Showing posts with label Akhbar. Show all posts
Showing posts with label Akhbar. Show all posts

30 April, 2011

Kuat Kuasa Larangan Jual Makanan Tak Sihat


Peniaga dan penjaja yang menjual makanan tidak sihat di luar sekolah wajib dibanteras habis-habisan bagi menangani masalah obesiti (kegemukan) serta diabetes di kalangan pelajar.


Sumber: Berita Harian 27.04.2011


Kerajaan diminta melarang peniaga dan penjaja makanan tidak sihat yang boleh menjejaskan kesihatan pelajar berniaga di luar kawasan berhampiran sekolah jika benar-benar serius mahu menangani masalah pemakanan yang boleh menyebabkan obesiti dan diabetis yang berpunca daripada amalan pemakanan tidak sihat.


Sumber: Berita Harian 28.04.2011


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga digesa meningkatkan penguatkuasaan dengan melesenkan semua peniaga atau penjaja dengan syarat tidak menjual makanan yang tersenarai dalam 15 makanan yang dilarang dijual di kantin sekolah.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan peniaga dan penjaja menjual makanan tidak sihat di luar sekolah jika melaksanakan garis panduan baru itu bulan depan.

Aktivis pengguna, Datuk Nadzim Johan berkata, pihak berkuasa juga boleh melarang peniaga atau penjaja menjual dalam lingkungan jarak tertentu, misalnya 50 meter dari sekolah, namun ia bergantung kepada tindakan penguatkuasaan tegas.


Sumber: Berita Harian 28.04.2011



*************************************************************


Langkah yang diambil oleh pihak-pihak berwajib untuk menggempur peniaga jajan yang tidak memiliki lesen dan mengganggu lalu lintas yang berniaga di luar kawasan sekolah haruslah dipuji kerana terdapat Undang-undang Kecil Penjaja bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

Tetapi untuk mengawal kecenderungan pemakanan seseorang individu terutama kanak-kanak dengan undang-undang adalah mustahil sedangkan makanan yang telah diketahui dan ditakrifkan tidak sihat itu masih lagi dijual dan boleh didapati di pasaran dengan mudah. Seperti juga rokok, biarpun berjuta ringgit telah dihabiskan untuk kempen anti merokok sudah pasti kurang berkesan sekiranya penjualan rokok masih mudah didapati di pasaran. Memupuk kesedaran adalah sesuatu yang sangat subjektif.

Menurut Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan "Mustahil pengambilan makanan di kantin dalam tempoh rehat sesingkat 15 hingga 20 minit boleh mengakibatkan masalah obesiti dan diabetes di kalangan pelajar, sebaliknya ia lebih banyak diakibatkan pemakanan pemakanan di luar kawasan sekolah, termasuk ketika bersama ibu bapa (Berita Harian 27.04.2011).


Oleh kerana capati dan susu lembu tidak disebut sebagai makanan yang menyebabkan obesiti di kalangan kanak-kanak seperti nasi lemak, maka BR telah mengambil kesempatan tersebut dengan membawa anak-anak menikmatinya di Restoran Feroz Khan, Temoh, Perak (berhadapan simpang ke Chenderiang).


Sungguh menyelerakan...


Moral Value: Tutup sahaja kilang jajan, habis cerita... He.. he..


13 March, 2011

Eric Clapton Lelong 70 Gitar...


Penyanyi rock terkenal, Eric Clapton meletakkan 70 gitarnya untuk lelongan amal kelmarin yang menarik minat ratusan peminat setianya sekali gus berjaya melepasi sasaran jualan.

Gitar berongga Clapton dikenali sebagai Gibson buatan 1948 dilelong pada harga AS$83,000 (RM252,120), menjadikan barang yang paling mahal dalam lelongan itu. Ia hanya dianggarkan bernilai AS$30,000 (RM91,155).

Kebanyakan barang dijual lebih tinggi daripada harga disasarkan agensi pelelongan Bonhams.


Lelongan itu termasuk gitar Fender Stratocaster, yang sering dikaitkan dengan lagenda pemain gitar itu termasuk model hitam yang digunakan dalam konsert Cream Reunion di Royal Albert Hall di London dan Dataran Medison New York pada 2005.

Gitar Stratocaster yang sinonim dengan Clapton dijual dengan harga AS$51,000 (RM154,887) dalam lelongan yang turut berjalan serentak di New York, Los Angeles, London dan secara online.

Hasil lelongan akan didermakan ke pusat pemulihan dadah dan alkohol, Pusat Crossroads di Antigua. Pusat ini diasaskan Clapton yang juga bekas penagih heroin dan bekas peminum minuman keras pada 1998.

Gitar akustik 12 tali, Martin, yang digunakan Clapton semasa menyanyikan lagu 'Motherless Child' dijual pada harga AS$70,000 (RM212,703), sedangkan ia dijangka hanya meraih AS$5,000 (RM14,195).


Sumber: Berita Harian 11.03.2011
(Sila klik untuk besarkan imej)


Selain itu, gitar yang turut menarik perhatian pembida ialah replika gitar 2006 yang mempunyai tanda rokokpada bahagian kepalanya dikenali sebagai 'Blackie' Stratocaster, digunakan Clapton sepanjang 1970-an. Ia dibeli pada harga AS$30,000 (RM91,184).


Gitar Blackie yang asal sudah dibeli kedai peralatan muzik Guitar Center pada harga AS$959,500 (RM2.9 juta) pada 2004.

Lelongan itu turut menawarkan puluhan alat pembesar suara milik Clapton termasuk Supro 1960-an, yang dikatakan pernah digunakan pemain gitar Jimmy Page dalam album 'Led Zeppelin II'. Ia dijual pada harga AS$28,000 (RM85,077).

Ini bukan kali pertama Clapton menjual alat muziknya. Pada 1999, beliau berjaya mengumpul lebih AS$5 juta (RM15.1 juta) dan pada 2004, mengumpul AS$7.4 juta (RM22.4 juta). Kesemuanya disumbangkan ke Pusat Crossroads.

Tambahan kepada lelongan Clapton itu, ada juga gitar yang disumbangkan dan ditandatangani legenda rock lain seperti Jeff Beck, JJ Cale dan Joe Bonamassa.

Artifak yang bercampur turut dilelong termasuk tiga sut rekaan Gianni Versace yang dibuat sempena konsertnya di Royal Albert Hall pada 1990, beg sandang kulit hitam rekaan Andrea Valentini dan telefon bimbit ditandatangani Clapton.

Untuk maklumat lanjut mengenai Eric Clapton, pembaca boleh ke: Wikipedia/Eric Clapton


******************************


Eric Clapton merupakan salah seorang pemain gitar yang terbaik di dunia setakat ini selain daripada Jimi Hendrix, B.B. King, Stevie Ray Vaughan, Jimmy Page dan beberapa nama lain lagi.


Nama-nama seperti Man Kidal, Joe (Burnmark), Sham (Kamikaze), Edry Hashim, Izo( XPDC) Hillary Ang, Kid (Search), Samad (Lefthanded), Abu (MAY), Joe (Wings) dan beberapa nama lain yang tidak disebutkan di sini tidak kurang juga kehebatan mereka di Malaysia. Masing-masing juga memiliki kehebatan dan skills masing-masing.


Tetapi (secara peribadi) BR lebih memilih Rosli Mohalim (Sweet Charity) dan Julian (Blues Gang) sebagai gitaris yang diminati. Bagi Julian, selain daripada boleh bermain gitar, beliau juga boleh membuat/ubahsuai gitar, satu kemahiran yang tidak ramai dimiliki oleh pemain gitar.

Allahyarham M. Shariff juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan gitaris-gitaris yang lain pada zamannya. Beliau juga pernah dianugerahkan 'The Fender Man' oleh syarikat pengeluar gitar terkemuka itu berdasarkan bakat dan kesetiaannya terhadap gitar Fender yang sering digunakan.


Ini pula gitar Fender acoustic milik BR yang masih lagi disimpan sebagai kenang-kenangan. Jika sebelum ini habis kesemua gitar elektrik, pass box, amplifier dan peralatan yang berkaitan dengannya telah dijual, cukuplah tinggal yang ini satu sahaja sebagai penguat semangat.


Seperti si Ninja yang telah sealkan pedangnya di dalam peti, cuma jika di dalam keadaan terdesak baharulah si Ninja tadi akan mengeluarkan pedangnya semula. Selalunya untuk membalas dendam atas kematian keluarganya... He.. he..

Namun begitu, kadang kala petik juga untuk menghilangan kebosanan. Biasanya lagu-lagu puitis ketuhanan Ebiet G. Ade dan Hattan menjadi pilihan, bersesuaian dengan usia...


Bunyinya memang merdu tambahan pula dipadankan dengan tali Martin. Dibeli pada awal 1990-an dengan harga 'sebulan gaji' pada waktu itu. Eeer.. kalau lelong ada harga ka ni?


Chromatic Tuner pun ada, yang ini ada gunanya juga kerana boleh digunakan untuk tuning angklong. Tetapi pendengaran semulajadi biasanya lebih tepat...


Hattan - Rindu Bertandang Lagi

Rindu bertandang lagi kekasih
Hatiku merintih keranamu
Kesunyian mencengkam
Lautan kenangan
Ajaibnya perasaan oh..

Rindu membawa daku kekasih
Pada musim-musim bersamamu
Rasa kasih dan rindu
Yang tertanam buatmu
Di jambangan usiaku

Waktu memisahkan aku denganmu
Kemanisan bersatu dalam sebuah rindu
Kini saat indah menjadi sejarah
Dan musim pun berlalu bersama waktu
Kini bertemankan sebuah perasaan
Rasa kasih rasa rindu padamu

Rindu bertandang lagi di hati
Rindu menghampiri kala sendiri
Halaman hidupku yang kosong tak terisi
Sungguh lama dikau pergi


"The Feeling Is Legendary"


06 March, 2011

al-Fatihah


Kajian mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka, kata Prof Emeritus, Datuk Dr Isahak Haron.


Sumber: Berita Harian 28.02.2011
(Sila klik untuk besarkan imej)


Tokok akademik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kajian menunjukkan 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna bacaan al-Fatihah.

Beliau berkata, perkembangan itu jelas membimbangkan kerana pemahaman dan penghayatan makna bacaan al-Fatihah amat penting untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat, sekali gus memberi lebih kesan ke arah pembentukan Muslim yang dituntut agama.

"Justeru, sistem pendidikan Islam di sekolah mesti menitikberatkan aspek pemahaman serta penghayatan dalam mengerjakan sembahyang, dan bukan hanya tertumpu kepada didikan pergerakan fizikal atau bacaan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Forum Pendidikan Nasional bertema 'Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik' anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, semalam.


*********

Seterusnya Isahak berkata, pelajar Melayu dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima yang masih tertakluk kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikhuatiri terus lemah dalam subjek kritikal itu.

"Mereka akan terus menjadi lost generation seperti kumpulan pelajar yang lalu. Bagi kira-kira 30 peratus pelajar yang gagal teruk dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah secara kumulatif, pendidikan di sekolah sudah tidak bermakna. Sekolah tempat mereka 'gagal'," katanya.


al-Fatihah merupakan surah pertama (Pembukaan) yang diturunkan dengan lengkap di antara surah-surah yang ada di dalam Al-Quran. Ia dinamakan 'Ummul Quran' (induk Al-Quran) atau 'Ummul Kitab' (induk kitab) kerana ia merupakan induk atau ibu bagi semua isi Al-Quran serta menjadi intisari daripada kandungan Al-Quran. Kerana itulah diwajibkan membacanya setiap kali menunaikan solat sebagai salah satu rukun solat.


Makna bacaan al-Fatihah:


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Semesta Alam

Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Yang Berkuasa di Hari Pembalasan

Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus

Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat


Moral Value: "Sembahyang Tiang Agama"


26 February, 2011

Kerajaan Yang Runtuh Akibat Kuasa Rakyat


Satu keratan akhbar yang menarik untuk dibaca sebagai satu bahan sejarah.


Sumber: Mingguan Malaysia 13.02.2011
(Sila klik untuk besarkan imej)


Rejim monarki Iran di bawah Shah Mohamad Reza Pahlavi digulingkan pada 1979 dalam revolusi rakyat yang dikenali sebagai Revolusi Islam Iran, dipimpin seorang ulama Ayatollah Ruhollah Khomeini setelah Reza Pahlavi dikecam rakyatnya sebagai boneka barat yang mengamalkan fahaman sekular, selain menindas rakyat dan menyalahgunakan kuasa.


Presiden Filipina, Ferdinand Marcos yang memerintah Filipina secara kuku besi sejak 1965 digulingkan oleh Revolusi Kuasa Rakyat atau Revolusi Laban (Lawan) pada 1986, yang dipimpin oleh Corazon Aquino setelah suaminya, seorang pemimpin pembangkang terkemuka Filipina, Benigno Aquino (Ninoy) ditembak mati semasa kembali ke tanah air dari Amerika Syarikat. Corazon Aquino kemudiannya dipilih menjadi Presiden Filipina pada 1986.


Pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991 di bawah pemerintahan Presiden, Boris Yeltsin selepas mengambil alih daripada Mikhail Gorbachev yang mana tindakannya membuka ruang kepada rakyat untuk mengkritik kerajaan. Demonstrasi rakyat membolehkan 15 republik di bawah Kesatuan Soviet mencapai kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri.


Parti Rakyat Republik Poland yang merupakan parti komunis yang mentadbir Poland dibubarkan 1990 selepas tercetus Revolusi 1989 yang juga dikenali sebagai Revolusi Kejatuhan Komunisme selepas rakyat mahukan perubahan demokrasi. Revolusi di Poland yang diketuai golongan buruh pimpinan Lech Walesa itu menyaksikan beliau dilantik sebagai Presiden Poland pada 1990.


Kerajaan Komunis Jerman menguasai Jerman Timur yang ditubuhkan pada 1949 selepas Perang Dunia Kedua pada 1945 digulingkan pada 1990. Satu perubahan mendadak dikenali sebagai Die Wende (revolusi senyap) bermula pada 1989 dan akhirnya menyaksikan penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat keruntuhan Tembok Berlin pada 1990.


Presiden Suharto dijatuhkan oleh kuasa rakyat pada 1998 selepas memerintah Indonesia lebih tiga dekad. Demonstarasi pelajar dan tunjuk perasaan berterusan telah menyebabkan kerajaan Suharto tumbang.


Kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri, Samak Sundaravej dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) digulingkan tidak sampai setahun berkuasa selepas menang dalam pilihan raya umum pada Disember 2007. Demonstrasi besar-besaran diketuai Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) dilancarkan terhadap kerajaannya pada pertengahan 2008 dan kerajaan pimpinan Samak dibubarkan oleh Mahkamah Persekutuan pada September 2008.

Samak kemudian digantikan oleh Somchai Wongsawat untuk memimpin PPP dan kerajaan Thailand namun pada Oktober 2008 beliau dikepung daripada memasuki pejabatnya oleh PAD. Pada 2 Disember 2008, Mahkamah Perlembagaan mendapati PPP bersalah kerana penipuan dalam pilihan raya dan membubarkan parti itu dan kerajaan.

Abhisit Vejjajiva yang memimpin parti Demokrat kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri baru Thailand pada 17 Disember 2008.


Kerajaan Tunisia pimpinan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali digulingkan pada 14 Januari lalu selepas 23 tahun pemerintahan secara kuku besi. Pemberontakan rakyat terhadap pemerintahan kuku besi menyaksikan Ben Ali meletakkan jawatan dan melarikan diri bersama keluarganya ke Arab Saudi.


Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada tentera semalam setelah berlaku pemberontakan rakyat selama 18 hari. Beliau mengamalkan pemerintahan autokratik selama 30 tahun selepas mengambil alih jawatan tersebut daripada Presiden Anwar Sadat yang ditembak mati pada 1981.


Moral Value:

Hadis Ibnu Umar r.a: Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w katanya: Baginda telah bersabda: "Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin. Seorang pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang suami adalah pemimpin bagi ahli keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Manakala seorang isteri adalah pemimpin rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dia akan bertanggungjawab terhadap mereka. Seorang hamba adalah penjaga harta tuannya dan dia juga akan bertanggungjawab terhadap jagaannya. Ingatlah, kamu semua adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin."

*Sumber imej pemimpin adalah daripada carian Google.


13 February, 2011

Kelompongan Undang-undang...


40 lori 'dirosak' elak saman JPJ.
Majikan arah pemandu tinggal kenderaan bawa pasir di lorong kecemasan.


Kehadiran deretan lori pasir rosak di lorong kecemasan sepanjang Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ladang Bikam (arah selatan) di Bidor, Perak, awal pagi semalam, mencetuskan tanda tanya pengguna lebuh raya berkenaan.

Wakil Berita Harian yang turut dalam operasi Pasukan Trafik Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Plus Expressways menemui 40 lori dipercayai sengaja dirosakkan di tepi lebuh raya untuk mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.


Sumber: Berita Harian 27.01.2011
(Sila klik untuk besarkan imej)

Difahamkan, dengan mengambil tindakan sedemikian, majikan hanya perlu mengeluarkan kos RM500 untuk membaiki kerosakan, berbanding denda sehingga RM5,000 sekiranya ditahan kerana pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan dikesan ialah melangggar peraturan lori pasir tidak boleh memasuki lebuh raya, membawa muatan berlebihan, tiada lesen memandu, tayar botak, selain ada di kalangan pemandu masih remaja serta tidak mempunyai permit kenderaan perdagangan.

Ketua Operasi, Asisten Supritendan Khuzir Abdul Majid, berkata pihaknya sudah menjangka taktik pemandu lori pasir terbabit dan mengepung semua lori yang berhenti sebelum mengambil tindakan sita dan saman.

"Sebahagian pemandu lori bagaimanapun tidak sempat merosakkan kenderaan mereka berikutan kehadiran kami. Hasil pemeriksaan mendapati kebanyakan lori atau kenderaan ini berhenti kerana rosak."

"Bagaimanapun, siasatan mendapati kenderaan itu sengaja dirosakkan bagi tujuan mengelak dari diperiksa dan disaman pihak berkuasa. Adalah menjadi satu kesalahan lori membawa muatan pasir memasuki lebuh raya," katanya.


Moral Value: Disyorkan supaya bihak berkuasa mewujudkan pula skuad 'mekanik' yang akan membaiki kenderaan tersebut supaya boleh bergerak, barulah boleh diperiksa dan disaman.. He.. he..


23 January, 2011

Pendidikan Seks...


Segmen Pertama:

Murid Tahun Satu Sesi 2011 Diajar Pendidikan Seks.

Kira-kira 500,000 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2011 bakal menjadi kumpulan pertama diajar pendidikan seks yang diperkenalkan menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mulai Januari depan (2011).

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Datu Dr Julaihi Bujang, berkata pendedahan pendidikan seks itu akan diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan, di bawah Modul Teras Asas bagi Tahap Satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga.

“Pengetahuan mengenai pendidikan seks itu mewakili 75 peratus daripada keseluruhan pengisian kurikulum baru subjek berkenaan,” katanya.

Julaihi berkata, enam tunjang menjadi teras pengisian pendidikan seks yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Tahun Satu hingga Enam mencakupi perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

“Perkembangan manusia mendedahkan murid mengenai pengetahuan sistem reproduktif manusia, manakala perhubungan pula menjurus mengenai kasih sayang dan persahabatan.

Murid turut didedahkan mengenai perkahwinan dan kekeluargaan yang merangkumi tanggungjawab sepanjang hayat sebagai ibu bapa, manakala kebolehan dalam membuat keputusan menjadi pengisian kepada tunjang kemahiran kendiri.

“Turut diberi penekanan adalah kesihatan dan tingkah laku seksual yang membicarakan amalan seks sepanjang kehidupan, kaedah mengelakkan hubungan seksual, fantasi, kehamilan, penyakit seksual berjangkit, HIV dan Aids, manakala masyarakat dan budaya pula menyentuh mengenai isu seks dan masyarakat dan perundangan,” katanya kepada Berita Harian di pejabatnya di sini.

Julaihi berkata, keputusan menjadikan pendidikan seks sebagai pengisian utama subjek Pendidikan Kesihatan diambil selepas mengambil kira maklum balas dan pandangan pelbagai pihak termasuk Persatuan Aids Malaysia menerusi perbincangan meja bulat yang diadakan bagi memastikan kurikulum yang dibentuk memenuhi keperluan semasa pendidikan negara.

Beliau berkata, guru yang terbabit dengan pengajaran subjek berkenaan sudah diberi kursus, manakala bahan pengajaran turut disediakan bagi memudahkan murid mengikutinya, tahun depan.

“Kita amat berharap ibu bapa tidak bimbang dengan perkembangan terbaru ini, malah kita sendiri akui apa saja perkara baru membabitkan dasar atau kurikulum pasti ada yang sukar menerima dan memahaminya.

“Apapun, kita yakin jika pelaksanaannya (pendidikan seks) dapat dijalankan dengan baik dan lancar, masyarakat khususnya ibu bapa pasti memberi sokongan dan kerjasama terhadap pembaharuan ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online
Selasa, 30 November 2010


Segmen Kedua:

Guru Tuisyen Buat Kelas Seks.


Sumber: Harian Metro 14.12.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


JOHOR BAHRU: Seorang guru tuisyen yang mengajar mata pelajaran Matematik ditahan polis kerana dikatakan turut menyediakan kelas seks serta menayangkan video lucah kepada seorang pelajarnya.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan sejak bertahun lalu dan ia terbongkar apabila pelajar lelaki terbabit yang berusia 17 tahun dari Skudai di sini, menceritakan perkara berkenaan kepada keluarganya, kelmarin.

Dalam laporan berkenaan, bapa mangsa mendakwa guru terbabit dikatakan melakukan gangguan seksual dengan menayangkan video lucah serta meliwat mangsa sebanyak dua kali iaitu pada November 2008 dan Mei 2009.

Dia juga didakwa pernah melakukan seks oral dan mengajar teknik beronani kepada remaja terbabit yang kini sudah menamatkan pengajian tingkatan lima.


Segmen Ketiga:

Kes Remaja Hamil Kronik.


Sumber: Berita Minggu 25.07.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat pergaulan bebas.

Berdasarkan rekod Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.

Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan - Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara, tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.

Sebahagian remaja berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.

"JKM hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara," katanya kepada Berita Minggu.


Moral Value: Angguk-angguk.. Geleng-geleng...


16 January, 2011

Minum Air Kencing...


Anda berani minum air kencing sendiri? Biasanya orang sakit akan mendapatkan rawatan daripada doktor atau bomoh, tetapi lain pula ceritanya dengan seorang warga lanjut usia Singoi Jaya, 96, yang minum air kencingnya sendiri. Kelihatan Encik Singoi (gambar) sedang bergaya dengan segelas air kencingnya...


Sumber: Harian Metro 27.12.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Kaedah yang dianggap pelik dan meloyakan tekak bagi kebanyakan orang itu mula dilakukan Singoi kira-kira 50 tahun lalu selepas dia terjatuh dari atas pokok langsat.

"Pengalaman pertama saya minum air kencing sendiri ialah selepas terjatuh dari atas pokok langsat. Oleh kerana tidak dapat menahan kesakitan, saya nekad meminum air kencing saya sendiri dengan harapan boleh sembuh.

"Mujurlah kesan kejadian yang menyebabkan kencing saya bercampur darah itu pulih selepas beberapa hari kemudian dan saya boleh bangun dan berjalan seperti biasa," katanya ketika ditemui di rumahnya di Rekap, Kampung Giam, Jalan Puncak Borneo di sini.

Menurut Singoi, kali kedua dia mencuba kaedah itu ialah selepas tergelincir dan terjatuh sehingga menyebabkan tangannya patah dan kakinya tercedera.

"Cara ini mungkin sesuai dengan saya, tetapi bagi orang lain saya tidak sarankan mereka melakukannya," katanya.

Singoi berkata, dia tidak gemar mengambil ubatan moden sekiranya diserang demam dan selsema, sebaliknya mengamalkan aktiviti ringan yang boleh mengeluarkan peluh seperti berkebun dan bersenam.

Dia mendakwa masih mampu mengusahakan tanah yang seluas kira-kira dua hektar berhampiran rumahnya dengan tanaman lada hitam, limau, pisang, cili dan mengendalikan sebuah kolam ikan keli.

"Jangan malas buat kerja seperti berkebun untuk mengeluarkan peluh kerana jika malas badan tidak akan berpeluh dan badan kita akan menjadi lemah serta mudah diserang penyakit." katanya.


Ada berani ka? He.. he..


Kepada pembaca yang ingin tahu mengenai hukum berubat dengan meminum air kencing manusia ini bolehlah ke: Konsultasi Islam


Moral Value: Senaman Baik Untuk Kesihatan.


26 December, 2010

Hari Tanpa Plastik 2011


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melaksanakan kempen Hari Tanpa Plastik di seluruh negara bermula Januari depan.


Sumber: Mingguan Malaysia 17.10.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, langkah itu bertujuan menyelaraskan kempen tersebut yang kini dilaksanakan di pasar raya besar dengan pilihan hari berlainan.

"Kami setakat ini belum menetapkan hari apa tetapi kalau boleh kempen tanpa beg plastik ini dibuat pada hari paling ramai orang keluar membeli-belah"

"Apabila rakyat di negara ini telah mempunyai kesedaran dengan baik, kementerian pasti akan menambah hari lain sebagai hari tanpa plastik sebagai usaha memelihara alam sekitar," katanya.


Marilah kita beramai-ramai kembali menggunakan beg ini: Maya Karin


Moral Value: Hargailah alam sekitar. Tutup sahaja kilang plastik. He.. he..


19 December, 2010

Kisah Seludup...


Segmen Pertama: Bukit Aman siasat heroin dalam pintu.

SHAH ALAM: Jabatan Narkotik Bukit Aman sudah menghubungi pihak berkuasa Australia dalam usaha menyiasat bagaimana dadah jenis heroin bernilai RM1.2 bilion yang dirampas pihak berkuasa negara itu, berjaya diseludup keluar dari negara ini.


Sumber: Berita Harian 2.11.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata beliau sudah mengarahkan jabatan itu berbuat demikian dan mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Australia.

"Kita mahu mencari bagaimana benda ini (dadah berkenaan) boleh dibawa. Kita berhubung terus dengan polis Australia mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Hari Deepavali di sini, semalam.

Pada 21 Oktober lalu, polis Australia merampas heroin seberat 168 kilogram (kg) yang disembunyikan dalam daun pintu dibawa di dalam sebuah kontena yang dihantar dari Malaysia ke Sydney.

Agensi berita AFP melaporkan percubaan menyeludup dadah berkenaan berjaya dipatahkan pihak berkuasa Australia pada 21 Oktober lalu, selepas pegawai Kastam Australia yang mengimbas 295 daun pintu menemui 230 bungkusan dadah disorokkan di sebalik papan lapis yang dipasang pada daun pintu berkenaan.



Segmen Kedua: 10 ditahan cuba seludup mercun, senjata ke stadium.

ALOR SETAR: Polis menahan 10 lelaki termasuk lima pelajar kerana membawa masuk pelbagai jenis mercun dan bunga api, air daun ketum dan senjata berbahaya ke Stadium Darulaman ketika perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara pasukan Kedah menentang Kelantan malam kelmarin.


Sumber: Berita Harian 22.10.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abd Ghafar Rajab, berkata seorang daripada lima yang ditahan adalah penuntut sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, manakala empat lagi adalah pelajar sekolah menengah di Kedah.

"Kita buat pemeriksaan badan termasuk beg yang dibawa penyokong dan hasilnya kita menemui pelbagai jenis barangan larangan yang menyalahi undang-undang, selain ia juga boleh mencetuskan kekacauan jika tidak dibendung lebih awal."

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan letupan 1957 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya pada sidang media di Stadium Darulaman, di sini, malam kelmarin.

Abd Ghafar berkata, polis menempatkan 1,000 anggota untuk mengawasi penyokong daripada melakukan tindakan menyalahi undang-undang.

Sementara itu, pengawasan dan pemeriksaan ketat polis tidak dapat mengawal sepenuhnya kemasukan bahan larangan itu ke stadium apabila lebih 10 letupan mercun dikesan daripada arah penyokong Kedah, dipercayai akibat kecewa dengan prestasi pasukan mereka yang hanya mampu seri tanpa jaringan di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, ia semakin menjadi-jadi apabila perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri.



BR pun minat bola juga tetapi bukanlah sebagai kaki bola tegar. Saat yang paling menyeronokkan ialah apabila bola membolosi pintu gol, si penjaga golnya tentunya berkelakuan seperti orang yang kehairanan atau dalam bahasa mudahnya "Buat-buat hairan" lalu memarahi rakan-rakannya yang lain. He.. he..


05 December, 2010

Tindakan Terhadap Meng Chee


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee jika dia terbukti melakukan kesalahan ekoran penerbitan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman. Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, perkara sensitif sebegini tidak boleh dibiarkan dan merupakan satu langkah yang silap serta tidak boleh dimaafkan.


Sumber: Utusan Malaysia 31.08.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


"Saya telah mendapat taklimat daripada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengenai perkara tersebut dan sehubungan itu mengarahkan siasatan menyeluruh dibuat dengan mengambil kira segala aspek."


Di JOHOR BAHRU, empat laporan polis telah dibuat di negeri ini ekoran penerbitan klip video Namewee. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar berkata, laporan polis pertama dibuat pada pukul 3.20 petang, Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya manakala tiga lagi di Balai Polis Johor Jaya, Pasir Gudang dan Masai semalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal telah ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.


'Lucut sahaja kerakyatan'
(Pada muka surat akhbar yang sama)


Sumber: Utusan Malaysia 31.08.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Kerajaan didesak supaya melucutkan kerakyatan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee ekoran perbuatannya menghasilkan klip video terbaru yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, Tindakan tegas itu adalah yang paling wajar dikenakan bagi memastikan pihak-pihak lain yang ingin mencontohi perbuatan Namewee membatalkan hasrat mereka.

Menurut Osman, tindakan lain yang boleh dikenakan adalah menahan pemuda dari Muar, Johor itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tindakannya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kaum.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, langkah melucutkan kewarganegaraan adalah yang terbaik kerana pemuda itu tidak serik walaupun banyak pihak telah menegur perbuatannya sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan isu itu dan tidak menolak kemungkinan membuat satu lagi laporan polis seperti yang dilakukan pada 2007 berkaitan klip video Negarakuku.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gagasan Suara Rakyat Selangor (Suara), Mohd. Daud Tarihep berkata, tindakan Namewee itu bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang mengutamakan sebanyak toleransi dan bersatu padu antara kaum.


Untuk pengetahuan, Isu Namewee mendapat liputan umum selepas Puteri UMNO mendesak kerajaan bertindak tegas terhadapnya kerana mengulangi perbuatan biadab dengan menerbitkan klip video yang menyentuh mengenai seorang pengetua yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman. Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.



Setelah 3 bulan berlalu...
(Kecil sahaja beritanya)


Sumber: Mingguan Malaysia 28.11.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)



Namewee tidak lakukan kesalahan - Nazri


PARIT BUNTAR 27 Nov - Kerajaan tidak mengambil tindakan ke atas Wee Meng Cheng atau dikenali sebagai Namewee kerana pemuda dari Muar, Johor itu tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, dalam klip video terbarunya, Namewee mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, mengikut akta tersebut, hanya mangsa iaitu pengetua sekolah dalam kes ini yang boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee.

"Terpulang kepada pengetua itu untuk mengambil tindakan atau tidak tetapi kerajaan tidak ada hak untuk mengambil tindakan ke atas Namewee," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara pecah tanah pembinaan bangunan baru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Kerian, di sini hari ini.


Moral Value: He.. he..


28 November, 2010

Acah Tunjuk Pistol


Kita ikuti kisah sadis Syed Fariduddin Syed Fakhri, 17, bersama rakannya, Subadrul Nizam Suid, 19, ketika pulang dari pasar malam Uptown, Jalan Stadium menuju ke rumahnya di Taman Wira Mergong:


DAKWA TERANIAYA... Syed Fariduddin (kanan) dan Subadrul Nizam menunjukkan kecederaan yang dialami selepas mendakwa dibelasah anggota polis.

"Ketika melalui jalan Gangsa, tiba-tiba seorang lelaki berpakaian biasa membaling topi keledar ke arah saya menyebabkan kami terjatuh ke dalam parit. Belum sempat saya dan rakan bangun, datang kira-kira 20 lelaki lalu membelasah kami. Mereka menumbuk muka, menendang, mengetuk kepala dengan cota besi dan memijak kepala saya di jalan raya."



Sumber: Harian Metro 18.11.2010.
(Sila klik untuk besarkan imej)


Menurutnya, selepas membelasah mereka, barulah penyerang memberitahu dan memperkenalkan diri masing-masing sebagai anggota polis Skuad 42 yang menjalankan operasi mencegah lumba haram di situ.


"Seorang daripada anggota polis terbabit cuba mengugut kami dengan menunjukkan pistol di pinggangnya dan bertanya sama ada kami terbabit dengan lumba haram."


"Anggota polis itu juga ugut nak tembak kami jika kami melarikan diri. Macam mana nak lari, belum sempat kami bangun mereka belasah lagi."


Abang mangsa Syed Fauzi Syed Fakhri, 30, berkata, "Sepatutnya pihak polis menyiasat terlebih dulu bukannya bertindak sesuka hati ke atas adik saya. Dia cukup syarat termasuk lesen memandu, cukai jalan dan insurans, bahkan motosikalnya juga lengkap seperti di tetapkan undang-undang."


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd Sham Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan pelajar berkenaan. (Ayat klise yang sering digunakan di mana akan berakhir dengan 'kesenyapan').

Tugas berat tentunya menanti Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Supritendan Mohd Sham Abdullah kerana jika menafikan perbuatan ini adalah daripada anggotanya, siapakah pula gerangan "Skuad 42" yang memiliki pistol dan cota besi yang boleh bertindak sesuka hati itu? He.. he..

Masyarakat juga perlu dimaklumkan dengan Standard Operation Prosedure (SOP) polis yang baharu iaitu membaling topi keledar, membelasah, menumbuk muka, menendang, mengetuk kepala dengan cota besi, memijak kepala di jalan raya dan yang terbaru ialah melanggar kenderaan orang yang disyaki. He.. he..


Dalam Mingguan Malaysia hari ini (28.11.2010):

Ibu dakwa anak dilanggar polis.


(Sila klik untuk besarkan imej)


Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Haji Ismail bin Haji Omar, "Saya akan bekerja berpaksi kepada bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang dan menentukan PDRM terus memberi perkhidmatan terbaik bagi kesejahteraan seluruh rakyat dan negara Malaysia." 13 September 2010.


Terkenang kisah Insan Marhaen.


Moral Value: Hargailah tugas polis.


21 November, 2010

Ramalanku Benar Belaka...


"Apa sudah jadi? Manakan isu halal dan haram ini boleh dibuat sorong-tarik... BR percaya bahawa tunggu dan bersabarlah di dalam masa yang terdekat ini maka akan adalah satu muka surat khas di akhbar-akhbar tempatan kenyataan daripada Syarikat pengeluar produk ini iaitu QBI Packaging Sdn. Bhd. yang akan menyatakan produk jenama QBB Pure Ghee akan kembali menjadi halal... He.. he.."


Itulah antara petikan yang pernah BR tulis pada posting yang lalu di bawah tajuk "Biskut Makmur Blues" bertarikh 08.09.2010. Hanya selepas 77 hari produk QBB ini dikatakan tidak halal, sekarang telah menjadi halal semula. Terima kasih JAKIM.


JAKIM: Minyak sapi QBB disahkan halal, tiada keraguan.

Produk Minyak Sapi QBB sekali lagi disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berikutan penyerahan Sijil Pengesahan Halal JAKIM di sini baru-baru ini.

Wakil QBB, Philip Cheng menerima Sijil Pengesahan Halal JAKIM daripada Saimah Mukhtar di Kuala Lumpur, baru-baru ini. (Berlatar belakangkan pejabat JAKIM untuk lebih meyakinkan).


Sumber: Utusan Malaysia 12.11.2010.
(Sila klik untuk besarkan imej)


Pengarah Q.B.B. (Pte.) Ltd (Q.B.B.), Lim Peck Bin berkata: "Penyerahan Sijil JAKIM ini mengesahkan pendirian kami selama ini - produk Minyak Sapi QBB tidak mengandungi "unsur babi atau terbitannya" dan tidak perlu timbul sebarang keraguan tentang status Halal produk QBB ini."

Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal, JAKIM, Saimah Mukhtar, pihaknya telah mendapat kerjasama pihak Q.B.B. untuk memeriksa semula status halalnya, produk minyak sapi ini dengan lebih terperinci.


Sumber: Berita Harian 04.09.2010.
(Sila klik untuk besarkan imej)


JAKIM telah menarik balik Sijil Pengesahan Halal (SPH) QBB pada 26 Ogos 2010, berikutan tuduhan bahawa produk berkenaan mengandungi unsur babi. Lanjutan itu, JAKIM telah melakukan penyiasatan sejak awal tahun 2010. Berdasarkan laporan analisis terbaharu Jabatan Kimia, JAKIM menerima pengesahan bahawa unsur babi atau terbitannya tidak dikesan di dalam produk berkenaan.

Menurut Lim, tuduhan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggung jawab, telah mengelirukan para pengguna dan memberi persepsi negatif terhadap produk QBB.


Tarik balik SPH bulan Ogos 2010, siasatan telah dilakukan sejak awal 2010, November 2010 halal semula.. He.. he..


Isu halal haram ini tidak boleh dipandang ringan dan secara logiknya mana mungkin sebuah syarikat yang telah tersohor dengan produknya boleh menghentikan pengeluarannya semata-mata kerana isu halal haram ini.

Sebelum ini pun memang telah banyak produk seperti ubat gigi, makanan segera, roti dan sebagainya yang telah ditarik balik dan diberikan semula status halalnya oleh JAKIM.

Apa komen Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang suatu ketika dahulu telah menggesa penarikan balik semua produk ini di pasaran serta meminta syarikat terbabit memberikan kerjasama dalam memastikan semua produk mereka ditarik balik dari pasaran...

Selepas ini wajarlah diminta supaya para pengguna agar jangan panik dan hanya menunggu dengan sedikit kesabaran kerana pengumuman halal semula pastinya akan diumumkan semula oleh JAKIM.


Moral Value:

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)


*Terima kasih kepada sdr Rizal yang telah membuat pembetulan mengenai gambar yang telah disiarkan pada posting tersebut.


14 November, 2010

Dua Beradik Rayu Bantuan


Memang cukup tersentuh hati apabila membaca kisah-kisah mengenai Cerebral Pulsy (CP) ini, kerana itu jugalah BR sediakan satu Label khas di dalam blog ini untuk pesakit Cerebral Pulsy supaya kita lebih menginsafi... Kita ikuti sebuah kisah di Kampung Gajah, Perak Darul Ridzuan ini.


Sumber: Berita Harian 10.11.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)

Berikutan penyakit itu, Mohamad Haziq Danial dan Mohamad Hafiq Firdaus, masing-masing berusia satu dan lima tahun hanya mampu baring kerana sebahagian badan mereka lembik, menyebabkan tidak berupaya untuk bangun.

Ibu bapa mereka, Mohd Zamhari Arshid dan Raziah Abdul Rashid, masing-masing berusia 33 tahun, terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membiayai kos rawatan penyakit kronik itu.

Mohd Zamhari berkata, dia dan isterinya terpaksa bergilir-gilir menjaga anak yang memerlukan penjagaan rapi.

"Kami juga perlu berulang-alik ke hospital sekali atau dua kali seminggu membuat pemeriksaan kesihatan mereka. Secara keseluruhan kami perlu membelanjakan lebih RM1,000 sebulan bagi anak kami itu."


Mohd Zamhari yang bekerja sendiri berkata, kedua-dua anaknya tidak menunjukkan sebarang masalah ketika lahir, namun perubahan mula berlaku apabila usia mereka mencecah lima bulan.

Katanya, masalah disedari apabila dua anaknya tidak boleh meniarap dan merangkak seperti kanak-kanak sebaya dengan mereka.

"Laporan doktor menyebut paru-paru anak saya tidak kuat dan disebabkan itu, mereka selalu batuk, muntah dan tidak boleh berada dalam suhu terlalu sejuk atau panas kerana boleh membawa masalah kepada kesihatan mereka."

Orang ramai yang bersimpati dan mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya kepada:

Mohd Zamhari
No 3, Persiaran 11, Taman Changkat Lada Raya,
36800 Kampung Gajah,
Perak Darul Ridzuan.


Maklumat lanjut mengenai Cerebral Pulsy ini boleh anda ikuti di: Special Education (SpeEd)


Moral Value: "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..."


07 November, 2010

Murid Tidak Layak Turut Terima Bantuan KWAMP


Laporan Ketua Audit Negara 2009 mendedahkan berlaku penyelewengan mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) kepada murid tidak layak kerana maklumat pendapatan mereka meragukan. Malah, ada penerima didapati memiliki kemudahan tidak sepadan dengan kedudukan kewangan diisytiharkan seperti saluran televisyen berbayar ASTRO, lebih sebuah kenderaan dan ada penghawa dingin di rumah.


Sumber: Berita Harian 26.10.2010
(Sila klik untuk besarkan imej)


Selain itu, lapan kes kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM196,550 dilaporkan dari 2004 hingga 2008 di mana dua daripadanya akibat penyalahgunaan wang oleh guru besar, kehilangan wang oleh guru besar (tiga), kegagalan guru besar menyerahkan wang (dua) dan aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar (satu).

"Ada bantuan diluluskan walaupun pendapatan dicatat dalam borang permohonan tidak melayakkan mereka menerimanya."


Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata semakan terhadap borang permohonan KWAMP bagi 1,350 murid yang diluluskan bantuan mendapati ia turut diberi kepada penerima tidak memenuhi kriteria.

Sejak KWAMP ditubuhkan pada 2003, kerajaan memperuntukkan RM1.45 billion untuk tabung itu, bagaimanapun sejumlah RM1.62 billion sudah dibelanjakan untuk memberi bantuan kepada pelajar miskin, dengan sumbangan turut diterima daripada sektor awam dan swasta, orang ramai dan pulangan daripada simpanan tetap.

Hasil temu bual pihak audit dengan 404 penerima bantuan tahun lalu di 42 sekolah mendapati 75 orang atau 18.6 peratus keluarga ada kemudahan Astro di rumah, 72 keluarga (17.8 peratus) memiliki antara dua hingga enam kenderaan dan sembilan keluarga memiliki antara satu hingga dua unit pendingin hawa.


Salah pentadbir sekolah yang meluluskan atau salah pemohon yang menipu di dalam borang permohonan?


Moral value: Di mana-mana ada penyelewengan... He.. he..


Related Posts with Thumbnails
 

'http://bluesriders.blogspot.com @ shabramli@gmail.com'