Showing posts with label Fakta. Show all posts
Showing posts with label Fakta. Show all posts

21 March, 2012

Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4, 1978


Setelah kita mengikuti kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, kali ini marilah sama-sama kita ikuti pula kisah Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 yang telah diadakan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1978. Pesta ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan sekali dari penduduk sekitar Alor Setar.

Pesta kali ini bukan sahaja merupakan satu pertandingan untuk menguji bakat masing-masing tetapi ia juga meninggalkan kesan yang mendalam untuk rakyat mengembangkan kesenian-kesenian rakyat seperti Boria, Dikir Barat, Ghazal, Dondang Sayang dan Keroncong.


Pemenang tempat ke-3 kategori Boria, Kumpulan Boria Kesuka dari Pulau Pinang.


Dendang Rakyat kali ke-5 ini telah mencapai satu lagi tahap kemajuan yang baharu dengan penyertaan Sabah dan Sarawak buat pertama kalinya. Secara tidak langsung ia boleh menyumbangkan ke arah kemajuan pesta ini mengikut kategori kesenian yang dipertandingkan.

Pesta Dendang Rakyat yang bermula pada tahun 1973 adalah sebagai satu langkah untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam seni daerah. Semenjak dari awal lagi sambutan terhadap pertandingan ini sungguh luar biasa terutama sekali di kawasan Selatan di mana terdapat jumlah penyertaan terbanyak bagi setiap kali pertandingan diadakan.


Kumpulan Boneka dari Kelantan, Juara bahagian Dikir Barat.


Seperti lain-lain pertandingan, Pesta Dendang Rakyat juga telah mengalami beberapa perubahan dari semasa ke semasa sama ada dalam cara penghakiman mahupun dalam cara persembahannya. Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini mengalami satu perubahan yang dianggap penting di mana cara pertandingan Dikir Barat telah diubahsuaikan supaya lebih rapat dengan bentuk persembahan yang asal.

Pada tahun-tahun sebelumnya, Dikir Barat dihakimkan menurut persembahan bersendirian tetapi mulai kali ini kumpulan yang menyertai berbalas bertanding antara satu sama lain. Ini menjadikan Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 cukup meriah apabila acara Dikir Barat ini dipersembahkan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah telah memperkenankan untuk menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah sedang menerima cenderamata dari YB Menteri Penerangan pada waktu itu, Datuk Mohamed Rahmat.


Kali ini walaupun banyak kumpulan baharu yang muncul, tetapi mengikut keputusan-keputusan dari para pengadil pemenang-pemenang dari tahun lepas masih lagi dapat mempertahankan kejuaraan mereka.

Berikut adalah keputusan penuh Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-4 ini:


Dikir Barat

1. Kumpulan Boneka, Kelantan.
2. Belia 4B, Kelantan.


Boria

1. Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang.
2. Boria Sri Penanti, Bukit Mertajam.
3. Kumpulan Boria Kesuka, Pulau Pinang.
Hadiah Saguhati: Boria Kem Tahanan, Taiping, Perak.


Dondang Sayang

1. Sarbanun Marican, Kuching, Sarawak.
2. Hitam Ahmad, Negeri Sembilan.
3. Fatimah Nani, Pulau Pinang.


Keroncong

1. Fajar Baru Orkes, Kajang, Selangor.
2. Orkes Keroncong Bintang Sore, Batu Pahat, Johor.
3. Orkes Keroncong Sang Putera Jaya, Kuching, Sarawak.


Ghazal

1. Sri Purnama Ghazal, Johor Baharu.
2. Saujana Ghazal, Muar, Johor.
3. Seri Kenangan Ghazal, Pontian, Johor.


Baginda Sultan sedang menyampaikan hadiah kemenangan kepada Encik Hitam bin Ahmad, Naib Johan bahagian Dondang Sayang.


Moral Value:Life is really simple, but we insist on making it complicated - confucius.


***********************************

Nota Tambahan:

Ekoran dari tersiarnya artikel mengenai Pesta Dendang Rakyat Kali Ke-5, 1979, BR telah menerima email daripada salah seorang cucu Allahyarham Hj. Hitam bin Ahmad (Naib Johan bahagian Dondang Sayang, 1978). Beginilah bunyi kandungan emailnya:

"as salam.saya adalah salah seorang dari cucu HITAM BIN AHMAD.untuk pengetahuan saudara/saudari HITAM BIN AHMAD @ dikenali juga sebagai HAJI HITAM BIN AHMAD telah pun kembali ke rahmahtullah pada 5/1/2000. (seperti gambar yang saya lampirkan ).

TERIMA KASIH saya ucapkan kepada pihak saudara/saudari kerana masih dan mahu mengangkat muzik tradisional,sekaligus memartabatkan lagi akar muzik tradisional melayu ini.saya ingin bertanya,adakah saudara/saudari masih dan ada menyimpan gambar-gambar atau berita-berita serta keratan yang berkaitan dengan ARWAH HJ HITAM BIN AHMAD,yg boleh dikongsikan.terima kasih sekali lagi saya ucapkan dan saya harap saudara/saudari sudi untuk berkongsi kenangan ini dengan saya." - Razzizan bt Abd Razak.


al-Fatihah buat Allahyarham Hj Hitam bin Ahmad.

01 March, 2012

MAS Gunakan Jumbo Jet


Kembali bersiaran setelah sekian lama menyepikan diri. Terima kasih kepada rakan-rakan blog dan pembaca yang telah menghantar email atau mengeloi (kelui) di shoutbox bertanyakan khabar. Sayang juga mereka kat BR... hehe..

Sebenarnya ada, memang ada lagi..! sihat walafiat cuma kekangan tugas hakiki yang memaksa blog ini untuk berehat sebentar. InsyaAllah selepas ini ianya akan beroperasi seperti biasa untuk menghidangkan sajian kenangan yang tiada akhirnya untuk tatapan pembaca sekalian. Untuk bulan Mac ini kita mulakan dengan kisah jumbo jet..

Suatu hari yang hening di sekitar tahun 1982 iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu...


Inilah wajah sebenar Boeing 747 seperti yang diceritakan.


Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah berbangga dengan syarikat penerbangan kebangsaan kita MAS yang telah berkembang dengan pesatnya. Kini MAS telah memasuki era jumbo jet yang besar dengan mempunyai dua buah boeing 747 yang telah mula digunakan sejak minggu kedua bulan April.


Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad sedang mencuba keempukan kerusi jumbo jet. Teringat ketika pertama kali BR menaiki kapal terbang dahulu, mesti mencuba dahulu keempukan kerusinya adakah sesuai dengan harga tambang yang dibayar.. hehe..


MAS merupakan syarikat penerbangan yang ke-67 di dunia yang menggunakan pesawat boeing 747 pada waktu itu. Sebenarnya MAS adalah di antara syarikat penerbangan yang terkecil sekali walaupun di kalangan negara-negara ASEAN dan MAS adalah yang terakhir menggunakan pesawat boeing 747 (pada waktu itu).


Penerbangan jet 747 ialah dari Kuala Lumpur ke Dubai-Amsterdam-London pada hari Sabtu dan dari Kuala Lumpur ke Kuwait-Frankfurt-London pada hari Rabu dan Ahad. hari Khamis penerbangan 747 bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Dubai-Paris-London. Penerbangan ke Sydney-Melbourne bertolak dari Kuala Lumpur pada hari Selasa, Jumaat dan Sabtu.

Satu majlis merenjis kapal terbang MAS Boeing 747 yang baharu itu telah diadakan pada 3 April 1982 di mana Perdana Menteri pada waktu itu, Dato' Seri (Tun) Dr. Mahathir Mohamad telah melakukan upacara merenjis dan menepung tawarnya sambil meninjau keadaan sebelah dalam kapal terbang.


Moral Value:Follow your gut and your heart; you'll almost always make the right choice. - Leighton Meester.


01 February, 2012

Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur


Satu haribulan Februari adalah Hari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan ditadbirkan secara langsung oleh Kerajaan Pusat.


Pemandangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kiri-kira 30 tahun yang lalu.


Sebuah kementerian yang diberi nama Kementerian Wilayah Persekutuan telah diwujudkan pada 28 Julai 1978 dengan Perdana Menteri sendiri menjadi Menteri yang bertanggungjawab.

Kementerian ini adalah bertujuan untuk merumus dasar, merancang strategi dan menentukan matlamat pembangunan Wilayah Persekutuan dari segi ekonomi, sosial, budaya dan agama terhadap pencapaian Dasar Ekonomi Baru.

SELAMAT HARI WILAYAH.


***************************************************

Kali pertama BR menjejakkan kaki di Kuala Lumpur ialah di sekitar tahun 1984 (tidak termasuk rombongan sekolah pada tahun 1979). Punyalah seronok dan berbangga kerana telah sampai ke ibu kota yang sering dimomokkan dengan cabaran hidup yang penuh dengan pancaroba.

Pada waktu itu Kompleks Daya Bumi, Central Market, Pudu Raya, Kota Raya, Kompleks Pertama merupakan tempat tumpuan utama untuk melepak di samping pengangkutan utama pada waktu itu iaitu bas panjang Sri Jaya, Len dan bas mini (dengan tambang 50 sen untuk sekali perjalanan).

Kalau hendak tahu bas mini yang beradio, lihat pada lampu LED nya, jika berkelip-kelip maknanya bas tersebut ada radio. Tetapi ada juga malangnya, silap-silap dipasangnya lagu Tamil.. hehe..

Berlaku bermacam-macam peristiwa juga di dalam bas mini ini, pencopet dan 'pergeseran' yang disengajakan memang sering berlaku kerana kesesakan yang melampau.

Tempat makan yang popular pula ialah di Benteng (Di belakang Mahkamah). Supermarket pula ialah Batu Road Supermarket di Chow Kit Road seiring dengan kemunculan Hankyu Jaya di hadapannya. Selain daripada itu di Kompleks Campbell juga menjadi tumpuan utama untuk membeli belah.

Panggung wayang pula ialah panggung Federal (pernah menayangkan filem Superman hampir sebulan), Odeon. Cineplex pun banyak juga tetapi kurang mendapat sambutan kerana 'cerah', tidak sesuai untuk pasangan.. hehe..

Sekarang semuanya itu telah tiada dan hilang ditelan arus pembangunan. Tiada lagi deruman bas mini, tiada lagi kesesakan dan bau asap bas-bas ekspress di Hentian Pudu Raya (tempat popular untuk mengadakan blind date pada waktu itu, U tunggu I kat platform berapa?.. hehe..).

Kompleks Daya Bumi semakin suram, Kompleks Pertama, Central Market hanya dimeriahkan oleh 'pelancong-pelancong' asing yang seolah-olah sudah tidak terkawal...




Kuala Lumpur senyumanmu
Di pagi ini
Sungguh bererti
Kerna cinta bersemi lagi
Setelah kemarau panjang

Di lebuhraya
Di papan tanda
Tergambar wajahmu
Dengan kalimat
Cinta untuk kita
Semoga kekal selamanya

Bila ku bisikan puisi cinta
Dan Tugu Peringatan Negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Berganding tangan
Kita berdua
Menyusuri jalan
Di tengah kota
Sambil senandungkan lagu
Lagu kisah cinta lama

Bilaku bisikan puisi cinta
Dan tugu peringatan negara
Bagai tersenyum
Dalam diam bergembira
Memberi sokongan cinta
Agar bersinar sentiasa

Terima kasih kuucapkan
Oh kepadamu
Kuala Lumpur
Kerna kau telah temukan
Cinta antara kami berdua


Moral Value: Time is not measured by a watch but by moments.

30 January, 2012

Pembela Tanah Air


Pada 31 Disember 1979 seramai 185 orang pegawai kadet Tauliah Jangka Pendek dari semua unit angkatan tentera telah mengadakan upacara perbarisan tamat latihan di Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur.


Seri Paduka Baginda menerima Tabik Kehormatan Diraja.


Upacara ini diadakan setelah mereka tamat latihan dari semua segi ilmu ketenteraan selama setahun. Mereka telah diberi latihan tentera di Unit Latihan Pendahaluan Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan kemudiannya di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi.


Kumpulan ini adalah pengambilan yang ke-35 dan terakhir sekali kerana pengambilan yang berikutnya akan dilatih hanya di Kem Sebatang Karah, Port Dickson, sahaja.


Seri Paduka Baginda sedang memeriksa perbarisan.


Dari jumlah 185 pegawai ini, seramai 116 orang adalah terdiri dari pegawai-pegawai kadet tentera darat sementara 34 orang dari tentera laut dan yang bakinya terdiri daripada tentera udara.


Pegawai Kadet Daud bin Japar Pemenang Hadiah Komandan menerima hadiahnya.


Pegawai Kadet Mior Rosdi bin Mior Mohd Jaafar telah terpilih sebagai pemenang Hadiah Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia terbaik manakala Pegawai Kadet Daud bin Japar Pemenang Hadiah Komandan. Pegawai Kadet Daud juga adalah Ketua Platun yang telah mengetuai perbarisan tamat latihan.


Pegawai Kadet Mior Rosdi bin Mior Mohd Jaafar telah terpilih sebagai pemenang Hadiah Kadet Tentera Laut Diraja Malaysia terbaik.


Pegawai Kadet yang turut ditauliahkan ialah Sopian bin Harun, 23 tahun, yang berasal dari keturunan orang asli. Beliau mencatatkan sejarah sebagai anak orang asli yang pertama sekali ditauliahkan sebagai pegawai tentera.

Beliau telah memeluk agama Islam beberapa lama dahulu dan berasal dari Kuala Rompin, Pahang. Sopian pernah berkhidmat sebagai Pembantu Luar FELCRA selama dua tahun sebelum mengikuti kursus tentera ini.


Moral Value: You don't need water to feel like you're drowning, do you? - Jodi Picoult

13 January, 2012

Klang


Bandar Diraja Klang telah berusia lebih satu abad. Jika dibandingkan dengan manusia, umur satu abad adalah satu tempoh yang menakjubkan dan penuh dengan pelbagai pengalaman.

Sebagai sebuah bandar yang tertua di Malaysia, Klang mengumpul banyak rahsia sejarah silam yang tidak ternilai harganya.


Gambar bandar Klang di sekitar tahun 1980-an.


Kesan sejarah itu juga menunjukkan suatu ketika dahulu Klang pernah menjadi pusat pentadbiran negeri Selangor pada 1880 bertempat di Gedung Raja Abdullah yang kini telah dijadikan muzium timah.

Kini Klang banyak mengalami perubahan fizikal jika dibandingkan 122 tahun lalu. Manusia akan berkedut kulit menandakan usia yang semakin lanjut tetapi Klang semakin megah membangun pada tahap usia itu.

Sejarah Klang bermula pada Mei 1890 apabila Residen Inggeris ketiga, Frank Swettenham menubuhkan Lembaga Kesihatan Klang untuk mentadbir bandar itu. Lembaga Kesihatan Klang juga bertanggungjawab menentukan sempadan Klang pada 1895 mengikut Enakmen Tanah.


Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang pada tahun 1980.


Lembaga itu kemudiannya ditukarkan kepada Lembaga Bandaran Klang pada 1954 dan Majlis Perbandaran Klang pada tahun 1971.

Wujudnya nama Klang pula dipercayai berasal daripada perkataan "kerang" iaitu sejenis makanan laut yang mudah didapati di sini suatu ketika dahulu. Bagaimanapun perkataan kerang itu menjadi "klang" kerana kepelatan masyarakat Cina menyebutnya sehinggalah akhirnya bandar yang tumbuh di pinggir sungai ini dikenali dengan nama Klang sehinggalah sekarang.

Bagaimanapun ada juga versi yang mendakwa nama Klang lahir daripada perkataan Mon-Khmer "Klong" yang bermaksud pasar, rumah simpanan atau gudang iaitu tempat perdagangan. Wallahualam.

Klang kemudiannya menjadi daerah pada 1890 selepas pentadbiran negeri Selangor dipindahkan ke Kuala Lumpur.


Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada tahun 1980.


Bandar Klang juga merakamkan sejarah peperangan saudara keturunan Diraja Selangor antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi di sekitar tahun 1866.

Peperangan saudara telah meninggalkan banyak kesan sejarah antaranya Kubu Raja Mahadi yang terletak di pinggir Sungai Klang yang masih wujud sehingga sekarang.

Bukit Kota yang dijadikan tapak pejabat Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga adalah salah satu kesan perang saudara itu.


Gambar sebuah kereta berhias yang mengambil bahagian sempena Perayaan 100 Tahun Pentadbiran Klang pada tahun 1980.


Kini Klang telah bertukar wajah daripada bandar tertua kepada bandar moden tanpa menjejaskan ciri-ciri sejarahnya. Bangunan pencakar langit dan pusat membeli-belah bertaburan di sana-sini menandakan pertumbuhan ekonomi yang pesat sedang berlaku di situ.

Segala kesan sejarah yang terdapat di Klang akan dijadikan khazanah penting bagi menjadikan Klang bandar sejarah yang mampu menarik pelancong.

Kali pertama BR menjejakkan kaki di bandar Klang ialah pada tahun 1988 ketika masih muda remaja. Banyak kenangan untuk dikenang pada waktu itu kerana bermalam di rumah seorang sahabat di Batu 16, Jalan Kapar. Suasana berkabus ketika bangun pagi di kampung itu masih terbayang sehingga kini...


Untuk maklumat lanjut, pembaca boleh ke: Wikipedia/Klang


Moral Value: Memories remain when the world forgets.

30 December, 2011

Sistem Kabinet Pertama Di Malaysia


Pada 9 April tahun 1951, satu percubaan untuk berkerajaan sendiri di mulakan di Persekutuan Tanah Melayu apabila buat pertama kalinya enam orang 'Ahli Tidak Rasmi' dari Perkhidmatan Awam telah dilantik mengetuai urusan pentadbiran beberapa buah Jabatan Kerajaan bertaraf Kementerian dan untuk turut sama bertanggungjawab menggubal dasar kerajaan.


Perlantikan adalah untuk mewujudkan satu sistem pemerintahan secara kabinet yang dipanggil 'Sistem Ahli' dalam usaha mencapai matlamat berkerajaan sendiri. Enam orang 'Ahli Tidak Rasmi' yang dilantik itu ialah:

Datuk Onn Jaafar
Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri

Dr. Lee Tiang Keng
Ahli bagi Kesihatan

Datuk E.E.C. Thuraisingam
Ahli bagi Pelajaran

Mr. J.D. Mead
Ahli bagi Kerja Raya dan Perumahan

Datuk Mahmud bin Mat
Ahli bagi Tanah dan Galian serta Pengangkutan

Tengku Yaakub (Raja Muda Kedah)
Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan


Datuk Onn Jaafar


Mereka ini pula akan bekerjasama dengan lima orang 'Ahli Rasmi' dari Perkhidmatan Awam. ahli-ahli Rasmi ini ialah:

Mr. R.T. Bingham
Setiausaha Hal Ehwal Orang-orang Cina

Mr. D.C. Watherson
Setiausaha Pertahanan

Mr. O.A. Spencer
Ahli bagi Hal Ehwal Ekonomi

Mr. E.B. David
Ahli bagi Perhubungan, Perusahaan dan Sosial

Mr. J.O. Sanders
Ahli bagi Keretapi dan Pelabuhan


Mr. P.O. Wickens seorang Pegawai Perkhidmatan Awam yang memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha di Ibu Pejabat Polis Persekutuan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan iaitu satu jawatan yang baharu diwujudkan.

Kerajaan juga mengumumkan perlantikan pegawai-pegawai tetap sebagai setiausaha-setiausaha kepada ahli-ahli di atas. Mereka ialah:

Mr. J.P. Hannyington
Setiausaha kepada Ahli bagi Hal Ehwal Dalam Negeri

Mr. T.E. Hughes
Setiausaha kepada Ahli bagi Kesihatan

Mr. L.H.N. Davis
Setiausaha kepada Ahli bagi Pelajaran

Mr. P.C. Bayrne
Setiausaha kepada Ahli bagi Kerja Raya dan Perumahan

Mr. F.M. Smith
Setiausaha kepada Ahli bagi Tanah dan Galian serta Pengangkutan

Mr. A.J.D.C. Loch
Setiausaha kepada Ahli bagi Pertanian dan Perhutanan


Wajah Bangunan Parlimen sekarang.


Di bawah Sistem Ahli ini urusan pentadbiran tidak lagi berpusat di bawah kuasa Ketua Setiausaha. Tugas-tugas Ketua Setiausaha telah bertukar dari 'Ketua Pentadbir' kepada Penyelaras Kementerian yang sebanding dengan Perdana Menteri.

Demikian juga Sistem Ahli ini melibatkan penyemakan semula peranan Pesuruhjaya Tinggi. Apabila tanggungjawab mengenai dasar kerajaan yang semakin bertambah dipikul oleh Ahli-ahli yang berportfolio, kedudukan Pesuruhjaya Tinggi sebagai pegawai yang mempengerusikan majlis Perundangan menjadi ganjil dan bertentangan dengan hasrat untuk menuju matlamat kerajaan berparlimen.

Akhirnya dalam bulan September 1953, lapan belas bulan selepas penubuhan rasmi Sistem Ahli, Pesuruhjaya Tinggi bersara dari jawatan Pengerusi Majlis Perundangan dan digantikan dengan seorang 'Speaker' yang mempunyai peranan yang sama dengan 'Speaker' di Dewan Rakyat (House of Commons).

Dengan adanya Sistem Ahli ini pemindahan tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah kerajaan bersendiri dapat dilakukan. Ia juga memberi kesempatan kepada ahli-ahli politik memahami dan menyedari kerumitan-kerumitan yang dihadapi oleh sesebuah kerajaan yang merdeka.


Dipetik dari "Hari Ini Dalam Sejarah" terbitan Arkib Negara Malaysia, 1990.


27 December, 2011

Temerloh


Jambatan Ahmad Shah berdiri megah merentangi Sungai Pahang. Di bawah mengalir air yang pernah dimerahi oleh darah penjajah. Di sinilah Dato Bahaman meniupkan semangat kebangsaan.

Begitulah sejarah Temerloh bermula pada tahun 1800 yang banyak menyimpan sejarah bangsa. Pada masa itu Temerloh dikenali sebagai Kuala Semantan yang menjadi tempat persinggahan kerana ia menjadi pelabuhan kecil kepada penduduk di persisiran Sungai Pahang.


Temerloh juga banyak melahirkan tokoh-tokoh negara yang berjasa seperti Ibrahim Haji Yaakub, Datuk Ishak bin Haji Mohamad (Pak Sako), Datok Tok Muda Awang Ngah, Datuk Hamzah bin Abu Samah (Bekas Menteri Undang-undang 1978), Tan Sri Haji Yahya bin Mohd Seh (Bekas Menteri Besar Pahang 1964-1972), Abdul Rahman bin Haji Talib (Bekas Menteri Pengangkutan 1957), Tan Sri Sabaruddin bin Chik (Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan 1987), Datuk S. Roomai Noor (Pelakon), Datuk Sudirman bin Haji Arshad (Penyanyi) dan ramai lagi yang tidak disebutkan di sini.

Sejarah silam mencatatkan pada masa itu penduduk di Kuala Kerau, Kerdau, Teluk Sentang, Bintang, Peragap dan Lubuk Terua hingga ke Chenor menjadikan Kuala Semantan pusat membeli belah serta menjual hasil pertanian mereka.


Penduduk di kampung berkenaan mengusahakan tanaman padi, getah dan mencari hasil hutan seperti rotan, damar, kayu gaharu dan gambir menjualnya di Kuala Semantan untuk mendapatkan tukaran barang seperti gula dan garam.

Pada masa itu puluhan perahu kajang iaitu perahu yang beratapkan kajang digunakan untuk membawa barang-barang itu setiap hari ke Kuala Semantan. Perahu kajang itu biasanya dikayuh oleh tukang kayuh. Tuan punya perahu itu biasanya adalah pedagang Melayu yang menjual barang-barang ke Kuala Semantan.

Pada suatu hari sebuah perahu kajang yang penuh dengan muatan singgah di Pulau Temerloh (Buntut Pulau) untuk menjual hasil dagangan mereka. Oleh kerana penat, tiga orang pengayuh itu lalu tertidur. Mereka kemudian dimarahi oleh tuannya apabila perahu itu hanyut dibawa arus. Lantas ketiga-tiga pengayuh tadi mengatakan mereka "temerloh" sebentar.


Maksud "merloh" dalam bahasa atau loghat Pahang bermaksud tidur. Temerloh bererti tertidur. Sejak itu Kuala Semantan mula dikenali sebagai Temerloh sahaja dalam sebutan harian mereka, nama itu kekal sehinggalah sekarang. Wallahualam.

Kuala Semantan juga dahulunya terkenal sebagai tempat Dato Bahaman meniupkan semangat kebangsaan menentang Inggeris pada tahun 1891. Pada masa itu Dato Bahaman adalah Orang Besar di Lubuk Terua dan terkenal sebagai Orang Kaya Pahlawan Semantan.

Dato Bahaman berjaya menyerang CEM Desborough yang menjadi Pemangku Pemungut Cukai Tanah Temerloh pada 15 Disember 1891 serta mempertahankan Kuala Semantan. Dato Bahaman juga telah menyerang Balai Polis yang didirikan oleh pihak British di Lubuk Terua dan berjaya mengalahkan pasukan CEM Desborough. kejayaan ini telah membangkitkan semangat orang-orang Melayu di Kuala Semantan dan Temerloh.


Temerloh akhirnya berkembang sehinggalah sekarang. Majlis Daerah Temerloh (MDT) (1981) dan sekarang Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) (1997) yang mengawasi perkembangan dan kemajuan Temerloh dan Mentakab, Lanchang, Kuala Kerau dan Kerdau.

Kesan-kesan sejarah masih lagi terdapat di Kuala Semantan. Bagi mengenang jasa pemimpin dan pemerintah negeri Pahang Darul Makmur, beberapa nama telah diabadikan antaranya ialah Masjid Abu Bakar, Jambatan Ahmad Shah, Jalan Tan Sri Hamzah, Jalan Tan Sri Yahaya dan Jalan Dato Awang Ngah.

Pembukaan tanah baharu di bawah Rancangan Felda dan Felcra Gugusan Jengka Tiga Segi dan Gugusan Bera telah memajukan dan merancakkan lagi pembangunan di Temerloh yang turut dikenali sebagai Bandar Ikan Patin.


Moral Value: Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam kaki.


19 December, 2011

Pembedahan Kembar Siam


Suatu hari di tahun 1981 iaitu kira-kira 30 tahun yang lalu, Hospital Universiti di Kuala Lumpur telah mencatat sejarah apabila pakar-pakar perubatannya berjaya memisahkan bayi kembar Siam yang melekat di bahagian punggung dalam pembedahan 10 jam paling mendebarkan. Pembedahan yang berjaya ini adalah yang PERTAMA di Asia Tenggara dan KELIMA di dunia.

Lapan orang pakar bedah, lapan orang pakar bius dan 12 jururawat dengan diketuai oleh Ketua Pembedah Hospital tersebut, Prof. K. Somasundram menjalankan pembedahan ke atas kanak-kanak perempuan Toh Siew Leng dan Siew Fah berusia tujuh bulan.


Ketua Jabatan Pembedahan Hospital Universiti, Petaling Jaya, Professor K. Somasundram menerangkan bahagian-bahagian anggota kembar siam yang dipisahkan. Jelas pada waktu itu chalk and talk menjadi medium utama dalam memberi sesuatu penerangan.. hehe..


Pembedahan itu dijalankan secara berperingkat-peringkat. Apabila sesuatu bahagian selesai dibedah oleh kumpulan pakar bedah yang tertentu kumpulan yang lain pula akan menjalankan pembedahan di bahagian yang lain seperti yang ditentukan mengikut kepakaran masing-masing.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di hospital itu, Prof. K. Somasundram yang mengetuai pasukan tujuh orang pakar itu menyifatkan bahawa pembedahan bersejarah itu sebagai 'satu operasi tentera'. Beliau memberitahu persediaan dan pemeriksaan yang rapi telah dilakukan sebelum pembedahan bermula.

Persediaan dan pemeriksaan itu katanya, telah dilancarkan setelah didapati salah seorang bayi kembar Siam tersebut membesar lebih cepat dari sepatutnya.


Beliau berkata, pembesaran yang tidak seimbang ini mungkin boleh mengancam nyawa salah seorang dari mereka dan kerana itu hospital mengambil keputusan untuk mengasingkan mereka melalui pembedahan.

Mengenai pembedahan itu, beliau berkata kejayaannya tidak bergantung kepada kemahiran pakar bedah sahaja, tetapi atas kecekapan semua pihak yang terlibat termasuk jururawat, pakar radiologi, juruteknik elektrik dan lain-lain bidang yang berkenaan.

"Kejayaan itu adalah yang kelima dalam sejarah perubatan dunia dan ia merupakan pembedahan yang pertama di Asia Tenggara," tegasnya.

Prof. K. Somasundram berkata, kembar Siam itu agak aneh dan jarang berlaku di dunia. Bahagian bayi itu seperti perut, punggung, buah pinggang, hati dan paha bercantum.

"Pembedahan bahagian perut, memisahkan kedua bayi dan mencantum kembali adalah kerja-kerja yang rumit dan mencemaskan," tegasnya.

Menurutnya, pasangan kembar Siam seperti itu amat jarang berlaku. Pada tahun 1976, terdapat seorang ibu Malaysia melahirkan beyi kembar seperti itu tetapi meninggal dunia 10 hari selepas dilahirkan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembedahan Orthopedik Hospital Universiti, Prof. Bala Subramaniam pula menceritakan bahawa bahagian yang paling rumit dalam pembedahan itu ialah kerja memisahkan tulang punggung mereka yang bercantum.

Katanya, kerja itu harus dilakukan dengan teliti untuk menentukan kedua-dua bayi itu mendapat bahagian-bahagian yang sama.

Prof. Bala Subramaniam berkata, tulang punggung mereka yang telah dipisahkan dan dibentuk semula itu akan membesar seperti biasa.

Di samping itu, YB Menteri Kesihatan Tan Sri Chong Hon Nyan menyifatkan kejayaan pembedahan bagi memisahkan kembar Siam oleh Hospital Universiti sebagai satu peningkatan taraf pakar-pakar tempatan. Beliau mengucapkan tahniah kepada mereka yang terlibat.

Pengarah Hospital Univeristi, Dr. Haji Abbas Alias menganggap pembedahan kembar Siam itu membuktikan kepakaran doktor-doktor bedah tempatan di samping menaikkan imej negara di bidang perubatan moden.

Beliau memuji mereka dalam berbagai bidang disiplin perubatan hingga menghasilkan pembedahan yang julung-julung kali dilakukan di Malaysia.

Pembedahan itu turut difilemkan oleh 30 orang kakitangan dari Institut Pembangunan Penyiaran Asia (AIBD). Filem tersebut akan digunakan untuk tujuan-tujuan latihan. Kedua-dua bayi tersebut juga dilaporkan berada dalam keadaan sihat selepas pembedahan itu.

Kini setelah hampir 30 tahun berlalu, dimanakah Toh Siew Leng dan Siew Fah?


Moral Value: When you have faith, never think it's over, just keep believing; if you can't find the answer, the answer will find you!

15 December, 2011

Detik Bersejarah Perdamaian


Perdamaian amat berharga. Tidak ada manusia yang tidak inginkan perdamaian. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana kita hidup di dalam persekitaran yang aman damai walaupun peperangan dan persengketaan sedang memusnahkan kehidupan insan di beberapa bahagian di dunia.


Degan semangat cintakan perdamaian ini, seluruh rakyat rantau ini telah mengalu-alukan pengumuman bersama oleh Kerajaan Diraja Thailand, Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya. Satu perjanjian telah ditandatangani dan persetujuan telah dicapai bagi menghentikan segala rupa aktiviti bersenjata.


Ini merupakan satu cara penyelesaian secara terhormat. Dengan ini bekas anggota Parti Komunis Malaya memberi jaminan kepada kedua buah negara Thailand dan Malaysia untuk meletak senjata mereka dan menghormati undand-undang serta kedaulatan negara tersebut.


Mereka juga berikrar menyokong usaha-usaha pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan, manakala pihak kerajaan bersetuju memberikan layanan yang adil kepada anggota-anggota ini.


Gambar pertemuan Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng di Baling, Kedah.


Ketiga-tiga pihak berharap untuk mewujudkan kemakmuran, kestabilan dan keselamatan di rantau ini.


Selepas satu tempoh masa yang wajar, kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota-anggota ini yang terdiri daripada warganegara Malaysia untuk mengambil bahagian dalam kegiatan politik mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.


Sebahagian dari pegawai-pegawai yang turut sama menyaksikan upacara perjanjian tersebut.


Tempat: Haadyai, Thailand.
Tarikh: 2 Disember, 1989.

Ketua Delegasi:

Malaysia: Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman.

Thailand: Tan Sri Chavalit Yongchaiyudh.

PKM: Chin Peng (Setiausaha Agung PKM).


Moral Value: In any battle or argument, the one whose breathing is slowest will win.

12 December, 2011

Dato' Johari Salleh


Walaupun telah memegang jawatan yang agak istimewa sebagai Pengarah Muzik RTM (1961 - 1982) tetapi beliau dapat meluangkan masa untuk mencipta lagu-lagu kegemaran ramai. Penyanyi seperti Yasmin Yusoff, S.M. Salim dan S. Ahmad adalah antara penyanyi-penyanyi yang pernah mendapat bimbingan dari beliau. Pemuzik yang dimaksudkan ialah Johari Salleh seorang pencipta, penggubah dan pemimpin muzik yang tidak asing lagi di negara kita.


Johari Salleh dilahirkan di Singapura dalam keluarga seni pada 9 Februari 1940. Ayahnya Mohd Salleh Bin Mohamad berasal dari Melaka dan ibunya Puan Munarah Shuib, berasal dari Singapura. Ayahnya juga seorang pencinta muzik telah mengetahui bakat anaknya sejak kecil dan terus menghantar Johari kepada seorang guru muzik Saaban Saliman yang terkenal di Singapura untuk mengembangkan bakat anaknya khusus di bidang trumpet.

Setelah tamat dari sekolah, Johari atai Joe di kalangan rakan-rakannya terus menimba pengalaman dengan bermain di kelab-kelab malam untuk beberapa ketika. Peluang bagi Joe bermain secara lebih profesional terbuka RTM memerlukan pemuzik-pemuzik yang berkaliber dengan tujuan membentuk satu orkestra bertaraf antarabangsa.

Pada tahun 1961, Joe berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan RTM sebagai peniup trumpet. Tiupannya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dari pencinta muzik. Pada tahun 1965, Joe dinaikkan pangkat sebagai Pemangku Pemimpin Orkestra yang pada ketika itu di bawah kelolaan Alfonso Soliano.


Tahun 1967, merupakan tahun penuh erti kepada Johari Salleh. RTM pada tahun itu telah menghantar Joe ke Berkley College of Music di Boston, Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya lebih mendalam dalam segala aspek seni muzik terutamanya dalam bidang penciptaan dan gubahan.

Johari dengan secara rasmi dilantik sebagai Pemimpin Orkestra RTM sekembalinya dari luar negeri menggantikan Alfonso Soliano yang meletakkan jawatan untuk bertugas di Bangkok. Pada tahun 1976 sekali lagi Johari dinaikkan pangkat ke jawatan Pengarah Muzik RTM.

Atas Biasiswa Kebudayaan Kerajaan Australia, sekali lagi Johari dihantar ke luar negeri dan kali ini ke Australia. Untuk beberapa bulan di sana Johari dapat meluaskan lagi pengalamannya terutama tentang perkembangan muzik di negara itu.


Antara lagu-lagu yang dihasilkan oleh Johari Salleh ialah Rayuan Hasratku, Duniaku, Keikhlasan Hati, Hati Yang Terusik, Tom Tom Bak, Gadis Ayu, Cinta Kejam, Mahligai Idaman, Jangan serta Gadis dan Bunga.

Lagu-lagu ciptaan Johari Sallaeh telah mendapat sanjungan bukan sahaja di negara kita malah di luar negeri. "Up On The Hill" nyanyian Frankie Cheah telah disenaraikan menjadi salah satu lagu terbaik di Festival Lagu-lagu Pop Antarabangsa yang diadakan di Jepun pada tahun 1970.

Pada tahun 1979, lagu ciptaan Johari bertajuk "Kasih Sayang" telah mendapat penghargaan istimewa di pertandingan Seoul Song Festival di Korea. Kemenangannya bukan sahaja mengharumkan nama Johari tetapi juga nama negara.

Sebagai menghormati jasa-jasanya di bidang muzik, Johari Salleh telah dianugerahkan beberapa bintang gelaran. Antaranya ialah Ahli mangku Negara (AMN) dan Ahli Mahkota Pahang. Pada masa ini Dato’ Johari Salleh berkhidmat sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

03 December, 2011

Sejarah Penciptaan Televisyen


Boleh dikatakan hampir kesemua rumah kini mempunyai peti televisyen tetapi tidak ramai pula yang benar-benar memahami sejarah penciptaannya. Sebagai maklumat tambahan, marilah sama-sama kita ikuti sejarah penciptaannya.

Televisyen berasal dari dua kata yang berbeza asalnya iaitu tele (Bahasa Yunani) yang bererti jauh dan visi (Videre - Bahasa Latin) yang bererti penglihatan. Televisyen, kata asalnya television (Bahasa Inggeris) bermaksud melihat jauh. Melihat jauh dalam konteks pemahaman ini disamakan dengan gambar dan suara yang diterbitkan di suatu tempat (Studio Televisyen) dapat dilihat dari tempat lain menerusi sebuah alat penerima (peti TV).


Istilah television sebenarnya baharu dicetuskan pada 25 Ogos, 1900 di Kota Paris, Perancis, semasa satu pertemuan para ahli bidang elektronik dari beberapa negara diadakan di situ.

Perkembangan bidang teknologi elektronik dunia memperlihatkan beberapa kemajuan awal sejak abad ke-19 hinggalah ke abad ini. Siaran radio yang mendahului kemunculan televisyen dalam bidang itu telah dirintiskan oleh seorang ahli elektronik bernama Dane. Dalam tahun 1802, beliau telah menemukan bahawa 'pesan' dapat dikirim melalui kawat beraliran elektrik dalam jarak pendek dalam satu eksperimennya yang sederhana. Penemuan itu kemudian diperkembangkan pula oleh James Maxwell, Heinrich Bertz dan Guglemo Marconi.

James Clerk Maxwell


Maxwell, ahli geografi Inggeris, berjaya menemukan rumus-rumus yang dipercayai dapat mewujudkan gelombang elektromagnet iaitu gelombang yang digunakan untuk radio dan tv pada tahun 1865. Beliau berpendapat gerakan magnetik dapat menerusi ruang angkasa secara bergelombang dengan kecepatan 186 000 batu per saat selari dengan kecepatan cahaya.

Teorinya didapati benar dan Maxwell dikenali sebagai "Scientific Father Of Wireless" (Bapa Saintifik Wayarles).


Heinrich Rudolf Hertz


Pada tahun 1884, Hertz juga mendapati teori Maxwell benar dan pada tahun 1895, Marconi mempraktikkan teori itu. Pada tahun 1896 Marconi berjaya mengesan bunyi tanpa kawat dan pada tahun 1901, dia berjaya pula mengembangkannya dengan jarak melintasi Lautan Atlantik.

Pada tahun 1906, Dr. Lee de Forest dari Amerika Syarikat telah mengembangkan penemuan Marconi dan menciptakan tiub vakum yang memungkinkan suara dapat dipancarkan. Siaran radio pada awalnya telah oleh David Sarnoff (1915) dan seterusnya siaran radio itu berkembang seperti sekarang ini.

Berasaskan penemuan Dane (1802), muncul berbagai perkembangan dalam bidang komunikasi dengan inovasi terbaharu. Antaranya termasuklah telegraf, telefon, gelombang elektromagnet, radio perhubungan, radio siaran dan juga televisyen pada abad ke-20.

Kita harus menghargai sumbangan yang telah dimainkan oleh beberapa orang ahli sains yang telah berjaya melakukan penelitian untuk mewujudkan 'gagasan' pemindahan gambar dari satu tempat ke tempat lain menerusi menerusi udara.

Ferdinand Braun


Antara mereka ialah Maurice le Blance, Brillouin, Seleneqdan Dussand (di Paris), de Paiva (Lisbon), Heinreich Hertz dan Paul Nipkow (Berlin), Sutton Bidwell, Alexander Bain (London) dan Ferdinand Braun (Strassbueg). Mereka adalah peletak dasar gagasan-gagasan perkembangan TV di masa depan.

Penyelidikan untuk terus meningkatkan teknologi TV dilanjutkan menjelang Perang Dunia Pertama. Dasar TV warna pula telah dicanangkan oleh nama-nama seperti dari Jerman, Max Dickman, Rosing dan Vladimir, dari London ditemui nama Campell Swinton, Di Paris Armengaud, Rignoux dan Fournier dan di Budapest, Denes von Mihaly.

Sewaktu meletusnya Perang Dunia Pertama dan Kedua, sejarah telah menyaksikan satu perpindahan golongan penyelidik teknokrat dari Benua Eropah ke Amerika Syarikat. Antara mereke termasuklah Zworykin (Rusia) pada tahun 1918 dan Charles Jenkin dan Farnworth dari Eropah. Kehadiran mereka mendorong perkembangan yang pesat dalam bidang televisyen di negara berkenaan.

Paul Nipkow


Dari nama-nama peletak dasar TV di atas, perlu diingati juga akan penemuan Paul Nipkow (1884) iaitu sebuah alat bernama Jantra Nipkow (disebut Nipkow Disk dan Nipkowsheibe), yang melahirkan TV mekanik yang waktu itu bernama Electrische Teleskop.


Televisyen elektronik seperti yang kita miliki sekarang ini sebenarnya berpunca dari perubahan dasar TV mekanik yang mempergunakan teknik penyapuan (scanning device) walhal televisyen elektronik menggunakan teknik penyapuan secara elektrik. Semua ini berlaku hasil kerjasama para ahli elektronik Eropah dan Amerika Syarikat pada tahun 1923.

Paul Nipkow telah diletakkan sebagai perintis pembangunan pertelevisyenan kerana penemuan Jantra Nipkow nya yang mana kemudian menjadi dasar perkembangan pertelevisyenan sampai diketemukannya teknik penyapuan secara elektronik pada tahun 1923. Beliau juga telah dianggap oleh dunia sebagai Bapa televisyen.


Begitulah serba sedikit mengenai sejarah TV hanya sebagai info asas untuk kita semua. Suatu masa dahulu TV merupakan satu alat yang sungguh dibanggakan bagi mereka yang boleh memilikinya sama seperti telefon bimbit sekarang.


Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai sejarah penciptaan TV, pembaca bolehlah ke:




Moral Value: Everything happens for a reason.. just believe.


30 November, 2011

Orang Pertama Melabur


Perdana Menteri Malaysia yang ke-3, Allahyarham Tun Hussein Onn, adalah orang PERTAMA yang membeli Amanah Saham Nasional dengan melabur $10 dan menerima buku pelaburan bernombor 0000001 dari Pengerusi Permodalan Nasional Berhad pada waktu itu, Allahyarham Tun Ismail Ali di majlis pelancarannya kira-kira 30 tahun yang lalu iaitu pada hari Isnin, 20 April 1981 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.


Objektifnya ialah bagi menjana pulangan yang berpatutan dalam bentuk pengagihan pendapatan dan pertumbuhan modal kepada pemegang-pemegang unit melalui pelaburan dalam kepelbagaian portfolio.


Detik yang bersejarah itu telah pula disusuli dengan penyertaan rakyat Bumiputera yang mewakili berbagai-bagai sektor dan pekerjaan yang dijemput menerima buku pelaburan masing-masing dari Perdana Menteri.


Allahyarham Tun Hussein Onn menerima buku pelaburan dari Pengerusi Permodalan Nasional Berhad pada waktu itu, Allahyarham Tun Ismail Ali di majlis pelancarannya pada 20 April 1981.


Wakil sektor petani tanaman campur ialah Encik Nayan Taib dari Perlis, sementara wakil penanam padi pula Haji Zakaria Ariffin dari Kedah.


Gadis Cik Noraini Omar mewakili sektor pengeluaran dari Pulau Pinang dan Perak pula diwakili oleh Encik Hashim Haji Shaari sebagai ketua di sebuah lombong di negeri itu.

Operator pengangkut Encik Ilias Yaakob mewakili Selangor, sementara Wilayah Persekutuan mengemukakan kerani, Encik Borhan Abdullah yang berkhidmat dengan Dewan Bandaraya.


Negeri Sembilan diwakili oleh pekerja sukarela PEMADAM, Encik Hassan Malek sementara Melaka diwakili oleh guru, Puan Shamsiah Abdul Hamid.

Pekerja industri berat, Encik Sadiman Bandi mewakili Johor dan Pahang diwakili oleh peneroka Felda, Encik Sulong Hassan.

Seterusnya, Encik Abdul Rahman Idris, pembantu di pelantar minyak, mewakili Terengganu dan ahli perniagaan kraftangan, Puan Hajah Masnah Yusof dari Kelantan.

Sabah diwakili oleh Cik Flora Mobilik, mewakili industri pembalakan dan Sarawak menghantar Encik Hamdan Samad pekerja industri petroleum.

Encik Hitam Wali Nawan mewakili orang asli, sementara Konstabel Mohd Shah Taib mewakili polis dan Sarjan Faisal Mohd Kassim mewakili pasukan tentera.

Wakil nelayan ialah Encik Abu Bakar Awang, Encik Mohamad Ismail, guru mewakili OKU (Orang Kelainan Upaya) dan Puan Esah Mat Darus mewakili surirumah.

Semoga kemunculan mereka di atas pentas dan menerima buku pelaburan masing-masing akan menggerakkan masyarakat yang diwakilinya untuk sama-sama menyertai Skim ASN itu seberapa segera.


Moral Value: Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

15 November, 2011

Khairol Ke USMA West Point


Pemenang Hadiah Komandan 1987, Khairol Amali bin Ahmad dari Maktab Tentera Diraja (MTD) telah terpilih untuk mengikuti Latihan Kadet Kelas 1992 di United States Military Academy (USMA) West Point, New York, Amerika Syarikat. Kursus selama empat tahun ini akan bermula pada Jun 1988.

Untuk terpilih mengikuti kursus di Akademi Ketenteraan yang unggul ini bukanlah sesuatu yang mudah. USMA West Point telah menjemput sebanyak 79 buah negara bagi mengemukakan 6 calon bagi tiap-tiap negara. Bagaimanapun hanya menghadkan 10 tempat sahaja untuk calon-calon dari negara-negara sahabat.


Khairol Amali bin Ahmad


Ini adalah merupakan kali yang kedua penuntut Malaysia berjaya dalam pemilihan tersebut. Tahun lalu penuntut dari Maktab Tentera Diraja juga telah terpilih. Khairol Amali, 18 tahun sebelum terpilih terpaksa menjalani ujian-ujian dan temuduga yang dikendalikan oleh Penasihat Pertahanan Kedutaan Amerika Syarikat bersama-sama 5 orang rakannya yang lain.

Di antara ujian-ujian tersebut ialah Test of English as Foreign Language (TOEFL), Scholastic Aptitude Test (Verbal), Scholastic Aptitude Test (Maths) dan Physical Aptitude Test. Semua rekod-rekod ujian tersebut telah dihantar ke USMA dan pemilihan akhir dibuat oleh pihak pentadbiran akademi tersebut.

Berasal dari Parit Buntar, Perak, Khairol merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Mula menjejakkan kaki di Maktab Tentera Diraja pada tahun 1983 sebagai pelajar Tingkatan Satu adalah atas dasar minat. Walaupun kedua ibu bapanya bertugas sebagai guru, beliau tidak pernah mendapat tentangan untuk menuntut di MTD dan ke USMA West Point.

Menurutnya lagi, kedua orang tuanya menyerahkan kepada beliau sendiri untuk memilih kerjaya dan mencorakkan masa depannya sendiri dengan bantuan dan pengawasan. Ini disebabkan sejak Tingkatan Satu lagi beliau telah belajar berdikari apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menuntut di MTD.


Khairol, pemenang Hadiah Komandan 1987.


Khairol yang hobinya membaca dan melukis menyatakan rasa gembiranya kerana telah dipilih. Sesungguhnya pemergiannya selama 4 tahun merupakan satu cabaran dan beliau berazam akan mengikuti kursus tersebut sebaik mungkin demi mengharumkan nama negara.

Bercita-cita menjadi seorang jurutera, dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran pada tahun 1985 beliau telah mendapat Gred A dengan 6 Agregat dan pada tahun 1987 mendapat Gred 1 dengan 7 Agregat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Beliau juga aktif dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum dan dalam bidang sukan pernah mewakili pasukan hoki MTD. Dalam Perbarisan Tamat Latihan di Divisyen Putra pada Disember 1987, beliau telah berjaya merangkul Hadiah Komandan yang merupakan penuntut terbaik keseluruhan meliputi bidang akademik, kokurikulum, ketenteraan, sukan dan disiplin yang tinggi.

Mengikut perkiraan, usia Khairol sekarang ialah 41 tahun dan mengikut carian Googles, beliau kini ialah pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan pangkat Lt. Kol. Prof. Madya Khairol Amali Bin Ahmad di Fakulti Kejuruteraan. Sekalung tahniah buat beliau dan semoga kejayaannya ini akan terus menjadi ikutan generasi kini.


Moral Value: Wherever you stand... Be the soul of that place.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'