Showing posts with label Ideologi. Show all posts
Showing posts with label Ideologi. Show all posts

Monday, May 22, 2017

Pakatan Sunni-Israel: Imaginasi atau realiti?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Lawatan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan ucapannya semalam memberi gambaran jelas satu kesepakatan yang diusahakan oleh Amerika Syarikat bersama Arab Saudi, negara-negara Arab sekutu dan Israel. Perkembangan terkini sejak Trump menjadi presiden menjelaskan lagi satu pakatan yang telah diusahakan sejak llebih sedekad lalu. Artikel di bawah ini yang pertama kali diterbitkan pada 27 Disember, 2012 merakamkan sejarah rancangan ini, termasuk percaturan dan perdebatan yang berlangsung dalam membina kerjasama politik ini.


Tahun 2012 menyaksikan pergolakan yang sengit dan berpanjangan melibatkan kuasa-kuasa serantau dan global di rantau Asia Barat, menjadikannya tumpuan utama masyarakat dunia.

Satu persaingan yang menjadi tumpuan dan mencetuskan sentimen ialah persaingan antara kuasa-kuasa Arab bersama Turki dengan Iran dan sekutunya Syria, yang menjadi satu isu utama dunia Islam.


Di seberang gabungan Iran dan sekutu ialah kuasa-kuasa Arab Saudi dan Qatar yang mendominasi Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dan Liga Arab, dan Turki.

Iran dan sekutunya Syria pada masa sama juga ialah musuh yang dianggap sebagai ancaman kepada Israel, yang hubungannya dengan Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kelihatan tertumpu pada isu nuklear Iran.

Persaingan sengit yang menggerakkan pelbagai tindakan Saudi, Qatar dan sekutu ini kelihatan selari dengan kepentingan Israel, sehingga menampakkan kewujudan satu pakatan tidak formal dan kerjasama antara kuasa-kuasa Arab terbabit dengan Israel, walaupun pada permukaan kelihatan bermusuh.

Perkembangan melibatkan Syria, usaha mengalih sokongan dan bantuan kepada Hamas daripada Iran kepada kuasa-kuasa Arab dan kerjasama menangani Iran menunjukkan satu bentuk pakatan Arab Sunni dengan Israel, walaupun dalam bentuk yang tidak sepenuhnya jelas.

Dalam sejarah terkini, perkembangan terkini melibatkan pakatan menentang Iran ini bermula ekoran kejatuhan rejim pimpinan Presiden Saddam Hussein di Iraq, yang membuka ruang kepada peningkatan kuasa politik masyarakat Syiah, yang dilihat sebagai kesinambungan atau mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Iran.

Kenyataan pemimpin Jordan, Raja Abdullah tentang apa yang dilihat sebagai ancaman Iran dan Syiah ini mencetuskan debat panjang berhubung "bulan sabit Syiah" iaitu satu kawasan dikuasai Iran di dunia Arab dan juga dalam kalangan akademik dan pembuat dasar di Amerika Syarikat, yang kemudian memberi kesan kepada dasar luar AS di rantau Asia Barat.

Persepsi ancaman seperti ini, yang mudah untuk diperbesarkan atau dipermudahkan untuk tujuan politik kemudian membentuk menjadi satu isu yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kuasa-kuasa Arab, walaupun sebenarnya mempunyai penjelasan yang lebih mendalam, terutama berhubung kepentingan Iran dan tindakan yang sedia dilakukan untuk memelihara kepentingannya di Asia Barat.

Persepsi ancaman Iran-Syiah ini semakin kuat ekoran perang Hizbullah dengan Israel pada musim panas 2006, yang dinilai sebagai satu kejayaan Hizbullah yang disokong Iran, sehingga menjadikan kumpulan Syiah Lubnan ini popular di dunia Arab.

Populariti ini mempunyai potensi untuk meningkatkan pengaruh Iran di dunia Arab, dan hakikat bahawa Hizbullah berpegang kepada aliran Syiah membuka peluang kepada aliran ini tidak dilihat secara negatif ekoran episod ini.

Menyedari sentimen Arab yang berasa terancam ekoran kesan perang Hizbullah-Israel, Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel yang kini felo di badan pemikir berpengaruh Institusi Brookings, mencadangkan satu pakatan melibatkan negara-negara Sunni dengan Israel, sebagai satu usaha menangani pengaruh Iran.

Rejim-rejim Arab Sunni yang bimbang dengan pengaruh paksi Iran-Syria dilihat mempunyai kepentingan yang sama dengan Israel, yang terancam oleh pakatan didominasi Iran itu, lebih-lebih lagi berkait kedudukan Syria sebagai negara jirannya yang berperanan penting dalam memelihara kumpulan seperti Hizbullah dan Hamas.

Selain Lubnan yang dari segi praktiknya masih berperang dengan Israel, Syria satu-satunya jiran yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu. Mesir dan Jordan mengekalkan hubungan baik dengan Israel.

Seorang akademik dari Universiti Columbia, Gary G Sick juga mempunyai pandangan yang sama, menegaskan strategi baharu anti-Iran ini mula muncul ekoran perang Hizbullah-Israel pada 2006, yang semakin menyedarkan rejim-rejim Arab Sunni tentang peningkatan pengaruh Iran.

Perkembangan strategi baharu ini dilaporkan wartawan Seymour Hersh dalam majalah The New Yorker pada 2007. Strategi yang disifatkan mereka yang terlibat sebagai satu perubahan besar itu menyaksikan kerjasama rapat AS dengan Saudi untuk melemahkan pakatan Iran-Syria dan Hizbullah.

Laporan Hersh itu mendedahkan sokongan kewangan Saudi kepada Ikhwan al-Muslimin Syria, elemen terkuat dalam pembangkang Syria. Sokongan kepada Ikhwan ini diberikan untuk membina penentang yang kuat kepada rejim Bashar al-Assad.

Ikhwan pada masa ini ialah kumpulan terbesar dalam pakatan penentang kerajaan Syria yang telah pun menerima pengiktirafan AS, Saudi, Qatar, Turki dan sekutu-sekutu.

Strategi digelar pakatan Sunni-Israel ini terus mendapat perhatian dalam kalangan akademik dan pemerhati dasar luar AS. Pendekatan ini dilihat sebagai pilihan yang wajar dilaksanakan untuk menyusun semula aturan kuasa di Asia Barat bagi memenuhi kepentingan AS dan sekutu pentingnya, Israel dan negara-negara Arab.

Malah, menjelang 2007, pilihan yang sukar itu juga semakin menjadi opsyen bagi pemimpin-pemimpin Israel, disebabkan perkongsian kebimbangan terhadap pengaruh Iran.

Seorang pemerhati melihat pakatan Sunni-Israel yang sedang terbentuk itu, yang menyaksikan peranan penting Arab Saudi, akan membuka ruang kepada perdamaian di rantau Asia Barat. Isu penting yang sama; menangani peningkatan pengaruh Iran yang dilihat sebagai ancaman oleh Israel dan Arab Sunni, dinilai sebagai faktor yang membenarkan strategi baharu ini terlaksana.

Seorang wartawan pro-Israel di AS, Jeffrey Goldberg, penulis di majalah The Atlantic, mengulas potensi dan kepentingan projek ini dalam satu tulisannya pada 2009. Goldberg menjelaskan pemerhatiannya bahawa rejim-rejim Arab kelihatan lebih bersikap kritikal terhadap Iran, melebihi yang ditunjukkan oleh pemimpin Israel.

Di Israel, sikap yang sama terhadap pakatan ini juga telah kelihatan. Seorang penulis di media Israel Ynetnews, menggesa Riyadh melakukan tindakan drastik menjalin kerjasama dengan Israel demi memastikan kelangsungan rejim itu.

Saudi dan Israel disifatkan sebagai pihak yang berkongsi kepentingan yang sama berhubung Iran dan perlu mengambil langkah bersama menangani ancaman itu.

Satu laporan akhbar Israel, Haaretz pada April 2012 lalu menunjukkan satu bentuk persefahaman berdasarkan kepentingan bersama, terutama ekoran kebangkitan rakyat yang semakin berleluasa di rantau Asia Barat.

Perkembangan sejak 2010 memperlihatkan hubungan yang terus diperkukuhkan antara AS dan sekutu penting di dunia Arab seperti Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, yang kedua-duanya mencapai perjanjian jual beli senjata bernilai puluhan bilion dolar AS.

Rancangan ini ialah sebahagian usaha mengukuhkan sekutu kalangan negara Arab sekitar Teluk Parsi, negara yang bakal berada di barisan hadapan sekiranya tercetus konflik bersenjata melibatkan Iran.

AS di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama meluluskan pakej jualan senjata bernilai AS$60 bilion kepada Arab Saudi, melibatkan beberapa jenis pesawat termasuk F-15 dan helikopter Apache.

Tahun 2011, sebagai sebahagian pakej AS$60 bilion urus niaga senjata itu, Riyadh diluluskan untuk membeli pesawat F-15 bernilai AS$30 bilion.

Tahun yang sama, UAE menyempurnakan perjanjian pembelian sistem pertahanan pemintas peluru berpandu dari syarikat AS bernilai AS$3.5 bilion.

Israel yang tidak menunjukkan penentangan kepada penjualan senjata besar-besaran kepada Riyadh seperti ditunjukkan semasa penjualan senjata kepada negara-negara Arab pada 1980-an, paling utama jualan pesawat pemantau Awacs pada 1981, menunjukkan petanda persefahaman kedua pihak menghadapi musuh bersama, Iran.

Tahun 2012, Washington turut mencadangkan pembinaan sistem pertahanan peluru berpandu untuk melindungi negara-negara ahli GCC daripada serangan peluru berpandu Iran.

Penjualan senjata besar-besaran ini berlaku pada masa yang kritikal melibatkan hubungan negara-negara Arab tersebut dengan Iran, yang merupakan ancaman yang mendorong urus niaga senjata tersebut, dan dilihat sebagai perubahan strategi yang nyata oleh AS dalam persediaan menghadapi konflik di rantau itu.

Perkembangan terkini di dunia Arab terutama melibatkan konflik Syria yang menjadi manifestasi utama pendekatan baharu kuasa-kuasa Arab serantau ini menunjukkan satu kerjasama didasari kepentingan bersama sedang berjalan.

Agenda berhubung Syria yang mempunyai sisi sektarian yang besar menyukarkan untuk kewujudan kerjasama negara-negara Sunni dengan Israel untuk dinafikan, lebih-lebih lagi dengan Israel menjadi pihak yang mendapat manfaat besar sekiranya paksi diketuai Iran dilemahkan.

Pemilihan istilah pakatan Sunni walau bagaimanapun boleh mencetuskan kekeliruan ekoran tafsiran simplistik yang diberikan, dengan menjadikan ideologi sebagai identiti dan penyatu.

Hal yang sama telah dicetuskan oleh istilah Syiah, yang digunakan dengan mudah untuk menyifatkan kuasa-kuasa yang pelbagai seperti Iran, Syria, Hizbullah, Hamas dan kumpulan-kumpulan Syiah di negara-negara Teluk Parsi.

Dari satu sudut, istilah Syiah digunakan untuk mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pihak yang kritikal terhadap sekte ini.

Syiah dalam hal ini digunakan sebagai kata ganti untuk menyifatkan pakatan politik ini, yang dasarnya tidak semestinya aliran agama tetapi juga kepentingan geopolitik dan tempatan.

Pakatan yang digelar paksi Syiah ini malah juga melibatkan kepentingan kuasa-kuasa luar seperti Rusia, yang asas sikapnya ialah perkiraan geopolitik.

Istilah pakatan Sunni-Israel ini juga, seperti digunakan pencetusnya dalam kalangan pemikir dasar luar AS, secara mudah menggunakan istilah Sunni untuk menyifatkan pakatan yang asasnya ialah sikap anti-Iran, atau lebih tepat lagi Iran seperti yang wujud hari ini.

Sekiranya berlaku perubahan rejim di Iran sehingga memunculkan pemerintahan baharu yang berbeza nilai dan kecenderungan aliansinya sehingga selari dengan kepentingan pesaingnya sebelum perubahan, aliran agama tadi akan diabaikan dan tidak diperbesarkan seperti disaksikan sekarang.

Pakatan Sunni-Israel dilihat oleh pendukungnya menggabungkan semua negara Arab Sunni monarki di Teluk Parsi dan juga Jordan, republik Mesir dan Turki.

Walau bagaimanapun, gabungan yang berkongsi kepentingan berhubung menangani pengaruh Iran ini tidak semestinya digerakkan oleh aliran agama mereka.

Pihak yang paling memusuhi Iran dalam kalangan negara Arab ialah Arab Saudi (di bawah kepimpinan pada masa ini dan berdasarkan pendirian pada masa ini), yang mempunyai pengaruh kuat terhadap dunia Arab terutama jiran-jiran di Teluk Parsi.

Walaupun perancangan terhadap Syria dan paksi dipimpin Iran memperlihatkan kepentingan yang selari, negara seperti Qatar, Mesir dan Turki juga mempunyai kepentingan untuk mengimbangi hubungan dengan Iran, sebagai sebahagian strategi pragmatik memelihara kepentingan masing-masing.

Dua negara republik Mesir dan Turki juga kelihatan mempunyai gagasan dasar luar yang berbeza daripada yang dipegang gabungan Arab diketuai Saudi, dan kelihatan mempunyai kepentingan untuk lebih merapatkan hubungan dan meningkatkan lagi pengaruh di dunia Arab.

Qatar, Mesir dan Turki mempunyai agenda dasar luar yang lebih bebas dan tidak semestinya selari dengan agenda Saudi dan sekutu.

Arab Saudi, negara berpengaruh dunia Islam kini telah mencetuskan agenda yang tidak selari dengan kepentingan umat ekoran keperluan memelihara rejim dan kepentingannya di rantau Asia Barat, dengan kini mendominasi hala tuju GCC dan juga Liga Arab.

Riyadh kini sedang mengusahakan kesatuan yang lebih rapat melibatkan negara-negara monarki Teluk Parsi dan telah berjaya menyingkirkan Syria daripada Liga Arab.  

Kebangkitan rakyat di dunia Arab kini telah membawa kepada satu perkembangan yang lebih kompleks dan mencetuskan akibat-akibat yang mencetuskan kekacauan, kemusnahan dan pecah belah.

Perkembangan ini menunjukkan kemelut melanda dunia Islam yang kritikal disebabkan persaingan kuasa sehingga mendedahkan umat kepada krisis dan konflik yang melemahkan. - 27 Disember, 2012

Monday, October 3, 2016

Geopolitik kepimpinan dunia Sunni

Oleh HARIS ZALKAPLI

Persaingan merebut kuasa dan pengaruh dalam dunia Islam, terutama melibatkan rantau Asia Barat antara Arab Saudi dan sekutu dengan Iran meningkat sejak lebih sedekad lalu, apabila kemunculan satu wilayah disebut "bulan sabit Syiah" dari Syam hingga ke Iraq mencetuskan kebimbangan kuasa-kuasa Arab serantau.

Kuasa-Kuasa Arab diketuai Arab Saudi dan Qatar meningkatkan usaha mengekang Iran dan sekutunya, yang satu kemuncaknya ialah tekanan terhadap Syria dan kumpulan-kumpulan Islam di Syam, yang dinaungi dan mendapat sokongan Tehran.

Selari dengan kempen politik dan bersenjata itu, sentimen sektarian digerakkan di seluruh dunia Islam, hingga dapat dilihat hampir wujud satu kesatuan anti-Syiah yang berleluasa di seluruh dunia Islam dari Asia Barat hingga ke Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, kerjasama kuasa-kuasa Arab yang kelihatan bersatu hati untuk menjatuhkan rejim Bashar al-Assad dan menyekat peningkatan pengaruh Iran itu kini berdepan cabaran lain, melibatkan kepimpinan dunia Islam Sunni.

Sejak kemunculan pelbagai kumpulan militan ekoran konflik di Syria, dan terutama sekali sejak kemunculan kumpulan digelar Negara Islam di Iraq dan al-Syam, ISIS, yang kini menggiatkan pengambilan rekrut dari seluruh dunia, aliran Salafi seperti yang menjadi pegangan Arab Saudi mula menerima penilaian kritikal dunia Islam, pada masa sama hubungan Saudi dengan kuasa besar Amerika Syarikat turut terjejas.

Ketika persaingan Saudi-Iran untuk menguasai dunia Islam masih berlangsung, persaingan antara kuasa-kuasa Arab Sunni telah tercetus, dan berpotensi menjadi lebih sengit dan kritikal.

Persaingan untuk menguasai dunia Islam Sunni ini melibatkan Arab Saudi yang masih memegang kedudukan  dominan, Qatar yang menyokong gerakan Ikhwan al-Muslimin dan Emiriyah Arab Bersatu yang sekular tetapi menggunakan aliran Sufi dan menguasai al-Azhar, menyaingi kedua-dua Saudi dan Qatar.

Satu perkembangan paling penting persaingan ini ialah persidangan di Grozny, Chechnya pada hujung Ogos lalu, melibatkan tokoh-tokoh dunia Sunni terpilih, yang mempunyai hubungan baik dengan Emiriyah dan Universiti al-Azhar, institusi pengajian Islam terkemuka dunia Sunni yang berhubungan baik dengan pemerintahan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Persidangan ini, yang bertujuan menjelaskan "siapakah ahl al-Sunnah wa al-Jamaah" dilaksanakan dengan kerjasama pihak-pihak yang secara langsung terlibat dalam persaingan kepimpinan dunia Sunni, iaitu Yayasan Tabah - satu instrumen dasar luar Emiriyah, melalui penyebaran pendekatan sufi dan pengasingan daripada kegiatan politik - pimpinan Habib Ali al-Jifri yang berpangkalan di Abu Dhabi, dengan kerjasama badan kebajikan Akhmadovich Kadyrov, pertubuhan milik Presiden Chechnya Ramzan Kadyrov.

Hasil persidangan menjelaskan takrif Sunni, yang meliputi aliran Ashari dan Maturidi, empat mazhab fiqh yang diiktiraf dan sufi, aliran yang menjadi pegangan pihak penganjur, Emiriyah dan Chechnya. Takrif ini tidak menyertakan aliran Salafi, dan segera mencetuskan kemarahan Arab Saudi.

Penglibatan tokoh-tokoh agama dari Mesir (tanpa kehadiran wakil Saudi), masa (semasa perkembangan politik di Syria menyaksikan perubahan) dan pemilihan lokasi persidangan (di Rusia yang sedang membina hubungan baik dengan dunia Islam Sunni), dapat dilihat bahawa pertemuan ini disusun sebagai satu program penting dalam persaingan geopolitik kuasa-kuasa yang terlibat.

Selepas beberapa tahun konflik Syria, yang menyaksikan Assad kekal sebagai pemerintah, penyelesaian melalui pertempuran kelihatan semakin sukar dan tumpuan mula teralih ke ISIS dan kumpulan-kumpulan militan yang dilihat berkongsi aliran Wahhabi dengan Saudi, perkiraan hampir semua pihak terbabit mula berubah, dan ini terlihat melalui kerjasama di sebalik persidangan di Chechnya.

Perkembangan terkini di Syria bermakna agenda Qatar dan Arab Saudi semakin jauh daripada terlaksana, pada masa sama pengaruh Rusia dan sekutu sedang mengukuh. Kesempatan ini diambil oleh Emiriyah untuk meningkatkan usaha meminggirkan dua pesaingnya, Saudi, dan Qatar yang menggunakan proksinya, gerakan Ikhwan.

Kepimpinan Saudi cuba dikukuhkan melalui kerjasama menangani Iran, dan terbaharu melalui satu pakatan ketenteraan yang masih lagi terlibat dalam perang di Yaman, yang Iran dan Syiah disebut sebagai ancaman. Emiriyah turut menyertai operasi ini, tetapi Abu Dhabi mempunyai perancangan tersendiri untuk mengukuhkan penguasaannya di negara selatan Arab Saudi itu. Satu kepentingan bersama kedua-dua negara itu di Yaman ialah menyekat kemaraan kumpulan al-Islah, yang mempunyai kaitan dengan Ikhwan al-Muslimin.

Hal yang sama berlaku di Mesir. Emiriyah dan Saudi bersama membantu al-Sisi sebagai kuasa untuk menyekat Ikhwan, tetapi Emiriyah jelas menunjukkan perancangan tersendiri termasuk melibatkan al-Azhar. Emiriyah yang telah mula menghulurkan bantuan kepada Mesir sejak Mohamed Morsi dijatuhkan kelihatan menggunakan sepenuhnya pengaruhnya ini untuk mendapatkan sokongan melalui pengaruh al-Azhar, mengatasi Saudi yang turut sama membantu kerajaan al-Sisi.

Nama-nama besar yang hadir ke persidangan Chechnya dari Mesir termasuk Imam Besar al-Azhar Ahmad al-Tayeb (yang juga mengetuai Majlis Hukama, sebuah lagi instrumen dasar luar Emiriyah untuk menghadapi Ikhwan dan meluaskan pengaruh serantau), Mufti Mesir Shawki Allam, bekas mufti Mesir Ali Jum'ah, dan Usama al-Azhari, penasihat agama Presiden al-Sisi. Mufti Damsyik, yang juga penasihat kepada Presiden Bashar al-Assad, turut hadir.

Selain hubungan baik dengan Emiriyah, senarai kehadiran ini juga menjelaskan hubungan semakin baik Mesir dengan Rusia, yang mula membina hubungan lebih bermakna dengan Kaherah selepas hubungan Mesir-Amerika Syarikat terjejas.

Persidangan ini menunjukkan dengan jelas satu kerjasama Emiriyah-Rusia-Mesir untuk meminggirkan Arab Saudi dan aliran Salafinya, dan gerakan politik Ikhwan al-Muslimin dari arus perdana dunia Islam Sunni.

Rusia mempunyai satu sejarah panjang tersendiri yang menjelaskan pendiriannya terhadap Wahhabi, sejarah yang berlangsung dengan rancak semasa Perang Dingin. Kerjasama Saudi dengan AS menentang Kesatuan Soviet membuka ruang penyebaran fahaman Wahhabi, yang merebak hingga ke Afghanistan dan kemudian ke Kaukasus, yang menjadi satu medan perang dalaman yang amat sukar bagi Rusia.

Bagi Rusia, Wahhabi ialah sekutu kepada musuhnya AS. Peningkatan Wahhabi dalam dunia Islam termasuk di wilayah Rusia terkait langsung dengan bantuan daripada Washington sepanjang Perang Dingin.

Di sinilah keluarga Kadyrov memainkan peranan, sebagai sekutu kuat kerajaan Rusia dalam memerangi aliran Wahhabi dan Salafi dengan mengangkat aliran Sufi yang tidak melibatkan diri dengan politik, sekaligus menumpulkan penentangan terhadap Moscow. Program ini berjalan dengan agresif di bawah pemimpin Chechnya pada masa ini, yang kekal sebagai sekutu kuat Presiden Vladimir Putin.

Persidangan Chechnya itu memenuhi keperluan Rusia ini, melibatkan politik Chechnya dan juga dasar luarnya terhadap dunia Islam pada masa kini. Ekoran imej buruk dikaitkan dengan rejim Syria, Moscow bekerjasama dengan Abu Dhabi dalam usaha menyaingi kepimpinan dunia Sunni, dengan cara meminggirkan Saudi dan aliran agama pegangannya.

Dasar luar Emiriyah menggunakan pendekatan Sufi digerakkan oleh Yayasan Tabah memberikan satu alternatif kepada Islam politik aliran Ikhwan, yang kesannya dapat dilihat hingga ke Asia Tenggara, satu medan persaingan sengit melibatkan parti-parti politik Islam. Di Malaysia sebagai contoh, aktiviti gerakan ini mula agresif sekitar masa yang sama parti politik Islam PAS mula meningkatkan penguasaan dalam politik.

Sebuah lagi instrumen dasar luar Emiriyah, Majlis Hukama, kini turut meningkatkan peranan dalam wacana isu-isu umat Islam. Majlis ini yang ditubuhkan pada 2014 ialah pencabar kepada Kesatuan Ulama Islam Sedunia, pertubuhan ulama gerakan Islam berpangkalan di Doha, Qatar, pimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi.

Perkembangan ini juga semakin menampakkan kemerosotan Arab Saudi, yang selama ini dapat menguasai Mesir dan negara-negara kecil dalam Majlis Kerjasama Teluk, GCC. Kemerosotan penguasaan Riyadh terhadap Mesir jelas kelihatan apabila Emiriyah berupaya menguasai institusi agama penting al-Azhar, dan menggerakkan dasar luar yang selari dengan pentadbiran al-Sisi.

Perkembangan terbaru ini juga memperlihatkan persaingan kuasa yang semakin sengit, pada masa kepentingan kuasa-kuasa terlibat mula memperlihatkan perbezaan walaupun mempunyai matlamat besar yang sama. Dasar luar negara-negara terbabit akhirnya mengambil haluan yang berbeza dan bertentangan.  Ini disaksikan di Libya, yang Qatar dan Emiriyah pada awalnya terlibat bersama Barat menjatuhkan Muammar Gaddafi, tetapi kini berada di dua pihak yang bertentangan. Hal yang sama juga berlaku di Syria dan terkini, Yaman.

Ketakutan Saudi ini dijelaskan oleh pelbagai perkembangan terkini, terutama perjanjian nuklear Iran dan kuasa-kuasa besar termasuk AS, yang hubungan baiknya dengan Saudi kelihatan berpotensi terjejas akibat pemulihan hubungan dengan Iran.

Satu tandanya dapat dilihat melalui satu tulisan Menteri Luar Iran, Muhammad Javad Zarif dalam akhbar New York Times pada 13 September lalu, mengajak dunia menghapuskan ajaran Wahhabi. Semua perkembangan ini menunjukkan Saudi semakin terpinggir, dengan pesaing-pesaing semua merapatkan kerjasama menghadapinya.

Tuesday, December 23, 2014

Kenapa Mesir mahu tangkap Qaradawi?

Oleh HARIS ZALKAPLI

Di dunia Arab, tiga negara kini berada di barisan paling hadapan dalam kempen menentang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin; Arab Saudi, Mesir, dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), yang mendapat sokongan rejim-rejim Arab lain.

Di satu pihak lain, Qatar dan Turki menjadi penyokong kuat Ikhwan, dengan Qatar menjadi pendana dan pelindung politik utama kepada Ikhwan di seluruh dunia Arab. Turki di bawah Recep Tayyip Erdogan dan Ahmet Davutoglu turut menjadi sekutu rapat Ikhwan. Hamas berada dalam kem yang sama dengan Ikhwan al-Muslimin, dan pada dasarnya boleh dianggap sebagai sebahagian Ikhwan, walaupun pecahan dalam agak lebih kompleks.

Satu pihak lagi ialah Iran dan Syria, dan sekutu-sekutu bukan negara mereka seperti Hizbullah, Hamas, dan Jihad Islami. Kumpulan ini dimusuhi oleh kedua-dua kumpulan di atas kerana pelbagai isu terutama melibatkan penguasaan di dunia Arab.

Perkembangan yang berlaku di dunia Arab pada masa ini, yang ada kalanya tidak dikaitkan dengan kebangkitan Arab yang bermula pada 2011 seperti pergolakan terkini di Yaman dan tekanan ke atas Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkait langsung dengan kempen anti-Ikhwan dan anti-Qatar oleh kuasa-kuasa lama Arab.

Mesir yang dikuasai Ikhwan, yang disokong Qatar telah ditamatkan riwayatnya dengan kejatuhan Presiden Mohamed Morsi. Kuasa baharu di sana kini disokong oleh Arab Saudi dan sekutunya di Teluk, Emiriyah dan Kuwait.

Sejurus selepas Morsi dijatuhkan, Arab Saudi, Emiriyah dan Kuwait segera menjanjikan bantuan sebanyak AS$12 bilion, sebagai usaha mengatasi pengaruh Qatar dan menarik Mesir ke pihak mereka.

Ini bermakna, tindakan Mesir terhadap al-Qaradawi dan Ikhwan ini berkait langsung dengan kepentingan bersama Saudi, Emiriyah dan Kuwait yang kini menjadi pendukung Mesir.

Dalam usaha mengekang kebangkitan Qatar dan Ikhwan, pakatan Saudi, Mesir dan Emiriyah meningkatkan tekanan ke atas Qatar yang kini diperintah oleh emir baharu yang jauh kurang pengaruhnya berbanding emir sebelumnya.

Qatar menjadi sasaran penting kerana sebagai pendana dan pendukung Ikhwan, Qatar yang lemah akan bermakna Ikhwan di seluruh dunia Arab akan kehilangan penaung dan turut menjadi semakin lemah.

Qatar mempunyai dua aset penting sebagai instrumen dasar luarnya yang digunakan untuk mengukuhkan pengaruh, sambil membina orde baharu Ikhwan di dunia Arab, yakni stesen televisyen al-Jazeera dan ilmuan al-Qaradawi. Tindakan ke atas al-Qaradawi mampu melemahkan Qatar yang bergantung kepada ilmuan ternama ini untuk keabsahan dan prestij dalam dunia Islam.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Qatar semakin tidak disenangi negara-negara Arab lain kerana dasar luarnya itu, tetapi tindakan terhadapnya hanya dapat dilakukan dengan lebih kuat selepas emir lama turun takhta dan pakatan baharu dikukuhkan antara negara-negara Arab anti-Ikhwan.

Antara rungutan utama Emiriyah ialah al-Qaradawi yang lantang bersuara menyokong Ikhwan di negara jiran Qatar itu, selain menunjukkan sokongan kepada Ikhwan di Mesir, negara asalnya yang kini dikuasai oleh kem anti-Ikhwan.

Al-Qaradawi telah menunjukkan sokongan terhadap dasar luar Qatar dan Ikhwan serantau. Beliau memberi sokongan kepada Ikhwan di Emiriyah, Mesir dan menyatakan sokongan jelas kepada Erdogan semasa menjadi perdana menteri Turki dalam kes protes di Gezi, yang disifatkan Qaradawi sebagai satu "plot antarabangsa" untuk menjatuhkan Erdogan.

Tindakan memanggil pulang duta dari Qatar diketuai oleh Saudi beberapa bulan lalu memulakan satu tindakan bersepadu terhadap negara pangkalan Ikhwan itu. Tindakan protes itu didorong oleh isu utama dasar luar Doha yang menyokong Ikhwan, dengan al-Qaradawi menjadi satu senjata pentingnya.

Selepas itu, dapat diperhatikan yang Qatar mula menunjukkan perubahan sikap, walaupun sedikit, dalam mengimbangi hubungannya dengan Ikhwan dan negara-negara jiran yang bersama dalam pertubuhan serantau Majlis Kerjasama Teluk, GCC.

Terkini, Qatar menunjukkan pemulihan hubungan dengan Mesir yang diperintah oleh Presiden Abdel Fatah al-Sisi, yang mengetuai usaha menjatuhkan Morsi pada Julai tahun lalu.

Ini didorong oleh tekanan oleh pakatan anti-Qatar dan anti-Ikhwan yang semakin kuat dan bertekad untuk menamatkan gelombang kebangkitan Ikhwan al-Muslimin di dunia Arab. Kempen inilah juga yang mendorong tindakan diambil ke atas ilmuan al-Qaradawi, dan Interpol kemudian mengeluarkan notis tangkapan beliau.

Tindakan ke atas al-Qaradawi ini menunjukkan yang pengaruh Qatar dalam politik serantau semakin lemah pada masa ini, dan negara-negara kuasa lama Arab sedang meningkatkan kembali penguasaan.

Hal ini juga sedang menyukarkan lagi politik dunia Islam akibat perpecahan dalaman dan persaingan kuasa yang sengit, menambahkan lagi realiti kompleks dalam era kebangkitan pada masa ini. - Disember 19, 2014

Wednesday, November 5, 2014

Gerakan Islam, liberalisme dan pasca-Islamisme

Oleh MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN

Sungguh mengejutkan pendedahan Mustafa Akyol mengenai hasil kajian Liberal Turkish pada 2006 yang mendapati bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali kepada syariah menurun dari 21 peratus kepada sembilan peratus dalam tempoh tujuh tahun sejak Islamic Calvinism diperkenalkan.

Islamic Calvinists adalah golongan yang menumpukan nilai dan kesufian tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Golongan ini ditubuhkan untuk mengambil alih kekuasaan Parti Refah sehinggalah Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, menaiki tangga politik pada 2006.

Kajian tahun 2006 ini jugalah, kehendak masyarakat Turki kepada undang-undang rejam menurun kepada satu peratus sahaja. Malah, idea jihad medan perang sudah bertukar kepada jihad ekonomi, selera tulisan-tulisan pembaca novel pun telah beralih arah dari citra Islam kepada kebejatan moral sekular.

Lebih teruk dari itu lagi, kem Islamis turut mengkritik budaya Islam dan beralih kepada bentuk hidup Muslim yang individualistik, serta mengubah arah dari citra ketaatan kepada agama kepada citra kebebasan. Inilah suasana yang golongan liberal Turki rancang bagi menyediakan AKP sebagai Islamis mengambil pentadbiran kerajaan.

Gerakan liberal memang sah perancangan antarabangsa. Kini, gerakan liberal ini pula mengemukakan satu gerakan baharu sebagai langkah antarabangsa. Satu tesis berjaya dihasilkan bagi mengetengahkan neoliberal antarabangsa, pascamodenisme dan kepelbagaian budaya kepada AKP yang ditulis oleh Burak Ozcetin bagi mendapatkan doktor falsafah di Middle East Technical University pada 2011.

Tidak hairanlah, Akyol menyebut golongan pembangkang menjadi rakan sekular-liberal kerana sekular-liberal gagal dipertahankan oleh pemerintah. Beliau mencadangkan mengubah wajah Islamisme kepada pasca-Islamisme.

Pandangan Akyol bukanlah bersandarkan kepada pandangan Asef Bayat sendiri yang berbicara mengenai sosial, politik dan hak. Beliau bukan bersandarkan pandangan Olivier Roy dan Gilles Kepel mengenai kegagalan Islamisme membuka ruang baharu dimensi politik moden dan menghalang pemikiran radikal.

Beliau lebih jauh mengheret pandangan pasca-Islamisme kepada bentuk liberal iaitu Islam adalah serasi dengan demokrasi, sekular, kapitalisme, hak asasi manusia dan nilai-nilai Barat. Kesemua idea ini diaduk dalam pasca-Islamisme yang pernah dicanang oleh Islamic Rennaisance Front (IRF) oleh pengerusinya iaitu Dr Ahmad Farouk Musa.

Kegiatan liberal ini adalah selaras dengan keinginan Barat. Alain Roussilon menyatakan Barat tengah menunggu dan mendesak rangka kerja pasca-Islamisme disegerakan. Bentuk pasca-Islamisme yang diinginkan adalah menolak pemikiran radikal Islam, lebih mirip kepada pemikiran Protestan Kristian atau pemikiran liberal Muslim, perwatakan masyarakat Muslim yang lebih moderat dan yang paling penting adalah bagi menolak idea negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam. Kandungan Islam Liberal ini sudah berjaya dimuatkan dalam pasca-Islamisme oleh Husnul Amin dalam disertasinya yang bertajuk From Islamism to Post-Islamism.

Tanpa syak lagi, terdapat desakan dari pihak Barat dan liberal Turki bagi mengetengahkan Islam Liberal dalam pasca-Islamisme. Persoalan yang timbul adalah mengapakah mereka mendesak pasca-Islamisme disegerakan? Adakah kerana kegagalan Kemalisme di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir dan Zine el-Ebidine Ben Ali di Tunisia mengekalkan hegemoni sekular?

Adakah liberal dan sekular tidak lagi mampu berdepan mengetengahkan idea dan gerakan agar diikuti masyarakat dunia Islam? Atau adakah pasca-Islamisme adalah citra menukar wajah Islamisme kepada mesra liberal dan sekular selepas menyedari sekular dan liberal sudah tiada tempat di hati umat Islam?

Hanya dua negara yang berjaya menukar citra Islamisme kepada pasca-Islamisme iaitu di Turki dan Tunisia. Di Turki, regim tentera Turki yang beraliran sekular telah menahan Recep Tayyip Erdogan selama setahun kerana dikaitkan dengan parti Refah. Apabila keluar dari penjara, Erdogan terus menyebut agar memberi peluang kepada demokrasi dan liberal menyalurkan kepada masyarakat satu suasana menikmati lebih kebebasan.

Masyarakat merasai sendiri kebebasan ini di bawah pentadbiran AKP berbanding Refah yang dilihat sebagai Islamis. Ideanya, demokrasi Barat adalah lebih bebas dari Turki lalu mengajak ke arah demokrasi bebas. AKP dengan bantuan Kemalisme berjaya membuat tekanan sehingga demokrasi Turki berjalan dengan baik. Ini memberi impak baik kepada AKP untuk terus berkuasa.

Di Tunisia pula, gerakan pasca-Islamisme telah lama dan awal. Kenaikan Rached Ghannouchi membuka lembaran kepada puak sekular agar bersama-sama dengan Islamis. Ruang ini telah membuka lembaran pasca-Islamisme diketengahkan.

Malah, Pusat Kajian Islam dan Demokrasi, CSID, di Washington, Amerika Syarikat yang merupakan pusat kajian sekular dan liberal telah berjaya dibawa ke dalam pentadbiran Ghannouchi yang mengetengahkan idea demokrasi, ekonomi bebas dan hak masyarakat sivil.

Kejayaan pasca-Islamisme di Turki dan Tunisia sedang diaplikasikan di dunia Islam. Negara-negara yang sedang giat dimomokkan dengan pasca-Islamisme adalah Mesir, Yaman, Pakistan dan Malaysia. Baki negara-negara Islam yang lain sedang diusahakan. Sebagai contoh, parti Wasat sedang dinaikkan atas nama pasca-Islamisme padahal parti ini adalah berhaluan sekular yang pro-Abdel Fattah al-Sisi.

Atas tujuan inilah, Akyol telah membentangkan kertas kerjanya di Kaherah, Mesir yang bercerita pengalaman Turki menghadapi Islamisme. Justeru, tidaklah pelik, bekas pimpinan Ikhwan al-Muslimin yang dibuang keahliannya iaitu Kamal Helbawi telah bersama bersekongkol dengan pemerintah Mesir bagi menghidupkan pasca-Islamisme. Dengan harapan, keinginan masyarakat Mesir terhadap syariat akan menurun.

Golongan liberal dan Barat sudah mengetahui bahawa ideologi sekular dan liberal sudah gagal. Kini, mereka menggerakkan dua ideologi ini dengan penjenamaan baharu. Jikalau mereka menggunakan ideologi sekular dan liberal bagi berhadapan dengan pencinta syariat Islam, seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sudah mengetahui jawapan-jawapannya dalam karya-karya ulama sejak kurun ke-20 lagi.

Cuma yang tinggal adalah harapan dari anak-anak muda Islam dan menanti kebangkitan semula para pemikir dan cendekiawan abad ke-20 ini mengemudi perjuangan di awal era abad ke-21 ini agar terus berhadapan idea baharu liberal, yang dimunculkan sebagai pasca-Islamisme.

Dr Muhammad Atiullah Othman ialah pensyarah pengajian Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tuesday, October 21, 2014

Kempen pegang anjing bermatlamat salah

Oleh MUHAMMAD FAISAL ASHAARI 

Isu pegang anjing yang heboh sehari dua ini bukan sekadar dibincangkan dari sudut hukum atau dari sudut fiqh, tetapi lebih dari itu ia perlu dibincangkan dari sudut pemikiran moden yang berkembang dalam kalangan generasi baru.

Dari sudut fiqh, ada mazhab yang ketat dalam isu pegang anjing dan pula mazhab yang memberikan ruang dan kelonggaran seperti mazhab Hanafi. 
Ia sepatutnya tidak menjadi masalah yang besar kerana wujud kelonggaran dari sudut agama.

Masalahnya ialah ia bercanggah dengan adat dan tradisi orang Melayu di negara ini yang berasa canggung dengan anjing. Ia dikukuhkan lagi dengan mazhab fiqh orang Melayu yang berasaskan kepada mazhab Syafie yang kurang mesra dengan anjing. 

Dari sudut pemikiran, mengetengahkan isu pegang anjing merupakan suatu jenis pemikiran yang dinamakan sebagai pascamodenisme iaitu pemikiran yang sentiasa mengkritik apa yang telah mapan atau yang sudah biasa diamalkan dalam masyarakat atau melakukan sesuatu menyanggah kebiasaan masyarakat. Ia menjadi trend semasa kepada generasi masa kini yang dipercayai atas alasan itu adalah hak mereka.

Banyak aktiviti kehidupan generasi masa kini yang cuba menyalahi amalan kebiasaan pada masa lalu yang dianggap sebagai inovasi. Malah, menyanggahi amalan kebiasaan dalam sesetengah keadaan sangat digalakkan atas nama inovasi. Memang tidak semua sanggahan terhadap tradisi itu haram melainkan sekiranya menyanggah perkara yang diwajibkan dalam agama. 

Sikap suka menyanggahi amalan tradisi termasuk agama adalah sifat utama kepada liberalisme dan pluralisme yang cuba membebaskan diri dari sebarang ikatan autoriti. Sifat agama yang mengikat tidak membenarkan penganutnya membebaskan diri dan melakukan amalan ikut hawa nafsu.

Namun, bagi seorang pluralis dan liberalis, tradisi dan agama telah mengongkong kehidupan mereka. Maka, menyanggahi tradisi termasuk agama adalah suatu keperluan. Mereka mengkritik biarpun perkara yang sudah tetap di dalam agama. Fenomena inilah yang disebut sebagai pascamodenisme.

Isu pegang anjing merupakan suatu usaha yang halus yang boleh dikaitkan dengan usaha untuk meruntuhkan pegangan umat Islam terhadap tradisi, termasuklah agama. Setakat ini, pegang anjing bukanlah suatu isu penting yang perlu diangkat sebagai bahan perbincangan oleh umat Islam.

Banyak lagi isu yang perlu diberikan perhatian oleh orang Islam seperti isu akidah, isu arak dan sebagainya. Tetapi ia diangkat sebagai isu yang penting dipercayai mempunyai agenda yang tertentu dan sebahagian dari kempen besar contestation dalam “politik baharu” yang ingin dibawa masuk ke dalam negara ini. Kali ini mungkin pegang anjing, mungkin akan datang lain pula isunya. 

Saidina Ali berkata: "Kata-kata yang betul, tetapi digunakan untuk tujuan yang salah."

Dr Muhammad Faisal Ashaari ialah akademik pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Monday, October 20, 2014

Pakatan anti-dolar Rusia, China dan Iran

Selepas beberapa bulan rancangan Rusia dan China untuk melaksanakan rancangan yang konkrit untuk menghakis pengaruh dolar Amerika Syarikat, kedua-dua negara akhirnya mencapai satu siri perjanjian perdagangan dan kewangan pada Isnin, 13 Oktober lalu.

Pertemuan pemimpin tertinggi Rusia dan China bulan Mei lalu telah meningkatkan lagi perhatian kepada rancangan Moscow-Beijing ini, yang akhirnya termeterai minggu ini.

Pemimpin kedua-dua negara menandatangani perjanjian tenaga, perdagangan dan kewangan yang disebut sebagai dasar beralih ke Asia yang telah mencapai hasilnya.

Perjanjian ini juga dicapai untuk membantu kedua-dua Rusia dan China berdepan dengan sekatan yang semakin ditingkatkan ke atasnya oleh Barat, terutama selepas krisis Ukraine.

Sebanyak 38 perjanjian dicapai di Moscow dalam pertemuan antara Perdana Menteri Rusia Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri China Li Keqiang, melibatkan kerjasama tenaga dan pertukaran mata wang bernilai 150 bilion yuan atau AS$25 bilion, yang boleh membantu mengurangkan peranan dolar dalam perdagangan kedua-dua negara.

Perjanjian-perjanjian tersebut ialah antara tanda kejayaan awal dasar beralih ke timur yang diarahkan oleh Presiden Vladimir Putin untuk mengelakkan peminggiran akibat sekatan.

Pada Mei lalu, kedua-dua negara memeterai perjanjian perdagangan gas asli bernilai AS$400 bilion, yang dicapai segera selepas Barat meningkatkan tekanan terhadap Rusia ekoran krisis Ukraine.

Amerika Syarikat dan Eropah memberi sokongan kepada kumpulan pro-Barat di Ukraine, yang melakukan protes besar-besaran sehingga mencetuskan krisis, yang akhirnya mendorong Rusia menakluk Crimea.

"Saya menganggap keupayaan kita membuka kemungkinan baharu walaupun berdepan sekatan sebagai satu pencapaian penting," kata Medvedev selepas majlis menandatangani perjanjian.

Tetapi China menunjukkan tanda yang rasa curiga masih belum terhapus sepenuhnya, apabila kelihatan masih berhati-hati, termasuk ketika mengulas prospek perjanjian pada 2015 pembinaan saluran bekalan gas kedua membekalkan gas Rusia ke China.

"Kerjasama dalam gas asli antara Rusia dan China telah lama berjalan. Tetapi banyak lagi rundingan antara syarikat terbabit perlu diadakan," kata Li.

Perjanjian ini membantu Rusia yang semakin disekat oleh Barat, termasuk dalam sektor perbankan yang menyukarkan bank Rusia untuk berurusan dengan pasaran Barat.

Pertukaran mata wang yang dicapai, melibatkan Rusia dan China berurus niaga dengan satu sama lain dalam mata wang ruble dan yuan, membantu China meluaskan penggunaan yuan di peringkat antarabangsa, sekaligus mengurangkan penggunaan dolar.

China, yang memiliki 34 peratus daripada AS$4 trilion rizab asing yang dilaburkan dalam hutang kerajaan AS, mahu menghadkan kerugian yang boleh disebabkan oleh penurunan nilai dolar dalam jangka pendek. Perancangan jangka panjangnya ialah meningkatkan pengaruh yuan dan menjadikannya satu mata wang rizab global.

Medvedev berkata,perdagangan antara Rusia dengan China berkembang sebanyak lebih daripada 100 peratus sepanjang enam tahun ini antara AS$40 bilion kepada AS$90 bilion.

Menurutnya, Rusia dan China ialah rakan dagang yang rapat, satu lagi kenyataan yang menegaskan kepentingan perdagangan kedua-dua negara, yang kini memasuki satu fasa yang kuat dipengaruhi geopolitik kuasa-kuasa besar. 

Di bawah perjanjian baharu ini, kerjasama akan dijalankan dengan lebih mendalam antara pengeluar minyak milik negara Rosneft dan Perbadanan Petroleum Nasional China, termasuk dalam projek gas asli cecair dan kemungkinan bekalan gas asli cecair ke China.

Bank-bank VTB, VEB dan Bank Pertanian Rusia - yang seperti Rosneft juga terjejas akibat sekatan - menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Bank Exim China untuk pengurusan kredit.

Pengendali telefon bergerak MegaFon dan Bank Pembangunan China bersetuju untuk menguruskan pembiayaan bernilai AS$500 juta.

Li, yang tiba di Rusia dari Jerman kemudian akan ke sidang kemuncak pemimpin Eropah dan Asia, dan dijadual bertemu Putin untuk perbincangan.

Satu lagi tanda pemulihan hubungan antara Rusia dan China ialah peningkatan eksport minyak mentah ke China sepanjang Januari hingga September sebanyak hampir 45 peratus. Penghantaran ke Eropah dari pelabuhan Primorsk di Laut Baltik merosot hampir 20 peratus.

Menurut satu syarikat perunding tenaga, JBC Energy, eksport semakin bertambah ke pasaran Timur dan merosot ke Barat, trend yang dijangka terus meningkat dalam keadaan politik semasa.

Beijing mahu meningkatkan urus niaga dengan Rusia, mengambil kesempatan daripada kemerosotan hubungan Moscow dengan Barat, yang kini berada pada tahap terburuk selepas Perang Dingin.

Walau bagaimanapun, masih banyak perlu dilakukan untuk menghapuskan rasa saling mencurigai antara satu sama lain, yang baru menyelesaikan pertikaian sempadan pada dekad lalu.

Beijing berminat untuk melabur dalam pembangunan infrastruktur, tenaga dan komoditi di Rusia, tetapi Moscow mungkin berhati-hati dalam membenarkan pelaburan dalam industri strategik.

China mungkin juga bimbang untuk melabur dalam ekonomi Rusia yang berdepan pelbagai hambatan, termasuk sekatan dan kemerosotan harga minyak, eksport paling penting Rusia.

Pada masa sama, Rusia juga merancang bersama Iran untuk menubuhkan sebuah bank kerjasama untuk meningkatkan perdagangan dua hala dan mengatasi sekatan terhadap sektor perbankan Iran, lapor media Iran Press TV baru-baru ini.

Tehran dan Moscow sedang mengkaji kemungkinan membuka halaman baharu dalam perdagangan antara kedua-dua negara yang memberikan keupayaan untuk memecahkan dominasi mata wang Barat dalam urusniaga dua hala, Asadollah Asgaroladi, ketua Dewan Perniagaan Iran-Rusia dilapor berkata.

"Oleh kerana bank-bank Rusia bimbang akan implikasi berurusan dengan Iran disebabkan sekatan, kami mahu menubuhkan bank kerjasama Iran-Rusia dengan bantuan bank pusat dan sektor swasta kedua-dua negara," kata Asgaroladi.


"Bank seperti itu akan boleh menukarkan wang antara dua pihak menggunakan rial Iran dan rubles Rusia, tanpa menggunakan dolar, euro atau pound," tambahnya.

Iran telah mengalami kesukaran ekonomi beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan sekatan Barat terhadap sektor tenaga dan kewangan Iran.

Malah, sejak beberapa tahun lalu, Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas beberapa individu dan entiti Iran walaupun pada masa sama meneruskan rundingan untuk mencapai penyelesaian komprehensif program nuklear Iran. (Reuters, Xinhua)

Kerana memusuhi Kurdi, AKP memihak kepada ISIS?

Oleh CENGIZ CANDAR

Pada 7 Oktober lalu, saya bersama rakan sekerja dan seorang sahabat lama Hasan Cemal makan malam di Istanbul. Dalam perjalanan ke restoren berkenaan, saya difahamkan berlaku kekacauan di wilayah-wilayah yang diduduki rakyat Kurdi di Turki.

Ramai yang terbunuh dan perintah berkurung terpaksa dikenakan di enam pusat wilayah dan beberapa daerah. Sewaktu kami duduk makan, kami diberitahu bahawa di beberapa kawasan di Istanbul, tercetus pergaduhan antara pihak berkuasa dengan pembantah; Cemal menerima panggilan bertali arus.

Dia memberitahu saya bahawa awal pagi esok beliau akan ke sempadan wilayah Mardin menyertai majlis yang dihoskan Datuk Bandar Ahmet Turk, seorang ahli politik Kurdi veteran, barangkali seorang tokoh Kurdi yang sangat dihormati dalam kalangan pendapat awam Turki.

Berita ini tidak mengejutkan saya. Cemal boleh dianggap sebagai dekan bagi institusi kewartawan Turki. Beliau telah terlibat dalam profesyen berkenaan lebih daripada 40  tahun, dan pernah berkhidmat sebagai ketua pengarang akhbar tertua di Turki, Cumhuriyet, selama satu dekad.

Sewaktu pemerintahan tentera pada awal 1980-an, beliau berada dalam jawatankuasa eksekutif, Institut Akhbar Antarabangsa. Selepas mempamerkan karier profesional yang cemerlang untuk tempoh masa yang panjang, beliau menjuruskan dirinya membuat laporan-laporan lapangan khususnya mengenai isu Kurdi.

Beliau kerap berjalan dan membina hubungan yang kukuh dalam kalangan ahli politik elit Kurdi. Beliau baru menerbitkan sebuah buku bertajuk, Kurdistan Gunlukleri (Urutan Sejarah Kurdi), mengenai perjalanannya yang banyak dan hubungan yang dimilikinya di Rojava, daerah masyarakat Kurdi di Syria, bersebelahan sempadan Turki.

Apabila kumpulan Negara Islam di Iraq dan al-Syam (ISIS) mula menyerang dan melakukan keganasan di Kobani, dan Turki pada waktu itu hanya bertindak melihat kuasa ekstremis menyembelih masyarakat Kurdi dan berfikir apakah kesannya ke atas masyarakat Kurdi di Turki, Cemal tidak mampu berbuat apa-apa melainkan harus pergi ke daerah tersebut membuat laporan.

Dan itulah yang beliau lakukan. Inilah sedutan daripada tulisan pertama beliau pada 8 Oktober di bawah tajuk Serhildan-I (Kebangkitan Kurdi). Membaca impresi Cemal menjadikan tajuk itu lebih menarik: "Ahmet Turk berkata, 'Saya menjadi bingung dengan isu Kobani ini. Saya pernah fikir bahawa Turki akhirnya akan membantu Kurdi. Saya silap. Ia tidak berlaku.'"

Cemal percaya tindakan Ankara membiarkan sahaja kelompok Kurdi menghadapi kumpulan ganas ISIS merupakan isu yang menghilangkan sepenuhnya kepercayaan kelompok Kurdis kepada negara. Beliau menulis, "Mereka yang tidak pernah mengundi kami, mereka yang menyokong AKP (Parti Keadilan dan Pembangunan) semuanya berada di Suruc. Mereka berada di atas jalan raya sekarang. Dasar Ankara membiarkan ISIS untuk menghapuskan PKK (Parti Pekerja Kurdistan) dan PYD (Parti Kesatuan Demokratik) dengan tujuan untuk mengajar mereka, telah memusnahkan segala-galanya.

"Membiarkan masyarakat Kurdi dipenggal kepala, perempuannya dirogol serta sikap pasif Turki terhadap sikap ganas ini menghilangkan terus kepercayaan masyarakat Kurdi pada Ankara. Masyarakat Kurdi dapat melihat bagaimana negara itu membutakan mata terhadap perlakuan ISIS."


"Merujuk kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan, Ahmet Turk berkata, 'Di mata rakyat, Erdogan sekarang seorang diktator. Apa jenis kesombongan yang ditunjukkannya?'

"Ahmet Turk seterusnya menyambung, 'Dengar, apa yang kita lalui sejak dua hari lepas adalah serhildan Kobani, satu kebangkitan. Di luar usaha mana-mana organisasi. Ia adalah kebangkitan rakyat. Asas cara berfikir negara tidak berubah. Tengok, beberapa tahun kemudian, kereta perisai akan kembali semula ke atas jalan raya. Dengan cara berfikir seperti ini, kesamarataan bagi rakyat Kurdis adalah mimpi palsu. Kamu tidak akan mampu menyelesaikan isu ini menurut cara berfikir seperti itu."

Cemal kemudian memetik pandangan masyarakat Kurdi yang tidak dikenali: "Mengenai pemisahan, seorang daripada mereka berkata, 'Dasar AKP adalah memberi sokongan kepada ISIS. Itu dasar yang memecahbelahkan Turki. Rakyat Kurdi dapat melihat realiti ini. Mereka faham bahawa proses rundingan bukan untuk menyelesaikan masalah tetapi untuk melemahkan masyarakat Kurdi.'

"Yang lain menambah, 'Erdogan meletakkan ISIS dan PKK dalam bakul yang sama, semuanya dipanggil kumpulan pengganas. Ini membuatkan rakyat Kurdi sakit hati. Mereka tidak percaya semua ini berlaku.'"

Pada tengah malam 9 Oktober, Cemal menulis Serhildan-II dari bandar Kurdi iaitu Suruc, yang sempadannya hanya dipisahkan oleh landasan keretapi dari Kobani:

"Kamu dengar rungutan terhadap Erdogan dalam setiap langkah di sini. Beliau berkata Kobani kemungkinan ditawan dan akan ditawan. Tidakkah beliau sedar bahawa Diyarbakir telahpun jatuh dan ditawan? Jika hal ini terus berlaku, minta Tuhan menolong kita, keseluruhan negara ini akan hangus. Adakah Erdogan sedar hal ini?"

Arzu Yilmaz merupakan seorang ahli akademik muda berketurunan Kurdi. Beliau adalah calon kedoktoran di jabatan sains politik, Universiti Ankara, dan beliau dianggap sebagai tokoh yang mempunyai perspektif paling terkehadapan dalam isu Kurdi.

Untuk disertasi PhD nya, beliau menghabiskan masa lebih dua tahun di Dahuk, wilayah Kurdi Iraq, di mana beliau mengkaji pergerakan politik Kurdi. Pada saat tercetusnya kebangkitan rakyat di wilayah Kurdi di Turki, beliau menulis seperti berikut:

"Jangan sesiapa pun diperbodohkan. Turki secara terbuka telah mengisytiharkan perang, bukan sahaja di luar sempadannya, malah di dalam negara juga. Rakyat Kurdi telah bangkit. Di Kurdistan telah berlaku kebangkitan popular dengan sokongan popular yang belum pernah berlaku sebelum ini. Apa yang jelas, tidak kira kota, bandar atau kampung. Ia adalah bom yang besedia untuk meletup."

Satu perkara kecil yang tidak menarik minat ramai orang, bagi saya sangat penting. Teyrenbazen Azadiya Kurdistan (TAK), dipercayai merupakan organisasi cabang dalam PKK, yang bertanggungjawab ke atas beberapa aksi keganasan di kawasan bandar, mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: "Peringatan kepada pemilik-pemilik senjata yang selama ini dihalakan ke arah Kobani. Mulai sekarang, semua bandar utama merupakan medan tempur kami dan semua kekuatan musuh menjadi sasaran utama kami. Apabila Kobani dibakar, semua bandar di Turki tidak akan tidur selesa. TAK akan memindahkan semua kesengsaraan yang ditimpakan di Kobani, kepada kekuatan musuh di bandar-bandar besar dan akan menjadikannya neraka."

Laporan media pada 9 Oktober menyifatkan rekod TAK sebagai berikut: "TAK, yang merupakan sebahagian daripada PKK tetapi beroperasi secara bebas daripada organisasi tersebut, sehingga kini mendakwa bertanggungjawab terhadap banyak peristiwa serangan bom di bandar-bandar besar dan tempat tarikan pelancong. Serangan di Kusadasi, Marmaris dan Antalya dalam 2005 dan 2006, dan serangan pada 22 Jun 2010 di Istanbul yang mengorbankan lima orang, empat daripadanya anggota tentera, didakwa dilakukan TAK. Serangan pada 31 Oktober 2010 di Taksim, Istanbul yang mencederakan 32 orang, dan serangan pada 20 September 2011 di Ankara yang membunuh tiga orang juga didakwa dilakukan organisasi ini."

Turki memilih jalan yang sangat bahaya ke arah keganasan, yang memungkinkan berlakunya perang saudara dan perbalahan kelompok masyarakat. Ini merupakan berita yang sangat buruk. Lebih buruk lagi, PKK dan pemimpinnya yang dipenjarakan Abdullah Ocalan tidak akan berupaya mengawal perkembangan tersebut.

Kita akan menyaksikan skop tindakan spontan kebangkitan masyarakat Kurdi di Turki dan bakat ahli politik elit Kurdi menangani keadaan ini.

Bagi kerajaan Turki - yang kelihatannnya telah hilang keupayaan untuk berfikir secara komprehensif - usaha untuk menghalang Turki daripada terjerumus ke dalam kancah perang saudara kebanyakkannya bergantung kepada ahli politik elit Kurdi dan kawalannnya ke atas generasi baru Kurdi, yang menunjukkan keberangan semakin memuncak ekoran peristiwa di Kobani.

Kerana, jika apa yang berlaku ini adalah "serhildan," maka kejadian selepas ini dijangkakan lebih buruk.


Artikel ini dipetik daripada laman Al-Monitor, dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD.

Thursday, October 9, 2014

Menilai potensi parti pasca-Islamis di Malaysia

Sarjana Perancis, Olivier Roy dalam bukunya The Failure of Political Islam menyediakan penjelasan asas tentang pasca-Islamisme, istilah yang kemudian dicetuskan dan dipopularkan oleh akademik dari Amerika Syarikat, Asef Bayat untuk menjelaskan kecenderungan kumpulan politik Islam yang mengubah pendekatan dan pegangan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

Perkembangan melibatkan pencapaian politik kumpulan Islam yang bermodel Ikhwan al-Muslimin dilihat sebagai petunjuk bahawa politik Islam menghadapi keadaan yang semakin sukar untuk mengemukakan cara Islam untuk menangani persoalan semasa.

Slogan "Islam penyelesaian semua masalah" akhirnya berdepan rintangan sukar realiti politik dan pentadbiran yang amat kompleks dan jauh lebih sukar daripada dua pilihan hitam dan putih.

Walaupun masalah yang dikemukakan oleh Roy disifatkan oleh sesetengah pihak daripada Islam Syiah sebagai "kegagalan Islam politik Sunni," Bayat mengemukakan masalah yang sama melanda dunia Syiah di Iran pasca-Khomeini.

Bagi sesetengah pihak, apa yang dikemukakan oleh Roy dan kemudian Gilles Kepel disifatkan sebagai satu pemerhatian yang terlalu awal, sedangkan proses perubahan dan adaptasi gerakan Islam masih terus berjalan.

Antara yang mengkritik bacaan Roy dan Kepel ialah sarjana Tariq Ramadan, yang dalam satu program di Kuala Lumpur menyifatkan yang Roy cuba menyesuaikan perkembangan terkini di Asia Barat dengan hasil karyanya berhubung "kegagalan Islam politik."

Perkembangan bermula 2011 di Tunisia, Mesir dan Maghribi, dan sedekad sebelum itu di Turki menguatkan tesis kemunculan dan kebangkitan pasca-Islamisme untuk menggantikan Islamisme tradisional.

Hal ini disambut dengan positif oleh media dan akademik di Barat dan juga dalam kalangan Muslim liberal di negara-negara Islam. Pasca-Islamisme dinilai seperti satu jawapan tuntas kepada persoalan sama ada Islam sesuai dan selari dengan demokrasi, satu tajuk yang sangat bermasalah yang menghalakan perbincangan ke arah yang sebahagian besarnya tidak produktif.

Dalam media Barat, model pemerintahan Turki oleh Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, kerap disebut-sebut pada masa awal sejurus pemeritahan lama Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan dan kumpulan Islam Ikhwan dilihat berpotensi mengambil alih pemerintahan.

Parti berkecenderungan pasca-Islamis AKP yang ditubuhkan oleh sekumpulan ahli yang berpisah haluan daripada parti Islamis Turki menerima sokongan popular, dan pada masa sama berjaya membawa Turki ke satu arah yang lebih maju dan disegani di peringkat serantau dan global, terutama dalam dunia Islam.

Tempoh yang suka dilihat sebagai satu fasa baharu ini disifatkan sebagai permulaan satu "revolusi pasca-Islamis," dengan menetapkan bahawa satu hasil yang pasti daripada kebangkitan massa di dunia Arab dan perubahan politik yang diakibatkan ialah kemunculan dan kemenangan parti-parti pasca-Islamis.

Selepas kejayaan AKP di Turki, sebuah lagi parti dengan nama yang sama di Maghribi, Parti Keadilan dan Pembangunan, PJD, sebuah lagi parti yang diangkat sebagai model parti pasca-Islamis, memenangi pilihan raya di dan kini menguasai pentadbiran negara Afrika Utara itu.

Malah di Maghribi, PJD mengatasi Parti Istiqlal yang merupakan sebuah parti bekas Islamis. Tarikan pasca-Islamisme PJD, yang bermodelkan AKP di Turki berjaya menarik sokongan ramai.

Dengan dasar yang lebih liberal dan pragmatik, AKP dan PJD boleh dilihat sebagai model kejayaan parti-parti pasca-Islamis di Asia Barat, selepas kebangkitan yang mengubah, atau memulakan satu proses perubahan dan penyesuaian landskap politik rantau itu.

Tetapi perjalanan panjang pasca-Islamisme - malah takrifan istilah atau tesis itu sendiri - masih baharu bermula, dan masih terlalu awal untuk menulis satu kesimpulan tentang kejayaan bermakna parti-parti pasca-Islamis.

Contoh unggul pasca-Islamisme, AKP di Turki telah mula berdepan masalah demokrasi sejak beberapa tahun lalu. PJD yang menjanjikan reformasi di Maghribi turut berdepan tuntutan janji perubahan yang ditaburkan selama ini.

Di Malaysia, kecenderungan pasca-Islamis telah dapat diperhatikan pada sesetengah kumpulan Islam dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS sendiri, yang biasa disebut sebagai kalangan progresif.

Kelompok ini memperlihatkan kecenderungan pasca-Islamisme yang jelas, walaupun sesetengahnya masih tidak bersedia memisahkan diri dari parti yang konservatif dan dikuasai elemen kepimpinan ulama seperti Majlis Syura Ulama.

Berdasarkan populariti tokoh-tokoh berkecenderungan pasca-Islamis, sebuah parti dengan identiti dan ideologi mempunyai potensi untuk wujud dan berpartisipasi dalam medan politik Malaysia, walaupun banyak perlu dilakukan untuk mengekalkan stamina dan penerimaan oleh pengundi.

Kecenderungan generasi muda yang agak liberal dan perkembangan demografi pada masa depan memberi gambaran masa depan yang agak cerah untuk sebuah parti pasca-Islamis.

Walau bagaimanapun, seperti dijelaskan tadi, parti-parti berkecenderungan pasca-Islamis seperti AKP dan PJD turut berdepan cabaran getir, dan sentiasa ada kemungkinan persaingan yang amat sengit dengan Islamis dan kelompok konservatif yang lebih dekat dengan lebih ramai pengundi yang biasanya berada di luar jangkauan parti pasca-Islamis yang lebih elitis dan urban. - September 30, 2014

Friday, September 12, 2014

Akta Hasutan hangatkan persaingan liberal-konservatif dalam Umno

Oleh HARIS ZALKAPLI

Tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengambil satu tindakan mengejutkan apabila memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, ISA, dalam suasana negara menunggu Pilihan Raya Umum ke-13.

Tindakan Najib itu menggerakkan pemerintah Umno dan Barisan Nasional ke arah yang lebih liberal, sehingga mencetuskan kegusaran dalam parti itu yang sebahagian besar ahlinya cenderung konservatif.

Pada masa itu, ramai pemerhati melihat dengan optimis tetapi berhati-hati terhadap tindakan berani Najib yang tidak dijangka itu.

Dalam parti, tindakan memansuhkan ISA yang dilihat sebagai satu instrumen penting untuk memelihara keselamatan negara dilihat sebagai satu lagi tindakan yang menunjukkan kecenderungan liberal Najib.

Najib mula dilihat berkecenderungan lebih liberal apabila memunculkan retorik 1 Malaysia yang dilihat sebagai didasari atau bersumber fahaman liberal, yang tidak selari dengan pegangan ketuanan Melayu yang dipertahankan Umno selama ini.

Debat berhubung Akta Hasutan 1948 hari ini sekali lagi menghangatkan persaingan liberal dan konservatif dalam Umno, yang berlangsung dengan sengit dalam era Najib yang mencabar ini.

Gelombang pendakwaan menggunakan Akta Hasutan yang sedang berjalan ini memperlihatkan Najib sebagai pemimpin yang semakin autoritarian, tetapi pada masa sama beliau menunjukkan yang akta itu akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional yang dilihat sebagai lebih disenangi kelompok liberal di dalam dan luar parti.

Kelompok konservatif tidak mahu Akta Hasutan dimansuhkan kerana menganggapnya sebagai penting untuk memelihara kesejahteraan negara.

Selepas ISA dimansuhkan, konservatif melihat pemansuhan Akta Hasutan akan meruntuhkan satu lagi benteng penting pertahanan keselamatan dan keharmonian negara.

Najib pada 11 Julai, 2012 berjanji yang Akta Hasutan akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional. "Melalui pemansuhan dan penggubalan rang undang-undang yang sedang berjalan, kerajaan mahu memastikan ruang demokratik yang mencukupi disediakan untuk perbezaan pendapat serta persaingan idea," kata Najib dipetik Bernama.

"Pucuk pangkalnya, kita mahu mencipta sebuah Malaysia yang mana prinsip hak asasi manusia dijunjung, kebebasan individu untuk menyatakan pendapat secara terbuka diraikan, seraya kepentingan individu dan komuniti diimbangi."

Sentimen menyokong Akta Hasutan ini diwakili oleh tokoh Melayu konservatif Datuk Ibrahim Ali yang lantang menyuarakan penentangan terhadap usaha memansuhkan akta tersebut. Beliau dilapor berkata akta ini masih diperlukan untuk mencegah perkara yang boleh mengancam keselamatan negara.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Memorandum Perpaduan Nasional turut menggesa Akta Hasutan ditambahbaik untuk menangani hasutan dan penghinaan agama yang dilakukan di media sosial.

"Cegah sebelum musnah. Kalau pemimpin Umno dah faham apa dalam fikiran orang Melayu, ini petanda baik. Masih ada talian hayat. Kekalkan dan tambah baik Akta Hasutan," katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilapor berkata kerajaan sedia meminda Akta Hasutan dan undang-undang lain bagi menangani penghinaan dan hasutan di media sosial.

Muhyiddin dilihat sebagai mewakili kelompok konservatif dalam Umno, yang mendapat sokongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi pengkritik kuat terhadap kecenderungan liberal Perdana Menteri Najib dan kemaraan tokoh-tokoh liberal dalam Umno seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kritikan terhadap Najib dan liberal dalam Umno juga muncul ekoran kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pegawai eksekutif Yayasan Kesederhanaan Global, GMMF, sebuah badan yang dibina untuk melonjakkan imej moderat Najib di peringkat antarabangsa.

Saifuddin mengambil pendirian menyokong pemansuhan Akta Hasutan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional, dan secara konsisten menulis di Twitter menyertai kempen memansuhkan Akta Hasutan.

Saifuddin menunjukkan sokongan kepada akademik Universiti Malaya yang didakwa, Azmi Sharom, dan menganggap pendakwaan itu menyekat kebebasan akademik.

Beliau menganggap pelaksanaan Akta Hasutan kini sebagai bersifat drakonian dan selektif.  Katanya, Najib perlu disokong untuk memansuhkan Akta Hasutan. "Rakyat perlu menggalakkan dia untuk melakukannya. Tidak semua orang di sekeliling Najib mempunyai pemikiran yang sama dengan dia. Jika beliau mahu melakukannya, maka rakyat harus memberi sokongan kepada mereka," katanya dipetik media.

Saifuddin tewas di kerusi Parlimen Temerloh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan sebahagian puncanya ialah penolakan ahli-ahli Umno terhadapnya ekoran kecenderungan liberal beliau.

Akta Keharmonian Nasional terus menerima reaksi bercampur-campur daripada kalangan ahli Umno dan tokoh-tokoh Melayu.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada Julai lalu dilapor berkata Majlis Konsultasi Perpaduan Negara yang menyumbang kepada penggubalan Akta Keharmonian Nasional dikuasai kelompok liberal.

Abdul Hamid yang menolak tawaran mempengerusikan majlis itu dilapor berkata majlis itu dibimbangi diperalat untuk menghakis hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

"Saya takut kiranya saya akan menjadi 'pengkhianat' kepada bangsa Melayu dan agama Islam," beliau dipetik berkata.

Satu pandangan konservatif turut disiarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia julai lalu, tulisan pemerhati politik, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim.

Beliau menegaskan, "Kita sememangnya cukup bimbang sekiranya Rang Undang-Undang Harmoni Nasional yang bakal menggantikan Akta Hasutan 1948 terlampau menjulang Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara Lapan yang memperuntukkan kesamarataan itu sehinggakan mengetepikan pula empat perkara sensitif dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (Perkara 153), kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181) dan Bahagian III berkaitan kerakyatan (Perkara 14-30).

"Kekhuatiran ini pada dasarnya berasas kerana kelihatannya ketika ini yang berlegar-legar dalam fikiran sebahagian ahli berfahaman liberal dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Negara agak menjurus untuk menguar-uarkan Perkara Lapan Perlembagaan Persekutuan," tulisnya.

Kritikan keras terhadap Najib bakal meningkat lagi ekoran perkembangan terbaharu ini, dan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan hubungan beliau dengan Mahathir kebelakangan ini.

Wartawan veteran Abdul Kadir Jasin pada April lalu menegaskan yang lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bertemu Najib dijelaskan oleh dasar liberal yang dilaksanakan Najib.

Debat berhubung isu pemansuhan Akta Hasutan ini, dan penggubalan Akta Keharmonian Nasional kini menunjukkan dengan jelas perbezaan pemikiran dalam kalangan liberal dan konservatif dalam Umno, dan menjadi ujian terkini terhadap Najib dalam usahanya melaksanakan perubahan ke arah yang lebih liberal untuk memelihara kedudukannya. - September 9, 2014

Wednesday, September 10, 2014

Cabaran dasar luar Turki era Erdogan-Davutoglu

Oleh HARIS ZALKAPLI

Turki kini menerima presiden dan perdana menteri baharu yang dijangka akan secara bersama berperanan lebih aktif dan meluas dalam pemerintahan negara itu, termasuk melibatkan hal dasar luar.

Gandingan Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan Perdana Menteri Ahmet Davutoglu dijangka memberi tumpuan pada politik serantau dan global dalam usaha meningkatkan lagi profil Turki di mata dunia, selepas sedikit tergendala ekoran kesan-kesan daripada kebangkitan massa dan perubahan landskap politik serantau.

Berikut ialah keadaan hubungan Turki dengan kuasa-kuasa serantau dan global, memperlihatkan apa yang bakal dihadapi oleh Erdogan-Davutoglu.

  • Arab Saudi dan sekutu di Teluk Parsi
Arab Saudi dan sekutu-sekutu kuatnya di Teluk Parsi berpendirian bertentangan terhadap kebangkitan massa di rantau Arab dengan Turki, yang melihat secara positif kebangkitan yang dinilai sebagai pendemokrasian itu.

Secara umumnya, Ankara dan Riyadh memimpin dua arus yang bertentangan ini, satu pihak menyambut perubahan radikal dalam politik manakala satu pihak lagi mahu status qou dipelihara.

Walau bagaimanapun, di Syria, Turki dan Saudi berada di pihak yang sama untuk satu tempoh, apabila kedua-duanya menyokong penentang pemerintah walaupun matlamat akhir masing-masing berbeza.

Pertembungan kepentingan utama Turki dan Saudi pada masa ini ialah Mesir, yang kembali dikuasai kelompok mesra Saudi, yang merampas kuasa daripada sekutu Turki, Mohamed Morsi dan Ikhwan al-Muslimin.
  • Dunia Islam
Pengaruh Turki semakin meningkat sejak sedekad lalu, apabila pemerintahan AKP meneruskan usaha memulihkan ekonomi Turki dan mencapai satu tahap yang tinggi, menjadikan politik lebih stabil dan meningkatkan peranan diplomasi Turki di rantau Asia Barat.

Diplomasi dan aktivisme pertubuhan masyarakat sivil melibatkan seluruh dunia Islam melonjakkan nama Turki, ditambah dengan populariti Erdogan yang mendapat liputan positif media.

Turki di bawah Presiden Erdogan dan gandingannya dijangka berusaha meningkatkan lagi imej Turki di dunia Islam, paling utama melalui peranan dalam isu Palestin, dalam dasar yang digelar neo-Uthmaniyyah oleh pemerhati.

Turki kini sedang memulihkan kedudukan di Asia Barat ekoran perkembangan melibatkan kebangkitan rakyat yang kini mendatangkan akibat yang tidak menyebelahinya.

  • Mesir
Mesir ialah negara yang diharapkan untuk meluaskan pengaruh Turki di rantau Arab, melalui hubungan baik kerajaan AKP dengan Ikhwan al-Muslimin.

Hubungan Ankara-Kaherah meningkat apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mendapat sekutu Ikhwannya menguasai pemerintahan Mesir, mengambil alih daripada rejim yang berhubungan baik dengan Saudi.

Perubahan itu menyediakan peluang untuk Ankara menjalankan agenda dasar luarnya, melibatkan Mesir, Gaza dan seluruh rantau Arab. Ankara juga mendapat manfaat apabila dilihat sebagai memimpin Kaherah melalui satu transisi ke arah politik yang lebih demokratik.

Hubungan baik ini walau bagaimanapun terhenti apabila Morsi dijatuhkan oleh penentang Ikhwan dengan kerjasama pihak tentera yang masih mempunyai kuasa. Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait segera memberi bantuan kewangan untuk mengukuhkan pemerintahan baharu yang dikuasai tentera.
  • Amerika Syarikat dan Eropah
Turki ialah sebuah negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, yang penting kerana kedudukannya di antara Eropah dan Asia Barat yang sentiasa bergolak.

Amerika Syarikat memelihara hubungan baik dengan Turki kerana kepentingan tersebut, serta untuk memelihara sebuah negara Islam yang sekular dan demokratik. Turki juga satu-satunya negara Islam dalam pertubuhan keselamatan kolektif itu.

Hubungan Turki dengan AS terjejas ekoran tindakan Ankara mengambil tindakan dasar luar yang lebih bebas sehingga menjejaskan hubungan dengan AS dan Israel.

Di bawah AKP, Turki kelihatan lebih menumpukan pada sebelah Asia, termasuk membina hubungan lebih rapat dengan Pertubuhan Kerjasama Shanghai yang dipimpin China dan Rusia, pada masa usahanya untuk diterima sebagai anggota Kesatuan Eropah semakin sukar.
  • Israel
Hubungan Turki-Israel terjejas teruk akibat peristiwa serangan komando Zionis ke atas kapal bantuan kemanusiaan Turki, Mavi Marmara dan mengorbankan warga Turki pada 2010.

Peristiwa ini berlaku pada masa Turki dilihat sebagai semakin cenderung ke dunia Islam dan mengabaikan hubungan dengan Barat, tanggapan yang semakin kuat susulan serangan itu kerana nama Turki melonjak naik di dunia Islam.

Peningkatan hubungan Turki dengan Hamas dan tumpuan pada isu Palestin menyebabkan profil Turki dan Erdogan yang semakin baik, yang diperlukan dalam meluaskan pengaruhnya.

Dasar luar baharu Turki ini menjejaskan hubungan dengan Israel hingga ke saat ini. Erdogan sebagai presiden dijangka meneruskan tumpuan pada Palestin dan menjadikan hubungan dengan Israel terus dingin, walaupun Turki kekal mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
  • Syria
Syria mempunyai beberapa isu kritikal dengan Turki sejak pemerintahan Presiden Hafez al-Assad, antaranya melibatkan militan Kurdi dan bekalan air, tetapi hubungan kedua-dua negara berada di tahap yang sederhana.

Di bawah Presiden Bashar al-Assad dan Perdana Menteri Erdogan, hubungan semakin baik, tetapi kemudian Turki terlibat dalam usaha memerangi pemerintahan Assad dengan menyokong dan menyalurkan senjata kepada penentang kerajaan.

Pemerintahan Assad berjaya bertahan selepas lebih tiga tahun menghadapi konflik bersenjata, menjadikan hubungan kedua-dua negara semakin sukar, lebih-lebih lagi memandangkan Davutoglu sebagai perdana menteri akan berdepan dengan Bashar al-Assad yang cuba dijatuhkan sebelum ini.

Sempadan yang luas antara kedua-dua negara, kewujudan Kurdi yang boleh mendapatkan bantuan dari Syria dan isu lain dicetuskan oleh konflik bakal menyukarkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
  • Iraq
Hubungan Ankara-Baghdad terjejas, antaranya akibat urusniaga minyak antara Turki dengan kerajaan Kurdistan di utara Iraq. Baghdad mendakwa Turki bertindak membelakangi kerajaan pusat Iraq apabila membeli minyak dari Kurdistan dan menjadi laluan eksport minyak, pada masa wujud pertikaian berhubung hasil yang diserahkan kepada pusat.

Turki dalam hal ini dilihat menyumbang kepada perpecahan Iraq, kerana tindakannya mengambil kesempatan berurusniaga dengan kerajaan Kurdistan tanpa mengambil kira kerajaan pusat di Baghdad.

Turki juga didakwa terlibat dalam melindungi dan membantu pembangkang Sunni di Iraq. Hubungan Turki-Iraq berpotensi untuk terus sukar, terutama disebabkan isu kerajaan Kurdistan dan kumpulan militan Negara Islam di Iraq dan al-Syam.

Barat telah mula membekalkan senjata kepada kumpulan Kurdi untuk berdepan dengan ISIS, perkembangan yang berpotensi memberi kesan kepada Turki pada masa akan datang.
  • Qatar 
Sejak kebangkitan Arab menampakkan beberapa kejayaan, Turki dan Qatar ialah dua negara yang dijangka bakal mendapat manfaat paling besar, terutama di Mesir yang kelihatan bakal menaikkan Ikhwan al-Muslimin untuk menguasai negara Arab berpengaruh itu.

Ankara dan Doha ialah pendukung utama Ikhwan di Mesir dan Syria, yang cuba dipengaruhi peralihan kepimpinannya. Kedua-dua negara juga merupakan sekutu rapat Hamas, dan boleh berperanan dalam isu Palestin, yang mencetuskan reaksi daripada negara-negara Arab.

Hubungan dengan Qatar - negara Arab Teluk yang mengekalkan hubungan paling baik dengan Turki - semakin selari sejak bermula kebangkitan Arab dan kedua-dua memiliki kelebihan masing-masing untuk menguasai atau berhubungan baik dengan negara-negara yang dilanda kebangkitan, daripada Mesir dan juga Syria.

Turki dan Qatar terjejas selepas kepimpinan Mohamed Morsi di Mesir dijatuhkan, dan kepimpinan baharu disokong kuat Saudi dan sekutu Arab Teluk lain.
  • Iran
Kedua-dua Ankara dan Tehran berkepentingan di Iraq, melibatkan etnik Kurdi dan kuasa Sunni bagi Turki dan pengaruh terhadap pemerintahan Baghdad bagi Iran.

Kedua-dua Turki dan Iran bersempadan dengan Iraq dan terkesan dengan krisis dan konflik yang berlaku. Kedua-dua kuasa juga bersaing melebarkan pengaruh di Asia Tengah, tetapi Ankara melihat hubungan dengan Iran dapat membantu dalam banyak hal.

Turki memerlukan kerjasama Iran dalam membantunya menghadapi realiti politik serantau baharu. Hubungan Ankara-Tehran semakin baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pada masa sama hubungan Turki dengan negara-negara Arab, terutama Arab Saudi dan Mesir, merosot teruk ekoran dasar Ankara menangani kebangkitan Arab dan respons kedua-dua kuasa Arab tersebut.

Hubungan politik dan perdagangan Turki-Iran semakin meningkat, dan Turki melihat Iran sebagai rakan strategik yang penting pada masa ini dan masa hadapan.

  • Rusia
Hubungan Turki dengan Rusia banyak melibatkan perdagangan, terutama bekalan tenaga yang diperlukan oleh Turki. Rusia ialah sumber utama bekalan gas untuk Turki, dan pada masa sama Turki mendapat manfaat dengan menjadi salah satu laluan penting bekalan gas ke Eropah.

Kedudukan geografi Turki di laluan eksport tenaga dari Rusia ke Eropah memberi kelebihan kepada Turki dalam hubungan dengan kedua-dua kuasa. Kebangkitan Rusia juga mendorong Turki melihat Rusia sebagai rakan yang semakin penting untuk didekati dan dikekalkan hubungan yang baik.

Turki pula menjadi satu lagi negara Islam yang berpotensi membina hubungan lebih baik dengan Moscow selepas Iran, yang kedua-dua Turki dan Iran berada di kedudukan strategik.

Ankara dan Moskow saling memerlukan bukan sahaja dalam perdagangan tetapi kestabilan politik di wilayah Laut Hitam dan bekas Soviet yang dikongsi bersama, dan juga melibatkan wilayah Rusia dan bekas Soviet yang didiami warga rumpun Turki. - Ogos 24, 2014

Monday, August 25, 2014

Malaysia dalam pergelutan kuasa-kuasa dunia

Tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak di ruang udara Ukraine, di kawasan pertembungan Rusia dengan Barat, memaksa Malaysia terlibat secara langsung dalam satu konflik yang jauh dari sempadan negara.

Tiba-tiba, Malaysia menjadi satu pemain penting dalam satu persaingan antara kuasa besar Amerika Syarikat, sekutunya Ukraine dan Rusia.

Tindakan Malaysia menjadi perhatian kuasa-kuasa yang terlibat, dalam satu pergelutan paling sengit dan panjang antara AS dan Ukraine dengan Rusia yang sedang bangkit dan mahu meneruskan penguasaan terhadap wilayah dekatnya itu.

Wilayah Ukraine di timur Eropah itu, yang selama ini tidak mendapat perhatian Malaysia berbanding rantau Asia Timur, tiba-tiba menjadi salah satu medan diplomasi Malaysia, yang kesannya melibatkan hubungan Kuala Lumpur dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Di Asia Barat, nama Malaysia tiba-tiba disebut oleh perisikan Israel sebagai satu lokasi latihan pejuang Hamas, dikatakan untuk satu operasi serangan menggunakan payung terjun.

Pendedahan ini, yang dinafikan segera oleh pemerintah Malaysia, mengheret Malaysia ke dalam konflik bersenjata di Palestin, yang Malaysia diketahui memberi sokongan kepada pihak Palestin.

Dakwaan ini meletakkan Malaysia di barisan yang lebih ke hadapan dalam usaha menentang kekejaman Zionis di Asia Barat, kerana implikasinya memungkinkan tindakan dikenakan ke atas Malaysia.

Malaysia selama ini lebih memberikan sokongan dari jauh, dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan dan menjalankan kempen-kempen boikot terhadap syarikat-syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dan membantu Israel.

Pada masa yang sama, Malaysia kini juga menjadi salah sebuah negara yang mempunyai ramai warga terlibat dalam konflik bersenjata di Syria dan kawasan sekitarnya.

Malaysia cuba menjarakkan diri daripada tindakan segelintir rakyatnya itu, tetapi perkembangan ini sukar dihalang akibat sentimen yang telah lama dibina dan tersebar dalam kalangan Muslim di sini.

Malaysia yang selama ini menjadi medan persaingan antara kuasa-kuasa dalam dunia Islam terlibat makin mendalam di Syria yang merupakan satu medan pertembungan negara-negara Asia Barat yang bersaing dalam melebarkan pengaruh di dunia Islam.

Perkembangan di Syria - dan juga di Iraq pada masa ini - turut akan mendatangkan implikasi negatif kepada negara, yang akan mendatangkan kesan berpanjangan dan sukar diatasi.

Perkembangan ini semua melibatkan kuasa-kuasa dalam dunia Islam terutama Arab Saudi, Iran, dan Turki, yang semuanya berhubungan baik dengan Malaysia.

Walaupun kecil dan tidak mempunyai pengaruh seperti negara-negara Arab Saudi, Iran dan Turki, sejarah telah menunjukkan yang Malaysia menjadi negara yang diperlukan sokongannya.

Dalam hal ini, Malaysia mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia Islam, disebabkan imej sederhana dan maju yang dibawa.

Dalam tempoh yang singkat tahun ini, dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia semakin terheret dalam isu-isu kritikal politik global yang selama ini dinilai sebagai jauh dari segi geografi dan jarang diteliti secara lebih dalam.

Konflik di Syria telah meningkatkan sentimen sektarian dalam kalangan Muslim di Malaysia sehingga mencetuskan satu krisis.

Tragedi MH370 meletakkan Malaysia di tengah-tengah dalam persaingan kuasa Asia, China, dengan kuasa besar dunia AS.

Kemudian, MH17 sekali lagi menguji Malaysia yang selama ini mengekalkan hubungan baik dengan dua pihak yang bertentangan, AS dan Rusia.

Dalam semua peristiwa ini, Malaysia terpaksa berdepan ujian mengimbangi rakan dan sekutu yang penting. Arab Saudi, Iran, AS, China semuanya rakan yang mempunyai kedudukan dalam kepentingan negara.

Malaysia kini memasuki satu fasa baharu yang lebih mencabar dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa, apabila dipaksa berdepan dengan hal politik global yang selama ini dirasakan jauh.

Semua ini menuntut tenaga dan perhatian lebih banyak daripada Malaysia kepada hal diplomasi, dan memerlukan pemerhatian terhadap isu-isu penting melibatkan hubungan kuasa-kuasa, sama ada dalam kalangan dunia Islam dan juga kuasa global. - Ogos 22, 2014

Saturday, August 16, 2014

Pakatan Rakyat dan pelajaran politik koalisi

Sejak tahun 1990, parti-parti pembangkang di Malaysia mula merapatkan kerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional, dalam pakatan-pakatan yang lebih kohesif dan meyakinkan.

Bermula tahun 1990, PAS dan parti-parti pembangkang Semangat 46 dan tiga parti kecil Melayu bersatu menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah, APU, yang sempat bertanding dalam dua pilihan raya umum.

APU bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1990 dan 1995, dengan PAS mendapat kemenangan besar berjaya menguasai Kelantan dan kemudian mengekalkannya. PAS kekal menguasai Kelantan hingga ke hari ini, yang satu punca utamanya ialah kerjasama dalam APU.

Pada masa sama, Semangat 46 bekerjasama dalam Gagasan Rakyat yang anggota termasuk parti-parti yang kini membentuk Pakatan Rakyat iaitu DAP dan Parti Rakyat Malaysia, PRM, yang sebahagian besar ahlinya telah menyertai Parti Keadilan Nasional dan membentuk Parti Keadilan Rakyat.

APU dan Gagasan Rakyat walau bagaimanapun ialah dua pakatan yang berbeza walaupun bergerak secara seiringan dalam dua pilihan raya umum.

Selepas dua pilihan raya umum, hayat APU berakhir apabila Semangat 46 berpecah dengan ahli-ahlinya menyertai Umno bersama pemimpinnya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga PAS.

APU mencatat sejarah berjaya menghadapi dua pilihan raya umum, dengan agenda yang sederhana dan dianggotai parti-parti yang tidak banyak berbeza dari sudut ideologi dan identiti.

Kemudian, pada pilihan raya 1999, ekoran peristiwa politik yang bermula September 1998, PAS bersama parti-parti pembangkang lain menubuhkan Barisan Alternatif. Barisan Alternatif menggabungkan PAS, Parti Keadilan Nasional, DAP dan PRM dalam satu pakatan.

Dalam pilihan raya umum tahun 1999, Barisan Alternatif bertanding sebagai satu pakatan pilihan raya dengan meyakinkan, membawa satu manifesto bersama.

Tetapi, kemudian, perbezaan pandangan parti-parti terbabit terutama PAS dan DAP menjejaskan kesepakatan Barisan Alternatif, sehingga akhirnya DAP menarik diri pada 2001.

Selepas itu, Barisan Alternatif wujud dalam keadaan yang tidak sempurna, kerana sebuah parti yang penting kepada pakatan itu telah keluar, dan akibatnya tidak menampakkan gabungan itu sebagai apa yang dipersembahkan pada awal penubuhan.

Walaupun dalam pilihan raya umum berikutnya nama Barisan Alternatif masih didengari, hakikatnya ia tidak sama dengan pakatan yang dibayangkan pada tahun 1999, dan menunjukkan pakatan itu gagal mencapai kesepakatan dalam hal yang asas.

Secara praktiknya, Barisan Alternatif berakhir apabila DAP menarik diri, dan gabungan ini sebenarnya hanya berjaya melalui satu pilihan raya bersama.

Dalam pilihan raya umum tahun 2004, tidak wujud satu pakatan kerjasama pilihan raya yang meyakinkan, walaupun PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang dilancarkan pada tahun sebelumnya bekerjsama rapat.

Kemudian, dalam pilihan raya umum tahun 2008, parti-parti pembangkang sekali lagi berusaha menunjukkan kesepakatan dalam menghadapi BN, dengan keputusan pilihan raya yang menyaksikan PAS, PKR dan DAP mendapat kejayaan besar.

Pilihan raya ini telah memaksa PAS, PKR dan DAP bersatu, dan hasilnya Pakatan Rakyat ditubuhkan, dan muncul sebagai pakatan paling kohesif dalam sejarah terkini sejak APU dan Barisan Alternatif.

Pakatan Rakyat membina manifesto bersama, program bersama terperinci dalam Buku Jingga, dan memperlihatkan hubungan dan kerjasama rapat di semua peringkat. Pakatan Rakyat ialah gabungan terbaik selepas dua eksperimen sebelum ini, yakni APU dan Barisan Alternatif.

Selepas hampir 25 tahun sejak penubuhan APU dan Gagasan Rakyat, parti-parti pembangkang kini bersama dalam satu gabungan Pakatan Rakyat yang sukar dibayangkan pada masa itu, dan selepas Barisan Alternatif berpecah.

Tempoh 25 tahun ialah satu masa yang panjang, dan sepatutnya telah menyediakan pelajaran yang cukup untuk mematangkan parti-parti pembangkang dalam pembinaan aliansi.

Sekiranya Pakatan Rakyat tidak dapat dikekalkan, parti-parti pembangkang bakal kelihatan lemah dan tidak berwibawa, kerana banyak sebab, termasuk kerana terus tidak mampu membina pakatan yang kohesif dan stabil selepas puluhan tahun terlibat dalam politik pilihan raya Malaysia.

Tahun-tahun kebelakangan ini telah menyediakan suasana yang kondusif untuk pembinaan pakatan politik yang mampu menyaingi BN, jauh lebih baik berbanding tahun 1990 dan 1999.

Pemimpin-pemimpin parti Pakatan Rakyat wajar membuktikan yang gabungan ini boleh dipertahankan, dan tidak mencatat sejarah sebagai pakatan yang hanya mampu melalui satu pilihan raya umum seperti pakatan sebelum ini.- Ogos 15, 2014

Wednesday, August 13, 2014

Harapan buat Erdogan

Seperti yang telah dijangka selama ini, Recep Tayyip Erdogan telah memenangi pemilihan pertama presiden Turki, mengatasi dua calon lain dengan jumlah yang besar, sebanyak 52 peratus.

Jumlah ini bermakna pemilihan presiden selesai tanpa perlu memasuki pusingan kedua. Kemenangan ini mengesahkan populariti Erdogan dan akan melanjutkan kehadirannya dalam kepimpinan Turki yang mencapai lebih 10 tahun kepada kemungkinan 10 tahun lagi.

Erdogan telah memenangi jawatan presiden dan akan menjawat jawatan presiden selama satu penggal lima tahun. Sekiranya bertanding dan menang sekali lagi, Erdogan bakal berperanan dalam politik Turki selama 10 tahun sebagai presiden.

Erdogan menjawat jawatan penting ini - yang bakal dijadikan lebih penting oleh beliau yang bercita-cita tinggi - pada masa politik serantau dan dunia yang mencabar.

Sama ada benar kritikan yang banyak dilemparkan kepadanya selama ini akan dapat diperhatikan sepanjang tempoh lima tahun akan datang dan selepas itu.

Beberapa tahun sebelum pilihan raya presiden ini, Erdogan semakin dikritik sebagai semakin bersifat autoritarian dan cenderung kepada pendakatan Islamis, sesuatu yang berimej negatif di Turki yang kuat mempertahankan sekularismenya yang kritikal dengan Islam konservatif.

Dari segi ideologi, AKP dinilai sebagai berkecenderungan Islam dan liberal, menggabungkan dua elemen ini dalam mengimbangi tuntutan dan sensitiviti politik Turki. Tuduhan semakin ke arah Islamis menjejaskan imej Erdogan dari sudut ini.

Dakwaan paling utama ialah Erdogan dikatakan bercita-cita untuk menjadikan presiden lebih berperanan eksekutif, mendepani isu-isu dasar luar dan dalaman yang penting untuk melonjakkan lagi kedudukan Turki sebagai negara yang pantas membangun dan menjadi sebuah negara contoh.

Turki akan menyambut ulangtahun ke-100 penubuhan republik pada 2023, tahun yang Erdogan bakal menduduki kerusi presiden sekiranya menang penggal kedua. Ini disifatkan ramai pemerhati sebagai antara agenda peribadi paling penting Erdogan.


Tahun 2023 juga ialah tahun pemerintah Turki bakal meraikan kejayaan Wawasan 2023, satu agenda negara Turki yang maju yang dibangunkan dan dipersembahkan oleh gandingan Erdogan dan Menteri Luar Ahmet Davutoglu.

Sebagai seorang ahli politik, rekod itu penting untuk dicatatkan oleh Erdogan, untuk menyempurnakan pencapaiannya sebagai perdana menteri selama ini yang membawa keluar Turki daripada kemelut ekonomi dan politik.

Erdogan dilihat sebagai pemimpin contoh yang mempunyai pengkagum di seluruh dunia Islam dan Turki dilihat sebagai negara model pemerintahan beridentiti Islam yang mengatasi semua negara Islam di rantaunya. Semua ini dicapai sepanjang tempoh Erdogan dan AKP mengemudi Turki.

Erdogan kelihatan tidak akan berpuas hati sekiranya tidak mencapai kedudukan setaraf dengan Mustafa Kamal Attaturk, pemimpin yang masih dilihat sebagai bapa Turki moden dan pembangun republik Turki.

Perhatian kini tertumpu pada perdana menteri yang akan menggantikan beliau, yang perlu dipastikan mempunyai hubungan baik dengan Erdogan untuk pemimpin popular Turki ini melaksanakan agendanya.

Erdogan dijangka akan memberi tumpuan yang agak banyak pada dasar luar, yang selama ini telah membantu meningkatkan popularitinya di dalam dan luar negara.

Kedudukan Turki pada masa ini menentukan kedudukan dasar luar sebagai satu komponen penting yang memberi kesan kepada politik dalaman, seperti yang diperlihatkan semasa insiden serangan Zionis ke atas kapal bantuan Mavi Marmara.

Erdogan yang mahir dalam politik populis mengharapkan supaya dapat meneruskan peranan dalam dasar luar, dan ini menjadikan perdana menteri yang sehaluan dengan beliau dan bersedia dibayangi pada masa-masa tertentu amat penting.

Krisis di Syria dijangka tidak akan elesai segera dan masih memerlukan perhatian dan peranan Turki, dan pada masa sama isu Palestin-Israel terus panas, melibatkan gerakan Hamas, sekutu Turki di sana.

Pada masa sama, Iraq yang berkongsi sempadan dengan Turki juga menyaksikan perkembangan yang kritikal, melibatkan bukan sahaja isu Kurdi yang telah mencorakkan hubungan Ankara-Baghdad tetapi juga ancaman baharu militan ekstremis yang menguasai sebahagian Iraq dan Syria.

Turki masih boleh menggerakkan peranan diplomasinya sekiranya dapat menangani politik dalaman dan menyusun semula rancangan bertindak serant.au yang telah terjejas akibat tindakan dasar luar yang tidak berhati-hati.

Turki telah terjejas akibat dasar luarnya di Syria. Ankara telah menyokong kuat penentang rejim Bashar al-Assad yang akhirnya gagal dijatuhkan dengan memberi bantuan kepada Ikhwan al-Muslimin di Syria.

Akibat kes Syria, agenda "masalah sifar" yang diuar-uarkan oleh Davutoglu dahulu telah gagal dicapai, malah Turki semakin terasing dan hubungan dengan negara-negara jiran terjejas teruk.

Populariti serantau Turki terjejas akibat perkembangan kebangkitan Arab yang bertukar menjadi konflik bersenjata dan perang proksi di Syria, malah sehingga perisikan Turki dikaitkan dengan membekalkan gas beracun yang digunakan oleh pemberontak sebagai satu rancangan mempersalahkan rejim Bashar dan membolehkan tindakan ketenteraan diketuai Amerika Syarikat diambil ke atas Syria.

Turki berada dalam keadaan yang mencabar pada masa ini. Kemenangan Erdogan sebagai presiden boleh dijadikan titik permulaan untuk proses pemulihan dan membina rekod baharu Turki di rantau Asia Barat dan seluruh dunia Islam.

Walau bagaimanapun, penilaian ke atas Erdogan dan Turki perlu realistik, mengambil kira realiti kedudukan Turki sebagai sebuah negara sekutu penting AS dan model negara "Muslim moderat" anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, dan negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Tetapi Erdogan telah menunjukkan sikap yang agak tegas dalam berdepan Zionis, walaupun sebahagiannya mungkin didorong oleh keperluan politik domestik, terutama melibatkan kepungan ke atas Gaza dan kesepakatan negara-negara Arab yang memusuhi Hamas dan Ikhwan al-Muslimin sehingga menjejaskan kepentingan umat dalam menghadapi Israel.

Tidak mudah untuk Turki bertindak bebas dalam dasar luarnya ekoran pakatan dan perjanjian yang disertai dan ekoran persaingan kuasa-kuasa serantau melibatkan negara Arab berpengaruh seperti Arab Saudi dan Mesir, tetapi Erdogan masih boleh diharapkan untuk memainkan peranan yang konstruktif. - Ogos 11, 2014
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...