Showing posts with label Antik. Show all posts
Showing posts with label Antik. Show all posts

07 August, 2010

Perhiasan Kahwin Orang Dulu-dulu


Kerongsang ini pernah digunakan oleh emak di hari perkahwinannya dengan arwah ayah pada tahun 1953. Telah disimpan sekian lama iaitu kira-kira 57 tahun yang lalu sebagai satu kenangan yang sungguh syahdu dan mengusik jiwa...


Dikenali juga sebagai 'kerongsang duit emas tiga serangkai'. Tentu ianya cantik dan menawan ketika masih baru dan berkilau keemasan.


Kerongsang berbentuk syiling dan tertulis tahun 1938. Dihiasai dengan corak kerawang disekelilingnya.


Sejenis lagi kerongsang yang dipakaikan bersama kerongsang duit emas. Biasanya dikenakan kedua-duanya bersama baju kebaya.



Selain daripada kerongsang, gelang kaki ini juga turut dipakai emak pada waktu itu. Saiznya memang muat untuk disarungkan ke pergelangan kaki orang dewasa. Terdapat engsel untuk membukanya sebelum dipakaikan di kaki. Agak 'gabai' (besar) juga saiznya.


Terdapat juga kunci yang kemas pada gelang kaki tersebut mungkin supaya ianya tidak tertanggal dari kaki si pemakai. Bersama putaran masa, memang sukar untuk melihat pengantin-pengantin di zaman sekarang memakai perhiasan seperti ini lagi.


Inilah gambar emak dan ayah yang telah diambil pada tahun 1953. Handsome juga ayah pada waktu itu seperti anak bongsunya juga. Bak kata pepatah 'like father like son'.. He.. he..


Untuk pengetahuan, perkahwinan itu kekal bahagia sehinggalah ayah meninggal dunia pada malam Jumaat 07.08.2008 setelah beberapa tahun menderita penyakit alzheimer. Telah disemadikan sebelum sembahyang Jumaat di tanah perkuburan Kampung Permatang Pasir, Permatang Pauh, Seberang Perai. Kini telahpun dua tahun pemergiannya...


Al-Fatihah untuk arwah ayah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman - Amin.


22 April, 2010

Kompas Antik Peninggalan Tok Ki...



Kompas antik adalah milik seorang rakan iaitu Ustaz Ahmad Dusuki b. Zulkifli. Menurut beliau, kompas ini adalah milik asal Allahyarham Tok Ki nya yang suatu ketika dahulu pernah bekerja sebagai pegawai perhutanan di negeri Pahang Darul Makmur.



Kompas yang berusia hampir 76 tahun ini keseluruhannya diperbuat daripada tembaga. Masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.



Didatangkan lengkap dengan sarung kulit keras yang berkualiti dan bertutup kemas.



Juga jelas tertulis nama pemiliknya iaitu 'AWANG NGAH BIN MAMAT' (Allahyarham Tok Ki kepada Ustaz Ahmad Dusuki) dan juga tahun 1934 - 1935 iaitu mungkin tempoh setahun pengajian pemilik kompas ini di 'MALAYAN FOREST SCHOOL'.



Di bahagian belakang kompas pula tertera negara pembuatnya iaitu Geneve Suisse berserta dengan nombor siri produknya. Umum mengetahui bahawa negara Swiss adalah pembuat jam tangan yang sungguh terkenal dengan kualiti dan ketepatannya.



Muka kompas yang masih jelas dan boleh digunakan.



Kunci jarum kompas sewaktu ianya tidak digunakan.





Sukatan-sukatan tertentu yang hanya difahami oleh ahli kompas.



Terdapat engsel di bahagian belakang untuk membuka kompas.



Bahagian teropong kompas yang tersembunyi sebelum ianya dibuka.



Kompas yang telah banyak berjasa kepada pemiliknya dalam menentukan batu sempadan dan arah perjalanan.








12 April, 2010

Bekas Tembaga Bertangkai Tiga Keturunan...



Bekas tembaga bertangkai ini adalah kepunyaan seorang rakan, saudara Tokan iaitu tuan tanah puakajoran.blogspot.com. Berapakah usia bekas ini aku tidak pasti tetapi menurut Tokan, bekas ini telah diwarisinya semenjak 3 keturunan yang lalu.



Seperti ada sesuatu yang tersembunyi dan memiliki aura yang tersendiri apabila melihat kepada bekas ini... Mungkin juga kerana usianya yang telah cukup lama.



Sungguh cantik jika dikilatkan kembali.





Beratnya boleh tahan juga bang.. kak long.. He.. he..



Pemandangan dari atas.


Pemandangan dari atas setelah tudungnya dibuka.



Close-up, terdapat tulisan 'P.K.F. Registered Trade Mark' di bahagian tangkainya dengan cop gajahnya sekali.



Juga terdapat tulisan 'P.K.F KALAHASTI'. Mungkin nama syarikat yang menghasilkannya.



Tudungnya akan tertutup kemas kerana terdapat 'trip' seperti bekas kedap udara.





Menurut Tokan lagi, beliau menggunakan bekas tembaga ini sebagai tabung. Katanya untuk ke Tanah Suci dengan menggunakan duit syiling...


Nota: Sebarang perkongsian maklumat mengenai bekas tembaga ini daripada para pengunjung amatlah dialu-alukan.


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'