19 Dec 2025

Yahya Samah: “Unsur Seks dalam Sastera Melayu Bukanlah Baharu” – Bahagian 2

(Sambungan daripada Bahagian Satu) Fragmen novel Dahaga (1966) dengan tajuk “Malia” disiarkan di Berita Harian (29 Disember 1963). Kisah tentang Malia dan kekasihnya, Kamal yang mati pucuk—“Kamal bukan lelaki tulen.”

Seperti biasa, Yahya Samah menggambarkan realiti keruntuhan moral orang Melayu. Misalnya, Malia menggambarkan kisah bersosial kakak (Emah) dan abang ipar (Baba) seperti ini:

“Keluarga kami, Abang Baba dan Kakak I tak pernah cemburu mencemburui. Tak pernah,” Milah meneruskan.

“Mana you tau mereka tak cemburu?”

I tau. I selalu pergi mengikut mereka menghadiri majlis tari-menari. Dalam majlis itu, kakak I boleh menari dengan siapa-siapa saja yang kakak I suka. Abang ipar I pun begitu juga, dia boleh menari dengan semua perempuan.”

Dalam cerpen ini juga, watak Malia mengimbau pengalaman bercuti berdua-duaan dengan abang iparnya (Baba) di Port Dickson serta mereka tidur sebilik di hotel; kerana “Berehat di bawah-bawah pokok tentulah kurang sesuai, kurang manis dipandang orang”. Ada tanda-tanda mereka menjalin hubungan seks di hotel.

Malah, di akhir cerpen, Malia pergi ke rumah Baba untuk menemankannya kerana isteri (Emah) balik kampung. Pertanyaan Awim (rakan) kepada Malia (“You tak takut ustaz?”) dan kata-kata Awin kepada Kamal (“Mereka [Malia dan Baba] tinggal berdua saja di rumah besar itu. Hai, semuanya boleh berlaku. Tapi sayangnya tak ada ustaz yang berani ke sana. Baba orang besar.”) menggambarkan budaya zina dan khalwat dalam kalangan orang Melayu, tetapi pihak berkuasa (jabatan agama dan “ustaz”) tidak berani mengambil tindakan ke atas “orang besar”.

Lebih menarik apabila Dali yang mengulas cerpen itu di Berita Harian (5 Januari 1964) memberi pujian melambung kepada Yahya Samah. Dia menyarankan penulis-penulis muda menjadikan “Malia” sebagai panduan apabila menghasilkan karya. Tidak hairanlah Yahya Samah teruja dan bersemangat meneruskan penulisan cerpen dan novel Melayu yang memaparkan unsur seks dan erotik dengan “gaya bahasa puitik”.

Yahya Samah mengaku menulis novel Dahaga (1966) untuk memberi keseronokan kepada rakan-rakan seperti Malungun, Amir Hamzah, Yahya Ismail, A. Samad Ismail, dan A. Samad Said dengan alasan, “Kalau mereka terhibur dengan kisah-kisah itu, saya juga turut terhibur.” Pengakuan ini dilaporkan oleh A. Wahab Ali (Berita Harian, 24 April 1966) dan Yahya Ismail (Berita Harian, 26 Jun 1966).

Antara novel Yahya Samah yang disifatkan “panas dan mendebarkan” serta “dianggap lucah” ialah Kelkatu (1976), Sofia (1967), Pecah Berderai (1967), dan Anak Muda Karam di Pantai (1968). Pada tahun 1983, Penerbitan Pena Sdn Bhd menerbitkan semula keempat-empatnya dengan menjanjikan “kisah yang lebih panas”. Untuk rekod, novel Sofia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Disember 1984.

Fragmen novel Sofia disiarkan dengan tajuk “Perahu Sudah di Ayer” (Berita Harian, 2 April 1967). Kisah berlaku di bilik sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Pasangan kekasih, Kamil dan Sofia, mengadakan hubungan seks beberapa kali kerana pada keesokan hari, Kamil perlu pulang ke Kuala Lumpur.

Sewaktu mengulas fragmen novel itu, Dali mengatakan ia “menggambarkan betapa rapuh dan lemahnya iman anak-anak muda (Melayu) di zaman kita ini, dalam melanggar larangan Allah, berzina di bilik-bilik hotel tanpa malu silu lagi” (Berita Harian, 9 April 1967).

Selepas Sofia terbit dalam bentuk novel, Yahaya Ismail menyimpulkan: “Sofia hanya dapat memuaskan perasaan kejantinaan [kelamin] sahaja – perasaan secara halus dan sopan. Kesemua karya-karya Yahya Samah hanya diberi [memberi?] keseronokan dari perasaan kejantinaan [seks] itulah. Tidak lebih dari itu. Kalau adapun unsur-unsur lain yang ingin ia mengemukakan, persoalan-persoalan itu menjadi kecil dan ditimbuni oleh unsur perasaan yang berpusat pada seks saja” (Berita Harian, 21 Mei 1967).

Novel Pecah Berderai (1967) meneruskan tradisi menggunakan seks untuk memancing pembaca dan melariskan jualan. Secara mudah, kisahnya tentang seorang lelaki yang tergamak melacurkan isteri demi jawatan dan pangkat. Sekali lagi, Yahaya Samah cuba menggambarkan realiti hidup orang Melayu serta cuba menyedarkan mereka tentang kesalahan yang dilakukan.

Watak Lamid seorang pegawai rendah yang bercita-cita tinggi. Dia membenarkan orang atasan meniduri isterinya, Sarah Dewi dan si isteri yang memiliki “tubuh berbentuk kemas” bersetuju mempergunakan aset itu untuk memenuhi permintaan si suami.

Lamid dan Sarah Dewi mahu mengatur jamuan di rumah serta mengundang B. Bandy (pegawai Eropah) dalam usaha mencapai impian jahat yang haram di sisi agama Islam dan budaya Melayu.

Oleh kerana rumah mereka kecil dan tiada ruang bagi majlis tari-menari, Sarah Dewi menjadi gudik kepada Tengku Lah, anak muda kacak dan berjawatan tinggi. Maka, dapatlah Lamid dan Sarah Dewi meminjam rumah mewahnya untuk megatur jamuan khas bagi B. Bandy. Malah, Tengku Lah memberi wang untuk menampung kos jamuan dan majlis tari-menari.

Sarah Dewi mendapat kerja sebagai setiausaha kepada B. Bandy dan menemani bosnya ke Port Dickson atas “urusan kerja”. Lamid dan Sarah Dewi berpindah ke rumah Tengku Lah, lalu memudahkan pasangan kekasih itu (Tengku Lah dan Sarah Dewi) meneruskan zina sehingga wanita itu hamil.

Bagi Yahya Samah, unsur seks adalah alat untuk hiburan dan keseronokan, lalu disajikan dalam novel. Pengkaji Sastera Melayu akan berhujah kononnya novel Pecah Berderai (1967) membawa muatan moral dan pengajaran penting kepada kaum Melayu. Namun begitu, sebagaimana ditegaskan juga oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, “niat tidak menghalalkan cara”. Eh! Saya pula macam berdakwah!

Dalam latihan ilmiah sarjana muda bertajuk “Novel-novel Erotik Melayu di Sekitar Tahun-tahun 1960-1970-an” (1979) di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Supardy Muradi turut membicarakan karya Yahya Samah.

Kecenderungan dan minat berlebihan Yahya Samah menulis cerpen dan novel berunsur seks, erotik, dan maksiat juga didokumentasi dalam buku Wajah: Biografi Penulis (2005).

Cerpen “Linda di Tengah Gelanggang” (Berita Harian, 3 April 1966) ialah fragmen novel Dahaga (1966) dan kemudian dimasukkan dalam koleksi Malia (1966). Yahya Samah memang banyak menyiarkan fragmen novelnya sebagai cerpen; mungkin promosi dan publisiti bagi novel yang bakal terbit.

Lazimnya dalam karya-karya Yahya Samah, wanita menjadi mangsa manakala lelaki menjadi pemangsa—dan tentu sahaja nafsu dan seks menjadi bahan utama. Contohnya, dalam Layang-layang Putus Tali (1964), Penghulu Kampung Ulu Kelang bernama Datuk (Haji) Empat Ujang cuba “memiliki” Sharifah Aini (isteri Kamal).

Datuk Penghulu Bahauddin pula muncul dalam Perahu Kecil Berlayar Malam (1967) untuk mengoda janda muda beranak satu bernama Ayu Rukiah. Dalam Patah Dayung (1968), Datuk Empat Rapi memperdaya dan “menjamah” Sulimah, anak kepada Dali.

Watak Datuk Penghulu Mustapa dalam Bertiup Angin Beralihlah Awan (1977) menjalin hubungan dengan seorang wanita Cina sehingga lahir anak perempuan (Joo Joo) yang ada raut wajah Melayu.

Terdahulu, dalam Air Yang Diminum (1974), pegawai tinggi kerajaan bernama Badrul telibat dalam sumbang mahram dengan adik iparnya, Anilah. Agak menarik, watak-watak dengan nama sama muncul dalam novel Dahaga (1966).

Tidak salah untuk menyimpulkan, Yahya Samah menggunakan satu set watak dan jalan cerita untuk dipintal berulang kali untuk membolehkan peristiwa berbaur seks, lucah, pornografi, dan erotik dijalin menjadi cerpen atau novel demi memenuhi selera peminat yang terdiri daripada pembaca Melayu.

Pada April 1968, Persatuan Penulis-penulis Kelantan menganjurkan program ceramah sastera di Kota Bharu. Menurut laporan Abdullah Muhammad (Berita Harian, 5 Mei 1968), seorang hadirin menggesa supaya Yahya Samah dijatuhkan hukuman kerana menulis karya berunsur seks.

“Unsur seks dalam Sastera Melayu bukanlah baharu,” kata Yahya Samah pada program itu untuk mempertahankan tindakannya. “Pengarang-pengarang kesusasteraan klasik Melayu pun menyalurkan unsur seks dalam hasil-hasil mereka.”

Maka, tidak hairanlah pengarang Melayu pada hari ini juga mendapat motivasi dan amat gemar meneruskan budaya yang dirintis Ahmad Lutfi pada 1940-an dan dipelopori Yahya Samah sejak 1960-an. Semoga para Sasterawan Kavyan yang menghasilkan karya Sastera Kebangsaan menjadikan budaya ini sebagai sempadan dan pengajaran berguna.

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Esei ini ditulis pada 16-17 Disember 2025 dalam usaha mendidik penulis kaum India.)

17 Dec 2025

Yahya Samah: “Unsur Seks dalam Sastera Melayu Bukanlah Baharu” – Bahagian 1

Cerpen “Tembelang” karya Yahya Samah di akhbar Berita Harian (26 Jun 1966) berkisar tentang seorang isteri yang rasa terabai akibat sikap suami gemar berjudi.

Pengkaji Sastera Melayu mungkin masih cuba mengangkat cerpen itu sebagai sebuah karya yang berusaha mendidik pembaca Melayu agar menjauhi judi yang haram dalam ajaran Islam.

Namun, sekiranya kita membaca keseluruhan cerpen berkenaan, maka akan nampak unsur sebenar yang digunakan Yahya Samah untuk memancing pembaca. Lihat beberapa petikan di bawah:

Bita bangun dan duduk. Baju ketat tangan pendek warna merah muda yang dipakainya itu dibukanya. Ia pergi semula ke muka cermin. Ia merenung semula muka dan dadanya berulang-ulang.

Bita membuka anak bajunya pula sekarang. Dia berkemban sahaja dengan kain batik sarung warna merah tua itu.

Dia memerlukan Mat Lajis malam ini. Malam ini sahaja pun jadilah. Untuk itu – untuk menjayakan hasratnya – Bita sanggup melakukan apa sahaja. Bita sanggup bertindak sebagai suami jika Mat Lajis tidak berdaya jadi seorang lelaki malam ini.

“Bita lapar, bang,” kata Bita. “Marilah kita makan.” Ia mula merapatkan badannya ke badan Mat Lajis. Dadanya melenggang-lenggang. Dada Mat Lajis turut melenggang.

“Abang dah lama tak pulang siang begini. Takkan abang tak tahu,” ujar Bita dengan hati sedikit cemas. “Marilah bang. Marilah.” Ia berpaling ke tempat tidur.

Mat Lajis menggetap bibir. Kekuatan tenaganya menjadi berlipat ganda dengan serta merta. Badan gempal itu diangkatnya dan dibawanya ke kanan [katil?]. Bita mula membukakan simpul tuala mandi yang dipakai oleh Mat Lajis ketika itu. Mat Lajis diam sahaja. 

Ahmad Lutfi merupakan pengarang Melayu yang mempelopori penulisan novel pornografi dalam bahasa Melayu pada tahun 1948—baca mengenainya [di sini]. Taktik memasukkan unsur seks, erotik, lucah, dan pornografi sebagai pelaris kepada karya yang konon bertujuan “mendidik pembaca Melayu dan menyebarkan dakwah Islam” diteruskan pula oleh Yahya Samah atau nama sebenarnya Yahya bin Abu Samah, seorang “elit Melayu” lulusan Sultan Idris Training College (SITC) dan Language Institute (Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai).

Novelnya seperti Dahaga (1966), Tembelang (1966), Pecah Berderai (1967), Perahu Kecil Berlayar Malam (1967), dan Patah Dayung (1968) membuktikan minat serta kemampuan Yahya Samah mengangkat hal-hal seks dan hubungan seksual dalam karya.

Pada penelitian A. Ghani Nasir dan Sa’adon Ismail, Yahya Samah “disanjung sebagai pengarang yang berjaya mengolah tema seks dalam satu cara yang baik dan sesuai hingga rangkap-rangkap yang mengisahkan babak-babak seks dapat dipersembahkan dalm satu cara yang tidak ‘seks’” (Berita Harian, 28 Januari 1973).

Berikut petikan daripada halaman 209 dan 210 novel Dahaga (1966) yang pernah dipertahankan oleh sejumlah pengkaji Sastera Melayu sebagai “karya seks yang murni”:

“Perahu ini kecil sangat,” kata abang iparnya pada satu ketika. Mukanya direnung tepat-tepat. Badannya yang tengah naik – tidak berbaju dan tidak berkain itu – dipeluk kuat-kuat.

Dia menggigit bibirnya melihat abang iparnya sedang berkayuh bersungguh-sungguh. Kadang-kadang matanya terpejam. Tetapi bibirnya selalu terbuka.

“Sudahlah kecil, baharu pula.”

“Janganlah kencang sangat mendayung,” pintanya dengan suara lemah. “Ani tak tahan. Perahu ini kecil. Baru pula. Lambat-lambat sedikit. Tak usahlah nak sampai cepat sangat,” ia meneruskan. 

Petikan halaman 198 dan 199 novel sama:

Anilah meronta-ronta sedikit. Badrol memegang semakin kuat. Lama-lama tidak ada perlawanannya lagi. Anilah sudah tidak bergerak-gerak. Dia mengikut saja. Anilah merebahkan badan perlahan-lahan.

Di luar – jauh di kaki langit – terdengar guruh mendayu-dayu. Di dada laut, kelihatan beberapa buah perahu sayup-sayup dilambung ombak. Tiba-tiba petir berdentum kuat di rantau itu. Sepucuk seludang kelapa jatuh terbenam ke dalam sebuah telaga yang baharu.


Gaya bahasa puitis untuk menggambarkan aksi seks atau persetubuhan haram seperti di atas juga digunakan Yahya Samah dalam cerpen “Tembelang” membabitkan aksi Mat Lajis dan Bita (suami isteri) di katil.

Kini, dada laut berwarna hijau tua itu sudah tidak tenang lagi. Kolek yang berlayar di atasnya terlambung-lambung dilenggang ombak. Mat Lajis – sekali pun sudah lama tidak berkolek – lambat juga mabuknya. Bita yang lemas dahulu.

Sambutan hangat pembaca Melayu terhadap cerpen “Tembelang” (Berita Harian, 26 Jun 1966) memberi semangat dan motivasi kepada Yahya Samah untuk segera mengembangkannya menjadi novel dengan judul Tembelang (1966).

Novel berkenaan dikategori oleh Ismail Ahmad (Ajikik) sebagai “seks jual buku” iaitu “cerita dalam mana peristiwa hubungan seks lelaki dan perempuan, dan kejadian dan paksaan dan percubaan untuk melakukan hubungan kelamin di luar nikah ini sahaja, dan selain dari itu tidak ada apa-apa” (Berita Harian, 28 Ogos 1966).

Dali yang mengulas cerpen “Tembelang” menyedari persamaan antara Ahmad Lutfi dan Yahya Samah kerana kedua-duanya suka menulis karya yang tepu unsur seks, lucah, erotik, atau pornografi.

“Saya dapati kecenderungan Yahya Samah berpusar di sekitar wanita dan lelaki yang serong hidupnya. Keserongan mereka, agak menarik, sentiasa di sekitar jantina [seks] sahaja. Segala problem [masalah] yang berlaku, pada Yahya Samah nampaknya lebih berakar pada problem seks mereka. Baik lelaki yang penjudi, baik wanita yang berpendidikan, baik lelaki yang berjawatan tinggi, semuanya mempunyai problem yang sama—seks,” ulas Dali (Berita Harian, 3 Julai 1966).

Yahya Samah dikatakan mengambil inspirasi daripada isu sebenar dalam masyarakat Melayu di Selangor (termasuk Kuala Lumpur sebelum ia menjadi wilayah persekutuan pada 1 Februari 1974) tetapi dimanipulasi “semata-mata untuk menimbulkan kejadian-kejadian hubungan jantina [seks] dan menimbulkan percubaan-percubaanatau gara menaikkan nafsu dan dia [penulis] memaksakan watak-watak melakukan itu”.

Apabila kisah dalam novel Tembelang (1966) diteliti, ternyata ada kaitan rapat dengan cerpen “Tembelang” (Berita Harian, 26 Jun 1966) yang turut diperkatakan tadi. Kalau cerpen berkisar tentang Mat Lajis dan Bita, versi novel pula mengangkat kisah Mat Lajis dan Semiah.

Yahya Samah seolah-olah sengaja meletakkan watak Semiah dalam kedudukan yang membolehkan dia berlaku curang dan berzina; ditambah dengan tabiat Mat Lajis yang asyik berjudi dan tidak memberi nafkhah batin kepada isteri.

Pekerjaan Mat Lajis tidak dinyatakan tetapi pasangan suami isteri itu dikatakan menghadapi kesempitan wang. Semiah bekerja sebagai “pengasuh rumah” kepada lelaki bujang dan kaya bernama Raja Jalal. Tidak perlulah kisah perzinaan penuh nafsu mereka berdua diperincikan di sini.

Kemudian, atas bimbingan rakan bernama Siti Donah, Semiah “menjual diri” kepada Ah Meng yang menjalankan “perniagaan” tidak bermoral. Maka, semakin banyaklah ruang untuk Yahya Samah menggambarkan adegan hubungan seks dengan gaya bahasa puitik.

Memandangkan novel itu menggambarkan realiti hidup masyarakat Melayu, maka ada pula watak Haji Sapuan yang membawa Semiah berjalan-jalan dan singgah di hotel dalam usaha mahu memiliki tubuhnya. Kemudian, lelaki itu cuba merogol anak gadis Semiah.

Yahya Samah yang lahir di Ulu Kelang pada 6 Mac 1932 turut menghasilkan kumpulan cerpen berjudul Malia (1966). Sekiranya diteliti, cerpen “Linda di Tengah Gelanggang” dan “Malia” merupakan petikan (fragmen) daripada novel Dahaga. Watak Chong Mew Ling menjadi Linda, manakala Anilah menjadi Malia.

Cerpen “Hitam-hitam Pun” dalam buku ini pernah tersiar di Mastika (Februari 1960) manakala cerpen “Tayar Tak Berangin” tersiar di Berita Harian (11 Julai 1965). Cerpen “Layang-layang Putus Tali” pula petikan (fragmen) daripada manuskrip “Bukan Salah Ibu Mengandung” yang menang hadiah penghargaan Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1958) dan diterbitkan dengan judul Layang-layang Putus Tali (1964). – Bersambung di Bahagian Dua

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Esei ini ditulis pada 16-17 Disember 2025 dalam usaha mendidik penulis kaum India.)

15 Dec 2025

Ahmad Lutfi, Pelopor “Karya Cabul” dalam Sastera Melayu

Pengkaji Sastera Melayu pada hari ini gemar mengangkat Ahmad Lutfi (1911-1969) sebagai tokoh penerbit, sasterawan, dan wartawan yang mengangkat tema masyarakat Melayu dan Islam dengan penuh tanggungjawab dalam penulisan dan persuratan.

Apabila kematiannya diumumkan di akhbar Berita Harian (21 Oktober 1969), disebut bahawa dia banyak menghasilkan novel yang “menitikberatkan soal-soal pengetahuan, bahasa, sastera, dan sejarah Islam”. Dia juga sering diangkat sebagai tokoh yang menerbitkan majalah Islamik yang berpengaruh iaitu Qalam (1950-1970).

Malah, biografi berjudul Ahmad Lutfi: Penulis, Penerbit dan Pendakwah (2002) oleh A. Talib Samat serta kumpulan esei kajian berjudul Ahmad Lutfi: Pembangkit Semangat Zaman (2019) menyajikan persona Ahmad Lutfi sebagai penulis, penerbit, dan pendakwah Islam yang penting dalam sejarah perkembangan Sastera Melayu.

Nama sebenarnya ialah Syed Abdullah bin Syed Hamid al-Edrus dan lahir di Kalimantan, Indonesia. Beliau berketurunan Arab. Maknanya, mengikut ketetapan Abdul Rahim Kajai dan Ishak Haji Muhammad, individu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK) tidak boleh diiktiraf sebagai orang Melayu.

Peminat, pembaca, dan penulis karya Sastera Kebangsaan daripada kalangan kaum India mungkin tidak pernah membaca karya-karya Ahmad Lutfi. Perkara ini tidaklah menghairankan kerana karyanya bukan sahaja tepu unsur Melayu-Islam, malah ditulis menggunakan tulisan Jawi.

Untuk rekod, sejak diasaskan pada Ogos 1950, Angkatan Sasterawan 1950 (ASAS 50) yang diterajui Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Masuri Salikun (Masuri S.N.), Muhammad Yusof Yaacob (Jim), Usman Awang, A. Samad Ismail, dan Asraf Abdul Wahab mahukan tulisan Rumi digunakan bagi bahasa Melayu (Suvarna Bhumi, 2022). Pada 14 Disember 1959, Dewan Rakyat menetapkan tulisan Rumi sebagai tulisan utama bagi bahasa kebangsaan (Berita Harian, 15 Disember 1959).

Karya awal Ahmad Lutfi seperti Malayan Union (1946) dan Sabil Palestine (1948) kurang menarik minat pembaca Melayu. Kemudian, dia menukar taktik selaras selera pembaca, lalu menerbitkan novelet (sekitar 100 halaman) yang secara terang-terangan berunsur picisan dan pornografi.

Novel-novel itu kononnya memperkatakan masalah dihadapi kaum Melayu di Singapura selepas Perang Dunia Kedua. Antara topik kegemaran Ahmad Lutfi ialah wanita muda yang menjadi pelayan dan penari di kelab malam, isteri yang tidak setia, ustaz dan guru agama Islam yang curang, serta pemuda dan pemudi Melayu-Islam yang mengamalkan pergaulan bebas.

Menurut Dr. Li Chuan Siu dari Universiti Sydney, dalam setiap novel Ahmad Lutfi, pasti diselitkan unsur seks secara yang mengghairahkan dan kemudian disertakan pula unsur nasihat berlandaskan ajaran Islam (Berita Harian, 25 Mac 1973). Sasterawan Negara Datuk S. Othman Kelantan menyifatkan novel-novel Ahmad Lutfi sebagai “panas dan merangsangkan” serta latar tempat yang digunakan dalam cerita “boleh menimbulkan rangsangan seks tanpa batasan” (Sari 5, Julai 1987).

Novel Melayu bertulisan Jawi seperti Pelayan (1948), Bilik 69 (1949), Terkorban di Bilik 69 (1949), Janda (1949), Subuh di Tepi Laut (1949), Geylang Serai Karam (1949), Empat Kali Haram (1949), Cukria (1949), I Love You (1950), Tuan Kadi (1950), Anak Kiai (1950), dan Bilik 69 di Bandung (1950) menjadi bukti kepada trend ini.

Novel-novel picisan itu mendapat sambutan hangat sehingga Ahmad Lutfi yang ada 25 anak daripada tiga isteri berjaya menulis 25 buah novel dari 1948 hingga 1951. Malah, A. Ghani Nasir dan Sa’adon Ismail menyifatkan Ahmad Lutfi sebagai pelopor novel lucah dalam Sastera Melayu (Berita Harian, 28 Januari 1973).

Ahmad Lutfi sendiri mengaku dalam buku Persuratan Melayu (1962) bahawa dalam tempoh 1948-1951, demi mendapatkan sambutan hangat pembaca dan “mahu hidup”, penulis terpaksa menghasilkan karya yang “boleh menggemarkan mereka (pembaca)”.

Novel Pelayan (1948) menampilkan pasangan suami isteri, Abdul Aziz dan Rahmah. Dalam pergaduhan pada suatu pagi, Rahmah menghina Abdul Aziz dengan kata-kata makian di depan orang ramai serta menuntut cerai. Selepas diceraikan dengan talak tiga, Rahmah diajak oleh rakannya, Khatijah, menjadi pelayan di Happy World. Rahman bertemu Ali, lalu bermula hidup penuh noda dan tipu muslihat—tidak perlu dihurai lanjut di sini.

Untuk rekod, Happy World ialah pusat hiburan sebenar yang dibuka pada 7 Mei 1936 dan menyajikan pilihan kabaret, ronggeng, bangsawan, sarkas, dan seumpamanya kepada pengunjung. Pada awal 1964, nama Happy World ditukar kepada Gay World (The Straits Times, 4 Februari 1964 dan 25 Julai 1973).

Novel Janda (1949) dikutuk Mufti Johor sebagai sebuah karya picisan yang haram untuk ditulis, haram untuk dibeli, haram untuk dibaca, dan haram untuk digunakan (Utusan Melayu, 5 September 1949). Namun, sebagaimana diakui Sulaiman Jeem: “Bila saja bukunya diharamkan oleh sesuatu pihak tertentu, buku itu sendiri makin dicari untuk dibeli secara haram pula” (Berita Harian, 9 Oktober 1977).

Mohd. Rasdan Ahmad melihat novel picisan pada masa kini sebagai “fenomena yang mencetuskan krisis intelektual yang sangat menakutkan terutamanya kepada remaja Melayu” (Kosmo!, 12 Februari 2021). Mungkin dia tidak berkesempatan membaca novel-novel Melayu bertulisan Jawi yang dihasilkan Ahmad Lutfi mulai 1948.

“Zaman sebelum merdeka adalah zaman jahiliah bagi kesusasteraan kebangsaan. Ia disebabkan kebanyakan novel yang terbit dalam tempoh itu mengangkat kisah cinta asyik masyuk dan rumah tangga yang berantakan,” kata Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Kamariah Kamarudin (Berita Harian, 14 November 2022) sewaktu memperkatakan isu lambakan novel Melayu berunsur lucah dan erotik dalam pasaran.

Bagi Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Ahmad Lutfi sebenarnya “pengarang lantang dalam karya, tetapi tudak difahami umum” (Berita Harian, 2 Mei 2019). Katanya, novel Cukria (1949) dan Geylang Serai Karam (1949) kelihatan seperti karya erotik jika dibaca pada lapis pertama, tetapi sebenarnya adalah lontaran kritikan terhadap realiti kehidupan orang Melayu pada zaman itu.

Pada Mac 2018, Perpustakaan Negara Singapura (NLB) memulakan usaha transliterasi teks tulisan Jawi kepada Rumi. Novel Geylang Serai Karam (1949) menjadi pilihan untuk memulakan projek itu memandangkan Ahmad Lutfi seorang pengarang prolifik Singapura dan ramai orang dikatakan mahu membaca karyanya.

Novel itu dianggap memberi ulasan dan gambaran sangat tepat tentang situasi di kawasan Geylang Serai pada masa itu. Ahmad Lutfi mahu menyedarkan pembaca perihal budaya tarian Melayu yang semakin pudar, diganti minat anak-anak muda terhadap joget moden.

Sejak kecil, saya banyak membaca karya Bahasa Malaysia dan Inggeris. Maka, saya sudah amat memahami kandungan karya “oleh penulis Melayu, tentang orang Melayu, untuk pembaca Melayu”. Itulah antara sebab saya tidak terkejut membaca pelbagai berita kononnya ramai penulis Melayu “masa kini” gemar menulis karya picisan, lucah, erotik, atau cabul.

Saya juga sentiasa menasihati Sasterawan Kavyan supaya membaca karya penulis Melayu (“Sastera Melayu”). Saya mahu penulis kaum India tahu apakah tema, isi, dan cerita yang digemari penulis Melayu sejak dahulu.

Sekurang-kurangnya boleh dijadikan panduan dan sempadan agar karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan membantu memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan—bukan mencemarkannya dengan “karya cabul” yang sudah pun banyak dihasilkan sejak zaman kegemilangan Ahmad Lutfi, dan diteruskan pula oleh Yahya Samah.

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Esei ini ditulis pada 13-15 Disember 2025 dalam usaha mendidik penulis kaum India.)

7 Dec 2025

Bagaimana Jika Umat Bukan Islam “Kantoi” Berkhalwat Dengan Orang Islam? – Bahagian 2

Sambungan daripada [Bahagian Satu] Dalam laporan muka depan The Straits Times (13 November 1962), Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu membidas tindakan polis dan pegawai agama Islam atas penahanan K. Bharatan. Untuk rekod, lebih 200 polis dan pegawai agama dilaporkan melakukan serbuan di 24 buah hotel dalam operasi membanteras khalwat, tetapi hanya Bharatan dan seorang wanita bisu, Fatimah binti Daud (30) ditangkap.

Walaupun Bharatan sudah mengaku salah di Mahkamah Majistret, Hakim Mahkamah Tinggi membatalkan hukuman dan denda terhadapnya serta menyifatkan tuduhan ke atas Bharatan sebagai “buruk, tidak ada erti dan tidak betul”. Malah, kata hakim, “Tuduhan itu menyentuh kebebasan peribadi rakyat sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Namun begitu, seruan supaya umat Bukan Islam turut dihukum dalam kes khalwat terus bergema. Misalnya, pada Disember 1962, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Mohamed Asri (PAS) memberitahu Dewan Rakyat bahawa perlu ada undang-undang peringkat kebangsaan (persekutuan) untuk menghukum orang Islam dan Bukan Islam yang ditangkap berkhalwat.

Terdahulu, pada September 1962, wakil rakyat Kodiang, Mustafa bin Ahmad (Perikatan) mengusulkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah bahawa demi berlaku adil kepada orang Islam, maka umat Bukan Islam yang berkhalwat juga perlu dihukum.

Wakil Perikatan, Abdullah bin Akil dari Jerantut mengusulkan perkara hampir sama pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang pada Februari 1965. Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri, Sheikh Abdul Rahman Abu Bakar tampil mengingatkan, undang-undang Islam di setiap negeri hanya terpakai bagi orang Islam.

Ternyata usaha menindas umat Bukan Islam tetap berlaku secara terang-terangan dari semasa ke semasa. Misalnya, pada September 1969, Majlis Agama Islam Negeri Johor meluluskan rang undang-undang yang membolehkan Mahkamah Syariah mendakwa individu Bukan Islam jika berkhalwat dengan orang Islam.

Mujurlah Peguam Negara, Abdul Kadir Yusof segera menyelar langkah itu yang secara terang-terangan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Malah, menurut Perlembagaan Persekutuan, semua undang-undang Islam yang dibuat oleh setiap negeri hanya terpakai bagi orang Islam.

Namun begitu, pada November 1977, Abdul Kadir Yusof selaku Menteri Undang-undang terpaksa sekali lagi mengingatkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan negeri tidak boleh membuat undang-undang menghukum umat Bukan Islam yang ditangkap berkhalwat bersama orang Islam.

Menjawab pertanyaan Lukman Abdul Kadir (Ulu Nerus), Abdul Kadir Yusof berkata, kerajaan persekutuan juga tidak bercadang menggubal undang-undang ke arah itu kerana ia tidak terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Ramai tidak tahu bahawa pada Jun 1979, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sudah menyerahkan cadangan kepada kerajaan untuk diteliti. Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Ahmad Ibrahim dilaporkan berkata, umat Bukan Islam yang berkhalwat dengan orang Islam akan didakwa di mahkamah sivil.

Sehingga April 1989, masih ada laporan media bahawa terdapat cadangan membenarkan jabatan agama Islam di Pulau Pinang, Selangor, dan Kedah menghukum umat Bukan Islam yang ditangkap khalwat bersama orang Islam. Setiausaha Agung Parti Gerakan (komponen Barisan Nasional), Chan Choong Tak menyelar cadangan itu kerana secara terang-terangan melanggar Perkara 11 dan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pelbagai berita tangkapan khalwat dilaporkan pada hampir setiap minggu – [lihat di sini]. Apa-apa pun, suka saya mengingatkan bahawa Undang-undang Syariah tidak sesekali terpakai kepada umat Bukan Islam. Hal ini selaras Butir 1, Senarai 2 dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengatakan Mahkamah Syariah hanya ada bidang kuasa ke atas orang Islam.

Maknanya, jika individu Bukan Islam ditangkap khalwat bersama seorang beragama Islam, maka individu Bukan Islam itu tidak akan dan tidak boleh didakwa atas tuduhan berkhalwat. Dalam apa-apa keadaan, undang-undang Syariah (Islam) tidak terpakai ke atas individu Bukan Islam.

Walau bagaimanapun, umat Bukan Islam perlu sentiasa berwaspada kerana mungkin pula taktik memujuk dan mengugut boleh digunakan pihak tertentu sehingga individu Bukan Islam yang ditangkap khalwat bersama orang Islam bersetuju meninggalkan agama asal, kononnya secara sukarela.

[Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Rencana ini ditulis pada 4 Disember 2025 dalam usaha mendidik umat Bukan Islam.]

5 Dec 2025

Bagaimana Jika Umat Bukan Islam “Kantoi” Berkhalwat Dengan Orang Islam? – Bahagian 1

Pada 3 Disember 2025, media melaporkan kes seorang duda didenda RM6,000 dan dihukum penjara enam bulan atas dua kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita Bukan Islam. [Berita 1] [Berita 2]

Lelaki terbabit, Ibrahim Bacha (49), beragama Islam dan dituduh mengikut Seksyen 53(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991. Pasangannya tidak didakwa kerana Bukan Islam. Hal ini kerana undang-undang Islam hanya terpakai bagi orang Islam dan tidak boleh digunakan atau dipaksakan ke atas orang Bukan Islam – walaupun jika terlibat dalam khalwat, sekedudukan, atau sekediaman bersama orang Islam.

Dari semasa ke semasa, memang ada usaha licik mendesak individu Bukan Islam turut didakwa dan dihukum. Malah, pernah ada kes di mana seorang lelaki Bukan Islam dijatuhi hukuman atas kesalahan khalwat bersama seorang wanita Melayu-Islam. Teruskan membaca …

Menurut Seksyen 29(1) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan khalwat, mana-mana orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya, atau seorang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Harus disedari, undang-undang syariah di setiap negeri adalah berbeza. Namun apa yang pasti – dan wajar diketahui umat Bukan Islam – undang-undang syariah hanya terpakai kepada orang Islam dan bagi kes di negeri terbabit sahaja.

Pada Disember 2012, muncul kes empat individu Bukan Islam ditangkap khalwat di Kota Bharu, Kelantan. Dewan Himpunan Penyokong PAS menyifatkannya sebagai “pencabulan hak orang Bukan Islam”.

Media melaporkan, pada September 2018, seorang warga emas (65) berstatus suami mengaku salah atas pertuduhan berkhalwat dengan pasangan Bukan Islam di sebuah hotel murah di Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, wanita Bukan Islam tidak boleh dipaksa memberi keterangan – apatah lagi didakwa – jika ditangkap berkhalwat atau berzina dengan lelaki Islam. Hal ini demikian kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan, mahkamah syariah tidak ada kuasa ke atas orang Bukan Islam.

Kes khalwat pada Februari 2021 di Alor Setar, Kedah turut menjadi bukti Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah) 2014 tidak terpakai kepada umat Bukan Islam. Seorang lelaki Bukan Islam ditangkap bersama seorang janda beragama Islam; bagaimanapun dia tidak ditahan.

Rencana saya bertajuk “Evolusi Istilah Khalwat Terus Diguna Walau Dipertikai” (Utusan Malaysia, 2 Ogos 2025) membincangkan pelbagai trivia berkaitan istilah dan perbuatan khalwat dalam kalangan orang Melayu-Islam.

Usaha untuk turut menghukum individu Bukan Islam yang berkhalwat dengan individu beragama Islam bukan perkara baharu. Misalnya, dalam ruangan “Pak Belalang” (Berita Harian, 4 Ogos 1962), dijelaskan bahawa hukuman khalwat hanya terpakai bagi orang Islam walaupun ada cadangan supaya orang Bukan Islam yang berkhalwat dengan orang Islam turut dihukum.

“Untuk memaksakan hukum Islam dijalankan ke atas orang Bukan Islam adalah mencabul hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan sudah tentu mendapat tentangan yang keras,” kata Pak Belalang dan kata-kata itu masih terpakai sehingga kini.

Setiausaha Pejabat Agama Islam Selangor, Raja Nong bin Raja Husain turut menjelaskan, pihaknya tidak ada kuasa menghukum orang Bukan Islam yang terlibat dalam kesalahan berkhalwat atau bersekedudukan. Jawapan itu susulan desakan Pemuda UMNO Bahagian Morib pada Oktober 1962 yang mahu individu Bukan Islam turut dihukum.

Perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan tetap berlaku pada November 1962. K. Bharatan (31) dari Singapura dibicarakan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan atas tuduhan bersubahat dalam melakukan khalwat.

Lelaki India-Hindu itu dituduh di bawah Fasal 1/53 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Mahkamah Kadi Negeri Kelantan. Pada masa itu, dua lagi negeri yang memperuntukkan hukuman bagi individu Bukan Islam ditangkap khalwat bersama orang Islam ialah Pulau Pinang dan Kedah.

Apa yang berlaku seterusnya? Sambungan dalam [Bahagian Dua].

[Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

1 Dec 2025

Pengalaman Membaca Khanda Puranam Versi Bahasa Malaysia

Tahniah diucapkan kepada Cikgu Uthaya Sankar SB atas kejayaan menerbitkan buku Khanda Puranam: Perang Dewa dan Asura (2022). Buku ini membuka persepsi kita mengenai keindahan dan keunikan karya klasik India yang amat bernilai.

Sesungguhnya, sejak kecil, saya hanya sedia maklum bahawa Dewa Muruga @ Murugan merupakan dewa Hindu, juga merupakan adik kepada Dewa Vinayagar dan dijadikan ikon dominan bagi perayaan Thaipusam iaitu perayaan yang diraikan pada bulan Thai (Thaimasam) dan berbintang Pusam (Pusam Natchathiram) di seluruh pelosok dunia.

Namun demikian, tanggapan saya berubah setelah meneliti kandungan buku Khanda Puranam. Buku ini sesuai dijadikan santapan minda generasi muda masa kini kerana diterbitkan dalam Bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan. Isi cerita Khanda Puranam adalah mesra bahasa, mudah difahami dan sebati dengan cita rasa penggemar karya klasik.

Buku ini juga boleh menjadi platform utama kepada semua penggemar karya sastera kerana dapat memahami kisah sebenar mengenai kelahiran Dewa Muruga melalui teknik penceritaan yang tersusun rapi dari awal hingga akhir.

Sesungguhnya, Dewa Muruga memiliki kelahiran penuh mistik, mempunyai kemampuan bagi menghapuskan kejahatan dan memberikan kejayaan kepada para pengikutnya. Buku Khanda Puranam juga menyajikan kosa kata yang mudah difahami dan dikuasai. Sebagai pendidik, saya berbangga kerana dapat menjadi pembaca dan pengulas buku ini.

Sebagaimana agama dan kitab-kitab suci wujud bagi membentuk manusiawi, sebegitulah juga buku Khanda Puranam menyajikan sejarah klasikal dewa-dewi menerusi kronologi menarik bagi membentuk atau menjana pemikiran kritis dan kreatif pembaca.

Saya amat menyantuni dan mengagumi hasil penulisan dan projek Khanda Puranam oleh Cikgu Uthaya Sankar SB kerana setiap kisah yang disajikan dalam buku magikal ini merungkai salasilah keluarga Dewa Muruga, perang sura dan asura serta kehidupan sarwajagat.

Besarlah harapan saya agar semua pembaca atau penggemar karya sastera dapat memanfaatkan penceritaan yang terkandung dalam buku Khanda Puranam sebagai tombak (Vel) untuk memahami asal-usul dewa-dewi.

Sesungguhnya, saya dapat memahami bahawa Cikgu Uthaya Sankar SB telah mengkaji dan mendalami sejarah epik bagi menerbitkan sebuah karya murni yang berinformasi ini. Rakaman penghargaan khas ditujukan kepada beliau atas komitmen dan kesungguhan sepanjang penghasilan buku Khanda Puranam. Saya sendiri dapat menghafalz serta mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Dewa Muruga yang memiliki variasi nama seperti Kartikeya, Kumaran, Shanmugam, Subramaniam, Velan, dan Murugan.

Terdetik di hati untuk meneroka lebih lanjut mengenai cerita-cerita klasik kerana yang lama atau purba merupakan emas yang tinggi nilainya.

Pandangan dan ulasan Malarkodee a/p Muniandy (Seri Kembangan, Selangor).

26 Nov 2025

Karya Malar Sepanjang Zaman

Kehadiran Ada Padang Ada Belalang (2024) sangat istimewa kerana buku ini memberi peluang kepada orang ramai, khasnya generasi muda, menikmati lima buah puisi, lapan buah cerpen, dan lima buah rencana yang dihasilkan oleh salah seorang pengarang kaum Cina yang masih belum diberi pengiktirafan sewajarnya dalam peta Sastera Kebangsaan di negara kita.

Kedudukan Lai Choy sebagai seorang pengarang amat unik kerana beliau mampu menghasilkan karya pelbagai bidang dalam Bahasa Malaysia dan Cina (Mandarin). Malah, beliau juga tokoh perkamusan yang penuh dedikasi dalam usaha menyumbang kepada penguasaan dan kecintaan generasi muda terhadap bahasa kebangsaan.

Sudah hampir sedekad saya mengenali Lai Choy yang nama sebenarnya Lai Yoke Choy dan menggunakan nama pena Bi Cheng. Beliau begitu fasih berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia sehingga sukar untuk mempercayai beliau hanya mula mempelajari bahasa kebangsaan pada usia 18 tahun. Rasa kagum ini turut saya nyatakan dalam buku Dewi Pertiwi (2024).

Karya awal Lai Choy telah saya baca menerusi kumpulan cerpen Migrasi ke Selatan (1997). Cerpen yang dipilih menjadi judul buku itu mula-mula tersiar di majalah Dewan Sastera (September 1989) sebelum menerima pengiktirafan tinggi menerusi Hadiah Sastera Malaysia (1988/89).

Untuk mendapat tempat di majalah Dewan Sastera pada tahun 1970-an, 1980-an, dan 1990-an bukan perkara mudah. Ia merupakan era permulaan di mana Sastera Melayu yang rata-rata dikuasai penulis kaum Melayu mula bertukar menjadi Sastera Kebangsaan dengan turut menerima sumbangan besar dan bermakna daripada sekumpulan pengarang Bukan Melayu.

Lai Choy boleh dianggap antara penulis awal yang amat berjaya membuktikan penguasaan Bahasa Malaysia dan daya kreativiti yang mengagumkan. Hakikat ini dapat kita saksikan sendiri menerusi lima buah puisi dalam kumpulan ini yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera antara tahun 1991 dan 2023.

Salah satu daripada matlamat dan kriteria Sastera Kebangsaan ialah gambaran budaya dan realiti hidup masyarakat Bukan Melayu dalam karya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia. Tugas dan tanggungjawab ini berjaya dipikul serta dilaksanakan dengan amat sempurna dan berkesan oleh Lai Choy sejak tahun 1971, iaitu sebaik sahaja konsep Sastera Kebangsaan diperkenalkan.

Apabila saya meneliti tulisan Lai Choy dalam Migrasi ke Selatan (1997), Kepingan Mozek (2016), dan dalam buku terbaharu ini, saya melihat tema yang universal dan malar (evergreen). Budaya dan kehidupan kaum Cina yang diketengahkan sama ada menerusi cerpen atau rencana masih merujuk kepada komuniti Cina di Malaysia.

Namun begitu, memandangkan aspek budaya ada kaitan dengan negara asal nenek moyang, maka ada rencana yang menyentuh hal-hal berkaitan negara China. Tindakan ini bukan bertujuan menggambarkan “kesetiaan” kaum Cina kepada negara China; sebaliknya membuktikan realiti identiti dan jati diri komuniti yang setia kepada tanah air tanpa melupakan akar dan leluhur.

Kelima-lima puisi yang disajikan dalam buku ini memiliki tema universal dengan erti kata tidak mewakili mana-mana kaum atau latar masa. Tema dan kisah yang disajikan dengan gaya bahasa yang amat mudah tetapi puitis boleh sahaja mewakili “suara hati” mana-mana individu tanpa mengira latar budaya, kaum, geografi, dan zaman.

Apabila masuk kepada penulisan cerpen, Lai Choy memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang disediakan dalam kerangka “Sastera Kebangsaan” untuk menampilkan budaya, adat, masalah, dan pemikiran kaum Cina dalam bentuk cereka. Pada masa sama, kesemua cerpen berlatarkan Malaysia dan mendokumentasi realiti hidup masyarakat pelbagai kaum yang saling berinteraksi.

Cerpen “Berpisah” yang pernah tersiar di majalah Dewan Sastera (Mac 1971) mengetengahkan watak Cikgu Lim yang menjadi seorang guru di sebuah sekolah rakyat di kawasan kampung serta perkenalannya dengan Su Moi. Dinyatakan bahawa “di antara mereka terentang sederet tembok yang ghaib” kerana “kedudukan Lim (guru) tentulah lebih tinggi daripada gadis kampung ini (Su Moi)”.

Kisah dan isu yang diketengahkan amat universal. Dalam konteks negara kita, pembaca kaum Melayu dan India juga boleh menghayati konflik dan isu itu serta mengaitkannya dengan realiti hidup komuniti masing-masing. Perbezaan suku antara Cikgu Lim dan Su Moi juga menjadi penghalang untuk mereka bersatu. Maka, sebagai sebuah karya Sastera Kebangsaan, cerpen ini merakam isu-isu komuniti Cina untuk dibaca dan difahami masyarakat pelbagai kaum.

Watak Ah Fatt dalam cerpen “Dua Dunia” (Dewan Sastera, Oktober 1971) merupakan pengayuh beca roda tiga. Secara umum, kita beranggapan kaum Cina kaya-raya sejak turun-temurun. Maka, cerpen seperti ini memberi pembaca peluang untuk memahami realiti keperitan hidup dilalui kaum Cina yang miskin dan menjadi mangsa penindasan golongan kaya.

Cerpen “Pintu Belakang” yang pernah tersiar di majalah Dewan Masyarakat (Januari 1974) pula sebuah karya yang agak panjang. Apa yang menarik, walaupun ditulis dan mula-mula tersiar lima puluh tahun dahulu, permasalahan, isu, mesej, dan realiti hidup yang diketengahkan masih relevan pada hari ini.

[Baca juga: PERSPEKTIF dan Usaha Promosi Sastera Mahua]

Pertemuan dan interaksi watak “Aku” (Chua) dengan kanak-kanak berumur sebelas tahun, Yi-Ping, serta ibunya, Su-Ching, yang dipandang serong jiran tetangga. Aspek budaya serta kritikan masyarakat disajikan secara amat bersahaja sehingga pembaca mungkin mengalami dilema: Perlukah hubungan Chua dan Su-Ching diizinkan? Wajarkah Yi-Ping dibiarkan menjadi mangsa akibat permasalahan orang dewasa?

Semasa membaca cerpen ini, saya membayangkan watak-watak itu berinteraksi dan beraksi di layar. Betapa baik jika ada pihak berminat menjadikan “Pintu Belakang” sebuah drama atau filem!

Cerpen “Nilai Persahabatan” mengangkat kisah persahabatan antara watak Han Da dan Riduan. Walaupun tersiar di majalah Dewan Siswa (Ogos 1991) yang disasarkan kepada pembaca remaja, Lai Choy secara tersirat mengkritik situasi pendidikan di Malaysia yang masih membezakan kaum.

Pengarang cuba melakukan reformasi di mana Han Da cuba memohon biasiswa bagi Riduan daripada Persatuan Hokkien, manakala Riduan pula mengimpikan peluang bagi Han Da untuk turut belajar di sekolah berasrama penuh yang pada realiti hanya dikhaskan bagi pelajar Bumiputera.

Pengalaman Lai Choy sebagai guru turut dimanfaatkan untuk membantu pembaca mendekati dan memahami isu dihadapi golongan murid daripada keluarga miskin. Melalui cerpen “Biarkan Dia Tidur Sepuas-puasnya”, tidak dapat tidak, pembaca akan bersimpati dan berempati dengan watak Lan Yi Long.

Budaya, bahasa, dan permasalahan hidup komuniti Cina miskin diketengahkan secara bersahaja dalam cerpen itu. Gaya penulisan dan keprihatinan Lai Choy mengingatkan saya kepada Azizi Haji Abdullah yang turut mendokumentasi realiti keperitan hidup masyarakat miskin dalam beberapa karya.

Hubungan – atau kerenggangan hubungan dan komunikasi – antara kaum Cina dan India disajikan pula secara amat bersahaja menerusi cerpen “Lambat Lagi”. Watak “Aku” (seorang pesara guru; mungkin Lai Choy sendiri?) amat kecewa dan marah dengan sikap lelaki kaum India yang lewat menghantar surat khabar ke rumah. Namun, ada sebab mengapa hal itu berlaku.

[Tonton VIDEO: Pepatah dan Petitih Orang China Masa Dahulu]

Rencana berkaitan makna dan syarat di sebalik pemilihan nama anak dalam komuniti Cina pasti membuka mata pembaca untuk lebih memahami budaya kaum Cina. Walaupun rencana berkenaan mula-mula disiarkan di majalah Mastika pada Januari 1971, kandungannya masih sesuai dan relevan pada hari ini; termasuk bagi generasi muda kaum Cina sendiri.

[Dapatkan juga maklumat buku Titisan Madu Taoisme (2025) dan Sunzi: Strategi dan Taktik Ketenteraan (2025) yang diusahakan oleh Lai Choy.]

Lai Choy ternyata pengarang yang aktif, rajin, prolifik, dan bersemangat waja. Beliau memiliki sarjana muda sastera (1978), sarjana sastera (2011), dan sarjana kedoktoran (2017) di mana tesis beliau diterbitkan pula dalam bentuk buku untuk bacaan umum.

Beliau masih aktif menulis dan hal ini dapat dilihat menerusi rencana terkini berkiatan Yee Sang, Capgome, dan pemikiran masyarakat Cina yang turut dimuatkan dalam buku ini untuk membantu para pembaca menimba ilmu.

Secara keseluruhan, buku Ada Padang Ada Belalang merupakan dokumentasi penting yang wajar dimiliki dan dibaca masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur. Buku seperti ini juga harus berada di semua perpustakaan negeri, desa, dan sekolah seluruh negara.

[Prakata ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB untuk buku Ada Padang Ada Belalang (2024) dan disiarkan di blog bagi tujuan promosi.]