Showing posts with label Rokok. Show all posts
Showing posts with label Rokok. Show all posts

28 April, 2011

Murray's Erinmore Flake Tobacco Tin


Tin tembakau Erinmore Flake ini sebenarnya sudah lama berada di dalam simpanan BR tetapi tidak pasti pula bilakah tahun keluarannya kerana terdapat banyak versi tin keluaran daripada Murray's Erinmore Flake Tobacco ini yang terdiri daripada dua bentuk sahaja yang biasa dilihat iaitu yang berbentuk empat segi dan yang berbentuk bulat seperti ini.


Biasanya tembakau Erinmore Flake ini hanya digunakan oleh penghisap paip sahaja namun begitu terdapat juga mereka yang menghisap rokok lenteng atau rokok daun yang mencampurkan sedikit tembakau ini ke dalam rokok mereka untuk rasa dan bau yang lebih mantap.

Mungkin faktor harga yang menyebabkan tembakau ini tidak digunakan sepenuhnya oleh penghisap rokok daun kerana harganya yang agak mahal dan kemungkinan juga atas sebab tembakau ini adalah lebih 'panas' rasanya (berdasarkan pendapat beberapa orang responden yang telah ditemui).


Tembakau keluaran Murray's Erinmore Flake atau lebih dikenali sebagai tembakau cap nanas ini memang cukup popular di kalangan penghisap paip dahulu, kini dan selamanya kerana sehingga sekarang jenama tembakau ini masih lagi popular dan kekal berada di pasaran.


Keharuman asap yang dihasilkan oleh tembakau ini adalah subjektif bagi sesetengah orang. Mungkin berbau busuk bagi mereka yang tidak merokok tetapi sebaliknya bagi mereka yang merokok. Namun begitu asapnya yang dihidu tetap merbahaya kepada sesiapa sahaja...

Begitu juga meskipun ada pendapat daripada penggemar-penggemar paip yang mengatakan menghisap paip adalah lebih menjimatkan daripada menghisap rokok, adalah lebih baik jika kita tidak menghisap kedua-duanya langsung.. badan pun sihat, duit pun jimat... He.. he..


Dikeluarkan oleh Murray Sons & Co. Ltd., dan dibuat di Northern Ireland. Mempunyai berat 4 oz. dengan hanya 8 keping tembakau sahaja di dalamnya di mana setiap keping tembakau adalah seberat kira-kira 1/2 oz.

Tin ini juga adalah kedap udara atau vacuum packed untuk mengekalkan keaslian rasa tembakau di dalamnya. Tinnya sama ada empat segi ataupun bulat biasanya akan digunakan semula sebagai tempat mengisi tembakau rokok daun atau dijadikan celepa.


Kepada pembaca yang ingin melihat tin tembakau ini dalam versi empat segi pula bolehlah ke: jakionline inc


Moral Value: Jualan hasil tembakau tidak dibenarkan kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun...


14 February, 2011

From London With Love...


Bekas abu rokok ini memang cukup lama yang telah disimpan semenjak daripada tahun 1970-an lagi iaitu cenderamata daripada seorang jiran yang anaknya telah belajar di London suatu masa dahulu.


Berwarna hitam dan lebih sesuai sebagai perhiasan sahaja memandangkan mangkuknya yang nipis tidak begitu sesuai untuk dijadikan bekas abu rokok. Mangkuk yang nipis akan membuatkan abu rokok akan berterbangan ditiup angin.


Terdapat gambar menara jam Big Ben iaitu menara jam yang merupakan landmark yang terkenal di kota London beserta dengan bas dua tingkat sebagai ikon kota London.


Berdiameter kira-kira 4 inci dan boleh dijadikan bukti seseorang itu telah ke London kerana bekas abu rokok ini tidak terdapat di pasaran tempatan... He.. he..


Untuk maklumat lanjut mengenai Big Ben ini, bolehlah ke: Big Ben


26 November, 2010

Klip Kertas Lucky Strike


Selain daripada mengeluarkan rokok, syarikat-syarikat rokok tempatan juga ada mengeluarkan klip kertas sebagai salah satu strategi untuk mempromosikan rokok-rokok mereka. Kita ikuti pula klip kertas keluaran daripada jenama rokok Lucky Strike ini.


Berukuran 7 x 5.5cm, klip kertas ini biasanya dihadiahkan oleh syarikat rokok kepada kedai-kedai runcit untuk meng'klip' Delivery Order (DO), invois atau bil-bil daripada syarikat mereka.


Tidak sesuai untuk digunakan di pejabat-pejabat kerajaan memandangkan penggunaan klip kertas ini secara tidak langsung akan mempromosikan jenama rokok. Umum sedia maklum bahawa jabatan-jabatan kerajaan adalah zon larangan merokok... He.. he..


Pemandangan di bahagian belakang klip. Untuk pengetahuan, klip kertas ini kelihatan sudah uzur memandangkan BR sendiripun tidak tahu berapakah usianya. Jenama rokok Lucky Strike ini juga merupakan rokok kegemaran seniman Allahyarham P Ramlee.


Moral Value: Merokok Membahayakan Kesihatan.


16 October, 2010

Benson & Hedges Half Gallon Jug


Satu lagi souvenir daripada pengeluar rokok jenama Benson & Hedges iaitu bekas serbaguna yang boleh diisikan dengan air atau apa sahaja makanan yang difikirkan sesuai. Tetapi bekas ini agak kecil dan hanya sesuai untuk hidangan 'sekali hadap' sahaja.


Berkapasiti setengah gelen atau lebih kurang 1.8 liter dan boleh bertindak sebagai 'bocong' (meminjam kata-kata Bro Rasli). Untuk pengetahuan, bekas ini tidak sesuai untuk diisikan dengan air atau sebarang cecair panas.


Mulutnya yang besar (screw-on cap) untuk memudahkan pengisian dan pencucian. Sesuai juga untuk dibawa berkelah ataupun aktiviti luar seperti memancing dan perkhemahan di mana secara tidak langsung turut mempromosikan jenama rokok ini. Sebagai bekas bekalan ke tempat kerja pun sesuai juga...


Mempunyai lubang untuk mengeluarkan isian di dalamnya melalui tangkai pemegang. (Flip spout for easy for sipping and pouring).


Sewaktu gila 'pancing kolam' suatu ketika dahulu bekas ini BR gunakan untuk diisikan dengan potongan ikan sardin dan udang sebagai umpan ikan siakap.


"Come Into The Golden World"


15 October, 2010

Kenaikan Harga Rokok


Rokok Gold Flake Luxury Length

Kenaikan harga rokok baru-baru ini telah disambut gembira oleh mereka yang tidak merokok manakala bagi mereka yang merokok pula, penstrukturan semula harga rokok ini dilihat sebagai satu penghargaan oleh pihak kerajaan untuk mengangkat martabat perokok kepada satu status yang lebih tinggi iaitu menjadi satu kelompok elit di mana hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak digelar perokok. He.. he.. (Ini hanyalah pandangan peribadi).


Rokok Gold Flake Luxury Length ini memang cukup popular pada tahun 1980-an di mana pada waktu itu BR sedang mengikuti satu kursus pengajian di Pulau Pinang. Rokok ini akan mengingatkan BR kepada seorang lecturer di Jabatan Sains (Fizik) iaitu Encik Miskin bin Fakir Mohd iaitu ayah kepada bekas ratu gimnas terkenal Dr. Faiznur Miskin dan juga adiknya seorang artis dan pelakon terkenal Jehan Miskin.

Pada waktu itu kedua-dua beradik (tiga beradik sebenarnya) ini masih lagi bersekolah rendah dan setiap pagi pasti akan melalui tempat BR dan rakan-rakan berehat (port) sementara menunggu waktu kuliah bermula.


Untuk pengetahuan, rokok ini berukuran lebih kurang 10 cm panjang berbeza 1.5 cm panjangnya daripada rokok biasa sesuai dengan namanya 'Luxury Length'. Terdapat dua kemungkinan disini sama ada panjangnya ini untuk memberikan lebih kepuasan merokok ataupun untuk lebih mempercepatkan pendeknya jangka hayat si perokok... He.. he..


Rokok ini juga merupakan rokok budget pada waktu itu memandangkan harganya yang lebih rendah jika dibandingkan dengan rokok jenama Benson & Hedges dan Dunhill pada ketika itu. Harga sebenarnya BR dah lupa tetapi kalau tidak silap harganya adalah kurang daripada RM3 bagi sekotak rokok 20 batang ini.


Dikilangkan oleh Malaysian Tobacco Co. Bhd. Kuala Lumpur dan terdapat juga perkataan W.D. & H.O. WILLS yang bererti rokok adalah bersaudara dengan Rokok Tembak yang pernah disiarkan terdahulu.


Amaran Oleh Kerajaan Malaysia: 'Merokok Membahayakan Kesihatan' rupa-rupanya masih belum menyedarkan perokok tentang bahayanya merokok ini.


Untuk makluman, rokok Gold Flake Luxury Length ini telah tiada lagi di pasaran sekarang. Ramai juga rakan-rakan BR yang menghisap rokok ini pada waktu itu kerana harganya yang ekonomi.

Maka teringatlah pula dengan seorang rakan baik iaitu Encik Osman bin Hashim (sekarang menjadi pensyarah di UM) yang lebih dikenali sebagai 'Man 20' kerana kotak rokok 20 batang sentiasa berada di dalam poketnya kerana tabiat merokok yang kuat (Pada waktu itu ada pilihan kotak rokok 7's, 14's dan 20's).


Sedikit kisah mengenai Encik Miskin bin Fakir Mohd:

Seorang yang berbadan besar, tinggi dan kacak tetapi sungguh cool (iras-iras Ramli Sarip) serta suka menyendiri. Beliau merupakan seorang lecturer yang cukup berpengetahuan di dalam bidangnya kerana pernah suatu ketika beliau menjelaskan mengenai satu formula fizik penuh satu papan hitam lengkap dengan sebutan di dalam Bahasa Inggeris yang jelas mengenai setiap formula yang ditulisnya.

Tidak hairanlah jika menurut sumber, beliau adalah anak Melayu yang pertama membuat Master di Jerman dalam bidang fizik. Pengakuan daripada salah seorang bekas anak didiknya ini, beliau memang seorang yang genius!


(gambar sekadar hiasan)

Beberapa contoh formula fizik yang dihuraikannya dengan jelas oleh beliau yang membuatkan kami semua terlopong bercampur baur di antara tidak memahami ataupun sungguh kagum dengan kebolehan beliau...

Selalu juga BR duduk semeja bersamanya di kantin sambil berbual-bual. Banyak nasihat serta falsafah yang diberikan sambil beliau mengisap rokok Gold Flake ini. Maklumlah pada waktu itu BR baru sahaja berusia awal 20-an. Dari situ dapatlah dirumuskan bahawa beliau adalah seorang perokok tegar dan rokok inilah yang menjadi pilihannya.

Telah hampir 20 tahun lebih BR sudah bertemu dengan Encik Miskin bin Fakir Mohd ini, berita terakhir diketahui beliau berada di Sungai Petani, Kedah dan ada juga khabar yang mengatakan beliau telahpun kembali ke Rahmatullah. Kepada sesiapa yang tidak mengenali siapakah Encik Miskin bin Fakir Mohd ini pastinya berbagai cerita dan kisah yang didengari lengkap dengan tokok-tambah yang tidak sepatutnya.

Walaupun berbagai 'cerita' mengenai beliau yang diperkatakan, beliau tetap merupakan seorang guru dan 'rakan' yang paling BR hormati dan segani. Gayanya yang segak sewaktu berjalan sambil menghisap rokok Gold Flake ini akan sentiasa diingati.

Pernah suatu ketika beliau hanya mendengarkan kami lagu 'Patah Hati' sepanjang kuliah, lengkap dengan ulasannya sekali. Ada kekecewaan yang amat mendalam yang cuba dirungkaikan berdasarkan bait-bait lagu Patah Hati ini ataupun mungkin juga ada 'sesuatu' yang ingin dikongsikan bersama kami pada waktu itu... Hanya Allah S.W.T yang Maha Mengetahui.


Patah Hati


Patah hatiku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Patah hati ku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Ku harap janjimu
Bahagia selalu
Sayang
Rupanya patah
Rupanya patah di tengah jalan

Hendak diulang... Hendak diulang
Resah menanggung
Sayang
Kenanglah jangan
Kenanglah jangan disebut pun jangan

Hancur hatiku
Di dalam nestapa
Mengenangkan nasib
Mengenang nasib
Diriku malang

Maksud hatiku
Maksud hatiku
Bahagia bersama
Sayang
Apakan daya diriku miskin
Harta tak punya

Ingin ku petik
Bintang yang tinggi
Sayang
Tanganku hangus
Tanganku hangus disambar petir



Untuk pengetahuan, Encik Miskin bin Fakir Mohd ini mengalami masalah mental disorder yang menurut sumber mungkin disebabkan oleh congenital. Ada juga sumber yang mengatakan beliau menjadi begitu disebabkan oleh 'high neuroticism' sewaktu melanjutkan pelajarannya dahulu. Wallahualam.

Walau apapun berita yang sahih mengenai beliau selepas ini, harapan BR semoga beliau sentiasa dilindungi Allah S.W.T. hendaknya. Amin.


01 October, 2010

Rokok Rough Rider vs Rokok Tembak


Rokok 'sigaret' (Cigarette) Rough Rider ini memang merupakan salah satu jenama rokok yang cukup popular suatu ketika dahulu di tahun 1970-an. Rokok ini dikeluarkan oleh Malayan Tobacco Company (1956-1976), di mana sekarang dikenali sebagai British American Tobacco.


Dikalangan nenek atau opah di zaman dahulu biasanya akan menjadikan rokok ini sebagai pilihan utama selain daripada rokok daun (lenteng). Untuk pengetahuan, adalah menjadi lumrah dan perkara biasa di tahun 1960-70-an dahulu jika kita melihat perokok-perokok adalah terdiri daripada kaum wanita terutamanya di kalangan orang-orang tua.

Arwah nenek BR sendiripun adalah seorang perokok (rokok daun) tegar sehinggalah beliau berhenti merokok setelah dinasihatkan oleh doktor. Tidak hairanlah jika sebarang upah daripada nenek kepada cucunya untuk melakukan sesuatu perkerjaan pada waktu itu ialah upah sebatang rokok! He.. he..


"Every genuine package of "Rough Rider" cigarettes bears the name W.D. & H.O. WILLS" tertulis jelas di belakang kotak rokok beserta gambar 17 Prize Medals yang diperolehinya dan 'Highest Award Brussels 1897'. Mungkin ini melambangkan betapa 'bermutu' nya rokok ini pada waktu itu. Malangnya, perokok-perokok yang pernah menghisap rokok ini pun mungkin ramai yang telah meninggal dunia sebelum sempat mereka menceritakan kembali kepada kita apakah kelebihannya rokok ini...


Dikenali juga sebagai 'Rokok Tembak' di kalangan perokok berdasarkan gambaran seorang tentera (U.S. Volunteer Cavalry) yang sedang mengacukan senapangnya dari atas kuda yang sedang bergerak.


Cara pembungkusannya juga adalah berbeza daripada rokok-rokok sekarang di mana untuk mengambil rokok, perokok perlu menolak dari bawah (seperti kotak mancis). Setiap kotak mengandungi 10 batang rokok dan seingat BR rokok ini tiada penapis (filter) sebagai contoh seperti rokok jenama Lucky Strike sekarang.


History of Rough Rider:

The 1st U.S. Volunteer Cavalry, known as the “Rough Riders,” recruited by Theodore Roosevelt and largely composed of cowboys, miners, law-enforcement officials, and college athletes, achieved worldwide acclaim following America’s invasion of Cuba. The unit participated in the Battle of Santiago, during which it charged across a valley to assist in the seizure of San Juan Ridge (the highest point of which is San Juan Hill). The imagery of the Rough Riders was used extensively during Roosevelt’s subsequent vice-presidential and presidential campaigns.

Sumber: http://www.malaysiadesignarchive.org/?p=1255


Moral Value: Merokok Tetap Membahayakan Kesihatan.


25 July, 2010

Brother Kita Yang Blues...


Gambar ini telah diambil daripada gambar muka hadapan Majalah Sinar Zaman Jilid VI, Bil. 76, keluaran bulan Mac 1979 ketika Y.A.B. Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Allahyarham Tun Hussein Onn telah melakukan lawatan selama lapan hari ke India dan Pakistan pada bulan Januari 1979. Gambar menunjukkan Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 itu sedang berbual mesra dengan sebahagian daripada para pelajar Malaysia yang sedang menuntut di beberapa buah kolej dan universiti di Lahore, Pakistan.


Di dalam pertemuan itu beliau telah menerangkan beberapa masalah yang melibatkan para pelajar di luar negeri seperti pengiktirafan ijazah dan diploma mereka dan bagaimana kerajaan cuba mengatasinya. Perdana Menteri juga telah menasihatkan para pelajar kita supaya belajar bersungguh-sungguh dan jika mereka mempunyai apa-apa masalah supaya berhubung dengan Pejabat Kedutaan yang berhampiran.


Apa yang menarik perhatian BR di sini ialah kelihatan lelaki di dalam bulatan yang sedang menyendeng sambil merokok dengan wajah yang selamba sahaja di dalam jarak tidak kurang daripada 1 meter daripada Y.A.B. Perdana Menteri (duduk bersongkok). Sekali lihat macam kelakar pun ada dan dua kali lihat, macam kurang sopan pun ada...


Apa pendapat anda?


Moral Value: Tidak kira di manapun anda berada, merokok tetap membahayakan kesihatan...


31 May, 2010

Bekas Abu Rokok Jata Malaysia


Ini adalah satu lagi bekas abu rokok yang dikatakan 'must have' bagi setiap almari hiasan kepunyaan nenek di kampung. Dinamakan 'Bekas Abu Rokok Jata Malaysia' kerana terdapat Jata Malaysia serta Jata 13 buah negeri-negeri yang terdapat di dalam Malaysia terukir di bekas abu rokok tersebut. Diperbuat daripada sejenis logam yang seakan-akan pewter tetapi ianya lebih ringan.


Saiznya tidaklah besar mana cuma besar sedikit sahaja daripada sebuah piring. Amat sesuai untuk dijadikan cenderamata terutamanya kepada para pelancong dan juga untuk dijadikan hiasan memandangkan ianya terlalu 'cantik' untuk digunakan oleh perokok-perokok.


Terdapat Jata Malaysia yang besar di tengah-tengah bekas abu rokok diikuti dengan Jata Negeri-negeri di sekelilingnya. Amat sesuai untuk di jadikan sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) bagi guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan... he.. he..


Kedudukan Jata Malaysia di tengah-tengah bekas abu rokok ini dikatakan tidak sesuai kerana abu rokok yang melekat di celah-celah ukiran ini amat susah untuk ditanggalkan lalu meninggalkan pemandangan yang kurang menarik kepada bekas abu rokok ini.


Terukir jelas Jata-jata bagi Negeri Selangor, Terengganu, Johore, Kedah dan Kelantan.



Juga terdapat Jata-jata dari Negeri Perak, Perlis, Sabah dan Sarawak.


Tidak ketinggalan juga Jata-jata bagi Negeri Malacca, Negeri Sembilan, Pahang dan Penang (13 kesemuanya). Kebanyakan ejaan bagi nama negeri-negeri ini dieja di dalam Bahasa Inggeris mungkin kerana seperti yang telah dikatakan tadi bahawa bekas abu rokok ini digunakan untuk cenderamata kepada pelancong.


Bahagian belakang bekas abu rokok yang menampakkan ianya ditempa melalui acuan khas.




Moral Value: Kata sesetengah orang, "Bagaimana keadaan bekas abu rokok, begitulah keadaan orang yang merokok..." Betulkah begitu? he.. he..


04 May, 2010

Bekas Rokok Capstan 1970an


Tahukah anda bahawa pada tahun 70-an dahulu terdapat satu jenama rokok iaitu Capstan. Cukup popular di kalangan perokok tegar selari dengan jenama rokok Player's Gold Leaf, 555 (Tiga Lima), Rough Rider (Rokok Tembak dan cara membukanya ialah dengan menolak macam kotak mancis), Craven A, Lucky Strike dan sebagainya.


Apa yang akan ditunjukkan di sini bukan kotak rokok Capstan tetapi bekas untuk mengisi rokok Capstan iaitu dijual secara pakej mengandungi beberapa kotak rokok Capstan di dalamnya.



Kalau tidak silap bekas ini boleh diisikan dengan 5 kotak rokok dan kotak rokoknya berwarna putih.


Terdapat butang tekan, butang kahwin atau orang kampung aku panggil 'butang tet' supaya bekas akan menjadi lebih kemas apabila ditutup.



Tidak sesuai untuk dijadikan bekas pensel kerana saiznya yang agak besar.



Setelah kesemua rokok-rokok di dalamnya habis dihisap, bekas kotak Capstan ini bolehlah digunakan untuk mengisi barangan kecil seperti butang, klip kertas, alat tulis dan sebagainya.


Moral Value: Katakan Tidak! Pada Rokok he.. he..


01 May, 2010

Bekas Abu Rokok Berdiri Sendiri...


Ini adalah bekas abu rokok yang pernah popular suatu ketika dahulu di tahun 70-an dan 80-an. Boleh dikatakan semua rumah pernah memiliki bekas abu rokok berkaki ini. Memang cantik untuk dijadikan hiasan dan biasanya diletakkan di tepi sofa atau kusyen.



Mempunyai ketinggian lebih kurang dua kaki dari aras lantai. Amat sesuai bagi perokok-perokok yang sedang berehat di atas kerusi sambil menonton TV.



Satu ciptaan yang cukup simple tetapi menarik. Batangnya terdiri daripada kayu larik yang biasanya digunakan sebagai pagar anjung ataupun pagar tangga.



Diberikan sedikit sentuhan dengan ukiran yang ringkas bermotifkan lautan.



Juga terdapat ukiran pokok kelapa yang ringkas di bahagian tapak bawah.



Lubang dibentuk seperti acuan sebagai tempat meletak bekas abu rokok. Kelihatan juga skru digunakan untuk menyambungkan di antara bekas abu rokok dengan tiangnya.



Bekas abu rokok yang diperbuat daripada aluminium ringan. Susah juga kepada perokok kerana 'mulut'nya yang kecil iaitu lebih kurang sebesar syiling lima puluh sen sahaja.



Masih kukuh dan boleh berdiri dengan tegap. Mengimbau kenangan khas kepada perokok-perokok di tahun 70-80an, itupun sekiranya mereka masih hidup dengan sihat ketika ini... he.. he..


Moral value: Merokok Membahayakan Kesihatan.


16 March, 2010

Kotak Rokok Benson & Hedges


Inilah satu-satunya kotak rokok yang berjaya aku selamatkan sebelum ianya diletakkan gambar-gambar yang mengerikan akibat daripada merokok.


Bahagian hadapan. Nampak bersih tanpa gambar-gambar yang menakutkan. He..he..


Ini bahagian belakang kotak.


Bahagian tepi sebelah kiri.


Bahagian tepi sebelah kanan.


Bahagian atas kotak.


Bahagian bawah kotak.

Moral value: "Merokok Membahayakan Kesihatan" he.. he..


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'