Ismail Sabri Yaakob
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah pun mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram iaitu daripada RM1.45 sen kepada RM1.65 sekilogram di semenanjung manakala RM1.75 di Sabah dan Sarawak, yang telah pun berkuat kuasa pada 1 Januari 2010.

Untuk makluman masyarakat pengguna, jika harga kekal RM1.45 sekilogram kerajaan akan menanggung bebanan subsidi sebanyak RM1.26 billion. Meskipun kenaikan sebanyak 20 sen ,kerajaan masih lagi menanggung 80 sen sekilogram iaitu sebanyak RM1.008 bilion subsidi gula berbanding 720 juta pada tahun 2009, dan jika harga gula tidak di subsidikan ,harga gula adalah sebanyak RM2.45 sekilogram.

Harga gula yang baru dinaikkan ini iaitu RM1.65 sekilogram adalah jauh lebih rendah dari Negara-negara Asean yang lain. Seperti contoh Thailand RM 2.50, Singapore RM3.05, Indonesia RM3.40 dan Filipina RM3.62. Thailand yang juga Negara pengeksport gula mentah masih menjual gula pada harga RM2.50 sekilogram.

Kerajaan berpendapat adalah lebih baik subsidi gula dikurangkan sedikit supaya wang subsidi tersebut dapat dipulangkan kepada rakyat melalui cara lain seperti membantu rakyat miskin dan masyarakat luar Bandar, Kemudahan Kesihatan dan juga bantuan pelajaran kepada golongan miskin.

Saya amat berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran , Persatuan Obesiti Malaysia , Persatuan-Persatuan Pengguna dan juga orang ramai yang tidak membantah malah menyokong kenaikan 20 sen atas dasar kesihatan.

Walaubagaimanapun ada juga pihak yang membantah kenaikan harga gula ini, Beberapa individu daripada Pemuda UMNO turut menyatakan bantahan mereka di akhbar-akhbar tempatan. Alasanya kenaikan harga membebankan rakyat miskin dan tidak sesuai masanya kerana sekolah baru dibuka dan perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Februari ini.

Saya tidak menganggap ianya membebankan!

Saya percaya masyarakat di Negara ini tidak menggambil gula sebanyak sekilo sehari. Mengikut kajian yang telah dijalankan , terbukti masyarakat pengguna mengambil gula dalam pemakanan mereka hanya 1 kilo ke 2 kilo untuk kadar satu bulan.

Justeru, tambahan tanggunggan adalah sebanyak 20 sen ke 40 sen sahaja sebulan. Apakah ianya satu bebanan dengan kenaikkan 20 sen hingga 40 sen sebulan?

Maka jika dilihat dari sudut kesihatan, sekiranya gula dapat dikurangkan dalam makanan dan minuman dirumah, mungkin isu kenaikan tanggungan sebanyak 20 sen ke 40 sen yang dianggap membebankan ini tidak akan timbul sama sekali.

Perlu diingatkan Malaysia merupakan antara Negara yang mempunyai penyakit Diebetis yang tinggi. World Health Organisation (WHO) menganggarkan menjelang 2030 seramai 2.5juta rakyat Malaysia akan menghidap Diebetis. Penyakit ini jugalah akan menyebabkan kerosakan buah pinggang , stroke dan penyakit kronik yang lain. Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menggurangkan jumlah anggran WHO tersebut.

Pandangan mengenai kenaikkan harga gula membebankan kaum Cina sempena perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang ,ianya sama sekali tidak akan timbul. Daripada pandangan kaum Cina , rata-rata berpendapat kenaikkan harga gula tidak memberi kesan kepada mereka, ini kerana kaum Cina tidak menggunakan gula dalam kuantiti yang banyak di dalam makanan dan minuman mereka di Tahun Baru Cina.

Pada kesimpulanya , kenaikkan harga gula sebanyak 20 sen perlu dilihat secara positif dan rasional. Bayangkan berapa jumlah rakyat termiskin (PPRT) dapat dibantu hasil penjimatan 252 Juta subsidi gula tersebut dan Bayangkan bagaimana bertuahnya Negara yang mempunyai rakyat yang sihat.

“Senyum Kita Lebih Manis Tanpa Gula”