Wakatsuki Reijirō
Wakatsuki Reijirō | |
|---|---|
若槻 礼次郎 | |
| Perdana Menteri Jepun | |
| Dalam jawatan 14 April 1931 – 13 December 1931 | |
| Raja | Hirohito |
| Didahului oleh | Hamaguchi Osachi |
| Digantikan oleh | Inukai Tsuyoshi |
| Dalam jawatan 30 Januari 1926 – 20 April 1927 Pemangku: 28 Januari 1926 – 30 Januari 1926 | |
| Raja | Taishō Hirohito |
| Pemangku | Hirohito |
| Didahului oleh | Katō Takaaki |
| Digantikan oleh | Tanaka Giichi |
| Menteri Jajahan | |
| Dalam jawatan 10 September 1931 – 13 Disember 1931 | |
| Perdana Menteri | Beliau |
| Didahului oleh | Shūjirō Hara |
| Digantikan oleh | Toyosuke Hata |
| Menteri Dalam Negeri | |
| Dalam jawatan 11 Jun 1924 – 3 Jun 1926 | |
| Perdana Menteri | Katō Takaaki Beliau |
| Didahului oleh | Mizuno Rentarō |
| Digantikan oleh | Hamaguchi Osachi |
| Menteri Kewangan | |
| Dalam jawatan 16 April 1914 – 10 August 1915 | |
| Perdana Menteri | Ōkuma Shigenobu |
| Didahului oleh | Takahashi Korekiyo |
| Digantikan oleh | Taketomi Tokitoshi |
| Dalam jawatan 21 Disember 1912 – 20 Februari 1913 | |
| Perdana Menteri | Katsura Tarō |
| Didahului oleh | Yamamoto Tatsuo |
| Digantikan oleh | Takahashi Korekiyo |
| Ahli Dewan Bangsawan | |
| Dalam jawatan 24 Ogos 1911 – 2 Mei 1947 Dilantik oleh Maharaja | |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | 21 Mac 1866 Matsue, Izumo, Jepun |
| Meninggal dunia | 20 November 1949 (umur 83) Itō, Shizuoka, Jepun |
| Tempat semadi | Perkuburan Somei, Tokyo |
| Parti politik | Rikken Minseitō (1927–1940) |
| Gabungan politik lain | Rikken Dōshikai (1913–1916) Kenseikai (1916–1927) |
| Pasangan | Wakatsuki Tokuko (k. 1892) |
| Tempat belajar | Universiti Imperial Tokyo |
| Tandatangan | |
Baron Wakatsuki Reijirō (若槻 禮次郎, 21 Mac 1866 – 20 November 1949) adalah seorang ahli politik Jepun yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun sebanyak dua kali, iaitu dari tahun 1926 hingga 1927, dan sekali lagi pada tahun 1931.
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Wakatsuki Reijirō, yang nama asalnya Okumura, dilahirkan pada 21 Mac 1866, di Matsue, Wilayah Izumo (kini Wilayah Shimane). Beliau merupakan anak lelaki kedua kepada Okumura Sensaburō, seorang ashigaru (samurai kelas bawahan), dan isterinya, Kura. Walaupun keluarga mereka berstatus samurai, mereka berada dalam kelas yang paling rendah dan sangat miskin, menyebabkan mereka terpaksa membuat kerja-kerja sampingan untuk menyara hidup.
Ketika Reijirō berumur tiga tahun, ibunya meninggal dunia. Bapa dan abang sulungnya pula telah diperintahkan untuk bekerja di Yamazaki, Kyoto. Oleh itu, tanggungjawab menguruskan rumah jatuh ke bahu kakaknya, Iwa, yang ketika itu baru berumur 11 tahun. Iwa menjaga Reijirō yang berusia tiga tahun sambil membuat kerja sampingan. Oleh kerana kedudukan mereka yang rendah, keluarga Okumura tidak mampu tinggal berhampiran pusat bandar. Mereka menyewa sebuah rumah di pinggir bandar, tetapi semasa Reijirō dilahirkan, bapanya baru sahaja siap membina sebuah rumah kecil di Nishitanaka.[1]
Pada zaman itu, samurai diwajibkan memakai pedang katana (biasanya dua bilah). Bagaimanapun, Reijirō hanya pergi ke sekolah dengan memakai sebilah pedang kayu di pinggangnya. Selepas tamat sekolah rendah, beliau menyambung pelajaran di sebuah sekolah sastera Cina, tetapi berhenti setahun kemudian untuk masuk ke sekolah menengah di Matsue. Malangnya, beliau terpaksa berhenti sekolah menengah selepas lapan bulan kerana keluarganya tidak mampu membayar yuran pengajian. Selepas itu, beliau menghabiskan masa dengan mengumpul kayu api di gunung dan membantu melakukan kerja-kerja rumah.[2]
Pada usia 16 tahun, beliau mula bekerja sebagai guru ganti di sebuah sekolah rendah. Pada tahun 1883, beliau cuba untuk memasuki Akademi Tentera Darat Imperial Jepun kerana yurannya ditanggung oleh kerajaan, tetapi beliau gagal dalam ujian fizikal. Menjelang setahun kemudian, beliau mendapat tahu tentang pengambilan pelajar oleh Sekolah Undang-undang di bawah Kementerian Kehakiman, yang juga menawarkan yuran pengajian percuma. Bagaimanapun, peperiksaannya diadakan di Tokyo dan kos perjalanan tidak disediakan. Beliau kemudiannya berjumpa dengan bapa saudaranya, Wakatsuki Kei, yang merupakan ketua Daerah Nogi, dan berjaya meminjam 30 yen daripadanya. Pada tahun 1884, Reijirō meninggalkan Matsue pada usia 19 tahun untuk ke Tokyo.[2]
Oleh kerana bapa saudaranya, Kei tidak mempunyai anak lelaki, Reijirō telah diambil sebagai anak angkat. Beliau kemudian menggunakan nama keluarga Wakatsuki dan berkahwin dengan anak perempuan Kei, iaitu Tokuko. Pada tahun 1892, Wakatsuki Reijirō berjaya mendaftar di Universiti Imperial Tokyo dan melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang.
Kerjaya politik
[sunting | sunting sumber]Selepas tamat pengajian, Wakatsuki bekerja di Kementerian Kewangan sebagai pengarah biro percukaian dan kemudiannya sebagai timbalan menteri. Pada tahun 1911, beliau telah dilantik untuk menganggotai Dewan Bangsawan. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Katsura Taro ke-3 dan pentadbiran Ōkuma Shigenobu ke-2 pada awal tahun 1910-an. Pada tahun 1914, beliau menjadi salah seorang ahli terkemuka dalam parti politik Rikken Dōshikai, dan parti penggantinya, Kenseikai.
Pada bulan Jun 1924, Wakatsuki telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dalam kabinet Perdana Menteri Katō Takaaki. Beliau berusaha untuk meluluskan Undang-undang Hak Mengundi Sejagat untuk Lelaki dan Undang-undang Pemeliharaan Keamanan pada tahun 1925.
Perdana Menteri Jepun
[sunting | sunting sumber]
Tempoh pertama
[sunting | sunting sumber]Pada 30 Januari 1926, selepas kematian mengejut Perdana Menteri Katō, Wakatsuki mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri Jepun. Penggal pertama beliau berakhir pada 20 April 1927 apabila beliau terpaksa meletak jawatan akibat krisis kewangan Shōwa.
Wakatsuki kekal cergas dari segi fizikal pada usia senjanya. Beliau gemar bersenam jiu-jitsu, memanah, memancing, dan belayar. Semasa satu pelayaran ketika menjadi perdana menteri bersama dua orang pengawal peribadi dan setiausahanya, sampan yang dinaiki Wakatsuki telah terlanggar sebatang kayu balak lalu terbalik. Kedua-dua pengawal peribadi itu tidak tahu berenang, jadi Wakatsuki yang ketika itu berusia 60 tahun bersama setiausahanya telah membantu mereka semua terapung sehinggalah sebuah bot lain tiba untuk menyelamatkan mereka.[3]
Pada 10 November 1928, Wakatsuki telah dianugerahkan Darjah Bunga Paulownia. Selepas berkhidmat sebagai ketua perwakilan ke Persidangan Tentera Laut London pada tahun 1930, Wakatsuki mendesak dengan kuat agar perjanjian perlucutan senjata itu disahkan dengan segera. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan pihak tentera Jepun dan pelbagai kumpulan ultranasionalis.
Tempoh kedua
[sunting | sunting sumber]Selepas Perdana Menteri Hamaguchi Osachi terpaksa meletak jawatan akibat kecederaan parah yang dialami dalam satu cubaan membunuh, Wakatsuki mengambil alih kepimpinan parti Rikken Minseitō, iaitu parti pengganti kepada Kenseikai. Pada bulan April 1931, beliau telah dianugerahkan gelaran baron (danshaku) dalam sistem golongan bangsawan kazoku. Wakatsuki sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri dari 14 April 1931 hingga 13 Disember 1931. Semasa penggal kedua beliau, beliau gagal mengawal Tentera Darat Imperial Jepun. Beliau tidak mampu menghalang Insiden Manchuria daripada berlaku, dan juga tidak dapat menyekat pihak tentera daripada terus meningkatkan pertempuran di China selepas itu.
Hujung usia
[sunting | sunting sumber]Selepas bersara sebagai Perdana Menteri, Wakatsuki menjadi presiden parti Rikken Minseitō pada Julai 1934. Walaupun pengaruh tentera semakin kuat dalam masyarakat Jepun, beliau tetap menentang Perang China-Jepun Kedua dan sangat tidak bersetuju untuk meluaskan peperangan sehingga melibatkan Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat yang lain. Malah selepas pengisytiharan Perang Dunia Kedua, beliau secara terbuka menyatakan bahawa perang perlu ditamatkan secepat mungkin. Pada Mei 1945, setelah mendengar tentang kejatuhan Jerman Nazi, beliau keluar dari persaraan untuk menasihati Perdana Menteri Kantarō Suzuki supaya memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat segera. Pada bulan Ogos, beliau menyertai panel kerajaan yang mengesyorkan penerimaan tanpa syarat Perisytiharan Potsdam.
Selepas penyerahan kalah Jepun, Wakatsuki telah dipanggil oleh Pemerintah Tertinggi Kuasa Bersekutu pada Jun 1946 sebagai saksi pendakwaan di Tribunal Ketenteraan Antarabangsa bagi Timur Jauh. Wakatsuki meninggal dunia akibat penyakit Angina pectoris di rumah percutian musim panasnya di Itō, Shizuoka pada 20 November 1949. Makam beliau terletak di Tanah Perkuburan Somei di pusat bandar Tokyo.
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Toyoda, Jō; 豊田穣 (1990). Saishō Wakatsuki Reijirō : Rondon Gunshuku Kaigi shuseki zenken. Kōdansha. m/s. 173. ISBN 4-06-204890-6. OCLC 23878566.
- ^ a b Wakatsuki, Reijiro (1950). 古風庵回顧録 : 明治、大正、昭和政界秘史 若槻礼次郎自伝. Yomiuri Shimbunsha. m/s. 18–25.
- ^ "JAPAN: Potent Premier". TIME Magazine. July 5, 1926. Dicapai pada 2023-05-19.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- Bix, Herbert P. (2000). Hirohito and the Making of Modern Japan. New York: HarperCollins. ISBN 978-0-06-019314-0; OCLC 247018161
- Brendon, Piers. The Dark Valley: A Panorama of the 1930s. Vintage; Reprint edition (2002). ISBN 0-375-70808-1
- Jansen, Marius B. (2000). The Making of Modern Japan. Cambridge: Harvard University Press. ISBN 9780674003347; OCLC 44090600
- Toland, John. The Rising Sun: The Decline and Fall of the Japanese Empire, 1936–1945. Modern Library; Reprint edition (2003). ISBN 0-8129-6858-1
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Wakatsuki Reijirō |
| Jawatan politik | ||
|---|---|---|
| Didahului oleh Katō Takaaki |
Perdana Menteri Jepun 30 Januari 1926 – 20 April 1927 |
Diikuti oleh: Tanaka Giichi |
| Didahului oleh Hamaguchi Osachi |
Perdana Menteri Jepun (pemangku) 28 Januari 1931 – 30 Januari 1931 |
Diikuti oleh: Inukai Tsuyoshi |
| Didahului oleh Mizuno Rentarō |
Menteri Dalam Negeri 11 Jun 1924 – 3 Januari 1926 |
Diikuti oleh: Hamaguchi Osachi |
| Didahului oleh Yamamoto Tatsuo |
Menteri Kewangan 21 Disember 1912 – 20 Februari 1913 |
Diikuti oleh: Takahashi Korekiyo |
| Didahului oleh Takahashi Korekiyo |
Menteri Kewangan 16 April 1914 – 10 Ogos 1915 |
Diikuti oleh: Taketomi Tomitoshi |
| Didahului oleh Shūjirō Hara |
Menteri Jajahan (pemangku) 10 September 1931 – 13 Disember 1931 |
Diikuti oleh: Toyosuke Hata |