SEJARAH MIGRASI DUSUN DI SABAH
|
|
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Pailis Atin, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau
Kaum Dusun merupakan kaum yang majoritinya mendiami kawasan pedalaman di Sabah seperti Kiulu, Tamparuli, Ranau, Telupid, Keningau, Tambunan, Kota Belud, Kudat dan Kota Merudu pada hari ini sebenarnya telah melakukan beberapa migrasi sebelum menetap di kawasan-kawasan yang disebutkan. Dipercayai penempatan terawal komuniti ini adalah di Gua Niah sebelum bermigrasi ke kawasan pesisir pantai di sekitar Miri, Baram, Belait dan Tutong, Borneo. Selepas itu komuniti ini kemudiannya bermigrasi di sepanjang pantai.
Sejarah migrasi Dusun di Pulau Borneo melalui beberapa fasa. Fasa pertama dipercayai bermula sebelum masihi ( s.m ). Pada masa itu, berlaku migrasi daripada penduduk ras mongolid di serata tempat dan membuat penempatan di Benua Sunda termasuk kawasan Borneo. Dipercayai salah satu kumpulan manusia yang bermigrasi ini adalah luluhur kominiti Dusun.
Selepas tahun masihi, komuniti ini berpindah daripada penempatan seperti di gua ke kawasan pesisir pantai di sepanjang pantai Borneo. Walaupun majoritinya bermigrasi ke kawasan pantai, tetapi dipercayai juga sebilangan kecil bermigrasi ke kawasan lain termasuk pedalaman Kalimantan, Sarawak dan Brunei.
Setelah mendirikan penempatan di pesisir pantai, sekali lagi komuniti ini bermigrasi ke utara Borneo. Sebilangan kecil bermigrasi sehingga ke kepulauan Filipina. Migrasi kedua ini disebabkan kekacauan dan ketidakharmonian di penempatan mereka di pesisir pantai. Migrasi kedua ini juga mewujudkan beberapa penempatan baharu di Borneo Utara, Sabah. Tetapi penempatan terbesar komuniti Dusun adalah di Nunuk Ragang, satu penempatan berhampiran sempadan Ranau dan Telupid pada hari ini. Bagaimanapun, penempatan ini tidak kekal lama dan runtuh pada pertengahan awal abad ke-18. Dipercayai faktor utama keruntuhan adalah kepadatan penduduk sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.
Selain sejarah migrasi komuniti Dusun, perkara penting yang harus diambil kira untuk melihat perkembangan migrasi adalah pengaruh kuasa besar luar ke atas komuniti Dusun. Selain pengaruh empayar Brunei, kebudayaan China yang dibawah oleh pedagang - pedagang China juga banyak mempengaruhi komuniti Dusun. Ini khususnya peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang yang menjelajah sehingga ke kawasan pedalaman Sabah untuk mencari sumber seperti hasil hutan untuk dibawa dan didagangkan di Tanah Besar China.
Sejarah migrasi Dusun di Sabah sedikit sebanyak menjelaskan bentuk budaya dan pemikiran komuniti Dusun di Sabah. Dalam erti kata yang lain, budaya yang dapat dilihat dalam komuniti ini adalah keinginan mereka untuk hidup harmoni tanpa peperangan. Punca utama migrasi fasa pertama, fasa kedua dan fasa ketiga adalah keluar daripada ketidakharmonian di penempatan yang diduduki dan mencari penempatan baharu yang lebih aman. Bagaimanapun, migrasi fasa ketiga telah menyebabkan komuniti Dusun hidup dalam budaya berpuak-puak. Kehidupan berpuak-puak telah memberi mereka gambaran yang tidak baik apabila amalan pemburuan kepala menjadi keutamaan dalam hubungan antara satu puak dengan yang lain.
Kedatangan British dan pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara ( SBBU ) telah menyatukan semula puak-puak Dusun dalam satu kaum dibawah nama “ Dusun ”. Bagaimanapun sifat berpuak-puak ini masih dibawa sehingga hari ini apabila beberapa komuniti dalam kumpulan ini tidak mahu dinamakan dalam rumpun Dusunik sehingga mewujudkan istilah baharu untuk menggantikan Dusun. Namun begitu, sentimen tersebut tidak menggambarkan keseluruhan komuniti itu pada hari ini. Sebahagian besarnya sudah mengambil pengajaran daripada sejarah lampau dan kembali menjadi komuniti yang cintakan keharmonian.
Buku ini adalah koleksi buku rujukan yang terdapat di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Ranau. Jika berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Sejarah Migrasi Dusun Di Sabah, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi di talian 088-231623, 214828, atau 256192 ( Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah ) untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.
English
Malay
