Showing posts with label Majalah. Show all posts
Showing posts with label Majalah. Show all posts

18 September, 2012

Malaysia Kita - NAN


Telatah hidup manusia di mana-mana juapun, dalam kehidupan mereka sehari-hari, boleh menggelikan hati, mencuit perasaan, bila dilukiskan oleh artis-artis dalam bentuk komik-komik.

Pada masa dahulu, zaman belum adanya artis-artis atau pelukis-pelukis gambar-gambar kartun atau komik, orang Melayu telah biasa membaca kisah-kisah kelakar atau cerita-cerita jenaka seperti cerita Mat Jenin, kisah Pak Pandir dan Mak Andir, cerita Lebai Malang, Si Luncai dan lain-lain lagi.


Musim Durian...

Kisah-kisah lucu yang bertajuk Malaysia Kita yang dicipta oleh NAN dan disiarkan pada tiap-tiap hari Sabtu dalam Utusan Malaysia adalah lebih lucu daripada semua kisah-kisah lucu zaman lampau itu. Sekarang siri komik-komik hujung minggu dalam Utusan Malaysia itu kami bukukan menjadi satu koleksi atau kumpulan telatah-telatah rencah hidup orang ramai dalam negara kita sendiri, dalam Malaysia Kita.

Nama penuh NAN ialah Zainal bin Osman, berasal dari Parit Buntar, Perak. Beliau adalah lepasan dari ITM dalam jurusan Fine Art atau Seni Halus.


Belanja Kahwin Tinggi...

Bagaimanakah telatah orang membeli durian di pasar lambak Jalan Chow Kit? Bagaimanakah telatah kerani-kerani bila gaji mereka dinaikkan? Bagaimana telatah gugup gagaknya seorang pemuda yang pintar bersyarah apabila berhadapan dengan tuan kadi untuk menjawab akad nikah?

Ya, seribu orang ada seribu macam telatahnya. Semuanya dapat diperhatikan oleh NAN, digambarkannya dengan dialog-dialog yang tentu sudah menggelikan hati anda, kiranya anda pembaca tetap Utusan Malaysia dan peminat NAN.


"Angkat" Nikah...

Jikalau anda tidak tergelak sekalipun, namun anda tentu tersenyum-senyum. Kartun-kartun dan kisah-kisah lucu dalam naskhah-naskhah Utusan Malaysia yang anda telah baca itu mungkin anda tidak simpan, anda telah buangkan entah ke mana. Tidak mengapa. Sekarang kami kumpulkan dalam sebuah buku komik kecil comel supaya anda boleh ketawa beramai-ramai tergelak dengan kawan-kawan anda ataupun tersenyum-senyum seorang diri.

Anda bukan tidak tahu gelagat hidup zaman sekarang. Muka kebanyakan manusia masam dari pagi hingga malam. Air muka mereka selalu suram-muram kerana senantiasa berhadapan dengan macam-macam masalah hidup; berebut-rebut nak naik bas, nak menyeberang jalan; letih lesu setelah bekerja sehari suntuk.


Kahwin Lari...

Tanpa gelak ketawa, atau sedikit senyum-senyum kambing, seminit dua dalam sehari, hidup anda akan terasa hampa, seperti pokok-pokok yang tidak berbunga. Mungkin juga anda ada membaca komik-komik lain, sebab kini hampir semua akhbar dan majalah-majalah ada komik-komiknya.

Tetapi kalau anda tidak meminati komik-komik ciptaan NAN maka anda masih boleh dianggap kempunan...


Dicatat oleh PAK SAKO. (Dari komik Malaysia KIta, terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. tahun 1980).


***************************************************

Serba sedikit mengenai kartunis NAN:


(Imej Carian Google)


Nan mencipta nama melalui karya yang disiarkan di majalah humor dan kolum kartun khusus di akhbar terbitan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Siri kartunnya, Din Teksi dan Malaysia Kita yang disiarkan ketika itu, cukup popular lalu menghangatkan nama Nan dalam industri kreatif tempatan. Nan juga melakar siri kartun popular Ayop Anak Tulakang dan Tuan Kecik dalam majalah humor popular, Gila-Gila dan Batu Api.

Nama penuh : Zainal bin Osman
Tarikh lahir : 24 Mei 1952
Asal : Parit Buntar, Perak
Status : Berkahwin dan dikurniakan empat orang anak
Kuih kegemaran: Cucuq Kodok (Jemput-jemput)


Moral Value: Whoever said the pen is mightier than the sword obviously never encountered automatic weapons - MacArthur


Which Luqman?... Hehe...

31 October, 2011

Facebook Di Tahun 1970-an..


Facebook telah wujud semenjak tahun 1970-an? Biar betul.. Sebenarnya pada entri kali ini BR cuma ingin berkongsi maklumat mengenai bagaimana cara orang dulu-dulu berkenalan antara satu sama lain terutamanya yang tinggal berjauhan di serata pelusuk negeri sebelum adanya Facebook, Twitter dan sebagainya.

Mungkin ada di antara Pak Long Mak Long, abang-abang dan kakak-kakak yang pernah terlibat dengan perkenalan melalui cara ini dan tidak kurang juga yang telah bertemu jodoh melalui ruangan seperti ini. Surat-menyurat merupakan medium utama pada waktu itu untuk berinteraksi sebelum wujudnya kecanggihan teknologi perhubungan seperti sekarang. Sayugia dimaklumkan bahawa perkenalan seperti ini juga adalah bebas dan tidak hanya tertakluk kepada berlainan jantina sahaja.


Maklum balas yang diterima oleh mereka yang menyertai laman-laman seperti ini amatlah menggalakkan kerana mungkin berguni-guni surat untuk berkenalan akan diterima setelah wajah mereka dengan sedikit maklumat peribadi disiarkan di dalam sesebuah majalah. Oleh itu dapat dilihat pada setiap photo yang disiarkan, para peserta akan cuba untuk menghantar gambar dengan posing terbaik yang mereka ada kerana sudah menjadi resam dunia yang cantik dan yang tampan juga yang akan menjadi pilihan utama.

Biasanya melalui surat-menyurat ia akan disusuli dengan pertemuan yang bakal menentukan keikhlasan dan kejujuran sesuatu perhubungan. Kerap kali berlaku photo yang dipaparkan tidak sama dengan apa yang dilihat secara realiti. Begitu juga jika ada di sebelah pihak yang memandang paras rupa dan harta benda. Bak kata Jamal Abdillah di dalam salah sebuah lagunya, "Harta dan rupa pilihan dipinta, yang tiada padaku..." huhu..

Ruangan berkenalan ini boleh dikatakan 'wajib ada' pada waktu itu di setiap majalah terutamanya majalah hiburan seperti URTV (Kembang Setaman), Variapop dan sebagainya. Begitu juga dengan majalah-majalah keluaran tahun 1960-an. Gambar, nama, umur, alamat, kegemaran dan kadangkala ciri-ciri pasangan pilihan juga bolehlah dinyatakan secara ringkas.

Masih teringat suatu ketika dahulu kebanyakan ayat yang sering digunakan oleh pemudi untuk mencari pemuda ialah "Pemuda yang beruniform". Bagi pemuda untuk mencari pemudinya pula ialah "Yang berlesung pipit".. hehe..

Sesuai dengan perkembangan teknologi, ruangan berkenalan seperti ini sudahpun pupus ditelan zaman. Kepada mereka yang pernah terlibat secara langsung atau tidak dalam bentuk-bentuk perkenalan seperti ini tentunya akan meninggalkan satu kenangan yang sungguh blues...

Kepada pembaca yang berminat untuk berkenalan atau mengeratkan silaturrahim dengan mereka yang dipaparkan ini, amatlah dialu-alukan tetapi harus diingat bahawa bagi setiap umur yang tertera pada setiap individu perlulah ditambah dengan 33 tahun lagi untuk mendapatkan usia sebenar mereka pada hari ini.



Moral Value: If what you see by the eye doesn't please you, then close your eyes and see from the heart. Because the heart can see beauty and love more than the eyes can ever wonder...


Nota:
Paparan SAHABAT SZ di atas telah diambil dari Majalah Sinar Zaman Jilid IV Bil. 70, 1978. Tidak bertujuan untuk menyentuh sensitiviti mana-mana pihak atau individu sama ada yang masih hidup ataupun yang telah tiada.

05 May, 2011

Majalah Sensasi (Kulit Nipis)


Bila disebut sahaja nama Majalah Sensasi, tentunya pembaca akan terbayangkan sebuah majalah yang menceritakan mengenai dunia glamour artis dan selebriti yang penuh dengan sensasi. Sebaliknya Majalah Sensasi yang BR paparkan ini merupakan sebuah majalah yang menggunakan nama yang sama tetapi mengisahkan mengenai dunia permotoran yang telah diterbitkan kira-kira 23 tahun yang lalu.

Fakta di sebalik itu ialah rupa-rupanya telah ada sebuah majalah di Malaysia yang menggunakan nama "Sensasi".


Majalah Sensasi ini merupakan sebuah majalah berbahasa Melayu yang diterbitkan khusus untuk peminat kereta motor dan diterbitkan secara bulanan. Keluaran sulung atau keluaran pertama majalah ini ialah pada bulan Ogos 1988. Isi kandungnya mencakupi paparan maklumat mengenai kereta motor seperti uji pandu kereta dan motosikal, rencana, gambar, kartun dan tip-tip permotoran seperti kebiasaan terdapat pada majalah permotoran masa kini.


Pada waktu itu (23 tahun yang lalu) sememangnya agak sukar untuk memperolehi sebuah majalah kereta motor terutamanya yang berbahasa Melayu. Sungguh berbeza dengan sekarang di mana terdapat berbagai majalah yang menceritakan mengenai kereta motor sama ada berbahasa Melayu atau Inggeris seperti majalah Kereta, Evo, Stereng, Motokar, 4WD, Asia Motor, Top Fuel, Autozoom, Motor Trader, K-Kar, Ekei, Hypertuned, Otomania, Putera, Cars.my, Wheels dan sebagainya.


"HANYA UNTUK LELAKI. WANITA DILARANG MEMBELI". Satu gimik pemasaran yang sungguh menarik untuk memikat kaum wanita membelinya kerana secara psikologinya sudah tentu wanita akan meronta-ronta untuk mengetahui apakah isi kandungnya.


Diterbitkan oleh Penerbitan Bayan, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dan apa yang menariknya di sini ialah senarai orang kuat sidang redaksi di sebalik terbitnya majalah ini ialah senarai mereka yang kebanyakkannya terlibat dengan penerbitan majalah Gila-Gila dan merupakan pelukis terkenal seperti Jaafar Taib, Azman Yusof dan Zainal Buang Hussein yang juga merupakan pelukis yang BR kagumi di samping sungguh teruja dengan hasil tangan mereka.

Bagaimana orang seni boleh terlibat pula dengan penerbitan majalah berbentuk permotoran ini? Cikgu Kema tentu lebih arif mengenai perhubungan antara seni dan permotoran ini.

Penasihat: Jaafar Taib
Perunding: Azman Yusof
Penerbit: Zainal Buang Hussein
Editor Teknik: Sazili Yusof
Produksi Grafik: Rosli Abd. Hamid
Pengurusan: Siti Hawa Paiman
Penulis Khas: Elias Idris
Pengarang Kumpulan: Adi Alhadi
Pemasaran: Maznan Noordin
Editor Bersekutu: Banni Ali


Salah sebuah motosikal yang direview iaitu motosikal Honda NR750 yang beromboh bujur ditulis oleh Harabumi Sato lengkap dengan lukisan teknikalnya sekali. Cikgu Zmah tentunya lebih arif mengenai motosikal ini. Jika masih wujud pun sudah tentu motosikal ini boleh dikategorikan sebagai 'motosikal lama'.


Contoh mini Poster Sensasi catan air brush yang terdapat di tengah-tengah majalah untuk peminat pada waktu itu menampalnya di dinding bilik. Memang sudah menjadi adat mana-mana bilik anak bujang mesti akan menampal poster kereta motor selain daripada gambar selebriti yang diminati. Sewaktu remaja dahulu BR juga tidak terkecuali tetapi Amy Lela Dewi Chandran seorang peragawati tahun 1990-an yang lebih menjadi pilihan. He.. he..


BR juga tidak melepaskan peluang untuk mengikuti keluaran majalah ini daripada keluaran pertama tanpa putus sehinggalah pengeluarannya telah diberhentikan iaitu kira-kira dua setengah tahun selepas itu iaitu pada keluarannya yang ke-27. Inilah di antara beberapa buah majalahnya yang masih berada di dalam simpanan.

Untuk pengetahuan, sungguhpun pengeluaran Majalah Sensasi (kulit nipis) ini telah terhenti pengeluarannya tanpa sebab-sebab yang tidak diketahui, tiba-tiba ia muncul semula dengan konsep yang masih sama dan telah menemui pembaca pada keluaran pertamanya iaitu pada 1 Oktober 1991.

Masih mengekalkan beberapa nama sidang redaksinya yang terdahulu tetapi telah diberi wajah baharu dengan berkulit tebal. Jika berkesempatan insyaAllah akan BR paparkan pula pada postingan yang akan datang mengenai Majalah Sensasi berkulit tebal ini.

Kepada pembaca yang mempunyai sebarang maklumat tambahan mengenai Majalah Sensasi (kulit nipis) ini, silalah berkongsi maklumatnya bersama.


01 March, 2011

Majalah Life Asia Edition, 1969


Majalah Life yang berusia 42 tahun ini BR temui di dalam timbunan majalah-majalah lama milik keluarga yang hampir dibuang dan dibakar kerana dianggap menyemak rumah. He.. he..

Majalah berbahasa Inggeris keluaran 9 Jun, 1969 ini cuma berharga M$ .75 (70 sen) pada waktu itu tetapi padat dengan info-info semasa seperti kemanusiaan, sains, fesyen, politik, agama dan sebagainya.


Iklan-iklan barangan pun banyak, kepada peminat-peminat iklan lama memang sesuai sangat jika iklan di dalam majalah ini dipotong dan dibingkaikan kerana kebanyakan iklannya adalah dalam bentuk warna. Saiz majalah iaitu lebih kurang 13" x 10.5" inci juga adalah sungguh sesuai untuk 'pembingkaian' kerana tidak terlalu kecil dan tidak juga terlalu besar.

Pada hari ini mungkin kita tidak pernah mengambil kisah tentang kehadiran iklan-iklan ini, tetapi apabila tiba masanya nanti, iklan-iklan inilah yang boleh dijadikan rujukan dan arkib yang berguna untuk kita mengetahui ataupun mendapat gambaran mengenai tarikh sesuatu barangan itu dikeluarkan. Sebagai contoh, BR sungguh tertarik dengan kisah Bro Lan ini.


Kepada peminat Coca-Cola, iklan ini sudah tentu cukup menarik jika dibingkaikan. "Wave after wave. Drink after drink. You ride the big one all the way in. Then: Coca-Cola, splashing over your thirst. Cold. Fresh. With that one-of-a-kind taste. Coke has the taste you never get tired of. It makes the best things in life go even better. Like the perfect wave. Like anything. Things go better with Coke."


Iklan rokok Pall Mall pun ada... "Where taste is the criterion - Luxury Length Rothmans Pall Mall International Longer, smoother, milder..."


Iklan rokok 555 (tiga lima) pun ada juga... "Get The Taste - the taste of international success"


Iklan rokok Marlboro pun ada... "Come to where the flavor is, Come to Marlboro Country."


Gambar Sophia Loren masa muda (35 tahun) dengan anak dia Carlo Jr. pun ada... Untuk pengetahuan, Sophia Loren merupakan seorang aktress yang sungguh popular pada waktu itu. Nama sebenar beliau ialah Sofia Scicolone dan dilahirkan di Clinica Regina Margherita, Rome, Italy, pada 20 September 1934.


Iklan jam tangan Omega Seamaster Cosmic Calendar-Day pun ada...


Iklan jam tangan Citizen...


Iklan rokok Kent... "More and more people are taking to Kent."


Iklan rokok Consulate... "cool clean consulate cool as a mountain stream"

Sebenarnya terdapat banyak lagi iklan-iklan yang tidak dipaparkan di sini. Antaranya ialah iklan radio Sansui, Zenith, Sony, National, Teac, Hitachi, record player Pioneer, Hi Fi Kenwood, iklan kamera Petri 7s, barangan elektrik Tatung (jenama komputer yang popular pada tahun 1990-an), iklan kereta Mazda 1500 Sedan, iklan rokok Silva Thin dan yang selebihnya adalah iklan minuman keras.

Namun begitu, alangkah baik seandainya majalah ini adalah keluaran tempatan kerana barangan yang diiklankannya pun sudah tentulah barangan tempatan yang boleh dibanggakan...


Moral Value: Belilah barangan buatan Malaysia.. He.. he..


01 November, 2010

Majalah Bambino 1972


Majalah Bambino ialah sebuah majalah komik berbahasa Melayu yang sesuai untuk semua golongan terutama pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah sebagai sumber hiburan dan rujukan tempatan pada waktu itu. Diterbitkan buat kali pertama atau keluaran sulungnya ialah pada 31.08.1972 bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Kali Ke-15.


Kepada pembaca yang pernah melalui zaman kanak-kanaknya pada waktu itu pastinya tidak akan melupakan kehadiran majalah ini. Hasil karya pelukis dan kartunis tempatan seperti Rizalman, Mishar, Shamsul, Sailawati dan Halim Teh (sekadar menyebut beberapa nama) memang telah memberi kesan melalui komik-komik yang telah dipaparkan.


Majalah Bambino yang BR miliki ini adalah keluaran kedua yang mengandungi 17 muka surat dan diterbitkan pada 15 September 1972.

Walaupun ia bukanlah keluaran pertama, tetapi sudah cukup untuk membuktikan bahawa majalah seperti ini telahpun wujud di negara kita sejak lama dahulu bersama-sama dengan majalah komik yang lain seperti Bujal, Wak Dojer dan Dewan Pelajar.


Majalah Bambino diterbitkan dua kali seminggu oleh Syarikat Spektra, Peti Surat 1113, Petaling Jaya dan dicetak oleh Percetakan Central Sdn. Bhd., No. 6, Jln. 13/6, Petaling Jaya, Selangor. Mengandungi komik bersiri, cerpen, cerita bersiri, peraduan melukis, bimbingan melukis, mencari gambar tersembunyi, jenaka dan lukisan kartun oleh kartunis-kartunis tempatan.

Ruangan 'Apa Kata Anda' adalah ruangan untuk pembaca memberikan maklum balas dan pandangan mengenai majalah ini dan Ketua Pengarangnya pada waktu itu lebih mesra dengan panggilan 'Pak Cik Bambino'.


Di antara tajuk komik bersiri yang terdapat di dalam majalah ini ialah "Mengembara Ke Dunia Khayal", "Senja Berdarah" oleh Rizalman, "Kumbang" oleh Mishar, "Ranjau Hidup" oleh Sailawati. Selain daripada itu, pembaca majalah ini juga turut dihidangkan dengan cerita bersiri yang bertajuk "Telaga Buruk Di Pulau Katak" oleh Mior Shariman Hassan.


Komik bersiri bertajuk "Pengembara Angkasa" oleh Mohd Ali dan "Mundik" oleh Mishar.


Satu lagi komik bersiri bertajuk "Kubur Tak Bertanda" oleh Shamsul. Ruangan 'Bakat Bambino' ialah ruangan untuk mengasah bakat pembaca dalam bidang melukis manakala ruangan 'Mari Melukis Dengan Bambino' pula ialah tip-tip melukis yang dikelolakan oleh Abdul Halim Teh.


Harga senaskhah majalah ini pada waktu itu ialah 30 sen. Terdapat juga ruangan khas iaitu "Prof. Zingaro" mengisahkan mengenai penciptaan sains oleh Zany dan "Tompok" oleh Halim Teh yang mengisahkan mengenai seekor kucing.


"Sesuatu yang positif ada juga negatifnya, terutama dalam pertalian letrik" - Prof. Zingaro.

14 August, 2010

Majalah TELE-SKOP (TV3) Keluaran Pertama 1990


Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kira-kira 20 tahun yang lalu Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau TV3 pernah menerbitkan majalah yang diberi nama TELE-SKOP. Majalah mingguan dwi-bahasa ini (Melayu-Inggeris) bertujuan memberi maklumat kepada pembaca dan penonton TV3 intisari dan sinopsis rancangan sepenuhnya untuk seminggu bermula setiap hari Sabtu.



Majalah Tele-skop ini adalah keluaran rasmi yang pertama (Inaugural Issue) bertarikh 20-26 Januari, 1990. Gambar Kulit hadapannya adalah gambar petikan daripada filem "War And Remembrance."



Harga di Semenanjung RM1.00 manakala di Sabah dan Sarawak pula ialah RM1.50 pada waktu itu. Menggunakan slogan "Mingguan Hiburan Anda" ("Your Entertainment Weekly").



Contoh intisari rancangan yang disiarkan pada hari Isnin 22 Januari 1990 di antaranya ialah Starsky And Hutch, The Yanky Boy, The Golden Girls dan sebagainya.



Contoh intisari rancangan yang disiarkan pada hari Selasa 23 Januari 1990 di antaranya ialah The Saint, Voltron, Wise Guy, L.A. Law, China Beach dan lain-lain.



Contoh intisari rancangan yang disiarkan pada hari Khamis 25 Januari 1990 di antaranya ialah Hawaii Five-O, Police Woman, G-Force, Full House, Midnight Caller, Hotel dan sebagainya.



Selain daripada itu juga mengandungi rencana-rencana mengenai artis-artis tempatan dan luar negara serta temuramah dengan pelakon drama dan artis-artis terkenal. Keluaran ini telah menyiarkan temuramah dengan seorang penggiat teater iaitu saudara Jit Murad.



Sebahagian daripada naskhah-naskhah majalah TELE-SKOP yang sempat BR selamatkan. Tidak pasti pula sejak bilakan majalah ini telah diberhentikan pengeluarannya.


Secara Ringkas Sejarah TV3:


Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) atau TV3 telah diperbadankan pada 1983 sebagai televisyen perdagangan pertama di Malaysia. Ia merupakan sebahagian daripada kumpulan syarikat Media Prima. Ianya telah dilancarkan pada 1983 dengan tema "Berita Terkini, Hiburan Sensasi" ("First in News, Best in Entertainment").


TV3 memulakan penyiarannya di Lembah Klang, (sekitar Kuala Lumpur) pada 1 Jun, 1984. Tidak lama kemudian liputannya meningkat ke seluruh negara, dan pada hari ini ia boleh diterima di negara jiran, sama ada sebagai satu saluran daratan atau melalui satelit.


Di antara slogan-slogan yang pernah diguna pakai oleh TV3 ini ialah seperti "Be There", "Stand Up and Tell'em Malaysia's Great", "Rangkaian Sukaramai", "Berita Terkini Hiburan Sensasi", "Duniamu", "Pilihan Hatiku", "TV3 Disisimu", "Inspirasi Hidupku" dan sebagainya.


-------------------------------------------------------------------------------------------------


Cadangan juadah berbuka hari ini:


Resepi Puding Ago Ago


Bahan-bahannya:

2 cawan tepung kastad
2 cawan tepung jagung
2 cawan jagung tin
2 1/2 cawan gula
1/2 tin susu cair
1/2 biji kelapa (diambil santannya)
2 biji telur
1/2 camca esen vanilla
sedikit garam dan ceri untuk hiasan


Cara Membuatnya:

Tepung kastad bersama tepung jagung dimasukkan ke dalam periuk serta masuk pula santan bersama-sama sedikit garam. Masaklah di atas api yang sederhana, apabila hampir pekat masukkan pula jagung. Bila cukup masak tuangkan ke dalam acuan.


Cara Membuat Kuahnya:

Telur bersama gula dipukul sampai kembang, tetapi jangan terlalu lama. Masukkan susu cair bersama-sama esen. Masaklah di atas api, kalau terlalu pekat bolehlah taruh sedikit air sejuk dan ceri pula boleh dihias pada isi puding kalau suka.


Selamat mencuba!


02 August, 2010

Rahsia Majalah Anjung Seri Terbongkar...


Mungkin inilah sebabnya majalah Anjung Seri tidak menamakan majalah mereka sebagai 'majalah hiasan dalaman yang pertama di Malaysia' sebaliknya hanya menggunakan 'majalah hiasan dalaman nombor 1 di Malaysia' Rupa-rupanya majalah hiasan dalaman berbahasa Melayu ini yang diberi nama 'SUASANA' telahpun berada di pasaran semenjak 1992 lagi iaitu setahun sebelum keluaran sulung majalah Anjung Seri.


Diterbitkan oleh kumpulan ATMAWAJA, Jabatan Penulisan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dengan harga $9.90 senaskhah.


Keluaran pertama dan terakhir kerana selepas itu tiada lagi keluaran seterusnya... Untuk pengetahuan, majalah ini juga telah diberikan status 'Permit Penerbitan Dikecualikan'.


Senarai redaksi pengarang boleh dilihat pada helaian pertama.


Seperti juga majalah hiasan dalaman yang lain, majalah ini juga memberikan gambaran hiasan dalam yang tidak kurang juga hebatnya sesuai dengan zamannya.


Lakaran-lakaran hiasan dalaman yang boleh dijadikan panduan untuk menghias kediaman.


Rumah tradisional atau rumah kampung juga tidak dilupakan...


01 August, 2010

Kesilapan Bilangan Majalah Anjung Seri...


Mungkin tidak ramai pembaca majalah Anjung Seri yang ter'perasaan' bahawa majalah ini telah melakukan satu kesilapan pada bilangan majalahnya di keluaran 80 dan 81 iaitu bagi keluaran bulan Mei dan Jun tahun 2000. Sungguhpun demikian, kesilapan itu hanyalah pada yang tercetak pada 'tulang' majalahnya sahaja tetapi cetakan bilangan di kulit hadapan adalah betul. Mari kita semak:


Cetakan bilangan yang menunjukkan kedu-dua majalah mempunyai bilangan yang sama iaitu 80.


Pada kulit hadapan majalah pula menunjukkan cetakan yang betul iaitu bilangan 80 dan 81.


Untuk lebih jelas lagi bolehlah dilihat pada susunan majalah ini iaitu daripada keluaran 73 hingga 96.


Moral Value: Kesilapan boleh berlaku di mana-mana...


30 July, 2010

16 Tahun Bersama Majalah Anjung Seri


Oleh kerana minat yang melampau di dalam hiasan dalaman ini, di sini BR paparkan koleksi majalah Anjung Seri yang dimiliki sebanyak 202 buah kesemuanya bermula daripada keluaran pertama sehinggalah keluaran terkini bulan Julai 2010. Sehingga entri ini ditulis, keluaran Ogos 2010 telahpun berada di pasaran, Sekejap lagi hendak pergi beli... Di sini BR kumpulkan mengikut gandaan setiap dua tahun keluaran. Ada juga yang sempat dibaca dan ada juga yang tidak sempat dibaca... He.. he..


Keluaran 1 hingga 24 iaitu daripada keluaran Oktober 1993 hingga September 1995.


Keluaran 25 hingga 48 iaitu daripada keluaran Oktober 1995 hingga September 1997.


Keluaran 49 hingga 72 iaitu daripada keluaran Oktober 1997 hingga September 1999.


Keluaran 73 hingga 96 iaitu daripada keluaran Oktober 1999 hingga September 2001.


Keluaran 97 hingga 120 iaitu daripada keluaran Oktober 2001 hingga September 2003.


Keluaran 121 hingga 144 iaitu daripada keluaran Oktober 2003 hingga September 2005.



Keluaran 145 hingga 168 iaitu daripada keluaran Oktober 2005 hingga September 2007.



Keluaran 169 hingga 192 iaitu daripada keluaran Oktober 2007 hingga September 2009.



Keluaran 193 hingga 202 iaitu daripada keluaran Oktober 2009 hingga Julai 2010. Sebenarnya memang banyak majalah berbentuk hiasan dalaman di pasaran sekarang, tetapi majalah ini tetap menjadi pilihan kerana konsep hiasan dalamannya yang lebih menyeluruh dan berfokus kepada ke'Asia'an. Terpulanglah kepada individu masing-masing untuk memilih majalah kegemaran mereka tetapi yang pentingnya terlepaslah juga bayaran cukai pendapatan kerana membeli majalah ini... He.. he..


Moral Value: 'Membaca Jambatan Ilmu'.

Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'