusan 1-1 dalam pertembungan dengan ATM di Selayang semalam.
Skuad ‘The Giant Killers’ yang berkongsi mata dengan Kelantan, berjaya merampas kedudukan tersebut melalui perbezaan gol. Dalam perlawanan malam semalam, Sime Darby FC berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan penyerang Syria, Mahmoud Al-Amna pada babak kedua perlawanan, selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama.
Sebelum ini, Sime Darby FC berjaya menewaskan ATM dua kali berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala FA.
Walaupun hanya mengutip satu mata, pengendali berpengalaman Ismail Zakaria tetap berpuas hati dengan kesungguhan pemainnya yang berazam untuk memperbaiki kedudukan sebelum menamatkan musim.
"Sebenarnya saya harapkan 3 mata penuh dari perlawanan ini, namun melihat semula kedudukan kami dalam carta liga saya bersyukur selepas kami berjaya naik satu anak tangga," katanya.
Mengulas mengenai rekod tanpa kalah Sime Darby dengan ATM, jurulatih berusia 52 tahun itu berpendapat bahawa karekter dan semangat positif pasukannya menjadi faktor utama mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan Liga Super.
"Walaupun pasukan kami tidak mempunyai pemain-pemain bintang, namun setiap individu di Sime Darby FC mempunyai sikap melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebaik mungkin," ulas Ismail.
Musim pertama Sime Darby FC bersaing dalam Liga Super ditamatkan dengan kedudukan yang memberansangkan, ianya dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan untuk pelbagai pihak.
Namun, dengan perlaksanaan yang sesuai, skuad The Giant Killer diharap tampil lebih hebat pada musim hadapan.