Pergi ke kandungan

Augustine dari Hippo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Agustinus dari Hippo)
Augustine dari Hippo
Empat Doktor Gereja Barat, Saint Augustine dari Hippo (354–430), oleh Gerard Seghers
Peribadi
Kelahiran
Aurelius Augustinus Hipponensis

13 November 354
Thagaste, Numidia (kini Souk Ahras, Algeria)
Kematian28 Ogos 430
Hippo Regius, Numidia (kini Annaba, Algeria)
WarganegaraBarbar
Afrika Rom
EraZaman Patristik
Kecenderungan utamaTeologi, falsafah, dosa asal, rahmat ilahi, kehendak bebas, perang adil
Karya pentingConfessions; The City of God; On Christian Doctrine
PekerjaanAhli teologi, ahli falsafah, uskup
Jawatan kanan

Augustine dari Hippo[a] (/ɔːˈɡʌstɪn/ aw-GUST-in;[4] Latin: Aurelius Augustinus Hipponensis; 13 November 354 – 28 Ogos 430) ialah seorang ahli teologi dan ahli falsafah Kristian awal, serta uskup di Hippo Regius, yang berasal dari Thagaste di Numidia (kini Souk Ahras, Algeria).[5] Tulisan-tulisannya memberi pengaruh yang besar terhadap perkembangan falsafah Barat dan Kristian Barat, dan beliau dianggap sebagai salah seorang Bapa Gereja terpenting dalam tradisi Gereja Latin pada Zaman Patristik.[6] Antara karya-karya utamanya ialah The City of God, On Christian Doctrine dan Confessions.[5][7][8]

Pada usia mudanya, Augustine tertarik kepada Manichaeisme[9] sebelum dipengaruhi oleh Neoplatonisme.[9] Selepas memeluk Kristian dan dibaptiskan pada tahun 386 M atau 387 M,[7] beliau mengembangkan pendekatan tersendiri dalam falsafah dan teologi. Pandangannya tentang dosa asal, rahmat ilahi dan kebebasan manusia,[6] serta sumbangannya terhadap asas teori perang adil,[10] menjadi antara unsur penting dalam pembentukan doktrin Gereja Barat.

Augustine diiktiraf sebagai seorang santo dalam Gereja Katolik, Gereja Ortodoks Timur dan gereja-gereja Lutheran dan Anglikan, dan beliau turut diiktiraf sebagai "Doktor Gereja" (Doctor of the Church) dalam tradisi Katolik.[5] Beliau dianggap sebagai tokoh penting oleh reformis Protestan seperti Martin Luther dan John Calvin,[11] serta mempengaruhi ahli falsafah utama seperti Immanuel Kant dan Blaise Pascal.[8][11] Di Gereja Timur, beberapa ajarannya diperdebatkan, khususnya berkaitan konsep filioque, dosa asal dan takdir prapenentuan.[12][13] Walaupun begitu, beliau tetap dihormati sebagai seorang santo dan mempengaruhi sebahagian ahli teologi Ortodoks Timur pada zaman kemudian.[12]

Kehidupan

[sunting | sunting sumber]

Awal kehidupan dan pendidikan

[sunting | sunting sumber]
Saint Augustine Taken to School by Saint Monica [Saint Augustine Dibawa ke Sekolah oleh Saint Monica], oleh Niccolò di Pietro (1413–15).

Augustine dilahirkan pada tahun 354 Masihi di municipium Thagaste dalam wilayah Rom Numidia.[14][15][16]

Ibunya, Monica atau Monnica, ialah seorang Kristian yang taat, manakala bapanya, Patricius, ialah seorang pagan yang memeluk Kristian sebelum meninggal dunia.[17]

Umumnya, sarjana berpendapat bahawa Augustine dan keluarganya berasal daripada etnik Barbar, iaitu penduduk asli Afrika Utara.[18][19][20] Keluarganya sangat berasimilasi dengan budaya Rom dan hanya bertutur bahasa Latin di rumah sebagai lambang kedudukan sosial.[21]

Dalam karya-karyanya, Augustine mengakui beridentitikan sebagai seorang berbangsa Afrika Rom, dengan merujuk tokoh seperti Apuleius sebagai "yang paling terkenal buruk dalam kalangan kita orang Afrika",[22] menyebut Ponticianus sebagai “orang sebangsa kita”,[23] dan menggambarkan Faustus of Mileve sebagai "seorang lelaki Afrika".[24]

Nama keluarganya, Aurelius, menunjukkan bahawa nenek moyang bapanya pernah menjadi hamba yang dimerdekakan oleh keluarga Aurelia dan memperoleh kewarganegaraan Rom melalui Constitutio Antoniniana pada tahun 212.[25] Ibunya pula dipercayai berketurunan Barbar berdasarkan maklumat onomastik.[26][27]

Pada usia 11 tahun Augustine dihantar bersekolah di Madaurus (kini M'Daourouch), di mana beliau mempelajari kesusasteraan Latin serta budaya dan ritual pagan.[28]

Pengalaman awal yang membentuk pemahamannya tentang dosa berlaku apabila beliau mencuri buah pir bersama rakan-rakan. Dalam Confessions, beliau menceritakan bahawa perbuatan itu dilakukan bukan kerana lapar tetapi kerana “hal itu dilarang”.[29]

Kehidupan awal di Carthage

[sunting | sunting sumber]

Pada usia 17 tahun, dengan sokongan seorang dermawan bernama Romanianus,[30] Augustine melanjutkan pengajian dalam bidang retorik di Carthage. Di sana, beliau membaca dialog Cicero bertajuk Hortensius, yang tidak lagi wujud, yang menurutnya membangkitkan minat mendalam terhadap falsafah.[31]

Walaupun dibesarkan sebagai seorang Kristian, Augustine kemudian mengikuti ajaran Manichaeisme, sehingga menyebabkan ibunya bimbang dan berdukacita.[32]

Beliau juga menjalani kehidupan yang hedonistik dan bergaul dengan pemuda yang bermegah-megah tentang eksploitasi seksual mereka; tekanan sosial akhirnya mendorongnya mereka-reka cerita sendiri.[33]

Kehidupan peribadi

[sunting | sunting sumber]

Pada usia sekitar 19 tahun, Augustine menjalin hubungan dengan seorang wanita muda di Carthage. Hubungan itu berlangsung selama lebih 15 tahun,[34][35] dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Adeodatus,[36] yang terkenal dengan kecerdasannya.

Pada tahun 385 M, Augustine menamatkan hubungan itu untuk mengahwini seorang pewaris muda, tetapi sebelum perkahwinan berlangsung beliau memilih untuk menjalani hidup sebagai seorang Kristian sepenuhnya. Beliau akhirnya tidak berkahwin.[37]

Walaupun kepintarannya terserlah sejak muda, Augustine tidak pernah menguasai bahasa Yunani sepenuhnya kerana guru pertamanya bersikap kasar dan sering memukul para pelajar. Beliau hanya menguasai asas bahasa itu, tetapi mencapai kemahiran tinggi dalam bahasa Latin dan kemudian menjadi pengajar retorik.[38]

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Beliau juga dikenali sebagai Santo Augustine,[1] Beato Augustine,[2] dan Doktor Rahmat[3]
  1. ^ Houghton Mifflin Company (1997). The American Heritage College Dictionary (dalam bahasa Inggeris). Boston, MA: Houghton Mifflin Company. m/s. 91. ISBN 0-395-66917-0.
  2. ^ Dalam Gereja Ortodoks – OrthodoxWiki. "Augustine Hippo". OrthodoxWiki (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 17 September 2015.[pautan mati kekal]
  3. ^ Eugène Portalié. "St. Augustine of Hippo". Catholic Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). 02084a. Dicapai pada 30 Jun 2016.
  4. ^ "Augustine". Lexico UK English Dictionary (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Januari 2022.
  5. ^ a b c "Saint Augustine". Encyclopaedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Encyclopaedia Britannica, Inc. Dicapai pada 29 November 2025.
  6. ^ a b Eleonore Stump; Norman Kretzmann, penyunting (2014). The Cambridge Companion to Augustine (dalam bahasa Inggeris) (ed. 2nd). Cambridge University Press.
  7. ^ a b Aurelius Augustine (1991). Confessions. Diterjemahkan oleh Henry Chadwick. Oxford University Press.
  8. ^ a b "AUGUSTINE, SAINT". Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
  9. ^ a b Matthews, Gareth B. (2019). "Augustine". Stanford Encyclopedia of Philosophy (dalam bahasa Inggeris). Metaphysics Research Lab, Stanford University. Dicapai pada 29 November 2025.
  10. ^ Robert Dodaro (2004). Christ and the Just Society in the Thought of Augustine (dalam bahasa Inggeris). Cambridge University Press.
  11. ^ a b Karla Pollmann; Mark Vessey, penyunting (2013). The Oxford Guide to the Historical Reception of Augustine (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press.
  12. ^ a b Azkoul, Michael (1990). The Influence of Augustine of Hippo on the Orthodox Church (dalam bahasa Inggeris). Edwin Mellen Press.
  13. ^ A. Edward Siecienski (2010). The Filioque: History of a Doctrinal Controversy (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press.
  14. ^ Paul MacKendrick (1980). The North African Stones Speak (dalam bahasa Inggeris). University of North Carolina Press. m/s. 326.
  15. ^ Everett Ferguson (1998). Encyclopedia of Early Christianity (dalam bahasa Inggeris). Taylor & Francis. m/s. 776.
  16. ^ "Saint Augustine – Biography, Philosophy, & Major Works". Encyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  17. ^ Vesey, Mark (2007). Confessions: Saint Augustine (dalam bahasa Inggeris). Barnes & Noble.
  18. ^ Frost, Maurice (July 1942). "A Note on the Berber Background in the Life of Augustine". The Journal of Theological Studies. 43 (171–172): 188–189. doi:10.1093/jts/os-XLIII.171-172.188.
  19. ^ Leith, John H. (1990). From Generation to Generation: The Renewal of the Church. Westminster John Knox Press. m/s. 24. ISBN 9780664251222.
  20. ^ Catholic World, Volumes 175–176. Paulist Fathers. 1952. m/s. 376.
  21. ^ Miles Hollingworth (2013). Saint Augustine of Hippo: An Intellectual Biography (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 51. ISBN 9780199861590.
  22. ^ "Epistle 133.19". New Advent (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  23. ^ "Confessions, Book 8.6.14". New Advent (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  24. ^ "Contra Faustum 1.1". New Advent (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  25. ^ Lancel, Serge (2002). Saint Augustine (dalam bahasa Inggeris). Hymns Ancient & Modern. m/s. 5.
  26. ^ Power, Kim (1999). Family, Relatives. Wm. B. Eerdmans. m/s. 353–354. ISBN 9780802838438.
  27. ^ Brett, Michael; Fentress, Elizabeth (1997). The Berbers (dalam bahasa Inggeris). Wiley-Blackwell. m/s. 71, 293. ISBN 9780631207672.
  28. ^ Knowles, Andrew; Penkett, Pachomios (2004). Augustine and His World (dalam bahasa Inggeris). Ch. 2: Continuum.CS1 maint: location (link)
  29. ^ Augustine of Hippo (1997). Confessions (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 2:4. ISBN 9780192833723.
  30. ^ Encyclopedia Americana. 2. Grolier. 1997. m/s. 685.
  31. ^ Augustine of Hippo (1997). Confessions (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 3:4. ISBN 9780192833723.
  32. ^ Hugh Pope. "Saint Monica". Catholic Encyclopedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  33. ^ Augustine of Hippo (1997). Confessions (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 2:3. ISBN 9780192833723.
  34. ^ Ranke-Heinemann, Uta (1988). Eunuchs for the Kingdom of Heaven (dalam bahasa Inggeris). Penguin Books. ISBN 9780385265270.
  35. ^ James Boyce (14 May 2015). "Don't Blame the Devil: St Augustine and Original Sin". Utne Reader (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.
  36. ^ Augustine of Hippo (1997). Confessions (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 4:2. ISBN 9780192833723.
  37. ^ Peter Brown (2000). Augustine of Hippo: A Biography (dalam bahasa Inggeris). University of California Press. m/s. 63. ISBN 9780520227576.
  38. ^ James J. O'Donnell. "Augustine the African". Georgetown University (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 30 November 2025.