Showing posts with label Sejarah. Show all posts
Showing posts with label Sejarah. Show all posts

Monday, May 22, 2017

Pakatan Sunni-Israel: Imaginasi atau realiti?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Lawatan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan ucapannya semalam memberi gambaran jelas satu kesepakatan yang diusahakan oleh Amerika Syarikat bersama Arab Saudi, negara-negara Arab sekutu dan Israel. Perkembangan terkini sejak Trump menjadi presiden menjelaskan lagi satu pakatan yang telah diusahakan sejak llebih sedekad lalu. Artikel di bawah ini yang pertama kali diterbitkan pada 27 Disember, 2012 merakamkan sejarah rancangan ini, termasuk percaturan dan perdebatan yang berlangsung dalam membina kerjasama politik ini.


Tahun 2012 menyaksikan pergolakan yang sengit dan berpanjangan melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global di rantau Asia Barat, menjadikannya tumpuan utama masyarakat dunia.

Satu persaingan yang menjadi tumpuan dan mencetuskan sentimen ialah persaingan antara kuasa-kuasa Arab bersama Turki dengan Iran dan sekutunya Syria, yang menjadi satu isu utama dunia Islam.


Di seberang gabungan Iran dan sekutu ialah kuasa-kuasa Arab Saudi dan Qatar yang mendominasi Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan Liga Arab, dan Turki.

Iran dan sekutunya Syria pada masa sama juga ialah musuh yang dianggap sebagai ancaman kepada Israel, yang hubungannya dengan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelihatan tertumpu pada isu nuklear Iran.

Persaingan sengit yang menggerakkan pelbagai tindakan Saudi, Qatar dan sekutu ini kelihatan selari dengan kepentingan Israel, sehingga menampakkan kewujudan satu pakatan tidak formal dan kerjasama antara kuasa-kuasa Arab terbabit dengan Israel, walaupun pada permukaan kelihatan bermusuh.

Perkembangan melibatkan Syria, usaha mengalih sokongan dan bantuan kepada Hamas daripada Iran kepada kuasa-kuasa Arab dan kerjasama menangani Iran menunjukkan satu bentuk pakatan Arab Sunni dengan Israel, walaupun dalam bentuk yang tidak sepenuhnya jelas.

Dalam sejarah terkini, perkembangan terkini melibatkan pakatan menentang Iran ini bermula ekoran kejatuhan rejim pimpinan Presiden Saddam Hussein di Iraq, yang membuka ruang kepada peningkatan kuasa politik masyarakat Syiah, yang dilihat sebagai kesinambungan atau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Iran.

Kenyataan pemimpin Jordan, Raja Abdullah tentang apa yang dilihat sebagai ancaman Iran dan Syiah ini mencetuskan debat panjang berhubung "bulan sabit Syiah" iaitu satu kawasan dikuasai Iran di dunia Arab dan juga dalam kalangan akademik dan pembuat dasar di Amerika Syarikat, yang kemudian memberi kesan kepada dasar luar AS di rantau Asia Barat.

Persepsi ancaman seperti ini, yang mudah untuk diperbesarkan atau dipermudahkan untuk tujuan politik kemudian membentuk menjadi satu isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa Arab, walaupun sebenarnya mempunyai penjelasan yang lebih mendalam, terutama berhubung kepentingan Iran dan tindakan yang sedia dilakukan untuk memelihara kepentingannya di Asia Barat.

Persepsi ancaman Iran-Syiah ini semakin kuat ekoran perang Hizbullah dengan Israel pada musim panas 2006, yang dinilai sebagai satu kejayaan Hizbullah yang disokong Iran, sehingga menjadikan kumpulan Syiah Lubnan ini popular di dunia Arab.

Populariti ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pengaruh Iran di dunia Arab, dan hakikat bahawa Hizbullah berpegang kepada aliran Syiah membuka peluang kepada aliran ini tidak dilihat secara negatif ekoran episod ini.

Menyedari sentimen Arab yang berasa terancam ekoran kesan perang Hizbullah-Israel, Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran.

Rejim-rejim Arab Sunni yang bimbang dengan pengaruh paksi Iran-Syria dilihat mempunyai kepentingan yang sama dengan Israel, yang terancam oleh pakatan didominasi Iran itu, lebih-lebih lagi berkait kedudukan Syria sebagai negara jirannya yang berperanan penting dalam memelihara kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas.

Selain Lubnan yang dari segi praktiknya masih berperang dengan Israel, Syria satu-satunya jiran yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu. Mesir dan Jordan mengekalkan hubungan baik dengan Israel.

Seorang akademik dari Universiti Columbia, Gary G Sick juga mempunyai pandangan yang sama, menegaskan strategi baharu anti-Iran ini mula muncul ekoran perang Hizbullah-Israel pada 2006, yang semakin menyedarkan rejim-rejim Arab Sunni tentang peningkatan pengaruh Iran.

Perkembangan strategi baharu ini dilaporkan wartawan Seymour Hersh dalam majalah The New Yorker pada 2007. Strategi yang disifatkan mereka yang terlibat sebagai satu perubahan besar itu menyaksikan kerjasama rapat AS dengan Saudi untuk melemahkan pakatan Iran-Syria dan Hizbullah.

Laporan Hersh itu mendedahkan sokongan kewangan Saudi kepada Ikhwan al-Muslimin Syria, elemen terkuat dalam pembangkang Syria. Sokongan kepada Ikhwan ini diberikan untuk membina penentang yang kuat kepada rejim Bashar al-Assad.

Ikhwan pada masa ini ialah kumpulan terbesar dalam pakatan penentang kerajaan Syria yang telah pun menerima pengiktirafan AS, Saudi, Qatar, Turki dan sekutu-sekutu.

Strategi digelar pakatan Sunni-Israel ini terus mendapat perhatian dalam kalangan akademik dan pemerhati dasar luar AS. Pendekatan ini dilihat sebagai pilihan yang wajar dilaksanakan untuk menyusun semula aturan kuasa di Asia Barat bagi memenuhi kepentingan AS dan sekutu pentingnya, Israel dan negara-negara Arab.

Malah, menjelang 2007, pilihan yang sukar itu juga semakin menjadi opsyen bagi pemimpin-pemimpin Israel, disebabkan perkongsian kebimbangan terhadap pengaruh Iran.

Seorang pemerhati melihat pakatan Sunni-Israel yang sedang terbentuk itu, yang menyaksikan peranan penting Arab Saudi, akan membuka ruang kepada perdamaian di rantau Asia Barat. Isu penting yang sama; menangani peningkatan pengaruh Iran yang dilihat sebagai ancaman oleh Israel dan Arab Sunni, dinilai sebagai faktor yang membenarkan strategi baharu ini terlaksana.

Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic, mengulas potensi dan kepentingan projek ini dalam satu tulisannya pada 2009. Goldberg menjelaskan pemerhatiannya bahawa rejim-rejim Arab kelihatan lebih bersikap kritikal terhadap Iran, melebihi yang ditunjukkan oleh pemimpin Israel.

Di Israel, sikap yang sama terhadap pakatan ini juga telah kelihatan. Seorang penulis di media Israel Ynetnews, menggesa Riyadh melakukan tindakan drastik menjalin kerjasama dengan Israel demi memastikan kelangsungan rejim itu.

Saudi dan Israel disifatkan sebagai pihak yang berkongsi kepentingan yang sama berhubung Iran dan perlu mengambil langkah bersama menangani ancaman itu.

Satu laporan akhbar Israel, Haaretz pada April 2012 lalu menunjukkan satu bentuk persefahaman berdasarkan kepentingan bersama, terutama ekoran kebangkitan rakyat yang semakin berleluasa di rantau Asia Barat.

Perkembangan sejak 2010 memperlihatkan hubungan yang terus diperkukuhkan antara AS dan sekutu penting di dunia Arab seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, yang kedua-duanya mencapai perjanjian jual beli senjata bernilai puluhan bilion dolar AS.

Rancangan ini ialah sebahagian usaha mengukuhkan sekutu kalangan negara Arab sekitar Teluk Parsi, negara yang bakal berada di barisan hadapan sekiranya tercetus konflik bersenjata melibatkan Iran.

AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama meluluskan pakej jualan senjata bernilai AS$60 bilion kepada Arab Saudi, melibatkan beberapa jenis pesawat termasuk F-15 dan helikopter Apache.

Tahun 2011, sebagai sebahagian pakej AS$60 bilion urus niaga senjata itu, Riyadh diluluskan untuk membeli pesawat F-15 bernilai AS$30 bilion.

Tahun yang sama, UAE menyempurnakan perjanjian pembelian sistem pertahanan pemintas peluru berpandu dari syarikat AS bernilai AS$3.5 bilion.

Israel yang tidak menunjukkan penentangan kepada penjualan senjata besar-besaran kepada Riyadh seperti ditunjukkan semasa penjualan senjata kepada negara-negara Arab pada 1980-an, paling utama jualan pesawat pemantau Awacs pada 1981, menunjukkan petanda persefahaman kedua pihak menghadapi musuh bersama, Iran.

Tahun 2012, Washington turut mencadangkan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu untuk melindungi negara-negara ahli GCC daripada serangan peluru berpandu Iran.

Penjualan senjata besar-besaran ini berlaku pada masa yang kritikal melibatkan hubungan negara-negara Arab tersebut dengan Iran, yang merupakan ancaman yang mendorong urus niaga senjata tersebut, dan dilihat sebagai perubahan strategi yang nyata oleh AS dalam persediaan menghadapi konflik di rantau itu.

Perkembangan terkini di dunia Arab terutama melibatkan konflik Syria yang menjadi manifestasi utama pendekatan baharu kuasa-kuasa Arab serantau ini menunjukkan satu kerjasama didasari kepentingan bersama sedang berjalan.

Agenda berhubung Syria yang mempunyai sisi sektarian yang besar menyukarkan untuk kewujudan kerjasama negara-negara Sunni dengan Israel untuk dinafikan, lebih-lebih lagi dengan Israel menjadi pihak yang mendapat manfaat besar sekiranya paksi diketuai Iran dilemahkan.

Pemilihan istilah pakatan Sunni walau bagaimanapun boleh mencetuskan kekeliruan ekoran tafsiran simplistik yang diberikan, dengan menjadikan ideologi sebagai identiti dan penyatu.

Hal yang sama telah dicetuskan oleh istilah Syiah, yang digunakan dengan mudah untuk menyifatkan kuasa-kuasa yang pelbagai seperti Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan kumpulan-kumpulan Syiah di negara-negara Teluk Parsi.

Dari satu sudut, istilah Syiah digunakan untuk mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pihak yang kritikal terhadap sekte ini.

Syiah dalam hal ini digunakan sebagai kata ganti untuk menyifatkan pakatan politik ini, yang dasarnya tidak semestinya aliran agama tetapi juga kepentingan geopolitik dan tempatan.

Pakatan yang digelar paksi Syiah ini malah juga melibatkan kepentingan kuasa-kuasa luar seperti Rusia, yang asas sikapnya ialah perkiraan geopolitik.

Istilah pakatan Sunni-Israel ini juga, seperti digunakan pencetusnya dalam kalangan pemikir dasar luar AS, secara mudah menggunakan istilah Sunni untuk menyifatkan pakatan yang asasnya ialah sikap anti-Iran, atau lebih tepat lagi Iran seperti yang wujud hari ini.

Sekiranya berlaku perubahan rejim di Iran sehingga memunculkan pemerintahan baharu yang berbeza nilai dan kecenderungan aliansinya sehingga selari dengan kepentingan pesaingnya sebelum perubahan, aliran agama tadi akan diabaikan dan tidak diperbesarkan seperti disaksikan sekarang.

Pakatan Sunni-Israel dilihat oleh pendukungnya menggabungkan semua negara Arab Sunni monarki di Teluk Parsi dan juga Jordan, republik Mesir dan Turki.

Walau bagaimanapun, gabungan yang berkongsi kepentingan berhubung menangani pengaruh Iran ini tidak semestinya digerakkan oleh aliran agama mereka.

Pihak yang paling memusuhi Iran dalam kalangan negara Arab ialah Arab Saudi (di bawah kepimpinan pada masa ini dan berdasarkan pendirian pada masa ini), yang mempunyai pengaruh kuat terhadap dunia Arab terutama jiran-jiran di Teluk Parsi.

Walaupun perancangan terhadap Syria dan paksi dipimpin Iran memperlihatkan kepentingan yang selari, negara seperti Qatar, Mesir dan Turki juga mempunyai kepentingan untuk mengimbangi hubungan dengan Iran, sebagai sebahagian strategi pragmatik memelihara kepentingan masing-masing.

Dua negara republik Mesir dan Turki juga kelihatan mempunyai gagasan dasar luar yang berbeza daripada yang dipegang gabungan Arab diketuai Saudi, dan kelihatan mempunyai kepentingan untuk lebih merapatkan hubungan dan meningkatkan lagi pengaruh di dunia Arab.

Qatar, Mesir dan Turki mempunyai agenda dasar luar yang lebih bebas dan tidak semestinya selari dengan agenda Saudi dan sekutu.

Arab Saudi, negara berpengaruh dunia Islam kini telah mencetuskan agenda yang tidak selari dengan kepentingan umat ekoran keperluan memelihara rejim dan kepentingannya di rantau Asia Barat, dengan kini mendominasi hala tuju GCC dan juga Liga Arab.

Riyadh kini sedang mengusahakan kesatuan yang lebih rapat melibatkan negara-negara monarki Teluk Parsi dan telah berjaya menyingkirkan Syria daripada Liga Arab.  

Kebangkitan rakyat di dunia Arab kini telah membawa kepada satu perkembangan yang lebih kompleks dan mencetuskan akibat-akibat yang mencetuskan kekacauan, kemusnahan dan pecah belah.

Perkembangan ini menunjukkan kemelut melanda dunia Islam yang kritikal disebabkan persaingan kuasa sehingga mendedahkan umat kepada krisis dan konflik yang melemahkan. - 27 Disember, 2012

Friday, April 4, 2014

Tragedi Memali: Selamatkan Musa, salahkan Mahathir?

Laporan Tun Musa Hitam mendedahkan yang Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Malaysia - dan bukan di China seperti diterima selama ini - semasa peristiwa Memali pada 19 November, 1985 telah mencetuskan satu kegemparan baharu dalam politik negara.

Kegemparan, atau kekecohan ini berlaku akibat satu pemahaman dan tanggapan baharu berhubung isu ini, yang dari sudut tertentu terpisah daripada gambaran keseluruhan sejarah peristiwa berdarah itu.

Satu persepsi yang kelihatan agak berleluasa ialah kecenderungan seolah-olah menyelamatkan Musa daripada dosa Memali dan pada masa sama mengambil kesempatan daripada pendedahan ini untuk meletakkan Mahathir dalam posisi defensif.

Pemahaman baharu ini telah membawa satu perspektif yang tidak tepat dalam menilai peristiwa yang telah lama dijadikan bahan untuk menilai PAS secara negatif itu.

Pertangungjawaban berhubung tragedi itu perlu dikongsi secara kolektif oleh pemimpin-pemimpin pemerintah pada masa itu, kerana hal ini tidak boleh dielakkan.

Apa yang berlaku di Memali perlu dinilai sebagai satu tindakan kolektif pentadbiran Mahathir pada masa itu, dan dilihat berdasarkan realiti pada masa itu.

Perkembangan terkini telah banyak merubah pandangan tentang peristiwa Memali, termasuk kemungkinan aliansi politik baharu melibatkan Musa dan usaha mengeksploit peristiwa itu untuk kegunaan politik pada masa ini.

Pendedahan Musa ini dilihat dari satu sudut perkembangan politik terkini menjadi satu senjata terbaharu musuh-musuh politik Mahathir untuk menyerang bekas perdana menteri itu.

Pada masa sama, pendedahan ini juga memainkan peranan dalam pemulihan imej Musa yang kelihatan telah semakin diterima ramai dalam kalangan pembangkang, terutama kumpulan yang berhaluan liberal.

Musa kelihatan semakin diterima ramai pihak yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah kerana imejnya yang masih relatif baik, dan dinilai sebagai seorang tokoh yang melangkaui sentimen politik kepartian.

Dan pada peringkat yang lebih rendah, beliau diterima baik kerana kesediaannya bertembung dengan Mahathir dalam hal ini.

Suasana politik tahun 1980-an menyaksikan pertembungan sengit Islamis dengan kelompok sekular, yang jauh lebih sengit dan ganas, berbeza dengan suasana sekarang yang menyaksikan garis pemisah ideologi yang lebih kabur antara Islamis PAS dan etnonasionalis sekular Umno.

Pertembungan PAS dan Umno pada masa itu hampir tidak ada pengecualian ialah pertembungan ideologi yang sengit, menyaksikan Umno yang sekular memusuhi kuat pegangan Islam PAS, dengan hujah-hujah yang jelas menunjukkan penolakan.

Memudahkan penilaian Memali dengan menumpukan pada peranan Mahathir dan Musa, misalnya untuk melihat siapa yang sebenarnya lebih bertanggungjawab hanya melarikan daripada isu besar yang sebenarnya menjelaskan pertembungan di Memali. - April 1, 2014

Tuesday, March 18, 2014

Hubungan Rusia-Ukraine dan geopolitik Crimea

Oleh HARIS ZALKAPLI

Pada 1997, semasa Rusia di bawah pemerintahan Presiden Boris Yeltsin, satu perjanjian penting dicapai dengan Ukraine pimpinan Presiden Leonid Kuchma, jirannya di sebelah barat yang menempatkan semenanjung Crimea dan pelabuhan tentera laut Sevastopol.

Hasil persetujuan yang tercapai setelah pertikaian selama lima tahun itu, Rusia membayar satu jumlah pampasan kepada Ukraine, dan tentera laut Rusia, Armada Laut Hitam dibenarkan berada di Sevastopol untuk tempoh 20 tahun lagi, sehingga 2017. Moscow  juga, sebagai ganjaran kepada tindakan Kiev itu telah melupuskan hutang pembelian tenaga oleh Ukraine.

Perjanjian itu menjelaskan dua isu penting dalam perkembangan terkini hubungan Rusia-Ukraine, iaitu semenanjung Crimea dan pangkalan tentera laut Sevastopol dan pergantungan Ukraine pada sumber gas dan minyak Rusia. Kedua-dua perkara, status Crimea dan bekalan tenaga terutama gas Rusia kepada Ukraine menjadi senjata penting masing-masing dalam diplomasi antara dua negara terbabit.

Hal ini menjelaskan implikasi besar perjanjian diskaun gas dan pelanjutan kedudukan tentera laut Rusia di pangkalan Sevastopol di semenanjung Crimea. Perjanjian yang dicapai pada 21 April, 2010 dan disahkan kedua-dua parlimen Rusia dan Ukraine pada 27 April memberikan gas Rusia kepada Ukraine pada harga yang lebih rendah, dan membenarkan Rusia berada di Sevastopol hingga 25 tahun lagi selepas 2017, iaitu hingga 2042.

Perjanjian itu menetapkan harga gas Rusia yang dijual kepada Ukraine dikurangkan daripada AS$330 per 1,000 meter padu kepada AS$230 bermula separuh kedua tahun 2010. Diskaun ini dikira terhadap 30 bilion meter  padu gas yang akan diimport oleh Ukraine pada 2010 dan 40 bilion meter padu lagi untuk tempoh 2011 hingga 2019.

Perjanjian ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi Ukraine dalam tempoh perjanjian tersebut, kerana mengurangkan beban terhadap industri yang memakan banyak tenaga dan meringankan beban rakyat dan kerajaan terhadap harga tenaga yang semakin tinggi selepas Rusia mula menaikkan harga tenaga.

Rusia pula, menurut Putin, terpaksa menanggung jumlah AS$40 bilion dalam bentuk bantuan kepada Ukraine hasil perjanjian itu. Dalam hal ini, beban cukai Ukraine dipindahkan kepada Rusia, dalam usaha Rusia untuk mencapai perjanjian yang membenarkannya terus berada di Sevastopol untuk satu tempoh yang lebih lama.

Semenanjung Crimea mempunyai satu kedudukan yang istimewa bagi Rusia, antaranya disebabkan kedudukan strategiknya di Laut Hitam. Armada Laut Hitam Rusia yang mempunyai sekitar 300 buah kapal - menurut anggaran paling konservatif - mendominasi Laut Hitam, tetapi kedudukan Rusia terjejas ekoran kejatuhan Kesatuan Soviet apabila Ukraine merdeka dan Armada Laut Hitam berada di wilayah negara asing.

Semenanjung Crimea ialah sebuah wilayah Rusia sehingga Nikita Krushchev pada 1954 menyerahkan wilayah itu kepada republik Ukraine. Walau bagaimanapun, pemindahan itu terbukti memberi kesan buruk kepada Rusia setelah runtuhnya Kesatuan Soviet apabila semenanjung Crimea menjadi sebahagian negara Ukraine yang merdeka.

Selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, keadaan menjadi lebih buruk dengan berlakunya perluasan keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan perubahan kiblat politik negara-negara bekas Soviet termasuk Ukraine kepada Amerika Syarikat dan Eropah. Sehingga kini, seperti yang disaksikan melalui perjanjian Presiden Rusia Dmitri Medvedev dengan Presiden Ukraine Viktor Yanukovych pada 2010 itu, kiblat politik rejim pemerintah Ukraine sangat penting dalam usaha Rusia mengekalkan kedudukannya di Sevastopol.

Sentimen nasionalis di kedua-dua Rusia dan Ukraine terus berjaya menjadikan posisi istimewa semenanjung Crimea sebagai alat permainan kuasa masing-masing. Pemimpin-pemimpin Ukraine termasuk bekas Presiden Viktor Yushchenko (menamatkan tempoh presiden pada Februari 2010) menggunakan sentimen anti-Rusia melibatkan isu Crimea dalam kempen pilihan rayanya yang lalu.

Walau bagaimanapun, kekuatan rakyat yang condong ke Barat dan pro-Rusia agak seimbang di Ukraine, menjadikan eksploitasi sentimen berhubung Crimea terbatas. Bagi kumpulan ini, hal ini diburukkan lagi apabila kem pro-Rusia Yanukovych menang dalam pilihan raya presiden awal tahun 2010.

Yushchenko ketika menjadi presiden bertindak cuba mengekang kebebasan tentera laut Rusia di Laut Hitam, dengan mengenakan pelbagai peraturan yang hakikatnya tidak dihiraukan oleh Rusia. Semasa perang Rusia dengan Georgia pada Ogos 2008, Yushchenko mengeluarkan dikri menetapkan pergerakan tentera laut Rusia keluar dan masuk Sevastopol perlu mendapat kebenaran kerajaan Ukraine.

Ukraine juga menggunakan Crimea sebagai senjata diplomasi dalam hubungannya dengan Rusia. Ekoran perang Ogos 2008 itu, Ukraine menerima lawatan kapal tentera laut AS yang menunjukkan gambaran peranan keselamatannya di Laut Hitam.

Selain Georgia, Ukraine turut menjalin kerjasama ketenteraan dengan AS dalam usaha meningkatan kemampuan tentera lautnya di Laut Hitam, dalam usaha mengimbangi dominasi Armada Laut Hitam Rusia. Pada masa sama, Rusia juga sedang meningkatkan kemampuan Armada Laut Hitam dengan pembelian kapal baharu yang lebih canggih dari Perancis.

Rusia juga dipengaruhi sentimen nasionalis yang sama dalam menguruskan isu Crimea. Dalam sejarah panjang Rusia, Kiev, ibu negara Ukraine tercatat sebagai pusat tamadun pertama yang membentuk Rusia seperti yang dikenali hari ini. Sentimen nasionalis Rusia juga melihat Ukraine sebagai sebahagian keluarga rumpun bangsa Slav yang sepatutnya berada dalam Rusia.

Sentimen pan-Slavisme ini terus kukuh dalam politik Rusia hingga kini, walaupun realiti geopolitik masa kini menghadkan pelaksanaannya. Pada 1992, dalam satu perkembangan dramatik sepanjang sejarah pertikaian, penggubal undang-undang Rusia membuat resolusi menyatakan pemindahan kedaulatan Crimea pada 1954 itu tidak berdasarkan undang-undang.

Walau bagaimanapun, haluan pro-Barat di bawah Yeltsin tidak membenarkan agenda nasionalistik itu diteruskan. Yeltsin bersikap berhati-hati dalam hal melibatkan hubungan yang berkaitan dengan Barat. Agenda nasionalistik ini kemudian diteruskan oleh kelompok nasionalis di bawah kepimpinan Vladimir Putin dan Medvedev selepas itu yang memegang jawatan presiden sebelum Putin kembali, kepimpinan yang memilih haluan membina kembali Rusia sebagai satu kuasa dunia.

Moscow turut menggunakan taktik yang sama digunakan dalam menangani pengaruh Georgia di Ossetia Selatan, dengan memberikan pasport Rusia kepada penduduk Crimea yang majoriti besarnya berbangsa Rusia dan bercakap dalam bahasa Rusia. Banci pada 1989 menunjukkan lebih 67 peratus rakyat Crimea berbangsa Rusia, manakala yang berbangsa Ukraine, separuh daripada mereka bertutur dalam bahasa Rusia sebagai bahasa pertama.

Realiti budaya ini memudahkan usaha Moskow untuk mengukuhkan pengaruhnya di Crimea, dan juga di sebelah timur Ukraine yang sebahagian besar berbahasa Rusia. Dalam perang dengan Georgia, Rusia menggunakan alasan mempertahankan rakyatnya di Ossetia Selatan ketika menggerakkan tentera untuk memerangi Georgia.

Usaha ini masih dijalankan di Crimea, digandingkan dengan penyebaran sentimen pro-Rusia dan menyokong kumpulan politik yang menuntut pemisahan Crimea daripada Ukraine. Perbezaan bahasa dan budaya di wilayah itu memberikan gambaran perbezaan yang besar dan merit kepada tuntutan itu.

Berdasarkan realiti Laut Hitam yang tertakluk di bawah Konvensyen Montreux, Rusia masih lagi kuasa dominan perairan itu. Konvensyen Montreux menghadkan kehadiran kapal wilayah asing di Laut Hitam.

Konvensyen ini juga memberikan kuasa ke atas Selat Bosporus kepada Turki, menjadikan Turki berkepentingan untuk mematuhi peraturan ini, dan membenarkan Rusia mendominasi Laut Hitam. Turki sebagai salah sebuah negara serantau yang terlibat di Laut Hitam berkepentingan untuk memastikan Laut Hitam tidak menjadi medan aktiviti negara lain yang bukan daripada wilayah itu.

Walaupun kedua-dua pihak mempunyai senjata masing-masing, realiti berhubung bekalan gas yang rangkaian pengangkutan melalui paip masih dimiliki syarikat Rusia, Gazprom, menjadikan Rusia lebih mudah menggunakan senjatanya, dan dengan lebih berkesan.

Pada Januari 2006, Rusia menghentikan bekalan gas kepada Ukraine ekoran pertikaian harga. Rusia meningkatkan harga kepada Ukraine daripada AS$50 kepada AS$180 setiap 1,000 meter padu, tindakan yang ditentang Ukraine. Bekalan kemudian disambung semula selepas Ukraine tunduk kepada tekanan Rusia.

Senjata sumber tenaga ini berkesan kepada Moskow bukan hanya untuk mengubah sikap Kiev, tetapi juga mendedahkan penyelewengan yang didakwa dilakukan Ukraine, menjadikan Ukraine kurang dipercayai negara-negara Eropah yang menerima bekalan gas Rusia. Rusia walau bagaimanapun turut menerima kesan apabila kebolehpercayaannya sebagai pembekal terjejas ekoran tindakan memotong bekalan kepada Ukraine yang merupakan laluan utama pengangkutan gas ke Eropah.

Moscow juga meneruskan usaha menggunakan bekalan tenaganya sebagai senjata dalam menghadapi Ukraine. Putin, selepas persetujuan Medvedev dengan Yanukovych berhubung diskaun gas dan Sevastopol, mencadangkan penggabungan syarikat gas Ukraine, Naftogas Ukrainy dengan monopoli gas Rusia, Gazprom, dan juga industri nuklear kedua-dua negara. 

Perjanjian diskaun gas dan lanjutan tempoh menduduki pangkalan Sevastopol masih boleh berubah bergantung kepada rejim yang memerintah dan bentuk kerjasama kedua-dua negara. Isu bekalan gas akan terus menjadi isu besar dalam hubungan kedua-dua negara, antaranya ekoran kedudukan penting Ukraine di laluan eksport ke Eropah. 

Tetapi pada masa sama, Ukraine akan terus terpaksa berdepan percaturan politik Moskow disebabkan kedudukan istimewa Ukraine dalam sejarah panjang Rusia dan perkembangan geopolitik hari ini.

Sejarah telah menetapkan Ukraine akan sentiasa penting dalam percaturan geopolitik Rusia. Rusia tidak mahu negara jirannya di barat itu menyertai orbit politik Barat dan menjadi ancaman kepada Rusia.

Pangkalan tentera laut Rusia di Sevastopol hanyalah sebahagian daripada agenda melibatkan laut Hitam, semenanjung Crimea dan lebih besar lagi, Ukraine.

Perkembangan terkini melibatkan Rusia dan Ukraine, ekoran tindakan menjatuhkan Yanukovych oleh protes yang disokong Barat, mengundang tindakan lebih keras Rusia di bawah Putin yang kelihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, dan membuka pelbagai kemungkinan di Ukraine dan seluruh rantau bekas Soviet. - Mei 4, 2010/Mac 2014

Saturday, October 12, 2013

Selepas 56 tahun merdeka: Malaysia perlu pelihara asas kenegaraan

Tarikh 31 Ogos lalu negara kita Malaysia memasuki tahun ke-56 kemerdekaan, dan  merayakan Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Ini bermakna sebagai sebuah negara yang berdaulat, kita telah membina negara yang meliputi wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan sebahagian pulau Borneo ini dalam satu tempoh yang panjang.

Tempoh 56 tahun ialah satu tempoh yang cukup untuk membentuk sebuah negara yang bersatu, mempunyai identiti kenegaraan yang jelas dan pemahaman tentang sebuah negara yang kukuh.

Malangnya, dalam tempoh kita merayakan ulangtahun kemerdekaan ke-56 dan Hari Malaysia ke-50, isu-isu dasar dalam pembinaan negara masih menjadi perkara yang berupaya mencetuskan kontroversi yang merimaskan.

Selepas 56 tahun merdeka, kita masih terpaksa menangani isu perbezaan bahasa dan sistem pendidikan, pertempungan budaya dan persaingan politik yang sering bersifat memecah-belah.

Hal-hal yang sepatutnya telah diselesaikan sejak awal atau sebelum kemerdekaan terus menjadi isu yang memanaskan debat sosial dan politik di negara kita.

Bahasa kebangsaan masih tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya, oleh mereka yang tidak senang dengan ciri penting negara Malaysia ini, malah oleh pemerintah yang ditunjangi oleh sebuah parti Melayu sendiri, apabila tiba-tiba memperjuangkan pembelajaran dan pengajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Terkini, pihak pemerintah turut menjadikan pencapaian dalam bahasa Inggeris sebagai salah satu keutamaan dalam sistem pendidikan, ketika banyak hal-hal asas yang lain masih memerlukan perhatian khusus.

Di seberang yang lain, wujud pula pihak yang sedaya upaya memperjuangkan satu identiti, nilai dan sistem yang berbeza dengan ide negara Malaysia yang kita kenali ini.

Pihak yang lain ini mengabaikan dan menolak bahasa kebangsaan, dan berusaha memastikan kelangsungan satu aliran yang bertentangan dengan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Aliran ini, yang salah satunya diwakili oleh kumpulan pendidikan Cina yang ekstrem dan sangat eksklusif, melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ide sebuah negara yang bersatu.

Tuntutan-tuntutan yang melampau dan eksklusivis menampakkan sikap kumpulan ini yang tidak menghormati perjanjian yang dicapai dalam menubuhkan negara ini.

Tidak keterlaluan dikatakan aliran ini enggan menerima asas-asas negara Malaysia ini, dan sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang sangat berbeza segala ciri dan identitinya.

Hal ini semakin sukar ditangani disebabkan kesatuan yang masih tidak kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia, ditambah lagi dengan politik populis yang menghalang usaha dan tindakan yang tidak popular.

Kita sering membandingkan pencapaian dan kelemahan kita dengan negara maju, misalnya apabila mengkritik sesuatu perkara yang berlaku dan berlanjutan di negara ini.

Dalam hal ini, apabila dibandingkan dengan negara maju, pemisahan ini dapat menunjukkan satu ciri kemunduran dan tidak bersatu yang jelas. 

Tidak akan ada kumpulan-kumpulan tertentu di negara maju seperti Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat yang boleh dapat memperjuangkan satu budaya yang berbeza dan bertentangan dengan asas-asas negara-negara tersebut.

Di negara-negara maju, hukum yang dipegang ialah pentingnya asimilasi dan usaha menyatukan seluruh rakyat berdasarkan asas-asas sesebuah negara, paling utama melibatkan bahasa.

Sikap yang eksklusif dipandang dengan penuh syak, dan dilihat sebagai sesuatu yang kurang melayakkan mereka yang terlibat itu untuk menjadi warga negara.

Setelah tertubuh sebuah negara bangsa, mereka yang menjadi warga dianggap telah menerima asas-asas negara tersebut, paling utama bahasa kebangsaan yang menjadi identiti dan penyatu rakyat yang berbilang etnik dan agama.

Rakyat negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat ini perlu memastikan asas-asas negara ini dipelihara dan diperjuangkan, walaupun mempunyai perbezaan politik kepartian.

Selepas 56 tahun merdeka, seluruh warga negara sepatutnya sudah mampu berfikir dan bertindak sebagai sebuah negara yang maju dari segi ini, dan memastikan kelangsungan dan kemakmuran negara kita Malaysia. - September 13, 2013

Monday, May 13, 2013

Peristiwa 13 Mei: Patut dilupakan atau dikaji?


Oleh RUSTAM A SANI

Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram: Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada kenyataan oleh timbalan perdana menteri.

Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan, namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih belum terjadi.

Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.

Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap realiti sosial dan politik negara itu.

Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.

Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu (sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat.  Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan politik di negara kita hingga kini.

Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).

Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.

Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.

Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang telah terjadi pada tahun 1969 itu.

Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.

Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu, laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.

Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.

Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak pembangkang.

Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.

Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun, kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.

Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu – yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.

Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.

Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.

Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.

Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.

Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin mereka yang bersifat fascist).

Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman" orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.

Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini. Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.

Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.

Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.

Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.

Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita bersama itu.

Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang terus menerus cetek dan dangkal.

 Artikel di atas ditulis oleh Allahyarham Rustam A Sani, dan diterbitkan pertama kali dalam akhbar Siasah bilangan 48 pada 2007.

Friday, March 8, 2013

Pencerobohan Sabah: Beberapa isu penting

Pencerobohan Sabah oleh pihak bersenjata dari Filipina telah berlanjutan hampir sebulan telah menambahkan lagi suasana panas politik dalaman kedua-dua negara Malaysia dan Filipina, dan segera sedang menampakkan dimensi serantaunya.

Politik domestik kedua-dua negara akan terkesan oleh peristiwa ini, yang kelihatan ditangani dengan berhati-hati oleh kedua-dua Kuala Lumpur dan Manila.

Filipina akan menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi, dan telah banyak bacaan berhubung permainan politik antara faksi di negara itu dijelaskan.

Kaitan antara bekas Presiden Gloria Macapagal-Arroyo dengan Jamalul Kiram III, yang bertanding dalam pilihan raya 2007 mewakili parti Arroyo dijadikan satu asas konspirasi peranan Arroyo.

Kaitan ini walau bagaimanapun dikritik sebagai konspirasi oleh pihak Presiden Benigno Aquino untuk memburukkan seteru politiknya itu.

Tetapi, Arroyo menunjukkan kaitan tersebut bukan hanya melibatkan Jamalul Kiram, tetapi juga Nur Misuari - pemimpin satu kumpulan Moro yang menunjukkan sokongan kepada pihak penceroboh - yang pernah diajak untuk menyertai pilihan raya di bawah tiket parti Arroyo, walaupun tujuan sebenarnya mencetus spekulasi.

Manila kini menghadapi tekanan ekoran perhatian yang kembali diberikan pada isu tuntutan Sabah, terutama apabila pemerintah dilihat berlembut terhadap tindakan Malaysia menyerang penceroboh yang berasal dari Filipina.

Tekanan ini dipercayai mendorong Manila mempertimbangkan usaha untuk membawa tuntutan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ICJ.

Di Malaysia, yang juga sedang melalui hari-hari terakhir mandat diperolehi sejak Mac 2008, hal berkaitan pilihan raya juga mendapat perhatian rapi semua yang terlibat dalam politik, sehingga menjadi berlebih-lebihan.

Naib Presiden PKR, Tian Chua awal-awal lagi telah mengeluarkan kenyataan yang mencetus provokasi, mengaitkan dengan mudah Umno dengan konflik Lahad Datu, walaupun kemudian beliau cuba menjarakkan diri daripada laporan media rasmi parti itu.

Pelbagai spekulasi dan kritikan dibuat untuk mengaitkan musuh politik dengan kejadian di Lahad Datu, walaupun kaitan yang jelas tidak dapat dikemukakan, mendedahkan amalan politik terkini yang buruk dan tidak berakhlak.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberi jawapan lebih jelas dan teratur terhadap beberapa persoalan berhubung isu ini, tanpa mengalih perhatian dengan memarahi wartawan dan secara mudah menyimpulkan semuanya sebagai rancangan Umno.

Hal ini lebih-lebih lagi disebabkan laporan awal mengaitkan pembangkang dengan kumpulan tersebut diterbitkan oleh agensi berita Reuters dan bukan mana-mana media Umno.

Anwar dikait dengan kejadian pencerobohan ekoran lawatan wakil PKR, Tian Chua dan R Sivarasa ke Manila tidak lama sebelum kejadian.

Banyak pihak juga telah memberi ulasan dan kritikan pada tahap operasi, yang sepatutnya tidak dibuat oleh pihak yang tidak berkepakaran dan tidak berada di lapangan dan terlibat dengan operasi.

Jelas sekali pelbagai dakwaan telah dibuat semata-mata untuk memburukkan pihak musuh politik, yang dalam kes ini ialah pihak pemerintah, khususnya menteri-menteri hal ehwal dalam negeri dan pertahanan.

Kritikan-kritikan yang dilihat mendedahkan sikap yang didasari pemahaman bahawa parti pemerintah dan pihak berkuasa polis dan tentera sebagai satu entiti yang sama, pemahaman yang sama dipegang sebahagian besar pemimpin dan penyokong parti pemerintah sejak sekian lama.

Pihak penentang parti pemerintah, yang mendakwa membawa satu pemahaman dan amalan politik yang baharu sewajarnya bersikap lebih matang dalam hal melibatkan keselamatan negara ini, dan tidak meremehkan dan memperlekeh dengan sewenang-wenang.

Pemerintah walau bagaimanapun tidak boleh dikecualikan terus daripada menanggung sebarang akibat pencerobohan kedaulatan negara ini, yang memerlukan satu siasatan mendalam menjelaskan bagaimana pencerobohan dapat dilakukan dan lengkap dengan kelengkapan senjata.

Kes ini juga menuntut dasar sempadan dan kerakyatan melibatkan kawasan seperti Sabah dinilai semula dengan lebh mendalam untuk mengelakkan kejadian seperti ini dan komplikasi lain pada masa akan datang.

Dari sudut politik domestik, peristiwa di Lahad Datu telah memberi pelbagai kesan kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang, melibatkan penangguhan siasatan pemberian kad pengenalan di Sabah dan kemungkinan pilihan raya di Sabah ditangguh jika darurat, yang boleh memberi implikasi negatif kepada kedua-dua BN dan PR.

Di pihak PR, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak didakwa akan menangguhkan lagi pilihan raya ke-13 disebabkan perkembangan di Sabah, negeri yang menjadi medan perebutan sengit BN dengan PR.

Seorang pemerhati asing, Luke Hunt, yang sering mengulas perkembangan politik Malaysia (termasuk laporan sensasi Anwar memberi laluan kepada anaknya Nurul Izzah), juga membuat andaian tersebut dalam tulisannya di laman The Diplomat.

Operasi bersenjata yang masih berterusan di Sabah menimbulkan pelbagai kemungkinan dan implikasi kepada politik negara, dan ini menuntut tindakan rasional semua pihak terbabit, sama ada pihak pemerintah dan juga pembangkang.

Asean juga bakal terkesan oleh insiden di Sabah ini, wilayah strategik kaya sumber hidrokarbon yang terletak berhampiran kawasan pertikaian Laut China Selatan dan di tengah-tengah antara China dan Australia.

Malaysia yang kini memberi tumpuan kepada Asean dalam hubungan luarnya mempunyai kepentingan untuk insiden ini tidak merebak dan mencetuskan hal-hal lain yang tidak diingini, terutama melibatkan hubungan dengan Filipina, negara jiran yang juga ahli Asean.

Asean kini berada dalam posisi penting melibatkan geopolitik baharu rantau sebelah sini, yang sedang menyaksikan persaingan kuasa besar Amerika Syarikat dengan China dan pertikaian yang melibatkan kedua-dua kuasa tersebut.

Walau apapun kelemahan Asean, ia tetap berpotensi menjadi platform penting yang diperlukan oleh negara-negara anggota dan kuasa besar yang berkepentingan di rantau ini.

Friday, March 16, 2012

Politik Malaysia: Persoalan perkauman dan ideologi (Bhg 3/3)

Oleh WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIF

Pendekatan kelas amat dipengaruhi oleh pemikiran Marx yang melihat masyarakat (termasuk masyarakat Malaysia) secara asasnya terbahagi kepada dua kelompok iaitu golongan pemodal (kapitalis-borjuis) dan pekerja (proletar).

Hubungan antara dua golongan ini dicirikan oleh eksploitasi dan permusuhan. Golongan pemodal yang kaya dan berkuasa mengeksploitasi buruh golongan pekerja (proletar).

Atas hakikat ini maka lahirlah permusuhan antara dua kelas ini (class antagonism). Bagi mereka yang menganut fahaman Marxis, fenomena eksploitasi dan permusuhan ini berlaku dalam sejarah kehidupan manusia sejak dulu hinggalah sekarang.

Semasa zaman feudal, kajian yang dibuat oleh Gullick (1958) memperlihatkan kepada kita betapa berkuasanya raja/sultan yang memerintah (the ruler) ke atas rakyat yang diperintah (the ruled).

Dari perspektif pemikiran Marxis hubungan antara yang memerintah dengan yang diperintah adalah hubungan yang bersifat eksploitatif.

Kepatuhan rakyat kepada raja diperkukuhkan dengan pelbagai isbat (sanctions) yang bersifat jelas seperti pelbagai hukuman yang dikenakan dan bersifat simbolis seperti terangkum dalam konsep daulat.

Di peringkat daerah, bentuk hubungan yang sama wujud antara pembesar daerah dan pengikutnya.

Begitu juga di peringkat kampung di antara elit tempatan khususnya tuan tanah (landlords) dan petani khususnya petani yang tidak memiliki tanah.

Bentuk hubungan yang wujud di pelbagai lapisan masyarakat, sebagaimana yang dikemukakan secara ringkas di atas, nampaknya membenarkan tanggapan Marx.

Kajian dikalangan masyarakat Melayu luar bandar oleh Syed Husin Ali (1975) juga membenarkan hakikat ini.

Sayangnya kajian yang menggunakan pendekatan kelas dalam kalangan masyarakat Cina dan India belum diterokai dengan secara yang lebih mendalam dan sistematis.

Berbeza dengan Marx, Weber (seorang ahli sosiologi Jerman yang terkenal) berpandangan bahawa perbezaan kelas (terutamanya kelas sosial) dalam kalangan masyarakat bukan semata-mata ditentukan oleh aspek kebendaan tetapi oleh rasa hormat yang tinggi (deference) kerana individu berkenaan memiliki ciri-ciri yang istimewa yang tidak ada pada individu lain.

Sebagai contoh, seorang professor universiti dihormati (dalam erti kata mempunyai status sosial yang tinggi) bukan disebabkan beliau memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi memiliki ilmu yang hebat.

Seorang imam di peringkat kampung dihormati bukan atas dasar beliau seorang yang berharta tetapi disebabkan oleh beliau memiliki sifat-sifat yang terpuji seperti warak.

Penghormatan ke atas Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang boleh dilihat dari perspektif yang sama.


Ciri bukan kebendaan (non-material) lain, selain rasa penghormatan yang tinggi, yang membezakan kelas sesaorang dengan yang lain, adalah gaya hidup (lifestyles).

Angkubah gaya hidup seperti lokasi perumahan, jenis rumah, hobi, bahasa percakapan harian, jenis hotel penginapan, jenis kenderaan yang digunakan dan sebagainya akan menentukan kelas sesaorang.

Dengan menggunakan kayu ukur inilah maka pengkaji seperti Syed Husin Ali (1972) berhujah mengatakan pimpinan tertinggi politik Barisan Nasional (terdiri dari Melayu, Cina dan India) adalah tergolong dalam kelas yang sama.

Ini juga bermakna faktor ras atau perkauman tidak lagi relevan dalam perkiraan penentuan kelas. Pandangan ini mempunyai kekuatan hujahnya yang tersendiri.

Cuma apa yang menjadi masalah atau problematik dari sudut analisis kelas ialah apabila golongan elit politik atasan dikaitkan dengan golongan bawahan.

Tidak menjadi masalah untuk elit politik pelbagai ras bersatu dalam satu kelas yang tersendiri berdasarkan gaya hidup yang mereka ikuti.

Walau bagaimanapun, golongan bawahan pelbagai ras masih tidak mampu untuk bersatu dalam satu kelas bagi tujuan "menentang" golongan atasan.

Ini tidak menafikan hakikat bahawa golongan bawahan pelbagai ras mempunyai gaya hidup yang sama iaitu mereka semua dibelenggu oleh fenomena kemiskinan.

Ini juga bermakna hubungan antara golongan atasan dengan golongan bawahan tidak didasari oleh permusuhan kelas (class antagonism).

Sudah semestinya terdapat penyuaraan "permusuhan" dalam kalangan orang Melayu yang miskin kepada orang Melayu yang kaya.

Begitu juga halnya di kalangan masyarakat bawahan Cina dan India. Tetapi suara-suara yang memprotes ketidakadilan ini tidak dapat digembelingkan dalam satu kolektiviti yang menyeluruh yang merentasi sempadan perkauman.

Ia tidak boleh berfungsi sebagai satu tenaga atau kuasa yang kuat yang boleh menggugat kedudukan golongan atasan atau borjuis.

Bagi Marx, manifestasi kelas yang wujud secara dalaman dalam kalangan golongan bawahan yang tidak mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-in-itself.

Sebaliknya kelas bawahan yang mampu merubah status quo politik yang ada dikenali sebagai class-for-itself.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, pada tahun 1960-an, sebagaimana yang dihujah oleh Swift dalam kajiannya terhadap masyarakat Melayu di Jelebu, Negeri Sembilan, mendapati masyarakat Melayu tidak memiliki kesedaran kelas (class consiousness) tetapi lebih kepada kesedaran sinis (cynical awareness).


Gerakan reformasi pada akhir 1990-an yang diikuti dengan pilihan raya umum 1999 bagaimana pun telah merubah persepsi di atas. Perubahan politik ini dilihat oleh sebahagian pengkaji sebagai suatu perubahan politik yang agak radikal.

Mereka melabel perubahan ini sebagai "politik baharu" Malaysia. Hasil dari "politik baharu" ini ada tanda-tanda yang memperlihatkan bahawa golongan bawahan mampu bersatu merentasi sempadan perkauman dalam menyuarakan hal-hal yang berkaitan dengan keadilan dan pengagihan.

Peranan gerakan Islam seperti PAS adalah penting dalam membentuk nilai dan gerakan dalam era "politik baharu" ini bukan dalam bentuk menaja permusuhan kelas tetapi menyediakan program-program yang pelbagai (ekonomi, politik dan sosial) bagi merealisasi secara praktikal gagasan keadilan pengagihan (distributive justice) yang selari dengan tuntutan al-adl wa al-ihsan sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.


Dari sudut perbahasan teoritis, pendekatan yang menggunakan paradigma ras atau perkauman tidak bersifat ideologikal.

Ini kerana perkauman itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk ideologi kerana secara lazimnya idelogi didefinisikan sebagai satu sistem pemikiran (a system of ideas).

Dari perspektif ini, usaha-usaha untuk memahami realiti politik Malaysia dengan menggunakan pendekatan kelas adalah lebih bersifat idelogikal.

Secara yang khusus, Islam bukanlah sebuah ideologi yang terbit dari pemikiran manusia; ia adalah wahyu Allah. Walau bagaimanapun, Islam sebagai satu sistem yang syumul untuk mentadbir kehidupan manusia, maka dari sudut ia memiliki ciri "ideologi."


Persoalan idelogi mungkin menjadi suatu yang signifikan sebagai instrumen bagi menganalisis politik Malaysia, sekiranya ada usaha yang serius untuk membina sub-bidang pemikiran politik Malaysia ini.

Pemikiran politik sudah semestinya bersifat ideologikal. Dominannya BN (sebelum Pilihan Raya Umum ke-12) dalam politik Malaysia yang bergerak atas pertimbangan pragmatisme, menyebabkan kerelevanan ideologi sebagai satu kaedah untuk memahami realiti politik Malaysia, terus terpinggir.

Sekiranya DAP yang perjuangannya berpegang kepada ideologi democratic socialism, PAS dengan ideologi Islamnya dan PKR dengan ideologi social justice diberi peluang memainkan peranan yang dominan dalam politik Malaysia, maka persoalan ideologi sebagai satu instrumen bagi menganalisis dan juga mentakrif politik Malaysia akan sudah semestinya menjadi lebih penting.

Dalam hal ini sudah semestinya PAS akan menjuarainya kerana ideologi Islam sebagai asas perjuangannya adalah untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran dan kesejahteraan hidup tanpa dibebani dengan persoalan perkauman.


Penulis ialah bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan pengarang Teori Domino: PRU 13 BN Tumbang terbitan Jundi Resources.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...