Ismail Sabri Yaakob
Saya dan Kementerian memandang serius isu penyeludupan dan pembelian luar biasa petrol dan diesel yang berlaku di sempadan yang bermula apabila terdapat perbezaan harga yang tinggi antara harga runcit petrol dan diesel di Malaysia dan negara jiran.

Bagi membendung masalah ini, saya telah pun mengumumkan penguatkuasaan semula larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 Liter kepada kenderaan asing, melibatkan stesen-stesen minyak dalam lingkungan 50 KM dari kawasan sempadan.

Saya tidak mahu subsidi minyak yang sepatutnya dinikmati rakyat Negara ini turut diperoleh orang luar kerana ia tidak adil kepada kerajaan dan rakyat sebagai pembayar cukai.
Ismail Sabri Yaakob

Saya telah pun melancarkan Kempen Kurangkan Pengambilan Gula. Langkah ini bersesuaian dengan usaha meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup dan secara langsung menurunkan statistik penyakit-penyaki kronik di negara ini.

Justeru saya menyarankan kepada persatuan-persatuan pengguna, mengambil langkah yang lebih proaktif dalam mendidik masyarakat pengguna mengenai bahayanya pengambilan gula secara berlebihan.

Cara hidup atau lifestyle masyarakat pengguna masa kini, yang lebih gemar makan di luar, pengambilan diet yang tidak seimbang serta sikap “tidak apa” terhadap makanan dan minuman yang mengandungi gula berlebihan perlu di ubah agar ia dapat membantu membentuk masyarakat Malaysia yang lebih sihat , cergas dan cerdas.

Oleh yang demikian, Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian, ialah pengguna perlu sentiasa membaca label pada produk yang ingin dibeli bagi memastikan tahap kandungan gula tidak berlebihan dan pihak pengeluar juga perlu lebih bertanggungjawab dengan meletakkan label pemakanan dengan lebih jelas dan bukan sekadar menggunakan nama saintifik .

Harapan Kementerian agar usaha murni mendidik masyarakat pengguna ini akan berterusan dan mendapat kerjasama daripada semua pihak lebih-lebih lagi masyarakat pengguna.

“Hidup Lebih Manis Tanpa Gula”

“Mati Semut Kerana Gula”
Ismail Sabri Yaakob
Majlis Perundingan Peringkat Parlimen akan diwujudkan mulai tahun hadapan. Saya percaya usaha ini berupaya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh koperasi di semua kawasan parlimen.

Sebanyak RM 20,000 diperuntukkan disetiap parlimen bagi memudahkan proses penubuhan koperasi tersebut.

Majlis Perundingan Peringkat Parlimen ini juga akan dianggotai oleh wakil-wakil koperasi peringkat Parlimen, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) serta jabatan-jabatan kerajaan.

Kementerian juga telah bersetuju melonggarkan syarat penubuhan sesebuah koperasi dari segi jumlah keanggotaan iaitu daripada 100 orang kepada 50 orang dan kurang 25 ahli bagi pertubuhan mempunyai keahlian kecil seperti orang kurang upaya (OKU) serta persatuan profesional.

Selain itu, bagi menggelakkan koperasi-koperasi yang bakal ditubuhkan itu menjadi tidak aktif, prasyarat dikenakan terhadap setiap anggota lembaga koperasi antaranya mereka diwajibkan menghadiri kursus pentadbiran yang dianjurkan oleh SKM, Majlis Koperasi Malaysia (MKM) dan Angkasa.

Langkah ini selari dengan kempen yang akan dijalankan tahun depan iaitu “1 Komuniti 1 Koperasi”. Saya percaya dengan meningkatkan jumlah koperasi di setiap komuniti samada di kampung, rumah pangsa ,kawasan perumahan serta kewujudan Majlis Perundingan ini , dapat membantu koperasi dalam pelbagai aspek penubuhan selain mendorong masyarakat melibatkan diri dalam bidang koperasi seterusnya menjadikannya sebagai satu budaya.
Ismail Sabri Yaakob
Saya telah melancarkan Program Business Matching pada 20 November yang lalu, dengan menemukan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS )tempatan dengan pihak hypermarket.

Bagi saya, Program Business Matching ini merupakan satu platform yang terbaik yang disediakan kepada para hypermarket ataupun pemborong untuk menilai sendiri pelbagai produk keluaran IKS tempatan yang berkualiti tinggi untuk disenarai tetap di semua rangkaian premis masing-masing.

Saya berharap usahawan IKS Bumiputera dapat meningkatkan kreativiti mereka dalam mengeluarkan produk-produk untuk dijual di pasaran serta menjaga kualiti produk agar setanding dengan produk lain yang telah pun berada di pasaran.

Kepercayaan yang diberikan oleh hypermarket dan pasaraya serta pihak peruncit merupakan amanah kepada IKS dan pihak IKS seharusnya bertanggungjawab untuk memamstikan bahawa produk yang dihantar adalah dalam kuantiti yang mencukupi dan pada masa yang dikehendaki.

Pihak IKS perlu memanfaatkan peluang yang sedia ada dan jangan mensia-siakan peluang yang diberikan ini dan berusahalah untuk terus menambah baik produk yang ada untuk mencapai mutu dan nilai komersil yang lebih tinggi.

Adalah menjadi harapan saya supaya sasaran untuk menempatkan 30 peratus produk IKS Bumiputera dalam hypermarket asing akan tercapai dalam waktu terdekat ini.


Melancarkan Ekspo Business Matching.



Melawat gerai IKS

Ismail Sabri Yaakob
Pengguna yang gagal membayar hutang ansuran kereta mereka seperti yang tertulis di dalam perjanjian sewa beli, terpaksa menghadapi pelbagai bayaran untuk menuntut semula kereta mereka, selepas ditarik oleh pihak bank.

Antaranya ialah bayaran upah tarik kereta, bayaran tuntutan semula dan bayaran untuk menyimpan kereta pengguna. Selain daripada itu penggunaan tukang tarik kereta juga kadangkala membahayakan keselamatan pengguna yang menghadapi masalah ini.

Justeru, saya bercadang untuk meminda Akta Sewa Beli, yang dilihat membebankan pengguna. Jika diteliti Akta Sewa Beli yang sedia ada, memberi terlalu banyak kebebasan kepada bank dengan mengenakan pelbagai caj kepada pengguna.

Adalah menjadi tanggungjawab saya, pengguna mendapat hak serta keadilan yang sewajarnya. Maka itu, pindaan Akta Sewa Beli ini akan menghalang pihak bank mengenakan pelbagai caj yang tidak munasabah kepada pengguna yang gagal melunaskan hutang ansuran kereta mereka.
Ismail Sabri Yaakob
Berkonsepkan mesra rakyat , kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyediakan kaunter perkhidmatan pengguna yang mana telah pun saya rasmikan pada hari ini (17 November 2009).

Berfungsi sebagai one stop centre, kaunter ini merupakan usaha KPDNKK meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat pengguna dengan lebih cekap dan efisyen.
Justeru, saya berharap dengan adanya kemudahan kaunter ini yang akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari Isnin hingga Jumaat, memudahkan masyarakat pengguna menyuarakan keraguan, permasalahan dan juga aduan kepada KPDNKK.

Istimewanya , kaunter perkhidnmatan pengguna di KPDNKK ini , mempunyai sistem penggredan pegawai khidmat pelanggan, yang mana setiap pelanggan ataupun pengguna yang datang berurusan di kaunter boleh menggred pegawai daripada segi mutu servis, berpengetahuan , cekap dan juga efisien. Usaha ini bersesuasain dengan hasrat Kementerian dalam mempertingkatkan mutu kakitangan dari masa ke semasa.

Antara kaunter yang beroperasi adalah :

-Tribunal Tuntutan Pengguna
-Bahagian Penguatkuasa
-Bahagian Kepenggunaan
-Bahagian Perdagngan Dalam Negeri
-Bahagian pembangunan Francais
-Bahagian Pembangunan Koperasi
-Suruhanjaya Koperasi Malaysia
-Suruhanjaya Syarikat Malaysia
-Perbadanan Harta Intelek Malaysia
-Perbadanan Nasional Berhad
-Maktab Kerjasama Malaysia.

Semoga langkah dah usaha mengutamakan masyrakat pengguna ini mendapat kerjasama daripada semua pihak serta misi kempen Kuasa Pengguna: 1 Pengguna 1 Suara tercapai.





Bersama pelanggan di Kaunter Pengguna.


Mencuba sistem penggredan Pegawai Khidmat Pelanggan
Ismail Sabri Yaakob
Undang-undang di bawah Akta Cetak 1987 sekarang ini lebih memfokuskan kepada VCD haram yang diperdagangkan, tetapi tidak kepada personal use. Seseorang yang memiliki sekeping VCD haram tidak bersalah tetapi jika memiliki lebih daripada 3 keping baru boleh diambil tindakan.

Saya akan meminda undang-undang ini, seseorang yang memiliki walaupun sekeping VCD haram untuk kegunaan sendiri boleh dikenakan tindakan. Bagi saya, prinsip undang – undang di bawah kanun keseksaan, jelas memperkatakan, bahawa sesiapa yang memiliki barang curi boleh dihukum seperti pencuri.

Dengan cara ini, barulah pembeli tidak lagi berani membeli VCD cetak rompak, jika tiada pembelian, maka tiada urusan perniagaan yang akan berlaku.
Saya harap, rakyat faham bahawa tindakan membeli VCD haram sama seperti membantu pencuri kerana pembuat VCD haram sebenarnya pencuri kepada hasil kreativiti ciptaan individu lain.

Kita semestinya harus menghormati kreativiti dan intellectual property individu lain.
Ismail Sabri Yaakob
Cadangan mewujudkan pasar raya besar disuarakan, berdasarkan permintaan daripada pengguna bandar kecil, ini kerana mereka boleh membuat pilihan dengan harga murah yang ditawarkan oleh pasar raya besar.

Walau bagaimanapun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang mengkaji implikasi kewujudan pasar raya besar di bandar-bandar kecil, sama ada kewujudannya kelak menganggu perniagaan kedai-kedai runcit sedia ada di kawasan terbabit atau sebaliknya. Kerajaan semestinya akan sentiasa berhati-hati di dalam memperluaskan jangkauan pasar raya besar ke seluruh negara.

Tanggungjawab kementerian terhadap peniaga-peniaga tempatan tidak pernah diabaikan. Justeru, peruncit tidak perlu bimbang mengenai perkara ini. Bukanlah hasrat atau misi kerajaan mahu melihat peruncit atau peniaga tempatan mati akibat gagal bersaing dengan peniaga besar!
Ismail Sabri Yaakob
Budaya keusahawanan di kalangan pelajar sememangnya boleh dipupuk menerusi penubuhan koperasi sekolah.

Koperasi merupakan platform terbaik di sekolah untuk melatih pelajar dengan amalan perniagaan sebenar. Aktiviti yang dijalankan adalah berbentuk realiti bukan ”dummy” dan menitikberatkan panduan untuk menjadi usahawan seperti minat, kesungguhan, modal, kreativiti dan yang paling penting menekankan semangat bekerjasama untuk meraih kejayaan.

Selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan modal insan khususnya dalam keusahawanan, saya berpendapat koperasi sekolah merupakan entiti sosio ekonomi yang paling sesuai untuk mendedahkan pelajar-pelajar kepada dunia keusahawanan sebenar selepas keluar sekolah nanti.

Pembudayaan keusahawanan juga memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan daya kepimpinan, inisiatif dan kreativiti masing-masing. Konsep berkoperasi yang telah sedia ada mempunyai unsur-unsur perpaduan, kepimpinan, pengurusan secara demokrasi dan kebebasan untuk menentukan halatuju, serta memberikan persekitaran yang kondusif untuk membentuk pelajar yang berdaya saing.

Perkembangan positif koperasi sekolah sememangnya menuntut komitmen pihak pengurusan sekolah untuk menyokong penuh kehadiran koperasi sekolah di dalam sekolah mereka.
Saya juga berharap koperasi sekolah dapat mempelbagaikan barangan jualan mereka, bukan sekadar peralatan tulis malah kelengkapan sekolah yang lain seperti pakaian, kasut dan beg. Ia bukan sekadar dapat menambahkan keuntungan koperasi tetapi juga dapat memenuhi tanggungjawab sosial dengan memudahklan penduduk di luar bandar membeli kelengkapan persekolahan anak mereka melalui Koperasi sekolah.

Sehingga kini terdapat sebanyak 2090 buah koperasi sekolah iaitu sebanyak 96% daripada jumlah 2181 buah sekolah di Malaysia telah mempunyai koperasi. Koperasi sekolah ini juga merupakan 30% daripada sejumlah 7000 buah koperasi di Malaysia dengan asetnya berjumlah RM 264 juta dengan turnover sebanyak RM 141 juta. Koperasi sekolah ini juga berupaya mendapat keuntungan bersih sebanyak RM 27 juta daripada modal syernya berjumlah RM 18.8 juta yang dikumpul dari anggota-anggotanya seramai 2.0 juta orang iaitu 30% daripada 6.6 juta jumlah anggota koperasiyang terdiri daripada pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Ini bermakna koperasi sekolah juga memainkan peranan yang penting dari segi kuasa kepenggunaan dan boleh mewujudkan pasaran yang tersendiri. Pasaran pengguna ini boleh ditawan dengan mudah dengan adanya koperasi di sekolah dan akhirnya keuntungan yang diperolehi akan berbalik semula kepada warga sekolah. Saya juga difahamkan ada koperasi sekolah di Perak yang turnovernya hampir mencecah RM 900,000 setahun dan tersenarai berada dalam 20 koperasi sekolah paling tinggi.

Justeru, saya akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada semua kegiatan berfaedah yang dijalankan oleh koperasi sekolah. Telah terbukti bahawa koperasi mampu menjadi sebuah institusi yang boleh mewujudkan perpaduan dan memupuk semangat keusahawanan.
Dengan adanya sokongan badan bukan kerajaan seperti Angkasa dan sokongan kerajaan pula, melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menerajui, saya percaya matlamat ini akan lebih mudah dicapai.

Pada tahun 2008 sebanyak 108 buah koperasi sekolah telah diluluskan permohonan bantuan yang berjumlah hampir RM 2 juta. Dan bagi 2009 sehingga bulan oktober sebanyak 109 buah koperasi sekolah telah menerima bantuan berjumlah sebanyak RM 2.07 juta. Bantuan ini kebanyakannya bertujuan untuk membangunkan perniagaan koperasi.
Saya percaya langkah yang akan diambil ini akan memberi kesan jangka panjang dalam usaha kita untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai koperasi. Sekurang-kurangnya minat berkoperasi dan bagaimana untuk memimpin koperasi dapat dipupuk dalam usaha membentuk generasi pelapis dalam memimpin dan membangunkan koperasi di masa depan.
Ismail Sabri Yaakob
Kelab Pengguna Institut Pengajian Tinggi (IPT) peringkat kebangsaan (peringkat negeri Perak) telah pun saya rasmikan pada 25 oktober 2009 , di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar. Sebanyak 9 IPTA dan IPTA di Perak turut hadir.
Sasaran Kementerian adalah untuk menubuhkan kelab pengguna di semua IPTA dan IPTS menjelang akhir tahun ini atau selewat-lewatnya Jun 2010.

Berdasarkan kajian yang dijalankan pihak kementerian,tahap kesedaran kepenggunaan bagi golongan remaja dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun dan juga pelajar, adalah pada tahap 44% iaitu lebih rendah berbanding dengan mereka yang lebih dewasa iaitu 62.44%. Kadar ini amat membimbangkan saya khususnya, Justeru itulah saya merancang untuk memastikan mewujudkan Kelab pengguna di semua IPT malah diperingkat sekolah.

Sehubungan dengan itu kementerian juga akan melancarkan semula penubuhan kelab pengguna di semua sekolah menengah di seluruh negara.

Penubuhan Kelab Pengguna di Peringkat sekolah dan Univerisiti merupakan satu perkara yang amat penting bagi meningkatkan kesedaran dikalangan golongan muda. Pendedahan awal Ilmu Kepenggunaan di peringkat sekolah misalnya dapat memberikan informasi tentang hak sebagai pengguna kepada golongan muda yang mungkin tidak memandang serius isu persekitaran yang berkaitan dengan isu kepenggunaan dan kadangkala mereka juga lupa mereka seorang Pengguna.

Di peringkat Universiti pula saya percaya, Mahasiswa dan Mahasiswi yang berpendidikan tinggi ini dapat mengerakkan dan mengaktifkan Kelab Pengguna dengan pengisian yang lebih efektif.Terokai lah medium-medium baru seperti ’internet base media’ dalam menarik minat golongan muda untuk membaca dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan. Saya percaya graduan boleh menjadi ’agen’ dalam menyampaikan ilmu kepenggunaan kepada sekitar warga kampus mahupun ke luar kampus.

Pihak Kementerian pula, semestinya memberikan sokongan moral dan bantuan daripada aspek kewangan kepada kelab-kelab pengguna IPT yang ditubuhkan, agar aktiviti dapat dijalankan dalam mencapai misi kementerian.

Saya berharap kesinambungan Kelab Pengguna Sekolah dan kelab pengguna di peringkat IPT ini dapat melahirkan generasi yang celik ilmu kepenggunaan dan berani menyuarakan hak mereka.
Melawat Pameran Kepenggunaan di UiTM Seri Iskandar.

Bergambar bersama mahasiswa dan mahasiswi IPT
Ismail Sabri Yaakob
Semalam (12 Oktober 2009), saya mengadakan lawatan mengejut ke Brickfields, Kuala Lumpur sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2009 yang bermula semalam sehingga 21 Oktober ini.

Secara keseluruhannya, saya dapati masih ada peniaga yang tidak meletakkan tanda harga khas warna merah jambu pada 15 barangan yang dikawal harganya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meskipun kebanyakan peniaga sedia maklum mengenai hal itu.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang ingkar mematuhi peraturan berkenaan.

Sejajar dengan gagasan 1Malaysia, saya amat berharap kaum India yang akan merayakan Deepavali pada Sabtu ini dapat membuat persediaan tanpa dibebani dengan masalah kenaikan harga barangan.

Salam 1Malaysia.
Meninjau harga daging kambing.

Meletakkan tanda harga pada barangan kawalan sempena lawatan.

Berehat di Najib's Corner di restoran Sri Kortumalai selepas lawatan.






Ismail Sabri Yaakob
Semalam (6 Oktober 2009), saya telah mengumumkan skim kawalan harga musim perayaan Deepavali 2009 yang akan berkuat kuasa mulai 12 hingga 21 Oktober 2009. Skim kawalan ini bertujuan untuk memastikan semua barangan kawalan di jual pada harga yang tidak melebihi harga maksima yang ditetapkan.

Saya percaya, langkah ini adalah bagi melindungi kaum India di negara kita, meskipun kaum India merupakan kaum minoriti. Ini jelas membuktikan bahawa, kerajaan sentiasa berlaku adil kepada semua kaum di negara ini.

Saya berharap, semoga skim kawalan harga musim perayaan Deepavali ini akan berjaya sepertimana yang berlaku pada musim hari Aidilfitri yang lalu.

Kepada penganut agama Hindu saya mengucapkan selamat hari Deepavali.
Ismail Sabri Yaakob
Penamaan Calon Di dun Bagan Pinang bermula dengan insiden yang amat memeranjatkan saya!
Ketika dalam perjalanan ke tempat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, Negeri Sembilan Sabtu lalu, saya bersama Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, (Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga merupakan Pengerusi Biro Putera UMNO) diimaki dengan kata-kata kesat oleh penyokong-penyokong PAS dan lebih buruk lagi apabila Azeez ditumbuk oleh sekumpulan penyokong PAS yang bertindak di luar kawalan. Saya juga nyaris-nyaris menerima nasib yang sama namun diselamatkan oleh bodyguard saya.

Saya amat kecewa dan terperanjat dengan sikap yang dipamerkan oleh penyokong pihak pembangkang kerana saya mengganggap Penyokong PAS sentiasa berpegang kepada cirri-ciri Islam yang dilaungkan dan diperjuangkan parti berkenaan.

Tindakan ganas ini memeranjatkan saya. Ia memberi gambaran yang buruk terhadap sikap penyokong-penyokong PAS yang sama sekali tidak mengambarkan nilai sebagai orang Islam. Nampaknya, budaya samseng Penyokong PKR telah menular ke Penyokong pas pula.
Ismail Sabri Yaakob
Saya percaya orang yang paling 'susah hati' menyambut Aidiliftri kali ini adalah saya. Sebabnya , saya paling bimbang kalau ada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati menjelang Aidilfitri. Kalau tiba-tiba harga ayam naik , gula tiada bekalan, minyak masak tidak mencukupi, tepung pula disorok ,isu- isu sebegini bukan sahaja akan membebankan pengguna tetapi pada masa yang sama memberi tekanan kepada saya khususnya .

Untuk itu bilik gerakan pemantauan harga dan bekalan dibuka setiap hari walaupun di Hari Raya. Walaupun umat Islam sedang bergembira di Hari Raya , handphone sentiasa berada di tangan saya kerana membaca laporan yang saya terima sebanyak 4 kali sehari setiap hari mengenai harga dan bekalan barangan.

Syukur Alhamdullilah akhirnya perkara yang saya bimbangkan tidak berlaku. Selepas dua minggu Aidilfitri berlalu , nampaknya bekalan mencukupi serta harga barangan terkawal. Kawalan harga yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) yang berakhir pada 27 september lalu, boleh dianggap berjaya kerana pada keseluruhanya barang-barang dijual dengan harga yang ditetapkan dan pada masa yang sama bekalan mencukupi untuk memenuhi keperluan umat Islam menyambut Lebaran.

Ianya berjaya disebabkan sokongan daripada semua pihak, antaranya pembekal, pemborong dan para peniaga yang mematuhi etika perniagaan. Malah pihak penguatkuasa KPDNKK serta Pegawai Pemantau Harga melaksanakan tugas dengan penuh efisyen sekali.Justeru itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan skim kawalan harga musim perayaan ini.

Sempena bulan Syawal ini, belum terlewat untuk saya mengucapkan:

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin
Ismail Sabri Yaakob
Selamat datang ke laman blog saya . Syukur Alhamdullilah kerana laman blog ini akan menjadi sebuah lagi medium (selain telefon bimbit & facebook ) untuk saya berinteraksi dengan semua orang khususnya warga pengguna dan koperasi.

Sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi & Kepenggunaan ,saya berharap blog ini akan menjadi wadah diskusi antara saya dengan orang ramai yang sudi berkongsi idea dan pandangan.

Semoga selepas kewujudan laman ini tidak ada lagi jurang , halangan dan sekatan antara kita.